15 Dis 2012

DAP Anggap PAS Rakan Sekutu Penting Dalam PR

PAS sekutu penting dalam Pakatan, kata Karpal

Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini menyatakan penghargaan secara terbuka ke atas kerjasama PAS dalam Pakatan Pakatan Rakyat.

Karpal menyifatkan PAS sebagai "sekutu penting" yang "berprinsip tegas" walaupun kadang kala berbeza pandangan dengan DAP.

"PAS adalah sekutu penting dalam Pakatan Rakyat. Kita mungkin ada pandangan berbeza dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip tegas dan parti yang DAP sangat percayai di samping PKR," katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian DAP yang menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

"DAP menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia," kata Karpal ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres ke-16 parti itu di Pulau Pinang, pagi ini.

Sementara itu, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata calon perdana menteri itu hanya boleh diputuskan selepas proses penamaan calon pilihan raya umum ke-13 kelak.

Laporan Bernama menyebut, Mustaf berkata calon perdana menteri itu mesti dipilih dalam kalangan calon yang bertanding dan menang dalam pilihan raya berkenaan.

"Saya fikir masa paling baik untuk mengumumkannya ialah selepas penamaan calon kerana orang yang mahu menjadi perdana menteri perlu dipilih. Dia mesti jadi calon (pilihan raya) dan menang baru boleh (dipilih jadi perdana menteri)," katanya seperti dipetik agensi itu. -mk

DAP bersama Pas kerana prinsip


DAP, yang mengadakan kongres tahunan hari ini, yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menegaskan, asas parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) bukanlah kerana negara Islam atau hudud, tetapi atas prinsip menggalakkan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan pembangunan negara.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, negara sekarang berada di persimpangan jalan, sama ada mahu mengekalkan hegemoni Umno dan Barisan Nasional (BN) atau menukar landskap politik dengan mewujudkan dua parti sistem.

"Hubungan kami dalam PR, bersama dengan PKR, adalah sama rata (seimbang) di mana kami menghormati persamaan dan perbezaan satu sama lain.

"Itu sebabnya pemimpin-pemimpin DAP telah menyampaikan pendirian kami berkenaan dengan salun rambut Kelantan kepada kepimpinan Pas dari awal-awal lagi meskipun kami tidak mengumumkan menerusi media,"
katanya lagi.

Walaupun mengakui tugas PR pada PRU13 sukar kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya penambahan 30 kerusi Parlimen lagi daripada yang dimenangi pada tahun 2008 lalu, sebelum menawan Putrajaya.

Kongres tahunan kali ini juga menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan parti.

Malah katanya, berdasarkan kepada situasi semasa, BN dilihat lebih mudah untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga selepas gagal pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya boleh berubah pada bila-bila masa kerana dengan kerja keras, kemenangan PR pada PRU13 bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Tetapi untuk langkah selamat, kerajaan pusat yang berdaya maju dan tahan lama, PR tidak boleh hanya mengharapkan kepada majoriti tipis di Parlimen. PR perlukan kemenangan yang lebih besar dan kukuh pada PRU13.

“Tugas BN lebih mudah, mereka hanya perlukan lapan kerusi Parlimen untuk mendapatkan semula dua pertiga dalam Dewan Rakyat,” katanya dipetik dari blognya, semalam.

Baru-baru ini, Kit Siang dalam satu kenyataan menyatakan keyakinan PR boleh memperoleh 125 kerusi Parlimen, iaitu majoriti tipis untuk membentuk Kerajaan Pusat, dengan tiada parti komponen yang mempunyai kuasa hegemoni.

Kata Kit Siang lagi, dalam senario PR menang sebanyak itu, PKR boleh memperoleh sehingga 45 kerusi, manakala DAP dan Pas masing-masing 40 kerusi.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut membidas pendapat sesetengah pihak yang mendakwa pemimpin DAP takut kepada Pas dan juga sebaliknya.

“Ia adalah pembohongan, sama juga seperti dakwaan mengatakan Melayu atau Cina akan ditekan di bawah kerajaan PR Untuk PR, kami komited untuk memberi khidmat terbaik untuk seluruh rakyat,” katanya.

Namun katanya lagi, cuma mengharapkan kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PR masih belum cukup untuk memenangi hati empat juta pengundi atas pagar pada PRU13 nanti.

“Kita mesti meyakinkan golongan ini bahawa tiga parti komponen PR bersatu dan mengangkat prinsip-prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam Rangka Kerja Polisi PR dan Buku Jingga serta mengetepikan sejarah perbezaan ideologi,” katanya.
-SH


10 Taktik Kotor UMNO/BN Yang Rakyat Wajib Ketahui

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon membongkarkan 10 taktik kotor UMNO/BN untuk terus berkuasa di tanahair kita. Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan satu persimpangan sejarah penting bagi semua rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan keangkuhan kuasa UMNO/BN lebih daripada 55 tahun.

Keinginan rakyat berjuang untuk perubahan di Malaysia semakin kuat. Rakyat mahu selamatkan Malaysia daripada masalah politik, ekonomi, sosial serta pendidikan yang kian hari kian serius. Kehidupan rakyat juga dalam keadaan yang susah di mana beban yang semakin berat.

Dalam PRU13, sebanyak 13,052,374 pengundi yang akan menentukan masa depan negara kita. Samada negara kita akan mengembalikan hak kepada rakyat, banteras rasuah dan menubuhkan Malaysia yang baru yang berasaskan dengan prinsip kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Sebagai seorang pengundi yang bijak maka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat yang tepat. Oleh itu, semua pengundi perlu mengetahui 10 taktik kotor yang seringkali dipergunakan oleh UMNO/BN sejak dulu lagi agar tidak tertipu lagi.

Taktik KOTOR 1: Tidak Berupaya Bezakan Negara dan Parti.
Sebagai balasan perjuangan kemerdekaan, UMNO/BN telah rampas tanah rakyat dengan terang-terang. 24 keping tanah komersial di Selangor telah dijual dengan RM1 persegi menunjukkan keangkuhan kuasa yang ada pada UMNO/BN.

Taktik KOTOR 2: Salahguna Kuasa Untuk Kepentingan Politik.
Bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan menuduh Menteri Dalam Negeri campur tangan politik ke atas pasukan polis. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipergunakan untuk menyiasat badan bukan kerajaan NGO SUARAM yang menfailkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menukar dan memindah kakitangan awam di negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menjejaskan urus tadbir kerajaan negeri. Semua adalah contoh salahguna kuasa yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Taktik KOTOR 3: Politik Perkauman.
Walupun negara telah merdeka lebih 55 tahun, tetapi UMNO/BN masih mewarisi politik ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah British. Dengan politik perkauman sempit seperti kuasa orang Melayu tergugat dan Insiden Mei 13 mungkin berulang yang dibawa oleh PERKASA dan Pemuda UMNO, maka konsep 1 Malaysia hanya menjadi satu slogan kosong yang tidak bermakna sahaja.

Taktik KOTOR 4: Politik Wang.
Presiden MCA Chua Soi Lek menyatakan bahawa politik wang bukan rasuah. Keluarga PM Najib Razak terlibat dalam projek Kementerian Pertahanan yang melibatkan sebanyak RM100 juta. Ketua Menteri Musa Aman yang terlibat secara langsung dalam RM40 juta wang seludup. Kesemua ini hanya merupakan sebahagian kecil politik wang dan rasuah UMNO/BN. Kredibiiti dan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bankrap.

Taktik KOTOR 5: Penipuan dalam Pilihanraya.
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didapati adalah ahli UMNO. Senarai pengundi yang tidak bersih serta mempunyai pengundi hantu. Media tidak bebas, masa kempen terlalu singkat serta peraturan yang berat sebelah. Walaupun BERSIH 2.0 telah mendesak kerajaan untuk menjalankan reformasi sistem pilihanraya tetapi tiada perkembangan yang positif.

Taktik KOTOR 6: Akta Zalim Menindas Hak Asasi.
Walaupun PM Najib Razak berjanji untuk mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), tetapi diganti dengan dua akta yang terus membenarkan kerajaan membuat penahanan tanpa perbicaraan. Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Perhimpunan Aman adalah akta-akta zalim yang dijadikan alat kepada UMNO/BN untuk mencabuli hak asasi rakyat.

Taktik KOTOR 7: Menguasai Media dan Putar-Belit.
Utusan Malaysia, TV3 dan RTM yang dikuasai oleh UMNO/BN telah menjadi alat politik untuk menyerang Pakatan Rakyat. Liputan yang berat sebelah serta putar-belitkan sesuatu isu telah menyebabkan media massa tersebut hilang kredibiliti dan profesionalisme. Media massa tersebut juga tidak berupaya membuka minda masyarakat umum.

Taktik KOTOR 8: Fitnah dan Aibkan Pembangkang.
Tuduhan fitnah yang sering dibuat oleh UMNO/BN ke atas Pakatan Rakyat seperti hasut rakyat guling kerajaan melalui demonstrasi atau belajar dari Arab Spring, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya. Peserta demonstrasi didakwa membawa senjata atau menyerang polis adalah taktik kotor UMNO/BN yang tipikal.

Taktik KOTOR 9: Budaya politk samseng dan ganas.
Banyak ceramah umum Pakatan Rakyat telah diganggu dan diserang oleh penyokong UMNO/BN. Politik samseng seperti baling batu, rosakkan banner, bakar bendara parti serta SMS ugutan sering diamalkan oleh UMNO/BN yang tidak berani untuk berdebat atau berhujah. Puak samseng tersebut masih bermaharajarela sampai hari ini.

Taktik KOTOR 10 Alih Fokus dan Tipu Helah.
Apabila ditentang kuat oleh masyarakat sivil seperti BERSIH 2.0 dan Himpunan Hijau, UMNO/BN akan mengalih fokus untuk meredakan bantahan daripada masyarakat umum. Dalam isu Lynas, kerajaan UMNO/BN sanggup menipu rakyat dengan menyatakan produk sisa radioaktif akan dihantar keluar ke luar negera walaupun dilarang oleh Waigani Convention. Kesemua ini adalah tipu helah UMNO/BN.

Oleh itu, AMK menyeru kepada semua pengundi khasnya pengundi baru mesti mengetahui 10 taktik KOTOR UMNO/BN. Jangan kita terpedaya dengan manfaat segera yang berjangka masa pendek atau terperangkap oleh UMNO/BN yang telah pecah amanah yang diberikan oleh rakyat.

Marilah kita bersatu untuk menolak politik perkauman dan UMNO/BN untuk mendirikan sebuah Malaysia Baru yang bebas, adil dan demokrasi.

LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

NGO Desak Najib, Rosmah, Nazim Disiasat Ekoran Pendedahan Deepak

NGO Jingga 13 mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Mohammad Nazim Razak disiasat mengenai pendedahan terbaru yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Ini kerana Deepak dilaporkan mendakwa ketiga-tiga individu tersebut terlibat dalam usaha merangka Akuan Bersumpah Kedua (SD2) yang dilakukan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

SD2 merupakan satu dokumen yang berkait rapat dengan kes pembunahan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu pada Oktober 2006.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, satu siasatan wajar dilakukan berkaitan pendedahan Deepak mengenai penglibatannya untuk membuat SD2 yang bertujuan untuk menyekat pendedahan yang lebih besar.

Oleh itu Fariz berkata Polis dan Peguam Negara didesak supaya membuka balik kes pembunuhan yang ternyata wujud saksi baru di dalam kes itu.

“Penglibatan Najib dan Rosmah dalam kes tersebut perlu diambil tindakan dengan serius oleh pihak polis.

“Satu tindakan salah guna kuasa dan rasuah bagi tujuan perbuatan menutup jenayah yang dilakukan oleh mereka,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beberapa portal berita telah menyiarkan pendedahan terperinci Deepak yang mengatakan beliau mengaku bercakap dan bertemu Najib dan Rosmah di kediamannya bagi mencari jalan untuk berjumpa Balasubramaniam.

Perjumpaan tersebut bertujuan membatalkan pengakuan bersumpahnya yang pertama (SD1).

Deepak mendakwa Nazim dihantar bagi mewakili Najib dan perbincangan dilakukan termasuk merasuah Balasubramaniam bagi membatalkan SD1 dan membuat SD2 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Selain itu, Deepak turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beliau untuk disiasat namun beliau menyatakan SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut dan tiada tindakan diambil.

Deepak Lari Ke Myanmar, Tulis Buku Dedahkan Penglibatan Rosmah Dalam Kes Bunuh Altantuya

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan bercadang untuk menerbitkan buku setebal 26 halaman bagi mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kontroversi berhubung model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh.

Buku itu katanya, akan menceritakan urutan peristiwa sejak beliau diminta oleh Rosmah untuk memaksa P Balasubramaniam membuat pengakuan berkanun (SD) kedua, seperti didakwanya, sehinggalah kepada wawancaranya dengan beberapa portal berita semalam.

SD kedua itu menyebabkan Balasubramaniam menukar keterangan dalam SD pertamanya yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya.

“(Ia akan memuatkan kisah) dari hari pertama saya terima panggilan sehingga ke hari ini – semua kebenaran, semua fakta.

Saya akan rampaikan semua SMS dan panggilan yang saya terima,” katanya dipetik Malaysiakini.

Buku itu akan dilancarkan Isnin depan dan boleh diperolehi secara bercetak dan dalam talian, tambahnya.

Selain itu, beliau juga akan menerbitkan autobiografinya sendiri, susulan kepada penerbitan biografi Rosmah – yang didakwa sebagai seorang kawan baik wanita itu sebelum ini.

“Datin Seri Rosmah membuat keputusan bijak untuk menerbitkan autobiografinya. Atas cadangan seorang rakan media, pagi tadi (semalam) saya bersetuju untuk menerbitkan dua buku ini,” katanya.

Atas rasa hormat kepada Rosmah, kata Deepak, beliau akan melancarkan buku autobiografi tersebut sehari selepas pelancaran buku isteri perdana menteri itu.

Buku tulisannya itu akan digarap bagi mengisi masa lapangnya apabila beliau mula menetap di Burma tidak lama lagi. -KD

[VIDEO & GAMBAR] 50 Ribu Di HRK Terengganu, BN Bakal Tumbang PRU13


Dungun Presiden PAS, Mohamad Sabu terus menyeru rakyat turun ke Himpunan 1 Juta Umat di Kuala Lumpur pada 12 Januari depan bagi menyatakan tuntutan mereka.

Bercakap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Dataran PGU, Paka dekat sini malam ini, Mohamad berkata, pada himpunan tersebut, rakyat akan menuntut pilihan raya dan bersih dan adil.

Tuntutan ini katanya kerana rakyat yakin kerajaan Umno BN mampu ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pilihan raya dijalankan secara telus.

"Semua NGO oren, merah, hijau dengan tuntutan masing-masing dan kita gabungkan dengan Bersih untuk menuntut pilihan raya bersih.

"Kita akan nyatakan segala tuntutan dan perhimpunan akan berlangsung aman tanpa gas pemedih mata," katanya.

Mohamad berkata, sewajarnya rakyat berasa marah terhadap sikap kerajaan Umno BN yang menzalimi mereka.

Sebagai contoh katanya, akibat sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang gemar berhutang, kerajaan terpaksa mencari duit melalui syarikat swasta.

"Najib hero buat hutang. Yang dia tahu pagi raya menari.

"Hutang yang begitu banyak anak cucu kitalah yang akan bayar.

"Patutnya kerajaan cari duit tapi dia guna syarikat swasta cari duit.

"Contohnya AES yang dibayar kepada syarikat kroni Umno dan MCA," katanya. -HD


Video streaming by Ustream


50,000 sertai HKR T’ganu, bukti rakyat berubah

DUNGUN: Kehadiran 50,000 orang rakyat negeri ini pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Terengganu membuktikan mereka mahukan perubahan pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid yang dimaklumkan jumlah mereka yang menyertai himpunan seramai itu menyifatkan rakyat bersedia melakukan perubahan nanti.

“Dengan kehadiran seramai ini, ia membuktikan rakyat mahukan perubahan di Terengganu.

PAS Terengganu yakin dan bersedia untuk menumbangkan Umno dan BN,” tegasnya.

Menurutnya, pemimpin Umno negeri kini semakin angkuh dengan rakyat termasuk merampas tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS negeri sebelum ini.

“Bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk Sekolah Agama Al-Bayan di Paka tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka,” ujarnya.

Beberapa NGO termasuk dari kumpulan pendesak menuntut Royalti, 'R', membentangkan kes mereka kepada orang di perhimpunan ini.

Antara yang awal memberikan ucapan adalah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil.

Beliau menceritakan kecelaruan yang berlaku dalam Umno sekarang.

Himpunan kali ini adalah yang ke 7 selepas Seremban, Kota Bharu, Batu Pahat, Alor Setar, Melaka dan Pahang.

Esok, himpunan PAS Ganti Umno (PGU) pula akan diadakan di tapak yang sama.

Menurut wartawan Harakahdaily di tapak perhimpunan, kira 50,000 rakyat sudah hadir untuk mendengar amanat pimpinan.

Antara yang berucap wakil anti Lynas, wakil Anak, wakil royalti pusat dan Terengganu, wakil waris, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Saifuddin Nasution, Eng Chai Heng (DAP Terengganu), Azan Ismail (PKR Terengganu).

Turut akan berucap malam ini adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Umno makin angkuh dengan rakyat, bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk sekolah agama al Bayan di Paka, tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka.

"Mereka pecahkan kepada 5 lot banglow untuk JKKK, pejabat tanah maklumkan ia diluluskan melalui campur tangan orang Umno," kata Muhyidin dalam ucapannya lagi.

Di Setiu pula, katanya, 100 keluarga petani yang buka tanah sejak 36 tahun lalu seluas 200 ekar telah dirampas oleh Umno dan dijadikan jelapang padi negeri dengan keluasan 1000 ekar.

"Penduduk lansung tidak diberi pampasan hasil usaha mereka yang hampir 40 tahun... kezaliman Umno terserlah," katanya.

Berikut adalah gambar-gambar awal perhimpunan ini.
-HD






Pendedahan Deepak - Kenapa Engkau Membisu Wahai Najib, Wahai Rosmah?

AMK mahu Najib jawab dakwaan Deepak

Ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tampil menjelaskan dakwaan yang ditimbulkan ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan tidak melarikan diri daripada isu berkenaan.

"Rakyat berharap PM yang bertanggungjawab boleh berdepan dengan pelbagai teguran serta cadangan daripada orang ramai dan bukannya semata-mata berlakon untuk mencari publisiti politik murahan," katanya dalam satu kenyataan.

Lee juga berkata perdana menteri sudahpun dihurung pelbagai kontroversi walaupun baru sepenggal menjadi perdana menteri.

"AMK menyifatkan PM Najib Razak (sebagai) perdana menteri yang dihambat paling banyak skandal walaupun tempoh beliau pegang jawatan PM adalah yang paling singkat dalam sejarah berbanding dengan PM yang lain.

"Walaupun pelbagai dakwaan telah dibuat ke atas Najib Razak tetapi tiada sebarang penjelasan atau jawapan diberi," katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia patut mendapat cerita sebenar dan sekiranya perdana menteri mendapati dakwaan Deepak tidak benar dan membawa ahli perniagaan itu ke mahkamah untuk membersihkan namanya.

Katanya, AMK antara lainnya menuntut penjelaskan mengenai dakwaan Deepak berhubung kaitan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Deepak juga mendakwa adik Najib, Datuk Nazim Razak membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam supaya menandatangani pengakuan berkanun kedua bagi menukar kenyataan mengaitkan Najib dengan kontroversi berhubung pembunuhan Altantuya.

Dalam satu kenyataan berasingan, MP Puchong Gobind Singh Deo pula menuntut Najib dan peguam negara supaya tidak berdiam diri dalam kes Altantuya dan menjalankan siasatan lanjut. -mk

Najib ada peranan tarik balik akuan bersumpah Bala – Deepak

KUALA LUMPUR 14 DIS: Ahli perniagaan Deepak Jaikishan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memainkan peranan utama dalam tindakan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang menarik balik pengakuan berkanun (SD) pertamanya pada tahun 2008.

Dalam satu wawancara dengan Harakah, seperti dimuatkan di Youtube, Deepak mendakwa Najib berbuat demikian demi mengelakkan tindakan yang mungkin diambil seteru dalam Umno bagi menghalang cita-cita Najib menjadi perdana menteri.

“Tetapi satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi perdana menteri, mereka ada kepentingan mereka, mereka dudah bersedia.

“Salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini dan siapa yang mengarah orang itu, ini sangat high level,” kata Deepak.

Pada masa itu, Najib merupakan timbalan perdana menteri. Beliau kemudiannya dilantik menjadi perdana menteri pada 2009 selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur ekoran pencapaian buruk dalam pilihan raya umum 2008.

Mengikut Malaysia Kini, SD pertama Balasubramaniam, didedahkan pada 3 Julai 2008, mengandungi kenyataan bersumpahnya bahawa Najib mempunyai kaitan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh.

Pada hari berikutnnya, Balasubramaniam membuat satu lagi SD dan mendakwa bahawa dakwaan dalam SD pertama adalah palsu.

“Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ini. Objektif utama besar dari itu, mereka kena hentikan langkah seterusnya.

“(Pada) malam itu juga kena siap, kena U-turn (tukar pengakuan Bala), kena tutup (perkara itu), itulah yang masalah utamanya.

Deepak mendakwa beliau menerima satu panggilan telefon daripada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada senja 3 Julai 2008.

Deepak mendakwa Rosmah meminta bantuannya memandangkan beliau mengenali Balasubramaniam, yang mendedahkan SD pertama pada pagi hari tersebut.

Susulan itu, Deepak mendakwa beliau mengunjungi kediaman rasmi Najib di Putrajaya dan memberitahu Najib bahawa Balasubramaniam enggan bekerjasama.

“Pertama (Najib) telefon satu lawyer, lepas itu dia telefon adik dia, lawyer juga. Lepas bincang, dia minta saya agar mencari jalan untuk jumpa dia dan cari jalan supaya (Balasubramaniam) setuju, untuk batalkan SD dia.

“Saya telefon Bala… Dia kata dia nak jumpa Datuk Seri atau Datin Seri kalau nak dia menarik balik dia punya SD,” dakwa Deepak.

Deepak mendakwa Najib kemudiannya mencadangkan supaya adiknya Nazim yang seorang arkitek dan usahawan, untuk mewakilinya.

Dakwanya, pertemuan itu seterusnya berlangsung sekitar tengah malam di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.

Dakwanya lagi, rundingan melibatkan sejumlah wang yang tidak didedahkan itu kemudiannya berlangsung dan Nazim seterusnya menghubungi Najib untuk mengatur seorang peguam untuk menderaf SD kedua di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur.

Dalam video berkenaan, Harakah memadamkan nama seorang peguam yang disebut Deepak.

Susulan itu, satu sidang media diadakan secara tergesa-gesa pada keesokan harinya.

Deepak mendakwa peguam berkenaan tidak mahu hadir, yang memaksanya memanggil seorang peguam lain untuk menemani Balasubramaniam bagi bertemu media.

Deepak mendakwa, beliau mendedahkan maklumat ini untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengambil tindakan dan melindungi integriti insitusi tersebut.

“Saya yakin dalam SPRM mesti ada orang yang baik. Tidak mungkin semua orang hendak dengar cakap sepasang suami isteri. Kita ada 28 juta manusia di Malaysia,” katanya


Laporan sebelum ini
klik untuk baca