5 Ogo 2012

Royalti: Eh Eh Tok Pa Pulak Yang Klaim Jadi Hero!

Jika sebelum ini Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) menyatakan Kelantan tiada hak terima royalti, tetapi hari ini beliau orang pertama mengutip kredit dengan membariskan pelajar sekolah membawa banner untuk mengucapkan terima kasih ke atas dirinya kerana telah berjaya memujuk Najib kononnya mempersetujui cadangannya.



Umno: Jangan politikkan panel khas isu royalti

KOTA BHARU - Kerajaan Pusat telah mengadakan pelbagai peringkat perbincangan sejak enam bulan lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas royalti semalam, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Muhamad.

Mustapa yang juga Pengerusi Umno Kelantan memberitahu, dalam perbincangan itu beliau sendiri mengemukakan pandangan dan ada darinya dipersetujui Perdana Menteri.

"Alhamdulillah, ia menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat Kelantan, saya harap perkara ini tidak dipolitikkan," kata beliau berucap pada majlis Makan Colek di sini, semalam.

Dalam pada itu, laporan Bernama hari ini memetik Mustapa berkata, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengerusi BN Kelantan berkata, adalah wajar isu tuntutan bayaran tunai itu diserahkan kepada jawatankuasa khas itu kerana ia dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri
berkenaan.

"Kita serahkan kepada jawatankuasa khas ini kerana mereka pakar undang-undang berdasarkan terma rujukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam, mereka tidak berpihak kepada mana-mana maka kita tunggu hasil daripada jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mustapa mengulas pengumuman Najib mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Najib berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa Khas itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan.

Mustapa berkata, jawatankuasa itu juga akan mengambil kira pandangan daripada rakyat Kelantan kerana wakil dari negeri ini yang diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V akan menganggotai jawatankuasa tersebut.

"Kita berpandangan kita perlu serahkan isu tersebut kepada pakar-pakar yang menganggotai jawatankuasa tersebut, kita harap tidak ada pihak yang beremosi, dipolitikkan, kerana seperti yang ditekankan Perdana Menteri jawatankuasa ini akan bertindak secara adil dan telus," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas tersebut juga akan mengkaji adakah wajar pemberian wang ehsan kepada Kelantan diteruskan, dimana sejak tiga tahun lalu sebanyak RM61.8 juta disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk membantu rakyat negeri ini termasuk kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Mengenai lawatan Perdana Menteri ke negeri ini petang ini, Mustapa berkata, lawatan Najib itu akan meningkatkan semangat kepada BN Kelantan dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRu13).

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 4.25 petang, Najib akan mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin BN Kelantan dan kemudiannya beliau akan menghadiri program penyampaian bantuan kepada Penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana di Bachok.

Perdana Menteri akan menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama penduduk di Masjid Naim, Jelawat, Bachok dan sebelum berlepas pulang, beliau akan ke Yayasan Kemiskinan Kelantan di Melor untuk bersama penduduk.
-SH 5/8/2012





Bukti Nyata UMNO Menganiaya Kelantan

Mahathir: Bukan sahaja Mustafa Mohammed malah puak-puak UMNO yang lain juga merasakan Kelantan tidak perlu dibangunkan!




Selangor Bakal Ambil Alih Semula 33 Loji Rawatan Air Dari SYABAS



KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijangka bakal “mengambil alih semula” 33 daripada 34 loji rawatan air yang dimilikinya dan kini dikendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan rakyat Selangor memandangkan kegagalan Syabas dan Puncak Niaga menguruskan loji-loji berkenaan bagi membekalkan air yang mencukupi kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk ‘mengambil alih semula’ aset-aset tersebut bagi menjaga kepentingan rakyat Selangor kerana merasakan bahawa loji-loji yang dikendalikan oleh Syabas dan Puncak Niaga didapati tidak beroperasi secara memuaskan bagi membekalkan air secukupnya kepada rakyat Selangor, KL dan Putrajaya,” kata exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar, dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Adun Sri Andalas itu lagi, pendedahan yang dibuat oleh Adun Pandamaran, Ronnie Liu, bahawa Syabas tidak menyelenggara rumah pam dan kelengkapan tangki air menjadi bukti kukuh punca berlakunya krisis bekalan air berlaku di sesetengah kawasan di Selangor.

“Lawatan exco kerajaan negeri Ronnie Liu, baru-baru ini mendedahkan bahawa Syabas gagal menyelenggara dengan baik pam-pam air, peralatan dan kelengkapan serta tahap kawalan keselamatan aset tangki air dan loji rawatan air milik kerajaan negeri yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di beberapa tempat,” tambahnya.

Selain itu, Jayakumar turut mempersoalkan tindakan Pusat yang berkeras untuk meneruskan pembinaan Loji Langat 2.

“Kita kurang pasti bagaimana Kerajaan Pusat berkeras untuk meneruskan pembinaan loji Langat 2 dan dilaporkan akan memanggil tender terbuka bulan depan.

“Kita difahamkan bahawa Peguam Negara (AG) turut diseret untuk ‘campurtangan’ dalam isu ini, dan kurang pasti samada pemimpin-pemimpin Pusat memahami dan menghayati konsep dan moral sistem ‘Federalisme’ yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,”
tambahnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, “hak terhadap sumber air, hutan, batuan dan galian dan hal ehwal melibatkan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri”.

“Rakyat akan melihat bahawa sebarang ‘pengambilan tanah milik sesebuah negeri dalam Persekutuan secara paksaan’ akan dianggap ‘menceroboh dan menakluki’ hakmilik kedaulatan kerajaan Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan.

“Rasanya rakyat Selangor tidak akan berdiam diri,
” tegasnya lagi.

Syabas dan syarikat utamanya Puncak Niaga menimbulkan persoalan sama ada krisis air ini telah “direka” untuk mempercepatkan projek pembinaan loji rawatan Langat 2 yang bernilai RM3.6 bilion di mana Puncak Niaga dikatakan akan beroperasi di situ.

Sementara itu, kerajaan negeri, syarikat konsesi air dan juga kerajaan Persekutuan terus-terusan menuduh antara satu sama lain berkenaan isu bekalan air, dan perang mulut ini menyebabkan rakyat Selangor dan Kuala Lumpur semakin risau tentang bekalan air mereka yang menyebabkan isu ini boleh dijadikan isu pilihan raya tentang siapa yang bertanggungjawab jika sekiranya berlaku kekurangan bekalan air.

Pada 16 Julai, Selangor mengumumkan ia akan mengambil alih operasi Syabas untuk mengelakkan kejadian krisis air yang direka dan telah diterangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai “mencurigakan”.

Khalid juga berkata laporan awal audit mengatakan Syabas tidak menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Khalid berkata, tindakan mahkamah mungkin diambil sekiranya Putrajaya enggan membenarkan pemintaan kerajaan negeri kerana enggan menyelesaikan masalah bekalan air.

Pada 14 Julai, Syabas membentangkan kepada Suruhanjaya Pembekalan Air Nasional (SPAN) cadangan untuk mencatu air, dan pelan ini berlaku di Lembah Kelang, khususnya Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang.

Dalam laporan yang terdapat dalam laman webnya, Syabas merekodkan pada 5 Julai, permintaan purata air ialah 4,324.79 juta air sehari (MLD) dengan air bersih yang disimpan sekadar 46.21 MLD atau 1.6 peratus – jauh dari paras yang dimahukan iaitu 20 peratus.

Syarikat bekalan air juga itu berkata catuan air diperlukan kerana kekurangan air, pencemaran sungai serta kerja pembaikan di loji-loji syarikat. -TMI

Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Royalti: Ada Asas Untuk Kelantan Ragui Janji Najib

Kota Bharu - Kerajaan Kelantan masih ragu-ragu dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji pembayaran royalti atau bayaran tunai petroleum yang dituntut mereka selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan itu ia dilihat masih samar-samar kerana ia sebenarnya akan ditentukan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Beliau yang baru tiba dari Makkah semalam ketika memberitahu Sinar Harian turut menyifatkan, tindakan tersebut hanya langkah politik menjelang pilihan raya untuk meredakan perasaan rakyat Kelantan.

“Adakah Barisan Nasional (BN) menggunakannya sebagai ‘jambatan’ untuk menyeberangi pilihan raya ini dengan selamat, khususnya dalam konteks Kelantan?

“Jelas dari inti pati kenyataan Najib berkenaan, keadaan masih samar-samar. Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan kepada rakyat Kelantan,” katanya semalam.

Husam berkata, sekarang bulan Ogos, jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawatankuasa itu membuat laporan dan seterusnya menunggu pertimbangan Kabinet atas rekomendasi mereka, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan.

“Ia mungkin berakhir sebagai sebuah latihan akademik semata-mata. Sehingga ia tidak dilihat tidak melayani harapan rakyat Kelantan dan pada masa yang sama, tidak pula memenuhi tuntutan itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri turut mempersoalkan tempoh yang diambil oleh jawatankuasa itu iaitu dalam masa enam bulan.

“Kenapa enam bulan, kenapa tidak tiga bulan, dan kenapa ia diumumkan ketika menjelang pilihan raya dan bukannya sebelum ini?” katanya.

Meskipun mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu atas kedudukan sekurang-kurangnya tuntutan Kelantan telah memaksa Jawatankuasa ini ditubuhkan, namun Husam berkata, Kerajaan Negeri, tidak menarik balik samannya ke atas Petronas yang dijadualkan, satu dari prosidingnya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada Oktober ini. -SH

Ingat, Najib pernah berbohong

Saya hendak cerita sikit pasal janji perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada rakyat mengenai bayaran royalty minyak kepada kerajaan umno/BN Terengganu.

Janji tersebut dibuat didepan Datuk Seri Ahmad Said dan puluhan ribu penyokong umno/BN dalam suatu majlis bersama rakyat tidak lama dahulu.

Najib berjanji akan membayar royalty minyak yang ditarik balik semasa PAS memerintah negeri kaya rakyat miskin itu.

Sehingga hari ini pembayaran yang dijanjikan itu belum dikotakan, sebalik janji pembayaran itu dibuat menerusi tuntutan kerajaan negeri pada dana khas persekutuan.

Ada projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu baru mendapat pembayaran..Bermakna janji hendak bayar royalty dimasukkan dalam akaun kerajaan yang disatukan sampai hari belum dikotakan.

Sebab itu projek di Terengganu gila gila. Bayangkan satu jambatan sungai Nerus berharga RM 210 juta. Sebatang jalan Jeram teluk Pasu sepanjang 5.6 kilo meter berharga RM 250 juta.

Oleh itu, apalah sangat dengan sepucuk surat daripada Najib yang dihantar kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

Kita diberitahu menteri besar Kelantan, Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan.

Sesungguhnya negeri Terengganu yang diperintah umno/BN setakat hari ini belum dikotai lagi, adalah musathil Kelantan yang diperintah PAS diutamakan.

Amat tak munasabah ia dilaksanakan. Lebih lebih lagi kes ini berada di mahkamah yang barangkali menjadi sangat sukar untuk diselesaikan sepertimana yang berlaku pada kerajaan umno/BN Terengganu.

Tiada sebab perdana menteri Najib tidak tepati janji sepertimana slogan “janji ditepati” kepada kerajaan Terengganu. Sedangkan janji itu dibuat didepan puluhan ribu rakyat Terengganu yang dia akan bayaran wang royalti minyak kepada kerajaan yang dioterajui Ahmad Said.

Inikan pula hanya sepucuk surat yang meminta Datuk Nik Aziz hantar wakil hadir dalam jawatankuasa khas bincang pembayaran royalty minyak kepada kerajaan Kelantan.

Mudah pulak, sedangkan Mustafa Mohammad kata payah kerana Negara punya undang undang dan peraturan yang mesti dipatuhi.

Pada saya, yang buat pembayaran royalty minyak kepada negeri negeri terbabit bukan kerajaan pusat tetapi pihak petronas sendiri.

Kerajaan pusat tak ada kena mengena, kecuali wang royalty dimasukkan dalam akaun Dana khas persekutuan dan dibayar dalam bentuk wang ehsan.

Tetapi kita kena ingat, kerajaan ada kuasa untuk menyekat melalui tuntutan yang dibuat oleh UMNO negeri atau seseorang menteri cabinet sepertimana yang dinyatakan oleh Datuk Nik Aziz, orang yang menyekat royalty minyak Kelantan ialah Datuk seri Mustafa Mohammad.
-TKO


Pas senyum respons PM, BN menanti PRU

Kronologi Isu Royalti Minyak Kelantan

ANALISIS - "Hampir 37 tahun kita ditipu, kini mereka sudah mengaku. Dan kita rakyat Kelantan bukan tidak percaya tetapi kami tidak berapa nak percaya." Demikian entri satu blog yang mengulas perkembangan hari ini.
Kelantan sedar dan membawa pertikaian royalti minyak sejak lapan tahun lalu.

Pada Januari 2010, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya - tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang ihsan adalah satu pengkhianatan, dan tidak akan teragak-agak untuk meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.

Hari ini beliau kelihatan gembira dengan berita menerima surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berunding mengenai isu tersebut menerusi satu jawatankuasa khas.

Selepas satu siri 'tarik tali' sejak satu tempoh yang agak lama, perkembangan yang didengar banyak pihak hari ini sesuatu yang agak mengejutkan - lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat.

Rata-rata penganalisis melihat persetujuan Putrajaya untuk membincangkan isu royalti minyak dengan Kerajaan Negeri Kelantan dengan lebih komprehensif dilihat sebagai satu cara terbaik mengukuhkan perpaduan orang Melayu semakin berpecah selain bertujuan melakukan pembangunan di negeri itu, sekali gus memancing pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, rundingan yang akan dilakukan oleh Najib bersama kerajaan negeri Kelantan bakal membawa perubahan kepada rakyat negeri itu dari segi pembangunan dan sosioekonomi.

Menurutnya, Kelantan yang dilihat sedikit mundur berbanding dengan negeri lain di Malaysia akan lebih membangun sekiranya royalti minyak itu diberi secara betul kepada kerajaan negeri dan rakyat membuka ruang khususnya pengundi atas pagar memilih kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Jika rundingan itu berlaku dan perjanjian dibuat oleh kerajaan pusat dan negeri Kelantan mengenai isu royalti minyak, rakyat akan menerima tempias dalam ekonomi terutamanya pembangunan sekali gus membantu menarik pengundi atas pagar memilih BN.

"Serba sedikit rakyat akan buang perasaan tak senang yang anggap Umno lakukan penganiayaan serta penindasan dilakukan oleh kaum Melayu sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam pengumumannya, Nik Abdul Aziz memberitahu bahawa Najib telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan dan cadangan itu turut diterima baik oleh pemimpin Pas yang lain.

Berdasarkan kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Jawatankuasa khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr .Jayum Anak Jawan juga sependapat dengan Azizuddin.

Katanya, pemberian royalti minyak yang lebih komprenhensif kepada negeri Kelantan bakal menjana ekonomi negeri serta membantu dalam proses pembangunan.

Katanya, rundingan ini juga akan memberi kesan kepada rakyat Kelantan untuk lebih terbuka dan menerima parti politik yang lain selain Pas di negeri itu.

"Rundingan ini patut diteruskan supaya penerimaan royalti minyak di negeri-negeri pengeluar minyak lebih menerima pulangannya lebih komprehensif.

"Pulangan atau royalti bakal membangunkan ekonomi di Kelantan lantas membawa perubahan tanggapan sebahagian rakyat terhadap BN dan mungkin mereka akan lebih terbuka," katanya.

Prof Datuk Dr Zainal Kling, seorang lagi Ahli Majlis Profesor Negara berkata, rundingan yang bakal dilakukan oleh Presiden Umno itu adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu yang semakin meruncing.

Menurutnya, perundingan antara kedua parti Pas dan Umno bakal membawa perubahan kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam terutama institusi kesultanan yang menjadi liabiliti kaum Melayu untuk terus bersatu.

"Kalau betul rundingan itu akan dilakukan, saya yakin perpaduan kaum Melayu dapat diwujudkan kembali seperti dahulu dimana ada seorang pemimpin yang mengawal semua orang Melayu.

"Ia juga mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak dari segi kedudukan parti dan sokongan rakyat di Malaysia," katanya.

Zainal berkata perkara ini akan memberi sedikit kesan kepada kedudukan Umno di Kelantan yang dilihat rakyatnya lebih menyokong Pas.

Pas Kelantan telah mula membuat tuntutan royalti berdasarkan suratcara 1975 Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas. Bagaimanapun ia tidak berhasil kerana peruntukan perundangan yang jelas menidakkan hak Kelantan.

Pemblog Kickdefella, yang pernah bertugas dengan Datuk Husam Musa, iaitu pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Kelantan, berkata, walaupun intipati surat Perdana Menter kepada Menteri Besar Kelantan itu masih belum diketahui dengan jelas, namun begitu berdasarkan kegembiraan Nik Aziz, penduduk negeri Kelantan keseluruhannya boleh merasa yakin bahawa kemelut ini akhirnya menampakkan titik penyelesaian.

"Pujian harus diberikan kepada anak-anak muda Kelantan, termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mesra Pas kerana terus menerus menghidupkan isu ini walaupun menerusi kaedah yang kurang sesuai.

"Seperti kata Nik Aziz, ‘sedikit sebanyak ini adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk bermunajat kepada ALLAH agar (isu ini) diselesaikan segera’," katanya lagi.

Beliau juga berkata, diharap tidak ada pihak yang akan mengecilkan peranan sesiapa sekalipun di dalam soal ini.

Rata-rata pemimpin dan pengikut Pas khususnya dari Kelantan gembira dengan perkembangan hari ini. Pun begitu, BN khususnya Umno dilihat mengharapkan kegembiraan yang bersandarkan keputusan PRU13 kelak dengan pendirian Putrajaya khususnya pentadbiran Najib.

Bila BN akan gembira agaknya?
-SH


Memang Lembulah! Rafizi Didakwa Penjenayah Masih Bebas

Pelik, Rafizi didakwa penjenayah masih bebas

Pendakwaan Rafizi mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), dan Johari Mohamad mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia merupakan sesuatu yang pelik.

Hal ini kerana, melalui tindakan berani merekalah perbuatan salah guna kuasa oleh kerajaan Umno-BN terdedah.

Jika tidak, rakyat tidak tahu bahawa RM250 juta dana awam telah digunakan sewenang-wenangnya bagi projek National Feedlot Corporation (NFC), yang membabitkan syarikat milik suami Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, Ketua Wanita Umno merangkap senator dan menteri.

Saya sebagai rakyat sebenarnya tertanya-tanya bagaimana jumlah wang yang sebegitu banyak boleh dipinjamkan kepada sebuah syarikat yang masih mentah dalam perniagaan tersebut. Bahkan pinjaman tersebut tidak menyatakan dengan jelas kaedah pembayaran balik.

Berdasarkan kes ini, tidak mustahil kejadian yang seumpamanya berlaku membabitkan menteri Umno-BN lain. Patutlah kerajaan bersungguh-sungguh mempertahankan OSA yang diperkenalkan. Rupa-rupanya akta tersebut dapat melindungi jenayah mereka dalam merompak duit rakyat.

Pada masa yang sama, mereka akan menangkap dan mendakwa mana-mana pihak yang cuba mendedahkan apa-apa maklumat yang dikelaskan sebagai “sulit”.

Dalam kes NFC ini, Umno-BN menggunakan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) demi melindungi tindakan tidak bermoral mereka. Rafizi dan Johari sepatutnya diberi ucapan tahniah tetapi akhirnya didakwa kerana mendedahkan dokumen mengenai butiran perbankan yang berkaitan dengan skandal NFC kepada umum.

Sudah hilangkah rasa malu Umno-BN sehingga sanggup merompak wang rakyat? Saya berharap rakyat bangkit untuk memperbetulkan keadaan ini sebelum Malaysia menjadi muflis. -HD

Najib pertahan tindakan dakwa Rafizi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan langkah mendakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli di mahkamah kerana mendedahkan akaun berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Ini kerana, kata Najib, mendedahkannya kepada umum dianggap bertentangan dengan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia).

Katanya lagi, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan patut menyalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rafizi pada 1 Ogos didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendedahkan tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail.
-mk



Fitnah Melampau "TANDA PUTERA" Untuk Semarakkan Api Perkauman

Kit Siang nafi kencing di bendera rumah MB

Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang menafikan bahawa beliau pernah kencing di bendera rumah menteri besar Selangor menjelang tragedi 13 Mei 1969, seperti yang pernah didakwa laman Facebook filem sejarah terbaru Tanda Putera.

"Jurucakap filem itu berkata, karya itu berdasarkan banyak kajian, seperti penelitian terhadap dokumen dan gambar, untuk memastikan babaknya bersandarkan fakta sejarah.

"Mana dia bahan dokumen dan gambar menunjukkan saya kencing di tiang bendera rumah menteri besar Selangor Harun Idris pada 11, 12 atau 13 Mei 1969, sedangkan saya tiada di Kuala Lumpur pada masa itu?

Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga berkata, bahan-bahan itu perlu ditunjukkan supaya babak sebegitu tidak dianggap hanya sebagai khayalan dan imaginasi semata-mata.

Malaysiakini pada 12 Julai melaporkan, Facebook rasmi Tanda Putera arahan Datuk Shuhaimi Baba, yang antaranya merakamkan tragedi 13 Mei dijangka mencetuskan kontroversi.

Ia memuatkan gambar dengan keterangan mendakwa Lim kencing di bawah tiang bendera Selangor di rumah Harun ketika DAP berarak ke sana untuk mendesaknya meletakkan jawatan beberapa hari sebelum tragedi 13 Mei.

Bagaimanapun, menurut seorang penggiat filem yang menghadiri tayangan pratontonnya sehari sebelum itu, babak tersebut tidak dimuatkan. Semakan Malaysiakini mendapati gambar dalam laman sosial kemudiannya dikeluarkan.

Shuhaimi - pengarah terbaik tiga kali dalam festival filem Malaysia - ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini enggan mengulas perkara itu. -mk

Ulasan GB

Begitu terdesaknya UMNO untuk mendapatkan sokongan dari orang Melayu sehingga sanggup menghasilkan filem yang tidak bermaruah untuk menghina dan mencaci kaum lain.

Inilah perjuangan terlampau UMNO, "assabiyah" namanya, cuba untuk mengubah fakta kebenaran mengikut hawa nafsu mereka demi untuk mempertahankan kuasa yang kini hanya tinggal "nyawa-nyawa ikan".

Namun yakinlah bahawa usaha mereka itu akan sia-sia. Tuhan tidak sekali-kali akan mengizinkan kebatilan dan kezaliman mengatasi kebenaran dan keadilan.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Marshanda Tetap Berpuasa Sekalipun Hamil

Mula mendirikan rumah tangga dengan pengacara televisyen, Ben Kasyafani pada 2 April tahun lalu, penyanyi dan aktres terkenal Indonesia, Marshanda pastinya merasakan kedatangan bulan puasa tahun ini lebih istimewa.

Mana tidaknya, kali kedua beraya dengan memegang status isteri dan kini bakal bergelar ibu tentunya menjadikan pengalaman puasa bintang sinetron ini berbeza.

Buat pertama kalinya, aktres berusia 23 tahun ini menjalani puasa di bulan Ramadan dalam keadaan sedang hamil.

Bersyukur dapat merasai pengalaman tersebut, wanita yang mesra disapa Chacha ini tidak mahu terlepas daripada merebut ganjaran sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurutnya, usia kandungannya dua bulan tidak menjadi halangan buatnya meneruskan ibadah puasa.

“Alhamdulillah, sungguhpun hamil namun ia tidak menghalang saya untuk meneruskan ibadah puasa. Tambahan pula, usia kandungan baru sahaja memasuki bulan kedua, jadi saya masih kuat untuk terus berpuasa.

“Lagi pula, puasa di bulan Ramadan merupakan perkara wajib yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam. Saya juga ada meminta nasihat doktor mengenainya, dan doktor tidak melarang saya terus berpuasa,” katanya yang teruja menjalani ibadah rukun Islam ketiga itu dalam keadaan hamil.

Kawal makan

Mengulas mengenai kehamilannya, bintang sinetron Sejuta Cinta Marshanda ini mengakui sedikit risau melihat tabiat pemakanannya yang kini berubah.

Akui berat badan sedikit bertambah, Chacha menganggap ibadah puasanya ini menjadi salah satu sebab untuk membantunya mengawal makan.

“Kebelakangan ini, nafsu makan saya semakin melonjak berbanding kebiasaan. Baru sahaja hamil dua bulan, berat badan saya sudah naik empat kilogram.

“Jadi, saya rasakan inilah waktu terbaik untuk saya menjaga makan dengan berpuasa. Saya tidak dapat bayangkan jika usia kandungan saya bertambah, entah bagaimana bentuk badan saya nanti,” ujarnya.

Meskipun begitu, anak kelahiran Jakarta ini masih lagi menitik beratkan kesihatan kandungan dalam perutnya.

“Jika boleh saya memang berhasrat dapat berpuasa sebulan, tetapi saya tidak mahu tindakan saya nanti memberi kesan kepada anak dalam kandungan.

“Malah, doktor juga memberitahu supaya makan jika tidak kuat untuk terus berpuasa. Jika larat saya akan teruskan tetapi jika tidak, saya tidak akan paksa badan,” katanya yang masih menerima banyak tawaran sepanjang bulan Ramadan.

Suami beri dorongan

Bersyukur dikurniakan suami seperti Ben, wanita yang membuat keputusan mengenakan tudung sejak Ogos 2010 ini berkata, suaminya itu tidak kisah dengan keputusannya untuk berpuasa.

Bagaimanapun, menurut Chacha, Ben masih mengingatkannya supaya menjaga kesihatan kandungannya itu.

“Ben memahami hasrat saya yang cuba menjalankan ibadah puasa. Meskipun begitu, dia menasihati saya supaya mengambil makanan yang secukupnya ketika sahur dan berbuka.

“Dia sering mengingatkan saya supaya memikirkan kandungan memandangkan ini anak sulung kami,” katanya yang bertindak mengurangkan aktiviti lakonannya sepanjang tempoh kehamilan.

Menyentuh mengenai kerjayanya, Chacha berkata, dia tidak menolak jika menerima undangan nyanyian.

“Sejak hamil, saya lebih banyak terima undangan nyanyian tidak kiralah secara langsung ataupun rakaman. Tetapi kini saya mahu kurangkan aktiviti berlakon yang banyak memakan masa ketika penggambaran,” ujarnya lagi.

Seperti kebanyakan perempuan hamil yang lain, Chacha juga tidak terkecuali daripada mengidam makanan.

Malah, katanya dia juga lebih malas untuk bergerak dan sering tidur.

“Syukurlah suami begitu memahami dan menurut sahaja kehendak saya. Kadangkala, dia ada juga mengurut badan saya yang kebelakangan ini sering lenguh-lenguh,” kata pelakon Benci Bilang Cinta ini. -SH


PROFIL

Nama sebenar: Andriani Marshanda

Nama komersial: Marshanda atau Chacha

Tarikh lahir: 10 Ogos 1989

Tempat lahir: Jakarta, Indonesia

Kerjaya: Pelakon, penyanyi, model, pengacara

Nama suami: Ben Kasyafani