28 Jul 2012

Lajim Ukin Isytihar Letak Jawatan Umno, Pengerusi BN

Datuk Seri Lajim Ukin, yang lima hari yang lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Beliau merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) agak mengejutkan banyak pihak.

Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

"Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.

"Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan... kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya," katanya dipetik Bernama.

Beliau mengumumkan keputusannya itu ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan program khas serta pengisytiharan gerakan 'Pakatan Perubahan Sabah' (PPS) di kediamannya di Likas Jaya, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Lajim turut mengumumkan senarai perwakilan PPS di 17 kawasan Parlimen di Sabah.

Bulan lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.

“Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telah dihantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu. Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat,” katanya yang dipetik portal berita New Sabah Times pada Isnin lalu.

Sebelum ini, Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.

Lajim berkata, beliau masih ‘pemimpin kerajaan’ dan meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan. -SH

Dr Asri: Tindakan JAIS Pecah Masuk Rumah Rosakkan Imej Islam

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kejadian pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memecah masuk rumah seorang mangsa di Ampang Jumaat lalu sebagai merosakkan nama agama Islam.

Beliau menjawab soalan yang diajukan kepadanya berkenaan dengan kes pegawai JAIS pecah masuk rumah melalui akaun Twitternya, @realDrMAZA.

"Maksiat yang jelas tidak dicegah, yang tersembunyi pula hendak dicari.

"Islam tiada kaitan dgn tindakan seperti itu.

"Umar bin al-Khattab tidak memecah masuk rumah peminum arak kerana Abd Rahman bin Auf mengingatkannya bahawa Allah larang intip maksiat peribadi," kata Asri (gambar) dalam akaun Twitternya semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Ampang semalam, kira-kira hampir sepuluh orang pegawai JAIS memecah masuk rumah seorang penghuni yang dikatakan melakukan maksiat, walhal tidak ada kejadian sebegitu yang berlaku.

Pegawai JAIS itu menggunakan tukul menyebabkan kerosakan teruk kepada pintu pagar rumah mangsa.

Sementara itu, wakil dari Majlis Peguam dan aktivis "Perlembagaanku", Syahredzan Johan berkata, tindakan JAIS itu adalah sah dari segi undang-undang, menurut Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 yang membenarkan pegawainya memecah masuk tanpa waran.

Akan tetapi ia hanya boleh dilakukan sekiranya orang yang disyaki cuba melarikan diri.

Syahredzan berkata, walaupun Enakmen Negeri berkata demikian, undang-undang yang lebih tinggi iaitu Perlembagaan Persekutuan telah memutuskan bahawa terdapat hak privasi dalam Perkara 5, maka jelas sekali tindakan yang dilakukan oleh pegawai JAIS itu adalah salah dari segi Perlembagaan.

"Sekiranya mangsa merasakan bahawa haknya telah dicabul, dia sewajarnya membawa perkara ini ke Mahkamah untuk menuntut supaya kerosakan atau kerugian yang berlaku diberi pampasan oleh pihak JAIS.

"Walaupun JAIS mempunyai kuasa untuk memecah masuk ke dalam, persoalan yang harus ditujukan adalah adakah permintaan untuk masuk telah dibuat dengan sewajarnya?

"Jika mereka langsung tidak memohon masuk dan terus bertindak memecahkan pintu pagar, sudah tentu ianya tidak mengikut prosedur dan boleh dibawa ke Mahkamah," katanya lagi.

Syahredzan menambah, Enakmen Negeri ini boleh digubal oleh kerajaan negeri, maka sekiranya rakyat mahu ia dibuang, mereka boleh melobi untuk kerajaan negeri mengemukakan usul membuang peraturan ini.

"Ianya boleh dipinda dan dimansuhkan. Jika anda tidak bersetuju, anda harus lobi wakil rakyat anda untuk mengubah undang-undang ini," katanya melalui e-mail kepada The Malaysian Insider semalam. -TMI

JAIS serbu rumah tanpa waran, pecahkan pintu pagar

AMPANG, 27 Julai — Sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini bertindak memecahkan pintu pagar sebuah rumah yang dikatakan ada kegiatan maksiat, sedangkan tidak ada apa yang berlaku di rumah tersebut.

Kejadian itu berlaku di Pandan Terrace Apartment, pada sekitar 2.30 pagi ketika penghuni rumah tersebut sedang bersahur.

“Pada mulanya saya ingatkan ada orang cuba pecah rumah saya, dan bila saya buka pintu, kelihatan hampir sepuluh orang di hadapan pintu rumah saya.

“Salah seorang dari mereka menunjukkan kad kuasa mereka, dan yang lain bertindak menggunakan tukul untuk memecah masuk rumah saya.

“Pegawai itu kemudian memberi amaran untuk bekerjasama atau kekasaran akan dilakukan.

“Mereka mengatakan mereka mendapat aduan bahawa ada kejadian maksiat di rumah saya, padahal tidak ada pun,”
kata mangsa yang dikenali sebagai Razman, berusia sekitar 20an.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Perdana atas tindakan kasar dan biadap pegawai-pegawai JAIS tersebut.

“Mereka langsung tidak memohon maaf atas kesilapan mereka, bahkan mereka mengherdik kami kerana enggan bekerjasama.

“Sepatutnya mereka selaku pegawai jabatan agama Islam, harus bertindak dengan cara baik, menunjukkan waran geledah dan bukannya bertindak memecahkan rumah orang begitu sahaja,” kata Razman.

Menurut Razman, polis yang beliau temui memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci tentang kejadian ini memandangkan bukan pertama kali kejadian seumpama ini berlaku.

“Kami bimbang sekiranya JAIS tidak memantau orang bawahan mereka, takut mereka ini menggunakan kad kuasa mereka untuk memecah masuk rumah orang, kemudian mungkin merompak.

“Kita harap JAIS akan lebih peka dengan pegawai mereka,” kata Razman.
-TMI


Mahkamah Tolak Permohonan Lynas Corporation

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin menolak permohonan Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk mendapatkan injunksi terhadap pertubuhan ‘Hentikan Lynas Selamatkan Malaysia’ (SMSL) dan lima pihak lagi daripada terus menerbitkan artikel terhadap Lynas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara mengetepikan permohonan Lynas dengan kos RM5,000.

Dalam keputusannya, Hakim O’Hara berkata mahkamah, pada peringkat ini, tidak dapat menyimpulkan sama ada kenyataan itu adalah fitnah atau sebaliknya, sehinggalah mahkamah mendengar keterangan dalam perbicaraan penuh.

Hakim mendapati kepentingan awam adalah elemen yang relevan dan bersetuju dengan hujah defendan bahawa orang ramai mempunyai hak terhadap maklumat itu.

“Keterangan afidavit di hadapan saya tidak cukup untuk menyakinkan mahkamah bahawa defendan akan gagal dalam perbicaraan,” katanya.

Dalam permohonan injunksi itu, Lynas memohon supaya defendan menarik balik artikel bertajuk ‘Civil Society Organisations Joint Statement on Lynas Issue: SMLS Malaysian NGO statement Against Lynas’ dari laman blognya sehingga kes saman itu diselesaikan.

Pada 19 April, Lynas Corporation of Sydney, Australia, dan Lynas Malaysia memfailkan saman itu terhadap SMSL Sdn Bhd dan dua pengarahnya, Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow, serta tiga sukarelawan iaitu Hang Chong Leung, Lee Chow Fong dan Ismail Abu Bakar, berhubung artikel berbaur fitnah yang disiarkan dalam laman webnya pada 22 Mac.

Selepas keputusan itu, peguam defendan, Datuk Bastian Pius Vendargon memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos bagi pengurusan kes.

Sementara itu jurucakap SMSL, Tan Bun Teet melahirkan kegembiraan ke atas keputusan mahkamah dan menyifatkan ia satu kemenangan ke atas perjuangan rakyat san SMSL menentang Lynas.

Keputusan itu turut diraikan lebih 100 penyokong terdiri daripada penduduk Kuantan dan wakil-wakil organisasi masyarakat dengan membawa sepanduk untuk menujukkan perpaduan mereka terhadap tindakan fitnah Lynas.

“Ia adalah keputusan menggembirakan semua pihak. Kami lega dengan keputusan mahkamah sekaligus membuktikan kebebasan bersuara untuk menyatakan kebimbangan kami terhadap kerajaan dalam menjaga kepentingan orang ramai dan negara,” katanya. -selangorku

Siapa Yang Terjejas Tanpa Cukai Eksais, Protonkah Atau Perut Tun?


Kereta nasional tetap murah tanpa duti eksais

SHAH ALAM - PKR menegaskan kereta buatan nasional akan tetap lebih murah berbanding kereta import, walaupun cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan duti eksais dilaksanakan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, duti eksais adalah cukai menyeluruh yang dikenakan ke atas sekumpulan barangan tanpa mengira ia dihasilkan di dalam atau di luar negeri.

“Ini bermakna, hampir semua kereta dijual oleh Proton atau Perodua, mempunyai sekurang-kurangnya 85 peratus cukai eksais dan cukai jualan,

"Perkara ini sama berlaku terhadap model-model yang dijual oleh Honda, Toyota dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sekiranya rombakanstruktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan, harga kesemua model kereta termasuk Proton, Perodua, Toyota dan Honda akan turun.

“Oleh yang demikian, harga kereta Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu model.

“Berbanding kereta- kereta lain (seperti Honda, Toyota dan lainlain) yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model secara
purata,” katanya.

Beliau berkata, PKR telah kaji secara terperinci mekanisme rombakanstruktur cukai, bagi memastikan penghapusan cukai eksais mampu diganti dengan sumber pendapatan baru.

“Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan perkara ini minggu depan," katanya.

Sebelum ini, PKR menyenaraikan janji menghapuskan cukai eksais bagi kereta yang dijual di Malaysia sebagai salah satu agenda utama dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk Pilihan Raya Umum ke–13. -SH

Perkasa: Lebih banyak wang akan mengalir ke luar jika duti eksais dimansuh

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan, sekiranya cadangan pemansuhan duti eksais kereta dilaksanakan, sepertimana cadangan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak pengeluaran wang mengalir keluar negara ekoran rakyat lebih gemar memilih kereta luar berbanding kereta nasional.

Menurut Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, keadaan itu bakal menyaksikan nasib pekerja Proton umpama telur di hujung tanduk kerana harga pembuat kereta nasional itu akan setara dengan kereta model antarabangsa.

“Alhamdulillah rakyat akan dapat membeli kereta dengan harga yang lebih murah ... tapi semurah mana?

“Kereta Proton tiada siapa nak beli sebab kereta import mewah harganya lebih kurang sama ... (dan) pekerja Proton pastinya gusar akan diberhentikan.

“Ini bakal menyaksikan wang negara terus mengalir keluar kerana rakyat akan lebih berminat untuk membeli kereta import,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Bagaimanapun, Syed Hassan menegaskan, cadangan yang diumumkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli itu juga hanyalah strategi memancing undi, kerana pilihan raya umum (PRU) ke-13 dijangka berlangsung tidak berapa lama lagi sebelum mandat Barisan Nasional (BN) tamat April depan.

“Ini semua janji adalah cubaan nak dapatkan undi untuk PRU13.

“Selama ini kita kenakan cukai tinggi kepada pembeli kereta import kerana untuk selamatkan industri kereta Nasional dan menghalang wang negara mengalir keluar ... dan itulah caranya mengenakan cukai tinggi kepada mereka yang kaya, dan kadang-kadang terlepas dari membayar cukai pendapatan,” tegasnya.

“Inilah akan jadi bila org yang tidak tahu menguruskan ekonomi menerajui kerajaan negara ini nanti,” tambahnya lagi merujuk kepada kemungkinan penjualan Proton akan merosot jika rancangan itu dilaksanakan.

“Peniaga kereta AP tersenyum tetapi kerajaan kerugian ratusan juta ringgit dari cukai kereta import.”

Beliau turut menyelar pemimpin PR yang menurutnya begitu teruja untuk menawan Putrajaya, sehingga sanggup menjanjikan pelbagai perkara.

“Dulu nak mansuh PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ... sekarang cukai eksais kereta pula.

“Mereka pemimpin Pakatan ini tak sedar ke negara ni masih status negara membangun? Belum lagi negara maju,” soalnya.

Malah, beliau turut mengingatkan rakyat betapa “kerajaan sekarang adalah kerajaan yang telah berjaya memajukan negara ini, dan oleh sebab itu pemimpin Pakatan nak belanja sakan bila memerintah.”

Syed Hassan turut mengkritik pembangkang yang kerap menjanjikan perkara percuma dan tidak mahir dalam mentadbir ekonomi negara.

“Nak hidup bawah pemimpin yang tak tahu urus ekonomi negara? Siapa yang akan salah belanja wang negara sebenarnya kalau semua nak bagi percuma kepada rakyat? ... sedangkan kita belum mencapai status negara maju lagi,” tegasnya.

“Saya nak tanya Rafizi, siapa yang buatkan negara banyak duit, seperti yang dia selalu kata banyak duit negara kerajaan habiskan. Pakatan?” soalnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, dalam kedudukan parti dalam Pakatan Rakyat, hanya PKR yang kerap menabur janji-janji, sementara PAS dan DAP lebih kerap mengambil tindakan berdiam diri.

“Dalam Pakatan Rakyat, hanya PKR sahaja yang suka berjanji. PAS ikut sahaja sebab tidak tahu apasal ekonomi, jika tidak Kelantan pasti sudah maju.

“Bijaknya DAP diam seribu bahasa berkenaan janji-janji ini ... nanti kalau memerintah mereka (akan) kata DAP tidak menjanjikan apa-apa.

“Itulah Pakatan Rakyat. Mereka berpakat untuk menipu rakyat sahaja.

“Rakyat jangan mudah terpedaya dgn janji-janji palsu mereka ni,” tambahnya lagi.
-TMI


Salleh Man Terima Surat Perlantikan Sebagai YDP MAINPP, Fitnah UMNO Terkambus

Georgetown - Kemelut isu jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp) akhirnya berakhir apabila Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Salleh Man dilantik memegang jawatan itu secara sah hari ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, pengesahan itu dibuat susulan daripada penerimaan surat daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang memperkenankan cadangan yang dikemukakan Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Alhamdulillah, kita sudah terima surat daripada pihak istana yang memperkenankan senarai perlantikan baru ahli majlis yang kita syorkan dulu. Surat bertarikh 23 Julai 2012 ini mengesahkan bahawa YDP MAINPP sekarang adalah (Datuk) Salleh Man dan timbalannya adalah Maktar Shapee berkuat kuasa serta-merta.

"Senarai lima Ex-Officio yang lain kekal namun ada tiga muka baru akan dilantik dalam lapan ahli majlis yang sedia ada,” katanya kepada media hari ini.

Jawatan berkenaan sebelum ini di sandang Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim.

“Saya harap, dengan pengumuman rasmi ini, isu ini tidak dipolitikkan dan di manipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, Salleh Man yang diminta mengulas berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi laluan kepadanya untuk menggalas jawatan berkenaan.

"Terima kasih atas laluan ini untuk saya terus melaksanakan tugas ini dan ia adalah jawatan berat untuk saya laksanakan namun saya akan laksanakan mandat Kerajaan Negeri yang diberikan ini dengan baik.

“Apa yang penting adalah sokongan daripada pelbagai pihak termasuk bekas YDP dan umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik yang turut berada di sidang media yang sama berkata, pertukaran jawatan itu adalah kesinambungan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan orang Islam serta meletakkan agama Islam pada kedudukan yang tertinggi.

“Pembaharuan ini adalah pembaharuan dalaman dan ia kesinambungan yang biasa. Saya percaya dengan pelantikan ini akan menaikkan lagi martabat umat Islam serta agama Islam itu sendiri. Saya akan memberi sepenuh kerjasama bagi memastikan Islam di Pulau Pinang terus dipelihara,” katanya. -SH

Ulasan GB

Satu demi satu isu untuk UMNO bersorak sorai memburukkan kerajaan PR di Pulau Pinang terkambus.

Perlantikan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Salleh Man sebagai YDP MAINPP menamatkan segala kritikan dan cacian puak UMNO yang menyatakan kononnya PAS dipingirkan di dalam kerajaan PR Pulau Pinang.

Sebelum ini UMNO mendakwa tindakan Kerajaan Negeri membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man dilantik untuk jawatan berkenaan menggantikan Abdul Malik Kassim dilihat cuba mencabar institusi raja.

Tetapi ternyata tuduhan itu fitnah semata-mata apabila Ustaz Salleh Man menerima watikah perlantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang bersetuju dengan rayuan kerajaan Pulau Pinang tersebut.

Merapu meraban dan meroyanlah lagi UMNO Pulau Pinang selepas ini.,



Dia Tiba Tanpa Dibentangkan Permaidani Kuning


Bicara buat seorang sultan kekasih rakyat,
berangkat hadir solat Isyak bersama rakyat,
memandu sendiri Mercedes tertera ' V محمد '

tanpa dibentang permaidani kuning,
hanya ber-Croc memakai sendiri.
Berjubah Berkopiah sederhana mungkin,
Itulah Sultan yang mengajak rakyat takutkan Allah.
Daulat Tuanku kepada الله أكبر
Muhammad V, Sultan untuk umat Islam Malaysia.

Allahuakbar Tuanku.

-fb I ♥ KELANTAN

Aiiik Baru Beberapa hari Dah Lusuh, BNM Perlu Beri Penjelasan


Wang kertas baru yang diedarkan sejak 16 Julai lalu kini dipersoalkan pula mutu kertas yang digunakan apabila didapati ia mudah lusuh dan gambar yang tertera di pemukaan kertas itu mudah hilang.

Demikian persoalan yang timbul di beberapa laman facebook.

Bank Negara Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, ciri-ciri yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara telah menjadi inspirasi dalam reka bentuk wang kertas terbaru itu.

Ia turut menampilkan teknologi wang kertas yang mengandungi ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih termasuklah imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air (watermark) dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna.

Namun dengan bukti yang ada, menjelaskan bahawa ciri kualiti tidak diambil berat oleh BNM terhadap pengeluaran wang kertas baru berkenaan.

Sebenarnya, Kaum Cina Pun Tolak BN

PRU13: Pengundi Cina tersinggung, BN sukar

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) bakal menghadapi kesukaran untuk menang majoriti dua pertiga termasuk menawan negeri pantai barat berpunca daripada undi daripada kaum Cina dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Panel, Zainon Ahmad (gambar) dari akhbar The Sun berkata, kesukaran ini berlaku akibat kelantangan pemimpin Umno dan BN yang menyatakan mereka boleh mendapat majoriti dua pertiga hanya berbekalkan undi Melayu selepas menang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Menurutnya, ini membuatkan bangsa lain tersinggung dan mengubah landskap politik negara dalam pilihan raya umum 2008 apabila BN kehilangan empat negeri.

“Parti pemerintah harus memberikan perhatian mengenai perkara ini, jika tidak ada negeri yang akan kecundang seperti Negeri Sembilan, Johor dan gagal untuk merampas semula negeri ditawan pembangkang.

“Kegagalan ini juga berpunca daripada janji BN tidak ditunaikan, kerana leka dengan kemenangan diperoleh,” katanya dalam persidangan Meja Bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) pusingan ketiga yang bertajuk ‘Dari PRU-12 ke PRU-13: BN lawan PR, Satu Penilaian’.

Sementara itu ahli panel terakhir, Prof Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat Cina sukar untuk menerima perkara berkaitan dengan perkauman ditimbulkan mana-mana pihak sama.

Katanya, bagi masyarakat itu, sistem pendidikan bahasa Cina amat dititik beratkan dan harus diberi keutamaan.

“Selama ini masyarakat beranggapan bahawa kaum Cina lebih mementingkan ekonomi daripada pelajaran dan ia tidak benar kerana bagi mereka sistem pendidikan Cina harus diberi keutamaan.

“Bagi mereka ekonomi adalah keperluan kedua, walaupun banyak pihak menyatakan kaum Cina lebih mementingkan ekonomi,” katanya.

Kok Seong berkata, perkara ketiga menjadi keutamaan kaum tersebut adalah isu berkaitan dengan perkauman.

Menurutnya, walaupun pelbagai sistem diperkenalkan oleh kerajaan yang memperuntukkan pembahagian kepada semua kaum, tetapi masyarakat Cina masih beranggapan ia tidak adil.

“Mereka beranggapan sistem yang diperkenalkan itu lebih menjurus kepada Umno kerana majoritinya bangsa Melayu yang menguasainya.

“Ini termasuk jawatan di dalam Kabinet, sistem pentadbiran negara atau apa jua jawatan yang diperkenalkan kerajaan,” katanya. -SH


BN boleh lupakan saja S'gor, kata Liong Sik

Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik meramalkan BN tidak akan dapat menawan semula Selangor dalam pilihan raya umum akan datang kerana imej bersih pemimpin Pakatan Rakyat.

Selain Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan ia telah membantu mereka membina imej yang baik, kata Ling.

"Secara umumnya, orang Cina tidak memihak kepada BN, tetapi di Perak, tidak ada pilihan lain. Di Johor, (BN) mungkin kehilangan sesetengah sokongan tetapi tidak sampai hilang (kerajaan negeri).

"Pilihan raya umum kali ini adalah amat sukar bagi BN, sangat sukar. Saya fikir BN masih boleh menang kerana kerajaan telah membelanjakan wang bawah macam-macam nama. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya dalam temubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Ramalan Ling bercanggah dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, yang berkata minggu lepas bahawa BN bukan sahaja akan memperolehi semula majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi juga akan merampas Selangor, Kedah dan Kelantan.

Selepas menerajui MCA selama 17 tahun (1986-2003), Ling - yang paling lama menjadi presiden parti itu - berpendapat bahawa penanda aras bagi BN untuk mengisytiharkan kemenangan adalah dengan mendapatkan semula majoriti dua pertiga.

Berbeza dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ling jarang mengulas mengenai politik dan hal ehwal parti itu sejak bersara daripada politik pada tahun 2003.

Ditanya pandangannya mengenai Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Ling menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang bijak dan lantang tetapi malangnya dicemari oleh skandal DVD seks.

"Saya harap orang Cina boleh memberi respons yang positif kepada usaha Chua, tetapi dia mempunyai DVD...," Ling dipetik berkata.
mk (14.5.2012)
-malaysiakini-