17 Mei 2012

Selangor Umum Pilihanraya Berasingan Selagi Daftar Pemilih Belum Dibersihkan

Shah Alam: Kerajaan negeri hanya akan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan dari unsur-unsur yang meragukan.

Dianggarkan, proses semak semula daftar pemilih melalui program ‘Selangorku Bersih’ hanya akan selesai pada pertengahan Julai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini bermaksud, masih ada kemungkinan pilihan raya bagi kerusi DNS tidak akan diadakan serentak dengan pilihanraya bagi kerusi parlimen.

Spekulasi bahawa pilihan raya umum (PRU) bagi parlimen akan diadakan pada bulan Jun ini.

Selain itu, pilihanraya selepas pertengahan tahun ini akan memberikan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengagihkan wang di dalam bajet 2012 dan Geran Selangorku.

“Lebih 400 ribu pengundi baru dan yang seratus ribu itu adalah pengundi yang dipindahkan kawasan dan projek ini dalam perlaksanaan.

“Kita rasa kita hanya dapat selesaikan pada pertengahan bulan Julai dan barulah kita buat keputusan samada kita berjumpa semula SPR tentang kesahihan daftar pengundi itu.

“Saya rasa dengan sebab-sebab ini, kalaulah pilihan raya diumumkan berlaku dalam bulan Jun sudah tentulah saya akan memberikan cadangan kepada DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat dalam pilihan raya yang diumumkan dan kita akan adakan pilihan raya yang berasingan,” kata Abdul Khalid kepada Selangor Kini.

Kempen ‘Selangorku Bersih’ yang dilancarkan bulan lepas akan menggunakan tenaga kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyemak nama di dalam daftar pengundi.

Usaha ini bagi menentukan pengundi sahih dan membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan.

Kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengenal pasti antara 40,000 hingga 300,000 pemilih yang statusnya diragui.

Antaranya termasuk pemilih yang berumur lebih dari 100 tahun dan mereka yang kad pengenalannya menunjukkan tempat lahir luar dari Malaysia.

Ada juga pemilih yang didaftar sebagai pengundi pos tetapi tidak layak untuk klasifikasi tersebut.

“Kita juga meminta ketua-ketua masyarakat mengenal pasti mereka sebab biasanya dalam penentuan tempat-tempat mengundi adalah orang yang tinggal di tempat-tempat tersebut yang diberikan kemudahan mengundi di tempat tersebut.

“Kita memang berharap rakyat Selangor diberi peluang untuk mengundi dan kita juga mahukan demokrasi ini berasaskan keadaan bertanding yang adil atau pun ‘level playing field’ supaya semua dapat kesempatan membuat pilihan yang baik,” Abdul Khalid berkata.

Selain itu Abdul Khalid berkata, kurang daripada 40 peratus daripada dana belanjawan untuk tahun ini telah diagihkan untuk projek dan program di seluruh Selangor.

“Jadi oleh sebab itu kita memerlukan masa lagi untuk melaksanakan perancangan atau penggunaan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya. -selangorku

'Rakyat Baru', 'Majlis Peguam Baru' Malah 'Sultan Baru' Pun Pernah Ditabalkan Oleh Umno Baru

Kalau rakyat baru pun kerajaan Umno boleh wujudkan, apa dihairankan kalau ia tubuh "Majlis Peguam" yang baru, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jelas berlaku di hadapan kita, bila kerajaan Umno berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang menentangnya dan tahu dia akan kecundang dalam pilihan raya ke-13 akan datang, laporan-laporan mendedahkan ia mencipta rakyat baru dengan memberikan kad pengenalan Malaysia kepada pendatang-pendatang asing dan kemudian dimasukkan di dalam daftar pemilih dengan tujuan supaya mereka mengundi Barisan Nasional (BN).

"Kalau rakyat baru pun Umno boleh wujudkan, apa yang hendak dihairankan jika ia mahu menubuhkan badan baru yang mengambil fungsi Majlis Peguam," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini membuat pengumumuman berhubung cadangan penubuhan akademi undang-undang yang "boleh menjadi alternatif" sehingga Majlis Peguam yang ada kini terbubar sendiri.

Bagi Mahfuz, semua itu berlaku kerana kerajaan gagal mengawal Majlis Peguam supaya mengikut telunjuknya.

Kerajaan Umno semakin marah dan tertekan apabila mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam baru-baru ini meluluskan usul tergempar (EGM) mengutuk keganasan polis ketika himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Dari 1,270 anggota Majlis Peguam yang hadir ke EGM itu, 939 menyokong usul tersebut dan hanya 16 orang yang menolak.

Turut sama menyuarakan kemarahan Umno, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh Majlis Peguam telah menjadi sebuah parti politik.

Mengulas lanjut apa yang disifatkannya sebagai "histeria Umno" itu, Mahfuz menyifatkan apa yang berlaku memang menjadi tabiat dan amalan parti itu.

"Tubuh benda baru memang menjadi modus operandi Umno sejak dari dulu lagi.

"Bila kira-kira 50 peratus ahli Umno memihak kepada Team B yang diketuai Tengku Razaleigh (Hamzah) pada penghujung 80-an, mereka tubuh Umno baru,"
katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz lagi, bila badan kehakiman di bawah Tun Salleh Abas tidak rela mengikut telunjuk Umno, beliau digulingkan dan diganti dengan kumpulan yang digelar "correct, correct, correct".

"Pada tahun 90an, bila Sultan Kelantan pada masa itu tidak setuju dengan Umno, mereka tabalkan sultan baru," katanya. -HD

Najib Pulang Tergesa2, Majlis Di Pekan Tak Dapat Sambutan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa pulang tergesa-gesa apabila majlis perasmian Karnival Belia Pekan yang dirasmikannya gagal mendapat sambutan.

Sasaran 10,000 kehadiran meleset dengan kira-kira hanya 5,000 sahaja ke majlis tersebut yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Merujuk Buletin Online, saksi seorang pegawai tinggi swasta dilapor berkata, Najib meninggalkan majlis sebelum sempat menjamah jamuan petang di Dewan Majlis Daerah Pekan pada 12 Mei lalu itu.

“Majlis bermula jam 3.00 petang dijangkakan kehadiran 10,000 tapi yang hadir kurang 5,000.

“Selepas perasmian dan penyampaian hadiah, PM sepatutnya bersama ke jamuan petang, tapi PM tergesa-gesa berangkat pulang,” katanya yang tidak mahu dikenali.

Beliau menyifatkan tindakan Najib itu membazir kerana meninggalkan majlis jamuan tersebut dan mungkin satu petanda BN akan tersungkur pada pilihan raya umum akan datang.

“Apa jadi jamuan yang disediakan berpuluh-puluh meja, (akhirnya) cuma tiga meja penuh iaitu satu (meja) YAB MB (Datuk Seri Adnan Yaakob), satu meja orang awam, (dan) satu (meja lagi untuk) pemberita.

“Selebihnya kosong dan yang luar dewan juga kosong,” jelasnya menambah, majlis penyerahan tajaan karnival tersebut kepada Najib juga terpaksa dibatalkan. -KD

Tak Semua Polis Jahat, Tapi Yang Ini Memang Jahat, Ambil Dadah Dalam Balai

Ipoh - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas sebagai Ketua Balai di salah sebuah daerah di negeri ini ditahan kerana disyaki memiliki dan mengambil dadah di pejabatnya, 24 April lalu.

Sebelum ini, pegawai polis berkenaan pernah berkhidmat sebagai Ketua Balai di negeri lain, tetapi dipindahkan ke negeri ini selepas mempunyai salah laku dalam tugasnya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, Inspektor berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan selepas pihaknya menemui peket kecil berisi dadah dipercayai jenis ketamin di balai berkenaan.

Menurutnya, pegawai yang sudah berkhidmat 15 tahun dalam polis itu turut didapati positif dadah jenis yang sama ketika melakukan ujian air kencing pada hari yang sama dia ditahan.

“Penangkapan pegawai tersebut membuktikan polis tidak melindungi anggota mereka yang didapati terbabit dengan jenayah.

“Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang ini sama ada anggota polis atau siapa sahaja, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, pegawai berkenaan kini dipindahkan ke bahagian pentadbiran buat sementara waktu bagi pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Ulasan GB

Di dalam hal ini kita mengucapkan syabas kepada pihak polis yang tidak memilih bulu dengan menahan anggotanya yang terlibat dengan jenayah.

Sebelum ini GB pernah mengulas mengenai kejadian jenayah yang menjadi-jadi di kalangan anggota polis:

Inilah senario yang hodoh berlaku di dalam KDN & PDRM.

Kejadian jenayah menjadi-jadi di kalangan anggota PDRM kerana ada menteri yang membelanya - bahawa bilangan anggota polis yang melakukan jenayah adalah kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya.

Sindrom memberikan alasan sedemikian amat-amat tidak wajar kerana ia persis menggalakkan lagi perbuatan jenayah dan salahlaku polis yang sepatutnya bertindak membenteras jenayah - tetapi kini, mereka sebenarnya penjenayah.

Di dalam kes seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. Petikan:

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?

Sekali lagi ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.

Kini rakyat masih menunggu dan AMAT BERHARAP polis-polis yang mengganas semasa perhimpunan BERSIH 3.0 tempohari ditahan dan dibawa ke muka pengadilan!

Keganasan Polis: BERSIH Gesa Suhakam Siasat & Bertindak

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menubuhkan panel siasatan bebas dan terbuka ke atas pencabulan hak asasi oleh polis sewaktu perhimpunan 28 April lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan BERSIH kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum tersebut, pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga berkata, keganasan yang dilakukan polis semasa perhimpunan tersebut merupakan tindakan paling buruk setakat ini.

"Pencabulan hak asasi sehingga ke tahap ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kita mengetahui kebenaran dan keadilan buat semua mangsa," katanya ketika membaca satu kenyataan.

Mengulas mengenai dakwaan tindakan ganas polis ke atas peserta perhimpunan yang menyerah diri kepada pasukan itu, Ambiga berkata perbuatan seperti itu hanya akan memburukkan keadaan.

Tambahnya, sehingga kini polis hanya mengumumkan senarai 141 orang yang dikehendaki tetapi tidak mendedahkan nama dalam senarai itu.

Ramai yang masih tidak tahu sekiranya nama mereka juga termasuk dalam senarai tersebut, katanya lagi kepada pemberita.

Dipukul lepas serah diri

Dalam pertemuan sama, BERSIH melalui peguam Lawyers for Liberty (LFL) turut menggesa Suhakam campur tangan dalam isu berkenaan.

Peguam LFL, Fadiah Nadwa Fikri, memaklumkan kepada Suhakam mengenai kes melibatkan seorang peserta perhimpunan, Mohd Safuan Mamat, 25 tahun yang mendakwa dipukul dengan getah hos air supaya mengaku bersalah selepas menyerah diri 14 Mei lalu.

"Ini amat merisaukan kerana polis sudah mula memburu mereka yang disenaraikan ini," kata Fadiah kepada pemberita.


Katanya, badan peguam itu bimbang polis akan menangkap orang ramai tanpa ditemani peguam sewaktu ditahan dan menerima nasib seperti Mohd Safuan.

Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam yang menerima memorandum itu memberi jaminan Suhakam akan menelitinya dan menemui BERSIH dalam masa seminggu.

"Kami akan meneliti memorandum ini dan memaklumkan orang ramai.

"Kami juga akan menghubungi Ketua Polis Negara untuk tindakan susulan berkaitan akses (peguam) kepada mereka yang ditahan," katanya. -mk



Aspan Alias: Politik UMNO Tidak Boleh Lari Dari Bontot & Punggung

UMNO: Tak payah guna kepala, sekarang guna punggung pula

Saya berasa geli hati dengan gelagat UMNO yang kian hari kian memalukan. Pagi semalam sekumpulan penyokong parti itu telah berbaris di hadapan kediaman Ambiga, Pengerusi Bersih, dengan menonggeng dan menunjukkan bontot pada rumah Ambiga. UMNO sudah menjadi parti lawak dan telah benar-benar jatuh martabatnya dengan sikap yang ditunjukkan oleh penyokong tegarnya itu.

Kemasukan saya ke dalam DAP dahulu disambut oleh seorang dua sebagai tindakan politik bangkrap. Tetapi sebenarnya apa yang berlaku semalam itu merupakan betul-betul politik bangkrap yang tidak ada tolok bandingnya.

Nampaknya politik UMNO ini tidak lagi boleh lari dari bontot dan punggung, sejak 14 tahun yang lalu. Sudah tidak terlarat untuk membesarkan isu bontot dan punggung. Saiful, sekarang mereka memanjangkan lagi perjuangan berlandaskan pada bontot dan punggung.

Dalam kesemua 213 negara yang berkerajaan di dunia ini, Malaysialah yang parti pemerintahnya mempertahankan kuasa dengan menggunakan bontot dan punggung dan ini amat memalukan. Saya tidak tahu bagaimanakah perasaan mereka-mereka ini semasa melakukan kerja keji ini.

Malah nampaknya mereka berbangga melakukannya. Masa demi masa UMNO melakukan kerja-kerja yang tidak menunjukkan tamadun yang asas sebagai rakyat sebuah negara yang mengaku sebagai negara sedang membangun yang termasyhur di dunia ini. Melakukan kerja menonggeng terhadap rumah Ambiga itu merupakan kerja sia-sia dan ianya amat mengerikan untuk memberikan mandat kepada parti yang sudah bangkrap politiknya.

Tidak beberapa lama dahulu UMNO telah mengejutkan rakyat dengan tindakan penyokongnya menghantar kek berbentuk tahi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Apabila politik BN sudah sampai ke tahap ini, bagaimana sesetengah pemimpin UMNO masih mengaku bahawa parti itu boleh mempertahankan maruah Melayu dan menjaga Agama Islam, agama anutan kesemua orang Melayu itu.

Mengapa UMNO sanggup melakukan kerja-kerja yang tidak semenggah ini, tetapi begitu marah apabila parti itu dikritik dan tidak mendapat sokongan orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam? Apa Islamnya dengan tindakan sekumpulan manusia yang hidup pada zaman ini melakukan ‘exercise punggung’ di hadapan rumah Ambiga?

Inikah mentaliti yang berjanji untuk membawa transformasi kepada negara dalam segala bidang sedangkan penyokong kepada kepimpinan yang ada pada hari semalam telah menunjukkan sikap kuno dan menjijikkan. Berapakah upah yang mereka terima untuk melakukan itu tidak dapat dipastikan tetapi yang pasti UMNO sudah bangkrap dan saya jangka masih ada yang mempertahankan kerja itu sebagai kerja mulia dan perlu untuk menyambung kuasa politik UMNO dan BN itu.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanalah masyarakat antarabangsa memandang terhadap kita semua. Sekolot-kolot negara-negara Afrika tidak ada kejadian seburuk dan sehina ini berlaku dalam politik mereka.

UMNO memang sah sebagai sebuah parti yang sudah hilang hidayah kerana mereka berbangga dengan melakukan kerja-kerja yang memalukan ini. Tidak pernah terfikir yang UMNO sudah jatuh sedemikian rendah darjat dan martabatnya.

Sesungguhnya kelemahan yang sedang dihadapi oleh UMNO ini berpunca dari kelemahan UMNO itu sendiri. UMNO sudah menjadi parti yang penuh dengan kekalutan dan marilah kita bertindak dan berdoa agar selepas pilihanraya ini nanti tidak akan ada lagi kejadian-kejadian sehina ini lagi berlaku dalam politik negara kita lagi.

Ianya amat memalukan kita semua. Kadang-kadang kesian juga melihat UMNO ini. Tapi sudah tidak dapat lagi berbuat apa-apa kerana ia sudah terlalu jauh tersasar dari sasaran perjuangan. Hilang agama, hilang budaya dan hilang adab serta adat Melayunya.

Melayu telah hilang segala identitinya. Itulah sumbangan terbesar UMNO terhadap bangsanya.
-aspanalias

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Mari Mari Mari - NGO Edar Tosai Percuma Depan Rumah Timbalan KPN

Tosai Percuma di luar rumah timbalan IGP

Mula-mula burger, kemudian senaman punggung... dan Ahad ini tosai pula.

Mengambil kata-kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, sekumpulan NGO vokal India memutuskan untuk menyajikan tosai percuma di luar rumahnya di Ampang, dari jam 10 pagi hari berkenaan

Setiausaha WargaAMAN, S Barathidasan berkata, NGO-NGO tersebut akan bertemu malam ini untuk membincangkan mengenai persiapannya.

Bagaimanapun, Barathidasan menegaskan ia bukan satu protes, atau ada sebarang kaitan dengan 'protes burger' di depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga minggu lalu.

"Ini sebenarnya satu kempen kesedaran. Tosai adalah makanan yang sihat dan sajian sarapan bagi masyarakat India. Kami mahu mempromosinya," katanya ketika dihubungi.

Kumpulan itu memilih untuk membuka gerai di luar rumah Khalid di Taman Bukit Teratai Khalid kerana mereka "menghormati" beliau.

"Beliau telah berkata bahawa gerai boleh dibuka di hadapan rumah orang dan kami menghormati apa yang beliau katakan".


Barathidasan menambah bahawa kumpulan itu akan memohon permit dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk gerai tersebut, dan mungkin meneruskannya juga walaupun ia ditolak.

"Kita hanya mahu beri orang ramai sarapan yang sihat. Kami tidak menjual apa-apa," katanya. -mk

Ulasan GB

Seringkali GB bertanya di blog ini, apabila polis tidak dihormati lagi, salah siapa sebenarnya?

Polis perlu merenung sendiri kesalahan sendiri sebelum menuding ke arah orang lain.

Apabila polis gagal untuk berkhidmat secara adil, saksama dan tanpa diskriminasi, tindakan keterlaluan dan zalim mereka itu akan hanya menyebabkan rakyat bertambah benci terhadap mereka.

Itu hukum kebenaran dan keadilan.

Dan "kos sebenar" terhadap kezaliaman polis itu akan ditanggung oleh UMNO BN di peti undi semasa pilihanraya nanti.

Memang benar kata Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu sebelum ini:

Bersih 3.0 mati: Hisham, timbalan KPN merapu

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dulu dia dakwa tiada bukti wujud unsur pecah amanah dalam projek ternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC), sekarang dakwa pula polis ada bukti unsur-unsur mahu kematian dalam perhimpunan Bersih 3.0.

Demikian jawapan serta merta Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu apabila diminta mengulas tentang dakwaan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengenai perkara itu ketika beliau menyokong dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin sebelum itu mendakwa, terdapat unsur-unsur semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang mahu menyebabkan kematian.

"Dulu polis itu (Khalid) kata tak ada bukti berlaku pecah amanah dalam projek NFC. Tak lama selepas itu (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed) Nazri (Abd Aziz) beritahu kita berlaku kes pecah amanah bila National Feedlot Corporation (NFCorp) langgar syarat pinjaman.

"Dulu menteri itu (Hishammuddin) kata rampas kamera wartawan ikut garis panduan operasi polis (SOP). Tak berapa hari lepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) terpaksa betulkan kenyataan itu dan kata rampas kamera wartawan bukan SOP," kata Mohamad.

Bagi beliau, dua peristiwa itu sudah cukup untuk memberitahu rakyat sama ada cakap kedua-duanya boleh dipercayai atau tidak.

"Menteri itu banyak sangat bercakap merapu. Elok sangat kalau dia pergi dapatkan rawatan professional," katanya.

Sebelum perhimpunan Bersih 3.0 dan ketika dia menjangka perhimpunan itu tidak mendapat sambutan, kata Mohamad, Menteri Dalam Negeri kata himpunan Bersih 3.0 bukan ancaman keselamatan.

"Bila kerajaan Umno terkejut dengan kehadiran ratusan ribu rakyat dan mereka kucar-kacirkan perhimpunan aman itu, menteri itu tuduh pula saya dan (Ahli Jawatankuasa Bersih) Hishamudin Rais ajak anak-anak muda yang berhimpun malam sebelumnya supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.

"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka.

"Dia dan Umno tak habis-habis cakap merapu sebab mereka macam cacing kepanasan," katanya.
-HD


Isu Haram Jadah: Najib Tak Sedar Beliau Yang Bakal Terima Padah

Rata-rata rakyat menyifatkan makian "haram jadah" Najib kepada rakyatnya amat keterlaluan dan hanya akan memberi padah kepada Najib sendiri.

Najib dalam ucapannya di Majlis Sejahtera Peneroka bersama Perdana Menteri di Jengka 8 juga berkata dirinya tidak redha dan tidak rela pembangkang mengambil ‘durian runtuh’ RM15,000 itu selepas cuba menghalang penyenaraian FGVHB.

“Haram jadah mereka tu. Jangan terima kebaikan daripada penyenaraian (FGVHB). Saya nak tengok muka-muka mereka ni terima durian runtuh. Haram jadah,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengulas Najib sepatutnya bertindak adil terhadap peneroka kerana semuanya berhak menerima ‘durian runtuh’ selepas tanah mereka dicagarkan untuk penyenaraian FGVHB.

“Ini hak peneroka, tanah peneroka, apa isunya nak maki hamun…eh duit siapa ni? Cara ucapannya memang tak nampak langsung Perdana Menteri punya material,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, perkataan ‘haram jadah’ yang digunakan Najib langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin, apatah lagi negarawan yang baik.

“Najib sangat terdesak dan panik dengan kebangkitan peneroka yang menuntut hak mereka hingga sanggup mencerca peneroka Felda.

“Ramai peneroka marah dengan kata-katanya. Adakah orang seperti ini masih mahu dipertahankan?,” katanya

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman kepimpinan Anak Negeri Johor telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulai,terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Kata Mazlan, ia ekoran ucapan Najib ketika mengumumkan 'Durian Runtuh' di Felda Jengka 8 di Pahang pada 8 Mei lalu.

Beliau berkata, ‘haram jadah’ dalam kamus DBP bermaksud 'Anak Luar Nikah' dan ia sangat bertentangan prinsip Rukunegara- Kesopanan dan Kesusilaan'; apatah lagi ajaran Islam yang menekankan ketinggian akhlak dan moral, lebih-lebih lagi pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan rakyat.

“Laporan polis mendesak PM menarik balik ucapannya dan meminta maaf secara terbuka kerana golongan yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia terlalu ramai,” ujarnya.

GB pernah menyatakan bahawa: Najib telah memulakan sesuatu yang tidak baik maka hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya, sesuatu yang tidak baik itulah bakal menimpa Najib semula. You get back what you give.

Apabila Najib memaki rakyatnya iaitu sesetengah peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, itu tanda-tanda akan berakhirnya tempoh Najib sebagai PM Malaysia... Percayalah!

Di dalam konteks masyarakat melayu ia dinamakan "buang tabiat".

Gejala buang tabiat lazimnya berlaku di saat-saat akhir kehidupan seseorang.

Najib telah gagal dengan ujian sepertimana seorang bapa memaki hamun lantaran gagal menghadapi rencamnya karenah anak-anak sendiri. Pendek umur ayah sedemikian kerana tidak berupaya menguruskan stress.


Seorang pengkomen di blog GB memberi komennya:

Aduhai Najib...mu satu orang kata HARAM JADAH kepada 1000 peneroka...maka 1000 peneroka akan kata HARAM JADAH kepada mu seorang...fikir fikirkan lah..!!

Kita sekadar ingin mengingat dan menyedarkan Najib agar jangan keterlaluan melalui peristiwa betapa Allah itu Maha Tinggi dan Maha Berkuasa, dan kita juga ingin mendengar kot-kot ada penafian dari Najib mengenainya atau jika ada pengakuan Najib bahawa beliau tidak takut dengan peringatanNya itu.

Najib Terkena Cacar Balik Dari Hanoi

PM dinasihatkan berehat selepas tanda awal cacar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar berehat di kediaman dan mengelakkan daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar.

Penasihat media beliau, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, dalam kenyataan kepada Bernama menyatakan bahawa Perdana Menteri mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

"Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan.

Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

"Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," katanya.
- BERNAMA 1/11/2010


Najib Dan Rosmah Kemalangan Di Senawang

Kereta yang dinaiki oleh Dato Seri najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Senawang, Ayer Keroh. Kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di tepi lebuhraya tersebut. Jangan salah faham ya..

Ini kisah yang berlaku pada tahun 1988 semasa Dato Seri Najib menjawat Jawatan Menteri Belia Dan Sukan. Sekadar mengimbau sejarah yang ramai tidak mengetahuinya.





Ini bukan fitnah! Kita sekadar mengingatkan kepada mereka yang lupa. Jangan sampai nanti kamu-kamu menuduh rakyat tidak pernah menegurmu dan menuduh Allah tidak pernah menurunkan peringatanNya.


Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azab-Nya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu). [asy-Syura 42: 47-48]


Bagi yang belum tonton/dengar Najib mengharam-jadahkan peneroka, sila lihat video di bawah: