18 Jan 2013

Mahathir Mengaku Beri IC, Berhelah Tuduh Tunku Lebih Teruk Daripadanya

Beri IC: Tunku lebih teruk dari saya, kata Dr M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

Mahathir ketika ditanya pemberita, mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.

Namun beliau mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

"Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?

"Ya saya memang buat (beri kad pengenalan), tetapi mengikut undang-undang," katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda Tun Mahathir di Shah Alam hari ini.

Ditanya sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk pilihan raya kerana ia dijalankan dua minggu sebelum pilihan raya Sabah, Mahathir berkena beliau "tidak tahu".

Bekas perdana menteri – yang menjawat jawatan itu selama 22 tahun – itu berkata, perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan tetapi menegaskan sekali lagi bahawa ianya mengikut undang-undang.

"Saya buat sebelum pilihan raya. Mungkin kebetulan. Saya tak tahu. Tapi ia mengikut undang-undang. Perkara itu berlaku sebelum pilihan raya tak bermakna melanggar undang-undang," katanya lagi.

Ditanya lagi sama ada pemberian kad pengenalan itu bertujuan untuk membolehkan Umno merampas kuasa di Sabah, Mahathir berkata penerima kad pengenalan itu bebas untuk mengundi mana-mana parti selepas menjadi warganegara.

"Itu hak mereka. Bila dah jadi warganegara, mereka nak sokong Umno, BN atau apa-apa itu mereka punya hak," katanya.

Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan oleh saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah semalam memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Turut hadir dalam program di Shah Alam hari ini ialah bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. -mk


Projek IC: Mahathir hentam Tunku untuk lepaskan diri


Kenyataan terkini oleh Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membersihkan dirinya daripada segala salahlaku dalam pemberian kad pengenalan haram yang sedang dalam siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja menggambarkan dirinya sebagai angkuh, tidak menyesal dan manipulator sejarah yang tidak bertanggung jawab.

Percubaan Dr Mahathir untuk mengheret Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam kekotoran ini adalah keji dan hina.

Beliau cuba untuk mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang dikendalikan dalam keadaan sembunyi semasa beliau memegang tampuk kuasa Perdana Menteri dengan pemberian kewarganegaraan di semenanjung Malaysia semasa era Tunku.

Beliau berterusan menghina akal kita dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia yang sememangnya suatu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan kita.

Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut. Oleh itu Dr Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalih beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama.

Projek haram ini berlaku hanya dua minggu sebelum Plihan Raya Umum 1994 dan Dr Mahathir harus berhenti berpura-pura yang beliau tidak mampu melihat kaitannya dengan konklusi yang jelas bahawa wujud skim kewarganegaraan untuk undi.

Saya tetap terkejut apabila mendapati bahawa pesalah-pesalah dalam penipuan tersebut telah menginap di rumah Aziz Shamsuddin dan membuat manfaat daripadanya sebagai pusat operasi untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu tersebut.

Tidak lebih mengejutkan apabila ada keterangan bahawa Megat Junid Megat Ayub pernah mengarahkan pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan resit penerimaan kad pengenalan itu.

Aziz Shamsuddin dan Megat Junid tidak mungkin mampun melaksanakan penipuan yang sebegitu rapi tanpa arahan atau persetujuan daripada orang atasan mereka, yang tentunya ketika itu adalah Dr. Mahathir.

Saya tetap dengan seruan saya bahawa Dr.

Mahathir harus disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan Negara dengan menjual kedaulatan kita dengan mengizinkan skim keji ini hanya untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional kekal di Sabah.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN



Pengakuan Mahathir beri IC pada pendatang bukti Umno ‘jual’ negara


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bingkas membidas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir Mohamad di sebalik pengakuannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya.

Pertama sekali, Tun Mahathir sudah mengaku menjadi dalang utama projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing dua minggu sebelum pilihanraya 1990. Inilah jawapan yang dicari-cari selama ini, telah dilafaz sendiri oleh Tun Mahathir.

Walau apapun alasannya, pemberian kewarganegaraan segera khususnya di musim pilihanraya harus diterjemah sebagai jalan singkat untuk regim terus berkuasa. Pemberian kad pengenalan secara terburu-buru sempena pilihanraya secara langsung membolehkan si penerima anugerah warganegara segera ini terus mengundi. Ia sangat tidak adil khususnya buat rakyat Sabah ketika itu dan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Maka dengan pengakuan Tun Mahathir hari ini setelah lama mendiamkan diri, apakah ada lagi pengakuan atau pendedahan yang lebih sensasi untuk membolehkan rakyat seluruh tanahair sedar bahawa regim pemerintah tergamak menjual negara ini demi mengekalkan kuasa melalui kewarganegaraan segera? Hanya selepas negara dikejutkan dengan pendedahan oleh bekas Ketua Jabatan di JPN Sabah dan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, menjadikan Tun Mahathir tidak punya pilihan selain mengaku perbuatannya.

Pengakuan Tun Mahathir ini wajar dipandang serius terutamanya apabila menyedari modus operandi yang sama dijangka bakal digunakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam pertembungan PRU-13, berdasarkan mood kebangkitan rakyat yang akan menyaksikan pemerintahan 56 tahun mampu ditamatkan. Umno dan BN tidak mampu mengekang arus perubahan malah turut sedar betapa mereka akan tumbang kali ini. Maka operasi Sabah 1990 diperluas ke semenanjung!

Kedua, Tun Mahathir mendakwa bahawa tindakkannya memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah tidak seteruk Tunku Abdul Rahman Putra yang kononnya telah memberi kerakyatan kepada sejuta penerima yang tidak layak. Lupakah Tun Mahathir bahawa ketika sejuta kerakyatan yang diberi suatu ketika dahulu adalah demi membentuk sebuah negara merdeka? Apakah kesumat yang melanda Tun Mahathir sehingga tergamak mengungkit pemberian hak sejuta kerakyatan yang dikontra dengan ‘hak keistimewaan orang melayu’? Apakah hari ini Tun Mahathir ingin katakan bahawa orang cina dan india tidak layak mendapat kerakyatan? Ternyata sentimen perkauman itu tetap menebal walaupun Tun Mahathir di hujung usia, dan barangkali ia satu candu untuk Tun Mahathir melupakan salahsiah asal usulnya.

Penghinaan Tun Mahathir terhadap bekas Perdana Menteri yang Umno sendiri gelar sebagai Bapa Kemerdekaan dilihat agak keterlaluan. Kekalutan Tun Mahathir cuba membela diri dengan mensabitkan seseorang yang sudah mati, yang sudah tentu tidak mampu menjawab tuduhan bagi membela diri adalah sangat tidak ‘gentleman’. Tidak cukupkah penghinaan yang Tun Mahathir lakukan kepada Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup?

Ketiga, Tun Mahathir turut mendakwa pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu kononnya mengikut landas undang-undang walaupun ketika itu secara kebetulan menjelang pilihanraya. Ya, memang secara kebetulan kerana inilah ‘kebetulan’ yang dicari bagi menghadapi pilihanraya. Ini satu kebetulan yang membolehkan kuasa dirampas di Sabah, dan akan menjadi satu lagi ‘kebetulan’ untuk Umno merampas Selangor pula.

Ketika ini PRU-13 menjelang tiba, dan secara kebetulan negeri Selangor menjadi sasaran utama untuk dirampas oleh Umno maka secara ‘kebetulan’ juga negeri Selangor dipenuhi oleh pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan biru. Perkara ini telah acap kali didedahkan dan sering menjadi perhatian.

Dari aspek nasional pula, Umno dan Barisan Nasional begitu lemah dalam survivalnya untuk pertahankan Putrajaya. Secara kebetulan juga, ratusan ribu pendatang asing telah dipanggil ‘interview’ secara besar-besaran di Kompleks Imigresen Precinct 2 Putrajaya di atas nama pemutihan 6P. Projek 6P ini dilakukan secara terburu-buru demi perlaksanaan sistem biometrik untuk warga asing. Sistem biometrik ini juga merupakan sistem yang dicadang oleh SPR sebagai alternatif kepada tuntutan penggunaan dakwat kekal.

Mujurlah sistem biometrik tidak diguna dalam pilihanraya atas desakan penggunaan dakwat kekal, jika tidak pastinya satu lagi ‘kebetulan’ berlaku.

Sesungguhnya insiden kebetulan yang berlaku pada tahun 1990 di Sabah sepertimana yang disebut oleh Tun Mahathir kini berlaku semula menjelang PRU-13 dan kali ini ia menjalar ke seluruh negara. Pelbagai ‘kebetulan’ yang melampaui keraguan munahsabah, apakah rakyat masih tidak sedar?

Ingatlah, pemberian kad pengenalan kepada warga asing adalah satu pengkhianatan. Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang jauh lebih ‘advance’ memiliki syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing yang belum layak ini diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi membantu Umno dan BN menang pilihanraya, akhirnya rakyat akan merempat di bumi sendiri!

Justeru itu, pengakuan Tun Mahathir ini menjadi rujukan terpenting untuk rakyat bangkit menghumban pemerintah yang menipu pilihanraya khususnya dalam soal kewarganegaraan segera. Paling penting, pengakuan Tun Mahathir yang juga bekas 22 tahun Presiden Umno membuktikan, sah sahih muktamad, Umno sanggup jual negara ini kepada warga asing demi untuk terus kekal berkuasa!

Demi rakyat dan kecintaan terhadap negara ini, SAMM dengan kerjasama pelbagai organisasi massa akan sekali lagi menjelajah ke seluruh tanahair termasuk Sabah dan Sarawak bagi meniup kesedaran awam dalam isu babitkan warga asing dan juga menggerakkan massa untuk mengekang warga asing daripada menjadi pengundi talibarut regim pemerintah. Turut akan dipersembahkan sepanjang jelajah ialah teknik mengenalpasti pendatang asing yang cuba mengundi dan teknik tangkapan awam yang berkesan.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM

5 ulasan:

  1. Nampak lidah dia tak ...
    Setahu aku, keturunan seseorang tu datang bersama kelahirannya ke dunia ni. Kalaulah orang tuanya Melayu, maka dia dilahirkan Melayu, begitu juga dengan keturunan lain. TAPI yang hairan bin ajaib ni hanya berlaku di Malaysia sebab HANYA DI MALAYSIA saja, keturunan boleh ditukar. Kalaulah keturunan depa pun, depa boleh bohong apatah lagi hal-hal lain.
    Dah nampak lidah dia tak? Tak nampak lagi. Melayu mana mungkin dapat nampak sebab kan Melayu tu RABUN, BODOH, BANGANG dan .... Oh terlupa yang aku pun Melayu juga. Yang bezanya ialah aku ni Melayu yang dah SEDAR akan tipu helah KIMMA ni.

    BalasPadam
  2. Tun Mahathir tak sepatutnya menyelar Tunku,yang sudah kembali keRahmatullkah.Tunku melakukan apa yang dibangkitkan oleh Mahathir - atas dasar ikhsan sesama umat Islam.Tambahan pula populasi rakyat Malaysia waktu itu kecil.Apa yang dilakukan oleh Mahathir diSabah adalah untuk mengekalkan kuasa UMNO diSabah dengan memberi PATI kuasa mengundi,sehingga bilangan PATI yang diwarganegarakan melebihi populasi rakyat tempatan.Tujuan Almarhum Tunku jauh berbeda dengan tujuan Mahathir.Kaedah Mahathir inilah yang sekarang dijadikan contoh oleh Hishammuddin Hussin,mewarganegarakan Bangra,Indon,Kemboja dan Vietnam diberi kuasa mengundi dalam PRU akan datang untuk mengekalkan kuasa UMNO/BN.

    BalasPadam
  3. Kelentong byk tak nak. humban je mamak kutty ni ke sungai buluh.

    BalasPadam
  4. Orang2 UMNO ni sanggup buat apa saja untuk mengekalkan kuasa. Tak kira apa padahnya kemudian hari. Pengkianat bangsa.

    BalasPadam
  5. Dato sri Anwar, pastikan selepas PRU 13 humbankan penghianat ini ke penjara sungai buluh dan lucutkan gelaran TUN biar penghianat itu kenal ketentuan Ilahi

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.