6 Apr 2012

Perompak Pecah Masuk Rumah Kerabat Sultan, Mercedes & Barang Berharga Dilarikan

Dua lelaki memecah masuk rumah mewah tiga tingkat kerabat Sultan Selangor di Bukti Tunku di sini, hari ini dan melarikan sebuah kereta Mercedes Benz dan barangan berharga.

Gambar: KEDIAMAN adinda Sultan Selangor yang dimasuki dua perompak di Taman Duta, hari ini. Perompak melarikan sebuah kereta mewah, Mercedes Benz dan barangan berharga. - Foto Khairull Azry Bidin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu, dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang bersenjatakan pisau telah memecah masuk rumah berkenaan melalui tingkap depan.

Beliau berkata, mereka kemudian mengurung empat pembantu rumah, termasuk dua pembantu rumah lelaki yang diikat di dalam sebuah bilik.

"Semasa kejadian, kesemua ahli keluarga kerabat Diraja Selangor itu tiada di rumah kerana mereka berada di luar negara. Hanya pembantu-pembantu rumah sahaja yang menjaga rumah itu. Mereka tidak dicederakan,” katanya dalam satu pesanan ringkas kepada Bernama hari ini.

Beliau turut mengesahkan seorang lelaki ditahan beberapa jam sejurus kejadian itu untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sumber polis yang ditemui di rumah itu memberitahu siasatan awal polis mendapati tingkat dua dan tiga rumah itu telah digeledah dua lelaki itu berdasarkan banyak kesan cap jari ditemui.

Katanya polis masih menjalankan siasatan dan rumah berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV). — BERNAMA

Ulasan GB

Cakap GB tak mahu percaya: Negara Malaysia Paling Selamat!

"Rakyat Tiada Pilihan Lain" - TERAS & GMI Turut Sokong BERS✔H 3.0

Shah Alam : Rakyat di negara ini tidak mempunyai pilihan selain menyertai BERSIH 3.0 sebagai suatu suara sepadu rakyat selain memberi tekanan kepada kerajaan supaya di adakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Selama ini peranan yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mewujudkan pilihanraya yang adil telah gagal dilaksanakan kerana terdapat banyak campurtangan politik di pihak kerajaan Umno-BN.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, Perhimpunan Bersih 3.0 ini amat relevan dilaksanakan kerana Malaysia adalah negara demokrasi dan rakyat menuntut suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih daripada segala penyelewengan.

“Malaysia telah dalam proses untuk menjadi sebuah negara yang demokrasi dan sudah tentunya mahukan sistem yang terbaik dalam pilihanraya kerana pilihanraya adalah satu rukun dalam konsep demokrasi,” ujar Azmi ketika di hubungi MediaSelangor.

Selain itu katanya, Bersih 3.0 diharap memberi kesan yang diharapkan dan diambil perhatian yang serius oleh Kerajaan Pusat dan SPR kerana sudah banyak hal-hal membuktikan adanya perkara yang tidak lancar dan penyelewengan yang akan mencacatkan pilihanraya akan datang.

Pada 28 April ini BERSIH 3.0 akan di adakan di Dataran Merdeka yang bermotokan “Duduk dan Bantah” yang akan diketuai Sastrawan Negera, A Samad Said.

Berhubung himpunan BERSIH 3.0, Azmi berkata kerajaan dan SPR seharusnya lebih peka dengan tuntutan dan kehendak rakyat dan bukannya menghukum rakyat yang mahukan perubahan dan ketelusan dalam pilihanraya.

“Pengundi muda yang mempunyai akses maklumat yang lebih terperinci akan menjadi tunjang BERSIH 3.0 kerana mereka mahukan undi mereka dihormati dan bersih dari segala penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

“Kita mendapat maklumbalas dari pengundi-pengundi muda yang mahukan suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih kerana terdapat banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan oleh SPR,” jelas Azmi.

BERSIH 3.0 dilancarkan ekoran kegagalan laporan jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya yang didakwa tidak menunjukkan komitmen untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih seperti mana yang dituntut BERSIH 2.0 sebelum ini.

BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lalu menuntut lapan perkara. Antaranya: membersihkan sistem pilihan raya, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor. -selangorku

GMI juga sertai Bersih 3.0

KUALA LUMPUR, 6 April: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) juga akan menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini sebagai tanda solidariti kepada reformasi pilihan raya.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun lapan tuntutan Bersih 3.0 semuanya berkaitan pilihan raya dan tiada kaitan dengan desakan memansuhkan ISA, namun ianya harus disokong ke arah kerajaan yang bersih.

"Bersih 3.0 memang ada tuntutan yang khusus. Tapi kami akan turun sebagai solidariti, sebagai tanda setiakawan kita kepada Bersih 3.0.

"Isu pilihan raya tetap ada kaitan dengan GMI dan mereka ini adalah orang-orang yang menyokong gerakan anti ISA," kata beliau ketika ditemui di pejabat Suhakam hari ini.

Syed Ibrahim juga berkata, GMI tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran sekali lagi jika kerajaan tidak mengotakan janji untuk memansuhkan ISA.

"Kalau hendak menuntut kerajaan mansuhkan ISA, kami akan adakan himpunan berasingan dan khusus mengenai ISA.

"Kami berkemungkinan besar akan mengadakan himpunan sekali lagi jika kerajaan masih meneruskan ISA," katanya.

Beliau sebelum ini menyerahkan memorandum kepada Suhakam bagi membantah sikap kerajaan yang melengah-lengahkan pemansuhan ISA.

"Kami berharap Suhakam dapat memberi tekanan kepada kerajaan agar segera mengotakan janji untuk memansuhkan ISA kerana kami percaya suara Suhakam masih didengar," katanya.
-HD


Gaduh Rebut Teman Wanita

Sungai Dua - Hanya kerana berebut seorang remaja perempuan bawah umur, empat sahabat baik yang tinggal di Kampung Tok Adam sanggup bergaduh di sini, semalam.

Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan empat sahabat itu terpaksa bermalam dalam lokap polis selepas ditahan malah bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk kemungkinan meringkuk di penjara dan didenda jika didapati bersalah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner, Zulkifli Alias berkata, remaja yang ditangkap itu berusia antara 15 hingga 19 tahun dan pergaduhan dipercayai bermula sekitar jam 10 malam semalam.

“Kejadian membabitkan dua remaja berkenaan berlaku di kawasan kampung itu pada mulanya hanya membabitkan cabar mencabar mulut apabila seorang remaja tidak berpuas hati terhadap sikap seorang rakannya yang ingin berebut teman wanitanya.

“Rakan remaja itu kemudiannya mencabar teman lelaki remaja perempuan bawah umur itu beradu kekuatan untuk membuktikan kejantanan mereka dalam usaha memikat hati remaja perempuan itu,
” katanya.

Zulkifli berkata, pergaduhan yang berlaku kemudiannya merebak melibatkan campur tangan dua rakan masing-masing hingga memaksa penduduk kampung berkenaan cuba meleraikan mereka.

“Kita dimaklumkan penduduk kampung berkenaan berkaitan pergaduhan itu sebelum sepasukan pegawai polis dihantar menahan remaja terbabit.

“Bagaimanapun pergaduhan antara pasangan remaja itu tidak melibatkan penggunaan sejata berbahaya dan sebaik tiba di lokasi kejadian pihak kita berjaya menahan mereka,” katanya.

Menurutnya, empat remaja terbabit kini direman selama tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab semasa empat remaja terbabit dibawa ke mahkamah semalam.

Ada Ular Dalam Kokpit Pesawat

Canberra - Seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan Air Frontier menemukan ular di dalam ruangan kokpit pesawat semasa di udara. Akhirnya, juruterbang tersebut memutuskan untuk kembali mendaratkan pesawat itu di Australia.

"Juruterbangnya itu seorang yang mempunyai keperibadian tenang sehingga ular tersebut tidak terlalu membuatnya panik dan atau bahkan malah membahayakan dirinya di atas sana," ujar Pengarah Air Frontier Geoff Hunt seperti dikutip Emirates 247, Khamis (5/4/2012).

"Saat pesawat mendarat, reptilia melata itu merayap cepat keluar pesawat. Tidak ada seorang pun yang dapat menangkapnya dan juga belum sempat diketahui spsesiesnya," tambahnya.

Kejadian itu mengingatkan kita pada filem yang diterbitkan tahun 2006 dengan judul 'Snakes on a Plane' dimana seorang pilot menemukan ular di dalam pesawat.

Sesaat pesawat itu mendarat, pawang ular langsung dipanggil untuk mengatasi ular tersebut. Namun, ular tersebut hilang ketika pesawat sudah mendarat. Sementara spesies ular itu pun tidak diketahui. -okezone

[DEDAH] Tiru Tandatangan Untuk Daftar Sebagai Pengundi Pos

PAS Selangor akan mendedahkan satu lagi cubaan jahat Umno-BN dalam memanipulasi daftar pemilih dalam kempen mereka untuk menawan kembali Selangor pada Pilihanraya Umum akan datang.

Taktik terbaru adalah mendaftarkan isteri tentera sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata ia dilakukan dengan meniru tanda tangan isteri-isteri tentera di dalam borang-borang khusus bagi mendaftar mereka sebagai pengundi pos.

“Ini berlaku di dalam kem, secara khusus yang dapat saya dedahkan sedikit hari ini ialah kem di Paya Jaras.

“Usaha ini melibatkan pegawai tentera. Bila kita panggil saksi dalam pendengaran perbicaraan rang daftar pemilih, saksi itu mengakui bahawa pemohon tidak pernah menandatangani borang permohonan.

“Tetapi nama mereka tersenarai dalam rang daftar pemilih”, jelasnya di dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Khairuddin menambah, usaha tersebut bergiat aktif di dalam kem tentera dan bertujuan meninggkatkan jumlah pengundi pos di Selangor.

Khairuddin berkata bukti terperinci tentang usaha itu akan didedahkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, PAS Selangor telah mempersoalkan pertambahan mendadak pengundi yang bertukar alamat mengundi mereka daripada tempat lain ke Parlimen dan Dun di Selangor.

Antara kes yang dikenalpasti adalah penduduk Sabah yang mempunyai kod kad pengenalan ’12′. Kebanyakan mereka ditukarkan ke Parlimen Kota Raja yang dimenangi PAS pada 2008.

Selain itu, PAS Selangor turut membantah tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang melanggar peraturan dengan mendaftarkan seramai 303 anggota pasukan latihan pegawai simpanan (PALAPES) Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pengundi pos. -selangorku

[Video] Beri IC Kepada Warga Asing: PAS Desak Suruhanjaya Siasatan Duitubuhkan

PAS mahu RCI ditubuhkan siasat sindiket proses IC kepada warga asing

KUALA LUMPUR, 5 April — PAS mendesak Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja siasatan (RCI) menyiasat kewujudan sindiket dianggotai pegawai kerajaan yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi.

Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa dan ia akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan negara.

Jelas beliau, pihaknya telah mengenalpasti lokasi memproses kad pengenalan dan pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

“Kami menyokong Ahli Parlimen Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) tentang wujudnya sindiket pegawai peringkat tertinggi kerajaan untuk menukar kad pengenalan merah kepada biru,” katanya pada sidang media di sini.

“Jika kerajaan tidak ambil tindakan kita akan dedahkan lagi, tempat proses kad pengenalan dan tempat serahkan juga kita tahu. Ia sindiket yang besar untuk daftarkan warga asing jadi pengundi.”

Semalam Mahfuz, yang juga Naib Presiden PAS, mendedahkan wujud “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.

Mahfuz mendakwa “task force” itu diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar serta beberapa pegawai lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun Wan Ahmad menafikan dakwaan itu.

Jelas Mohamad, daftar pemilih akan menjadi lebih kotor sekiranya pentadbiran Najib tidak mengambil tindakan segera dengan membentuk RCI bagi menyiasat perkara itu.

“Oleh itu kami tuntut daftar pemilih dibersihkan dan suruhanjaya diraja siasatan dibentuk untuk menyiasat,” katanya.

“Daftar pemilih bukan semakin bersih tapi semakin kotor, sebab itu kita mahu suruhanjaya ditubuhkan untuk siasat... pilihan raya boleh tangguh kerana kita ada masa sehingga Mac. -TMI



Mahfuz ajak sertai gerakan Anti Pemalsuan IC


KUALA LUMPUR, 6 April: Perbuatan memalsukan kerakyatan pendatang asing adalah pengkhianatan yang membahayakan keselamatan dan keamanan negara, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Yang lebih jijik ialah pengkhianatan itu dilakukan oleh parti yang memerintah kerana pembangkang tidak mungkin dapat melakukan perkara itu," katanya.

Serentak dengan itu, beliau mengajak parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini menyertai gerakan Anti Pemalsuan IC (API) bagi menentang pengkhianatan yang dilihat sebagai usaha terdesak untuk mengekalkan cengkaman kuasa Umno ke atas negara ini.

"Saya menggesa semua parti politik dan NGO di seluruh negara yang mahu menyelamatkan negara ini dari ancaman pengkhianatan yang dilihat umum sebagai didalangi oleh Umno itu supaya menyertai PAS dan Pakatan Rakyat menggerakkan API.

"Saya menggesa semua parti politik dan NGO termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasok. Momogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah)," katanya.

Dengan penyertaan pelbagai pihak di dalam API, Mahfuz yakin usaha menyelamatkan negara dari ancaman pengkhianatan tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengulangi gesaannya ketika berucap di Dewan Rakyat Rabu lalu supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat tindakan memberikan kerakyatan kepada pendatang asing untuk membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional (BN).

Mahfuz menuntut penubuhan suruhanjaya diraja itu ketika meminta penjelasan dari kerajaan tentang pendedahan wujudnya satu task force khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memberikan kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN.

"Jika kerajaan jujur, suruhan jaya diraja itu mesti ditubuhkan segera sebelum pilihan raya.

"Mesti ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk nak pastikan supaya pembersihan terhadap daftar pemilih, supaya tidak ada warga asing yang diberikan taraf kerakyatan mereka untuk membolehkan mereka membuang undi dan menentukan masa depan negara kita ini," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan khianat memberikan kerakyatan kepada warga asing itu sebagai perbuatan "menjual negara kita ini kepada rakyat asing untuk semata-mata bagi kepentingan politik pihak kerajaan BN".

Sebab itulah, tegas beliau, suruhanjaya diraja tersebut perlu diwujudkan bagi memastikan bahawa keselamatan masa depan negara terjamin.

"Keselamatan negara kita ini mestilah bermula daripada proses demokrasi dalam negara kita ini - iaitu yang menentukan hala tuju masa depan negara kita ini ialah rakyat di dalam negara kita sendiri dan bukannya rakyat asing yang diberikan taraf kerakyatan," tegas Mahfuz lagi.
-HD




Mangkuk Yang Bernama Isa Saidi Itu Seorang Muflis Rupanya

Ketua Penerangan’ KEADILAN Ampang muflis, terlibat pecah amanah

KUALA LUMPUR 4 April: Mohd. Isa Mohd. Saidi yang mengaku sebagai Ketua Penerangan Cabang Ampang dan mendesak Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali untuk keluar parti sebenarnya bukan lagi ahli KEADILAN sejak 26 Mac lalu.

Ia dinyatakan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang, pada sidang medianya semalam.

Menurut Zuraida, Mohd Isa digugurkan daripada jawatannya selepas didapati muflis dan juga pernah dikaitkan dengan jenayah pecah amanah (CBT) sebelum ini.

“Penguguran jawatan ini berdasarkan beberapa laporan polis ke atasnya berkaitan jenayah pecah amanah (criminal breach of trust).

“Beliau juga muflis, tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti. Bukti muflis diperolehi menerusi carian rasmi di Jabatan Insolvensi Malaysia bertarikh 10 Januari 2012,” kata Zuraida pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN Parlimen Ampang.

Dua laporan pecah amanah pada 28 Mei dan 4 Jun 2011 terhadap Isa dilaporkan seorang pengadu, Siti Zaleha Kauzi berhubung deposit dan sewa kedai di ‘Food Court Station Ampang Waterfront’, masing-masing berjumlah RM1,000 dan RM6,500.

“Sejak makluman penguguran, Isa yang baru menyertai KEADILAN pada 27 Jun 2010 terlibat dalam beberapa perjumpaan dengan pemimpin Umno. Cabang Ampang tidak terperanjat dan telah menjangkakan tindakan beliau.

Manakala Tan Hua Meng yang turut bersama dalam sidang media semalam merupakan Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang tidak disambung khidmatnya penggal ini,” ujar Zuraida.

Beliau menegaskan, cabaran dan desakan Isa terhadap Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali merupakan ulang tayang agenda hitam dan fitnah jahat Umno sejak 1998.

Zuraida juga tidak menolak kemungkinan sidang media yang diadakan di Hotel Crown Plaza semalam didalangi Umno yang berniat jahat untuk melihat KEADILAN kucar-kacir.

“Ini hotel empat bintang. Tak mustahil ia ditaja oleh orang-orang tertentu.


“Cabang Ampang mengalu-alukan sekumpulan ahli yang kecewa untuk keluar bagi membersihkan parti daripada unsur khianat dan duri dalam daging,” tegas Zuraida.

Turut hadir pada sidang media Ketua Penerangan KEADILAN Ampang yang baru, Hamsah Djabir, wakil ADUN Bukit Antarabangsa, Razali Ramli dan kira-kira 30 ahli. -KD



Ahli PKR minta Azmin keluar parti

KUALA LUMPUR - Sekumpulan ahli PKR termasuk masih memegang jawatan di peringkat cabang mengugut untuk keluar parti jika timbalan presiden parti itu, Azmin Ali gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai dakwaan pemilikan saham oleh beliau dan isterinya yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.

Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd Isa Saidi (gambar) yang mengetuai kumpulan itu berkata, Azmin tidak boleh lagi berdolak-dalik mengenai isu itu sebaliknya perlu memberikan penjelasan yang meyakinkan semua ahli bahawa beliau tidak bersalah.

“Buat masa ini, kami masih percaya beliau tidak bersalah, tetapi Azmin sendiri perlulah tampil buat penjelasan yang benar-benar memuaskan hati kami sebagai ahli bawahan yang mahu terus menghormatinya sebagai pemimpin kami. Jika dia sendiri tidak dapat jawab dakwaan itu, ia akan menggugat kepercayaan pengundi terhadap parti, termasuk ahli PKR sendiri.

“Ini yang kami tidak mahu kerana isu ini boleh menjejaskan parti terutama dalam keadaan kita nak hadapi pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd Isa, jika Azmin masih tidak mahu menjawab isu itu secara telus, adalah lebih baik jika beliau keluar sahaja daripada PKR.

“Jika dia tak mahu keluar, kami sendiri yang akan keluar,” tegasnya pada satu sidang media yang turut disertai sekumpulan pemimpin akar umbi parti itu di sini, semalam.

Mohd Isa berkata, jika sememangnya beliau tidak bersalah, tiada apa perlu ditakutkan Azmin untuk menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai.

“Kalau tidak betul apa dikatakan itu, beliau boleh saman pihak berkenaan. Kami akan sokong jika dia berani bertindak,” katanya.

Timbalan ketua penerangan cabang, HM Tan pula berkata, Azmin perlu bertindak sebagaimana dimahukan ahli parti bagi buktikan kewibawaan dan integritinya sebagai pemimpin.

“Apa yang kita perlu utamakan ialah sokongan rakyat kepada perjuangan PKR. Sebab itu nilai ketelusan perlu ada dalam parti,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Jalur Tiga, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, mendesak Azmin menjelaskan sumber kewangan­nya ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 dan bagaimana beliau mampu memiliki saham bernilai jutaan ringgit.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
-SH


Ulasan GB

Kan dah labuh muka...

Tak pasal-pasal jadi pak hangguk untuk dapat sedikit habuan.

[Video] Apa Sudah Jadi? Bekas Dekan "Terkahwin" Dengan Seorang Lelaki

Setahun tertipu

KUALA LUMPUR: Selepas setahun melayari bahtera perkahwinan, barulah si suami mengesyaki isteri ketiganya, pengusaha butik kecantikan adalah seorang lelaki.

Ini menyebabkan bekas dekan di sebuah institusi pengajian tinggi awam, Dr Bahrom Sanugi, 61, memfailkan faraq (membubarkan perkahwinan) dengan Sri Wani Choo Abdullah, 37.

Peguam Syarie, Muhammad Hafiz Ab Rashid yang mewakili Bahrom memberitahu wartawan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, Bahrom selaku plaintif memfailkan permohonan faraq itu pada 17 Januari 2011 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Katanya, anak guamnya juga hanya menyedari dia mengahwini seorang lelaki pada penghujung 2010 iaitu setahun selepas mereka berkahwin di Songkhla, Thailand, 19 Ogos 2009.

Anak guamnya turut mempunyai bukti, termasuk sijil lahir serta nombor kad pengenalan Sri Wani yang menyatakan dia adalah lelaki berdasarkan nombor terakhir iaitu nombor ganjil. -hm

BINCANG...Sri Wani ketika hadir ke prosiding mahkamah, semalam.




Suami dakwa isteri seorang lelaki


BAHROM yang curiga dengan status isteri, Sri Wani bawa kes ke mahkamah syariah.

KUALA LUMPUR - Terkejut dan tertipu! Itulah reaksi seorang bekas dekan sebuah universiti awam selepas menyedari isteri ketiga yang dinikahinya selama setahun di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009 rupa-rupanya seorang lelaki yang menyerupai wanita.

Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan Fakulti Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak.

Semasa pernikahan ketiga berlangsung, Bahrom masih memegang jawatan dekan USIM.

Lanjutan aduan itu, pejabat agama pada 23 November 2010 mengarahkan Bahrom dan isterinya, Sri Wani Choo Abdullah, 37, seorang pengusaha butik kecantikan supaya berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.

Pasangan itu juga difahamkan sempat mendapatkan sijil nikah palsu di Kedah sejurus mereka berkahwin di Songkhla untuk mengesahkan pernikahan tersebut.

Difahamkan, jabatan agama dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih menyiasat mengenai status jantina Sri Wani.

Bagi segera menyelesaikan kemelut itu, Bahrom yang diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid kemudian memfailkan permohonan faraq (memisahkan perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini terhadap Sri Wani pada 17 Januari 2011.

Susulan itu, Bahrom membuat permohonan pada 18 Januari lalu supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan jantina sebenar Sri Wani.
-kosmo

Syabas Kelantan: Pertumbuhan Kelantan Lebih Pesat Mengatasi KDNK Negara

Kota Bharu, 5 April: Negeri Kelantan yang ditohmah sebagai sebuah negeri yang termiskin di negara ini, sebenarnya lebih maju dari apa yang disangkakan.

Gambar: Takiyudin menyaksikan pertukaan dokumen perjanjian antara MPKB-BRI dengan Sentosa Jaya.

Malah pertumbuhan KDNK Kelantan telah mengatasi pertumbuhan KDNK negara bagi dua tahun berturut-turut, iaitu 8.1 peratus (berbanding negara 6.2 peratus) pada tahun 2007 dan 6.9 peratus (berbanding negara 4.1 peratus) pada 2008.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Fauzi Mat, berkata demikian ketika berucap pada majlis perjanjian persefahaman pembinaan apartmen 25 tingkat antara MPKB-BRI dengan pengusaha Sentosa Jaya Development Sdn Bhd, disebuah hotel tengahari tadi.

Majlis perjanjian itu yang diwakili beliau bagi pihak MPKB-BRI dan Sentosa Jaya oleh Pengarah Urusannya, Datuk Razali Daud, disaksikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Projek yang dibina di atas tapak Pasar Kubang Kerian itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan, sebagaimana mengikut perjanjian.

Menurutnya, pencapaian itu berlaku kerana kepesatan ekonomi dan pembangunan yang berlaku di negeri itu.

“Pada tahun ini juga, MPKB-BRI mensasarkan pendapatan sebanyak RM100 juta berbanding sebelumnya yang tidak begitu menepati sasaran.

“Menurutnya,sumber pendapatan tersebut melalui pulangan pelaburan projek usahasama MPKB-BRI dengan swasta,”ujarnya. -HD


Tapak pasar diganti dengan apartmen 25 tingkat

KOTA BHARU, 5 April: Lot 1910 Seksyen 54, yang dahulunya terdapat sebuah pasar yang dikenali Pasar Kubang Kerian, bakal berubah wajah apabila satu unit apartmen 25 tingkat yang bernilai RM115 juta siap kelak.

Gambar: Takiyudin melihat model apartmen yang akan dibina

Projek berkenaan diurus Syarikat Sentosa Jaya Development Sdn Bhd dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Sehubungan itu, majlis perjanjian usahasama itu masing-masing ditandatangani Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat dan Pengarah Urusan Syarikat Sentosa Jaya Development Sdn Bhd, Datuk Razali Daud.

Menyaksikan majlis perjanjian usahasama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, yang mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apartment ini mengandungi 321 unit rumah kediaman, 11 unit pejabat, 10 unit kedai perniagaan, satu unit surau, satu unid dewan serbaguna, kolam renang dan kawasan riadah.

Projek ini dijangka menarik perhatian masyarakat di negeri itu memandangkan kedudukannya yang begitu strategik dengan kadar harga yang berpatutan antara RM160,000 hingga lebih RM300,000.

Fauzi ketika berucap pada majlis itu memberitahu melalui pembangunan projek pusat komersial itu, MPKB-BRI bakal memperolehi pulangan langsung pelaburan RM5.17 juta.

“Keuntungan itu diperolehi dari projek RM3.87 juta dan bayaran in-kind secara tunai bagi pembinaan pasar baru sebanyak RM1.3 juta,”ujarnya.

Selain itu, tambahnya MPKB-BRI turut mendapat pulangan tidak langsung sebanyak RM433,000 setahun. -HD


Ulasan GB

Ia mengesahkan lagi bahawa PM, Datuk Seri Najib Razak memang seorang PENDUSTA apabila beliau menyatakan Kelantan negeri termiskin. Dan terkutuklah kepada akhbar media perdana yang mmengutuk negeri Kelantan kononnya sebagai negeri termiskin di negara ini.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Kes Task Force Beri IC Serupa Kes Lembu NFC, Lagi Dinafi Lagi Banyak Terdedah Nanti

Mahfuz pertahan dakwaan 'task force' wujud

KUALA LUMPUR, 5 April: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan dakwaanya wujud task force dalam masa yang sama beliau bersedia mendedahkan butiran terperinci kepada Suruhanjaya Diraja nanti.

Beliau juga bersedia membantu Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk untuk meneliti semua dakwaannya berhubung wujudnya 'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Bahkan beliau sudah menjangka akan ada penafian oleh individu-individu yang dinamakannya semalam, antaranya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Saya sudah menjangka mereka yang saya sebut semalam akan menafikan. Penafian mereka membuktikan dakwaan saya benar. Mereka boleh menafikan, biar Suruhanjaya Diraja menjawab," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Hari ini, Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mahfuz, bahawa beliau terlibat dalam 'task force' yang didakwa memberi kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi.

Wan Ahmad menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.

Mahfuz menegaskan Wan Ahmad hanya menafikan beliau tidak terlibat bukannya menafikan wujudnya 'task force' sebagaimana yang didakwanya semalam.

Malah dalam masa yang sama katanya, Wan Ahmad juga tidak menafikan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

Bersandarkan kenyataan itu, Mahfuz menyifatkan Wan Ahmad bersama-sama dengan beliau menyedari kewujudan pendaftaran warga asing dalam daftar pemilih.

"Saya minta beliau duduk bersama saya (tubuh Suruhanjaya DiRaja) dengan segera," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar.

"Saya tidak tahu apa-apa," kata Thajudeen Abdul Wahab. -HD




Mahfuz reka 'cerita karut jahat', kata SPR

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, bahawa beliau terlibat dalam 'pasukan petugas' yang didakwa memberi kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Wan Ahmad berkata Mahfuz, yang menamakan beliau dalam satu sidang akhbar semalam, telah sengaja mengheretnya ke dalam "cerita karut" rekaannya yang bertujuan untuk "merosakkan integriti SPR".

Wan Ahmad menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.

Sebaliknya, kata Wan Ahmad, beliau tidak tahu tentang tuduhan terhadapnya itu.

"Dia sengaja mengaitkan nama saya, timbalan pengerusi SPR, dalam cerita rekaannya itu untuk modal politik bertujuan untuk mengaitkan SPR dalam aktiviti sedemikian.

"Objektifnya untuk merosak integriti dan kredibiliti SPE sebagai badan bebas dan berkecuali di bawah Perlembagaan," kata Wan Omar.

Katanya, beliau akan mendapatkan nasihat penasihat undang-undang suruhanjaya itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Wan Ahmad adalah antara lapan individu yang dinamakan oleh Mahfuz sebagai sebahagian daripada anggota pasukan petugas yang didakwanya itu.

Yang lainnya yang didakwa oleh Mahfuz - nama mereka tidak disiarkan oleh Malaysiakini sementara menunggu komen mereka - adalah pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Seorang lagi yang turut dinamakan adalah seorang pembantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
-mk


Ulasan GB

Sudah dijangka, Timbalan Pengerusi SPR menafikan. Begitu juga dengan nama-nama lain yang disebutkan oleh mahfuz. Malah pagi ini GB kata, Najib pun akan menafikan.

Tetapi mengikut hukum kebenaran dan keadilan, penafian seseorang tidak semestinya tertegaknya sebuah kebenaran.

Sama seperti kes Teoh Beng Hock dahulu. SPRM yang terlibat secara terus di dalam kes berkenaan menafikan anggotanya bertindak kasar sehingga menyebabkan Teoh terbunuh. Malah sejak hari kejadian, belum sebarang siasatan dimulakan, direka cerita Teoh terjun bunuh diri dari bangunan! Sehinggalah Suruhanjaya Diraja dibentuk akhirnya pekung SPRM sendiri terdedah satu demi satu.

Dalam kes lembu NFC pula. Suami Sharizat panggil sidang media menafikan. Pada peringkat awalnya, semua pemimpin UMNO termasuk Najib sendiri menafikan. NFC pula mengugut membawa pihak yang mendedahkan kes itu disaman di mahkamah. Namun apabila hukum kebenaran dan keadilan berjalan, Shahrizat letak jawatan dan suaminya diheret ke muka pengadilan.

Kini di dalam kes Unit Tindakan Khas pemberian IC kepada warga asing. Wan Ahmad menafikannya. Sama macam Sahahrizat, apabila pekung kes lembu terdedah, dihelahkan dengan berkata Pakatan hendak menyerang Wanita UMNO. Di dalam kes pemberian IC ini, Wan Ahmad berhelah dengan menyatakan ia hendak merosak integriti dan kredibiliti SPE sebagai badan bebas dan berkecuali di bawah Perlembagaan.

Kita yakin jika Wan Ahmad berani untuk membawa kes ini ke mahkamah, lagi banyak salahlaku dan penyelewengannya di dalam SPR bakal terdedah. Itu hukum kebenaran dan keadilan.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kebenaran dan keadilan itu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan!

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً وَقُلْ جَاء الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً

Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca