23 Feb 2012

Apabila Si Jahil Tentang Islam Mahu Bercakap Tentang Bai'ah

Bai'ah: Nik Aziz nafi 'tohmahan' Tun Mahathir

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menafikan tanggapan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menegaskan, partinya tidak pernah memaksa ahli-ahlinya taksub kepada pemimpin-pemimpin parti itu.

Malah kata beliau, kenyataan Dr Mahathir juga memberi satu tanggapan yang salah mengenai dasar dan perjuangan Pas.

"Semalam Dr. Mahathir ada komen mengenai bai'ah yang diamalkan oleh Pas. Ia semacam mentohmahkan cara bai'ah Pas sebagai ketaksuban kepada pemimpin tidak kepada Allah SWT.

"Sebenarnya, Pas tidak mengamal sebegitu. Pas mengajar ahli dan pemimpinnya berbai'ah tetap kepada Allah dan Rasul serta kepatuhan kepada rukun berjamaah, bukannya pemimpin," kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook.

Sehubungan itu kata beliau, jelas sekali Dr. Mahathir sudah tersasar dalam menterjemahkan Pas sebagai sebuah gerakan politik Islam yang meletakkan akidah perjuangan Islam sebagai keutamaan.

SU Agung Pas: Bai’ah kaedah perjuangan Islam

SHAH ALAM – Bai’ah bukan perkara baru dalam Pas malah ia syarat yang menjadi kaedah perjuangan Islam untuk mengelak berlakunya penyelewengan dalam kalangan pemimpin setelah mendapat kuasa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, bai’ah telah menjadi kepentingan dalam Pas dan dipraktikkan setelah seseorang dilantik menjadi calon dalam pilihan raya.

“Selama ini memang Pas praktikkan bai’ah. Setiap calon wajib berbai’ah Hanya individu yang telah dicalonkan sahaja dibenarkan berbaiah, belum jadi calon tidak boleh bai’ah.

“Anggapan bahawa bai’ah suatu tindakan tidak wajar adalah tidak tepat kerana ia bertujuan memberi syarat kepada seorang pemimpin untuk menunaikan janji mempertahankan Islam, tidak menyeleweng perintah ALLAH dan Rasul,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustafa bagaimanapun memberitahu tidak mengetahui kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan media arus perdana semalam berhubung bai’ah bagi calon Pas yang akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

“Perkara yang dimaksudkan itu benar, tetapi saya tidak dengar apa-apa kenyataan daripada Datuk Seri Abdul Hadi berhubung perkara ini kerana belum tiba masanya untuk mereka (calon) berbaiah,” katanya.

Ditanya mengenai kesan sekiranya melanggar bai’ah, Mustafa berkata, setakat ini perkara demikian belum berlaku dan tidak boleh memutuskan sama ada Pas akan memecat individu berkenaan atau sebaliknya.

“Jika seseorang langgar sumpah (bai’ah), dia sendiri yang akan tahu kesan yang akan menimpanya. Saya belum dapat putuskan sama ada Pas akan pecat dari parti atau tidak,” katanya.

Sambil mengulas bahawa Umno tidak pernah menerima kaedah bai’ah kerana parti itu dianggap tidak memperjuangkan Islam, Mustafa menyifatkan kebelakangan ini, bai’ah dilihat sebagai keperluan kepada parti lawannya itu.

“Kalau tidak masakan Najib (Datuk Seri) menyebut perkataan bai’ah ketika konvensyen mereka yang terakhir. Mungkin dia rasa bai’ah pun dah jadi satu keperluan kepada dia dan Umno,”
katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, sekiranya mengingkari pengakuan itu, akan celaka dunia dan akhirat.

Beliau juga menyifatkan bai’ah sebagai satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat dari bersumpah.


Ulasan GB

Sikap Mahathir terhadap bai'ah menjelaskan bahawa beliau amat jahil mengenai Islam.

Wahai Mahathir, mari sini ku kuliahkan kepada kamu serba sedikit tentang bai'ah.

Dalam Islam Bai`ah bermaksud berjanji untuk taat kepada pemimpin. Bai`ah sememangnya wujud dalam amalan Islam. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud “Bahawasanya mereka yang memberi bai`ah kepada kamu, sesungguhnya mereka memberi bai`ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggar (bai`ah), sesungguhnya (akibat) melanggar bai`ah akan menimpa dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang menunaikan apa yang dia janjikan kepada Allah, maka Dia akan memberinya ganjaran yang besar.” (Surah Al-Fath, ayat 10)

Sikap setia dan patuh yang tidak berbelah bagi perlu diamalkan, sama ada dalam perkara yang disukai atau tidak, susah atau senang, selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran agama dan peraturan yang mendasari dasar sesebuah negara.

Berkaitan dengan perkara tersebut, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud “Diwajibkan ke atas orang Islam itu dengar dan taat (kepada pemimpin) dalam perkara yang disukainya dan dalam perkara yang dibencinya, kecuali ia diperintah melakukan maksiat.” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sejarah Islam telah menceritakan bagaimana sebelum berhijrah ke Yathrib, baginda Rasulullah SAW telah dikunjungi oleh penduduk Yathrib sebanyak dua kali dan kedua-duanya melibatkan ikrar taat mereka yang disebut sebagai bai’ah. Bai’ah al-Aqabah yang pertama dikenali sebagai Bai’at-an Nisa’.

Bai’ah ini lebih menjuruskan kepada persetujuan dan janji untuk menjaga dan mempertahankan keamanan di Yathrib. Seramai 12 orang penduduk Yathrib yang terdiri dari 10 orang suku kaum Khazraj dan 2 orang suku kaum Aus terlibat dengan ikrar ini didepan Rasulullah SAW. Mereka berjanji untuk tidak menyekutukan Allah, tidak mencuri, tidak membunuh anak, tidak berbohong, tidak memfitnah dan lain-lain.

Bai’ah Aqabah kedua yang diadakan pada tahun 13 selepas kerasulan Nabi disebut sebagai Bai’at-al-Haub yang mana penduduk Yathrib berjanji dan berikrar akan melindungi dan mempertahankan Nabi serta umat Islam sepertimana mereka melindungi keluarga mereka sendiri.

Sementara bai’ah khas terhadap Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Thaqifah Bani Saadah berlaku selepas kewafatan Rasulullah. Kewafatan Rasulullah SAW pada bulan Rabiulawal tahun 11 Hijrah amat dirasai oleh umat Islam dan mereka merasakan betapa besarnya musibah yang sedang menimpa mereka. Walau bagaimanapun Sayidina Abu Bakar terus keluar dan berkata kepada umat Islam di dalam kata-katanya yang masyhur “ Wahai manusia sesiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah “ .

Seterusnya beliau membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Lalu umat Islam kembali kepada kewarasan mereka yang asal dan melihat siapakah yang bakal mengganti Nabi SAW dengan menuju ke serambi Bani Saadah bagi memilih Abu Bakar as-Siddiq RA sebagai Khalifah. Bai’ah ini di namakan sebagai Bai’ah Khas.

Bai’ah am bagi pelantikan Abu Bakar As-Siddiq r.a menjadi khalifah di masjid Nabi s.a.w: Adapun bai’ah umum berlaku ketika umat Islam berhimpun di Masjid Nabawi di Madinah. Sayidina Umar bin al-Khattab RA bangun serta menggesa orang ramai agar melakukan bai’ah terhadap Abu Bakar as-Siddiq atas kedudukan Abu Bakar salah seorang yang paling hampir dengan Baginda Rasulullah SAW dan merupakan salah seorang pelopor dari kalangan para sahabat dan amat erat dengan Rasulullah SAW.

Lantaran itu umat Islam menyokong cadangan Umar mereka telah melakukan bai’ah terhadap Abu Bakar sebagai khalifah dan bermula dari masa dan ketika itulah Saidina Abu Bakar As-Siddiq secara rasmi menjadi Khalifah bagi umat islam yang pertama.

Itulah yang tidak diketahui dan difahami oleh Mahathir! Dia menyangka kepimpinan tidak ada pertanggungjawabnya kepada Allah, maka sebab itu dia berkata tidak perlu baiah.

Sebab itu juga semasa UMNO berkuasa, tiada baiah yang mengikat mereka, maka itu lahirlah pemimpin-pemimpin yang tidak takut kepada Allah, melakukan penyalahgunaan kuasa, menipu rakyat, rasuah dan penyelewengan yang pelbagai rupa.

Namun merela alpa dan lupa, kesemuanya itu akan tetap menerima hukuman dari Allah swt jua.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Najib Diselar Sisihkan MB & KM Negeri Pakatan Rakyat Untuk Mesyuarat Kali Ke 114

PPulau MB, KM Pakatan, Najib tak profesional, kata Khalid

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 di Putrajaya pada Selasa lalu tanpa membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat dianggap amat tidak professional.

Sehubungan itu, menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mesyuarat berkenaan sewajarnya dinamakan sahaja Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN.

“Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri Pakatan Rakyat tidak dipanggil menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Putrajaya pada Selasa lalu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor menyeru Perdana Menteri untuk membuat satu penjelasan kepada media bahawa mesyuarat tersebut adalah sebenarnya Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN,” katanya dalam satu kenytaan media hari ini.

Sambil membidas Najib kerana mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam membincangkan kebajikan rakyat, Abdul Khalid berkata sikap perdana menteri hanya membuktikan bahawa konsep 1Malaysia yang dipromosikan hanyalah sekadar gimik politik.

“Adalah amat tidak professional untuk Perdana Menteri mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat yang membincangkan kebajikan rakyat.

“Apatah lagi rakyat dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menyumbang lebih dari setengah hasil ekonomi Malaysia,” katanya sambil menambah tindakan Najib itu juga memberi kesan buruk kepada proses transformasi yang ingin dilakukan.

Mesyuarat Selasa lalu itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta beberapa menteri kabinet.

Ia lazimnya digunakan bagi menyelaras pentadbiran antara negeri-negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit. -mk

PM pamer sikap hipokrasi

PETALING JAYA: Keengganan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengundang Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri Pakatan Rakyat menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke 114 memperlihatkan sikap hipokrasinya.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini, mesyuarat itu dipengerusikan sendiri oleh Najib di Putrajaya pada Selasa lalu.

Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri Selangor menyeru Perdana Menteri untuk membuat satu penjelasan kepada media bahawa mesyuarat tersebut adalah sebenarnya Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional.

“Adalah amat tidak professional untuk Perdana Menteri mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat yang membincangkan kebajikan rakyat.

“Apatah lagi rakyat dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menyumbang lebih dari setengah hasil ekonomi Malaysia.

“Sikap beliau ini bukan sahaja membuktikan bahawa konsep 1Malaysia yang dipromosikan hanyalah sekadar gimik politik tetapi ia juga memberi kesan buruk kepada proses transformasi yang ingin beliau lakukan,” katanya.
-FMT


Ulasan GB

Ia adalah satu pengkhianatan terhadap konsep federalisma.

Apa yang dilakukan oleh Najib dengan tidak memanggil sama MB & KM dari negeri Pakatan Rakyat untuk mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 adalah pembelakangan terhadap demokrasi dan ternyata BN cuma menyisihkan MB & KM dari negeri-negeri tersebut.

Tidak mengapa. Jika begitu tindakan Najib menggunakan kuasanya, maka akan lebih cepat kerajaan beliau akan tercampak keluar dari Putrajaya. Kerana hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya bahawa: BN sudah tidak layak untuk menerajui Kerajaan "Persekutuan" apabila bertindak secara tidak adil dan tidak profesyenal serta membelakangkan konsep "PERSEKUTUAN".

Gadis Diculik Setelah Tersalah Naik Komuter

Padah salah naik komuter

SHAH ALAM - Akibat tersalah naik komuter, seorang remaja berusia 16 tahun bukan sahaja dilarikan lebih sejam, malah turut diikat dan dikurung dalam sebuah rumah terbiar, kira-kira 50 meter dari Stesen Komuter Pelabuhan Klang, 10 Februari lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aisha (bukan nama sebenar) berkata, sebelum kejadian, dia serta rakannya Aida (bukan nama sebenar), 15, baru pulang dari sekolah dan merancang ke Jeram, Kuala Selangor untuk bertemu rakan sekolah lama mereka.

Setelah bertemu dengan rakan lama, dia dan Aida kemudiannya ke Stesen Komuter Klang untuk pulang ke Shah Alam, namun tersalah naik komuter yang menuju ke Pelabuhan Klang.

Aisha berkata, mereka hanya menyedari tersalah menaiki komuter setelah tiba di stesen Pelabuhan Klang. Menurut Aisha, mereka berpakat menunaikan solat Mahgrib di surau stesen tersebut terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke Shah Alam.

“Kami berpecah. Saya ke tandas manakala Aida terus ke surau. Apabila keluar dari tandas, tiba-tiba mulut saya ditekup, sebelum ditarik ke belakang tandas oleh seorang lelaki berpakaian hitam, serta memakai topeng ski.

“Saya sangat terkejut tapi tak sempat buat apa-apa. Saya cuba untuk lepaskan diri tetapi lelaki itu sangat kuat dan tak mampu untuk melawan,” katanya.

Katanya, keadaan terlalu gelap dan dia diheret melalui jalan kecil yang sunyi menuju ke sebuah perumahan flat berdekatan.

“Lelaki itu mengurung saya dalam sebuah bilik kosong serta ikat kedua-dua tangan dan kaki sebelum menyeluk poket baju sekolah dan merampas telefon bimbit,” kata anak tunggal perempuan dari empat beradik itu.

Aisha berkata, lelaki terbabit seperti menaip sesuatu melalui telefon bimbitnya, sebelum mencampakkan telefon serta pisau atas almari lama di bilik berkenaan.

“Saya cuba untuk lepaskan diri dan berjaya buka ikatan tali di tangan serta kaki. Saya sangat panik dan bertindak mengambil telefon bimbit serta padamkan semua nombor yang disimpan, sebelum terdengar bunyi tapak kasut. Saya terus berlari sekuat hati, keluar dari situ dan menuju ke stesen komuter,” katanya.

Menurutnya, apabila sampai di stesen itu, dia nampak Aida mundar-mandir dalam keadaan bingung, lalu terus menarik tangan rakannya itu dan masuk ke komuter yang kebetulan baru tiba di stesen tersebut.

“Saya menangis sambil menceritakan apa yang berlaku kepada Aida. Pada masa sama, ketika komuter sudah bergerak untuk ke Shah Alam, saya seperti ternampak kelibat penculik itu berdiri di sebelah tandas stesen seolah-olah sedang mencari-cari saya.

“Tidak lama kemudian, ibu menghubungi telefon bimbit Aida untuk bertanyakan sama ada sudah menemui saya atau belum. Saya sangat lega sebab masih dapat bercakap dengan ibu kerana langsung tidak terfikir akan selamat,” katanya yang mengakui masih teringat-ingat serta bermimpi buruk ekoran kejadian tersebut. -SH

Pasangan Dicekup Kali Kedua

Batu Pahat – Sepasang kekasih yang pernah dicekup berkhalwat di daerah ini Januari lalu, dicekup buat kali kedua di sebuah hotel murah di sini, petang semalam.

Pasangan masing-masing berusia 40-an itu dicekup sepasukan penguat kuasa Agama Daerah Batu Pahat yang melakukan serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang tidur dan terdapat seorang bayi tidur bersebelahan mereka.

“Ketika disoal penguat kuasa, mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan suami isteri atau hubungan mahram.

“Hasil siasatan mendapati bayi tersebut yang berusia dua minggu itu dipercayai adalah bayi hasil hubungan terlarang pasangan terbabit yang dibawa untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang akan menyangka mereka ini adalah suami isteri,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit yang sebelum ini sarat mengandung langsung tidak dapat dihidu keluarganya yang hanya mengetahui perkara tersebut selepas mereka diberkas.

“Berdasarkan rekod, ini adalah tangkapan kedua mem­­babitkan pasangan itu di mana serbuan menyasarkan hotel bajet di sini.

“Ketika ditahan pertama kali, wanita terbabit sedang sarat mengandung dipercayai hasil hubungan terlarang mereka,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, difahamkan lelaki terbabit sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, namun kini dalam proses penceraian berikutan ingin mengahwini kekasih hatinya itu.

“Pasangan terbabit yang merupakan warga tempatan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

[Bergambar & Video] Protes Bakar Al-Quran Di Afghanistan, 6 Terbunuh

6 terbunuh protes bakar al-Quran di Afghanistan

KABUL - Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera di Afghanistan berikutan protes berhubung insiden membuang dan membakar kitab suci al-Quran di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) Bagram, utara Kabul.

Beberapa naskhah dilaporkan dibakar, Isnin lalu.

Menurut laporan BBC, seorang terbunuh di Kabul, seorang lagi di bandar raya timur Jalalabad dan sekurang-kurangnya empat orang di wilayah Parwan.

Pegawai-pegawai AS memohon maaf kelmarin atas kejadian secara tidak senjaga meletakkan al-Quran dalam alat membakar di pangkalan udara itu.

Pegawai-pegawai di Bagram dilaporkan mengesyaki banduan Taliban menggunakan al-Quran untuk menghantar mesej antara satu sama lain.

Beberapa naskhah dengan kesan bakar ditemui oleh pekerja-pekerja tempatan.

Protes yang bermula di Bagram tersebar ke seluruh Afghanistan.

Protes yang serupa pernah diadakan tahun lalu ekoran tindakan seorang pastor dari Florida membakar kitab suci orang Islam itu.










Wajah Imam Hosnan Yang Membaling Kasut Kepada Panel Hakim Mahkamah Persekutuan

Imam 'BERSIH' baling kasut ke arah hakim

Seorang imam yang diusir dari kuarters kediamannya atas dakwaan masalah disiplin bertindak membaling kasutnya ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kejadian sekitar jam 10 pagi itu berlaku apabila Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin menolak permohonannya supaya diberi kebenaran membuat rayuan.

Ini berikutan bantahan yang dibangkitkan oleh peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Zulkifli Che Yong bahawa afidavit imam itu difailkan di luar dari masa yang ditetapkan.

Imam berkenaan, Hoslan Hussain, yang tidak diwakili berdiri di barisan meja berhampiran pegawai pendakwa raya dan peguam semasa permohonan itu.

Difahamkan Hoslan merayu kepada Hakim Zulkefli supaya berlembut dan membenarkan permohonannya itu tetapi tetapi hakim dilaporkan mahkamah terpaksa membenarkan bantahan kerana ia mengikut undang-undang.

Hakim Zulkefli cuba menenangkan Hoslan tetapi beliau dikatakan tidak mahu mendengar alasan berkenaan tetapi sebaliknya mencampakkan kasutnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripda mereka.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama pagi ini adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari.

Berikutan kejadian ini, polis yang mengendalikan perbicaraan mahkamah memegang Hoslan dan cuba menenangkan beliau.

Adalah difahamkan bahawa ahli panel tiga hakim tidak membuat apa-apa perintah berhubung tindakannya yang menghina mahkamah itu.

Demi keadlilan

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Hoslan berkata, rungutannya bukan tentang pengusiran, tetapi demi keadilan, kerana beliau telah membangkitkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan tabung di Masjid Ar Rahimah dan isu-isu berkaitan tidak dilayan.

Beliau mendakwa banyak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pihak polis berhubung dakwaan penyalahgunaan berkenaan, tetapi tiada tindakan.

Malah, dakwanya, Umno turut terbabit menggunakan MAIWP untuk menyingkirkannya.

Menurut Hoslan, beliau menjadi imam rawatib sejak tahun 2005 dan sebelum itu, beliau merupakan bilal di masjid berkenaan.

Katanya, beliau tidak diwakili peguam dalam semua kes mahkamah, bukan kerana beliau tidak mampu, tetapi kerana MAIWP telah menggantung gajinya.


Hoslan juga mengaku menjadi penyokong kuat pembangkang, terutama PAS, dan berkata beliau turut membantu pada setiap kempen pilihan raya kecil yang disertai parti itu.

Ketika kemuncak BERSIH 2,0 tahun lalu, katanya, khutbah Jumaat di masjidnya menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan.

Namun, sebaik mendengar khutbah itu Hoslan berkata, beliau mengangkat jubahnya sebagai protes di hadapan jemaah, untuk menunjukkan baju-T BERSIH yang dipakainya. -mk

Ulasan GB

Panel 3 hakim mahkamah Persekutuan yang bersidang sepatutnya tidak terlalu rigid dengan hanya mendengar pendakwa raya semata-mata kerana bantahan itu mengikut undang-undang.

Sebagai mahkamah tertinggi di dalam institusi kehakiman, rayuan yang ingin dikemukakan oleh Imam Hoslan berkenaan adalah "peluang terakhir" baginya untuk membuat rayuan dan demi kebenaran dan keadilan, panel hakim sebaik-baiknya berlembut dan mendengar rayuan tertuduh.

Namun tindakan para hakim berkenaan yang rigid menjadikan yang tertuduh tidak dapat mengemukakan rayuannya lalu hilang sabar dan bertindak membaling kasutnya dengan tidak lagi mengindahkan apa pun risiko yang bakal dihadapinya.

Peristiwa di atas sepatutnya membuka mata dan memeri pengajaran kepada para hakim di negara ini.

Bekas Banduan Geletar Mengaku Rogol Adik Kandung

Kuala Terengganu - Seorang bekas banduan menggeletar ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan merogol dan mengugut adik kandungnya dengan pedang, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Fadilah Nor Wan Idris di sini hari ini.

Tertuduh yang melakukan kesalahan sumbang mahram itu selepas dua hari dibebaskan daripada penjara akibat kesalahan dadah, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan bagi kedua-dua kesalahan itu.

Dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol dan penjara setahun bagi kesalahan mengugut tetapi perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas Hakim Wan Fadilah Nor memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan.

Terdahulu, tertuduh yang berumur 37 tahun hanya tunduk dan mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor.

Dalam keadaan menggeletar, dia kemudiannya mengaku salah. Dia didakwa telah secara paksa merogol adik perempuannya yang berumur 24 tahun di belakang sebuah rumah di Kuala Besut pada 10.30 malam, 10 Februari lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah mengugut mangsa dengan sebilah pedang dengan tujuan menakutkan mangsa supaya tidak membuat laporan polis bersabit kejadian itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohd Nazri. - Bernama


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




PANAS: Laporan Polis Oleh Jurusolek Dakwa Dicabul Pemimpin BN

Jurusolek dakwa dicabul pemimpin MCA

MCA kini berdepan dengan satu lagi skandal yang melibatkan pemimpinnya, kali ini Ng Tian Poh (gambar), ahli jawatankuasa Perhubungan MCA Perak. Ng Tian Poh dituduh mencabul seorang jurusolek bernama Ng Sook Mei pada 30 Disember 2010, dan isu ini menjadi hangat di dunia internet, baru-baru ini.

Ibu pejabat polis daerah Ipoh telah mengesahkan kepada MerdekaReview, bahawa satu surat telah dikeluarkan untuk memaklumkan Ng Sook Mei bahawa polis telah menjalankan siasatan rapi terhadap aduan beliau, malah tangkapan telah dibuat ke atas Ng Tian Poh, yang disyaki terlibat dalam kes ini.

Bagaimanapun, Ng Tian Poh ketika dihubungi MerdekaReview, menafikan dirinya telah ditangkap. Ng Tian Poh bagaimanapun mengakui dirinya pernah disiasat sekali sahaja pada tahun 2010. Ng Tian Poh enggan mengulas apabila wartawan menyusul dengan soalan sama ada beliau mencabul wanita tersebut.

Dalam aduan polis oleh Ng Sook Mei pada 31 Disember 2010, Ng Tian Poh dituduh memasukkan tangan ke dalam baju Sook Mei, meraba buah dadanya dan membuka kancing baju dalamnya. Sook Mei, 29 ketika itu, menolaknya tetapi Ng Tian Poh terus memasukkan tangan ke dalam seluar pendeknya. Seorang kawannya, Ranjit yang berada bersama mereka ketika itu, di Ipoh Royal Club menolong Sook Mei untuk membebaskan diri dari terus dicabul Ng Tian Poh.

Ng Sook Mei memanggil sidang media pada 17 Februari 2012 untuk menjelaskan apa yang berlaku pada malam itu. Beliau bersama teman lelakinya berada di tempat kejadian semasa pencabulan berlaku. Mereka pergi ke Ipoh Royal Club atas undangan kawan, dan diperkenalkan kepada Ng Tian Poh. Ng Sook Mei dan teman lelakinya hanya tahu identiti Ng Tian Poh selepas kad namanya dihulurkan kepada mereka. Bagaimanapun, ketika pencabulan berlaku, teman lelaki Ng Sook Mei tidak terdaya untuk berbuat apa-apa, setelah mengambil minuman keras yang diberikan kawannya. Begitu juga dengan Ng Sook Mei yang merasakan tubuhnya hilang tenaga.

Beberapa akhbar Cina membuat liputan untuk sidang media itu, tidak menyebut "pemimpin MCA" sebagai orang yang disyaki terlibat, melainkan Oriental Daily dan Guang Ming Daily yang menyebut "pemimpin MCA" dalam laporannya. Menurut teman lelaki Ng Sook Mei, terdapat sesetengah pihak yang berlatarbelakangkan parti politik pernah memujuk agar tidak dibuat aduan polis, dan menawarkan wang kepadanya agar kes ini "diselesaikan". Bagaimanapun, beliau menolak tawaran tersebut.

Peguam Ng Sook Mei, iaitu Leong Cheok Keng (gambar kanan) turut berkata dalam sidang media itu, bahawa pihak polis pernah mendakwa pihaknya memiliki rakaman video kejadian tersebut, lantas mempertikaikan mengapa tindakan tidak diambil sehingga hari ini. Leong berkata beliau pernah menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Polis Negara Ismail Omar, Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negara bagi pihak anak guamannya, menyeru agar pihak berkenaan memandang serius kes ini, menurut laporan. -MR




[Video] Demo Anti Israel Di Pelabuhan Klang

NGO berdemo di Pelabuhan Klang bantah kapal Israel

Sekumpulan NGO dan aktivis mahasiswa hari ini berhimpun di Westport dekat Pelabuhan Klang bagi membantah dakwaan akses kapal Israel di situ.

Kumpulan kira-kira 80 orang yang diketuai Ketua Penyelaras Jingga 13 Fariz Musa itu berhimpun sejam sambil melaungkan slogan anti-Israel.

Perhimpunan itu berlangsung aman dan hanya diperhatikan kira-kira 20 anggota polis yang bertugas.

Turut kelihatan Naib Ketua Pemuda PKR Azmizam Zaman Huri dan aktivis popular siswa Adam Adli.

Fariz ketika dihubungi selepas itu berkata, perhimpunan itu dianjurkan hari ini kerana mereka mendapat maklumat terdapat lagi kapal dari Israel yang berlabuh di situ hari ini.

"Kita kesal dengan hubungan dagang ini kerana ia seolah-olah membantu negara haram Israel membeli peluru bagi membunuh rakyat Palestin," katanya.

Katanya, banyak lagi perhimpunan akan diadakan selepas ini, bermula dengan perhimpunan di kedutaan Palestin pada 29 Februari.

Pada tarikh itu, katanya, mereka akan menghantar memorandum memaklumkan perkara itu dan menyerahkan bukti yang dikumpul pada negara itu.

"Kita pilih tarikh itu kerana berdasarkan maklumat kita, pada hari itu ada lagi kapal akan masuk ke sini," katanya.

Bagaimanapun kumpulan itu tidak dibenarkan masuk ke kawasan pelabuhan dan tidak dapat memastikan sama ada kapal dari Israel ada berlabuh di Pelabuhan Klang hari ini.

Isnin lalu, sambil mendedahkan dokumen dari Jabatan Kastam, Wesport dan syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, Jingga 13 berkata kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang.

Ini termasuk kapal, Zim Atlantic, yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu yang datang secara langsung dari pelabuhan Ashdod di Israel. -mk




Najib Kata ISA Mansuh Tetapi Mahkamah Jatuhkan Hukuman Kepada Penentang ISA

ISA: Tidak selaras dengan pengumuman Najib

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyifatkan keputusan kepada 14 individu kerana terbabit dengan perhimpunan membantah ISA tidak selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa ISA dimansuhkan.

"Perdana menteri sendiri sudah pun mengumumkan bahawa ISA dimansuhkan dan pada masa sama kerajaan telah membuat pindaan terhadap akta polis. Tapi mereka dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 27 Akta polis," kata pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh ketika ditemui di luar kamar Mahkamah Sesyen Jalan Duta, hari ini.

Beliau juga berkata, kesemua mereka berjuang menentang akta yang zalim.

"Perjuangan mereka ini adalah satu perjuangan yang mulia iaitu untuk memansuhkan undang-undang zalim seperti ISA," katanya.

Kekesalan itu turut dikongsi Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, meskipun menghormati keputusan mahkamah, pihaknya tetap berpendapat ianya tidak wajar.

"ISA kini sudah dimansuhkan dan kita ada akta perhimpunan awam," katanya.

Sementara itu, Bad Latif, suami kepada OKT Nashita Md Noor pula berkata, hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti termaktub dalam Perlembagaan ternyat dinafikan.

Katanya, penghujahan peguam bela juga juga jelas menyatakan mereka ditangkap sebelum perhimpunan bermula.

"Kita menjangkakan yang terbaik, kalau boleh bebas tanpa penjara atau denda. Walau bagaimanapun, hukuman satu hari dan denda 2,000. Kita tak puas hati sebab hak kita untuk berhimpun seperti dalam artikel 10 Perlembagaan yang membenarkan perhimpuan menyuarakan pandangan dinafikan.

"Kita tak melakukan apa-apa kesalahan dan dalam hujah tadi peguam bela sebut mereka ditangkap bukan masa perhimpunan,"
katanya.

Terdahulu, 14 daripada 16 tertuduh dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Manakala kes terhadap dua lagi yang tidak hadir hari ini akan diputuskan kemudian.

Waran tangkap dikeluarkan kepada tiga lagi yang tidak hadir hari ini. -HD

Kutipan derma kilat untuk sampaikan mesej: Mereka tidak keseorangan!

Sebaik sahaja keputusan mahkamah sesyen diumumkan, sekumpulan warga internet melancarkan kutipan derma kilat untuk membantu mereka yang disabit kesalahan kerana terlibat dalam perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009. Antara yang melancarkan kutipan derma ini, Koh Wee Sun berkata, usaha ini sekadar untuk menyampaikan satu mesej, "Mereka tidak keseorangan!"

Secara terus terang, Koh Wee Sun mengakui bahawa dirinya tidak pasti sama ada mereka mampu untuk mencapai angka yang diperlukan. Bagaimanapun, usaha ini bukan sekadar kutipan wang semata-mata, tetapi untuk menunjukkan kepada mereka yang didenda, bahawa ramai lagi yang nampak dan menghargai perjuangan mereka.

Koh Wee Sun ialah seorang suri rumah tangga. Beliau pernah memberikan sejambak bunga kepada Muhammad Safwan Anang melalui Chua Yee Ling ketika aktivis siswa itu dimasukkan ke dalam wad kecemasan, lantaran kejadian pertembungan fizikal dalam satu perhimpunan pada awal pagi 1 Januari 2012, di luar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Mengapa saya terfikir untuk beri bunga kepada Safwan.

Koh Wee Sun terharu apabila membaca tulisan salah seorang tertuduh, Nashita Md Noor di MerdekaReview, semalam. Koh menganggap Nashita yang juga seorang ibu, telah ke depan untuk memperjuangkan isu-isu keadilan sosial, sedangkan dirinya masih selesa dalam zon yang selamat. Semalam, Koh yang berada di Johor Bahru, menyeru dalam laman sosial Facebooknya, agar rakannya hadir di mahkamah untuk memberi sokongan kepada Nashita, pada hari ini.

Sehingga jam 4 petang, Koh memaklumkan kepada MerdekaReview bahawa beliau telah berjaya mengutip lebih RM12,000, dan angka ini masih bertambah. 11 orang tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM2000, dan penjara sehari. Mereka wajib menjelaskan denda RM2000 pada hari ini, atau akan dipenjarakan 7 hari. Untuk menangguhkan hukuman penjara, mereka perlu membayar wang jaminan RM500. -MR


Saya antara yang gagal gembira menyambut pemansuhan ISA

1 Ogos 2009. Kami ditahan selama tiga hari dua malam di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil yang baru dibuka pada 27 Julai 2009, maka kami bernasib baik kerana tandas yang terbuka dan terdedah itu masih bersih. Kami hanya dapat mandi pada jam 1.00 pagi hari Isnin (3 Ogos). Dua hari tidak dapat mandi dan tiga hari menahan diri dari membuang air besar! Syukur dengan tidak memakan nasi selama tiga hari kami selamat dari menyimpan makanan berat di dalam perut untuk diproses menjadi bahan buangan. Kami hanya menjamah sedikit roti yang dikongsi bersama dan sedikit air kosong yang juga turut dikongsi.

Ini adalah sebahagian pengalaman yang berharga yang telah saya (gambar kanan, kanan) kongsikan pada tarikh 4 Ogos 2009 sebaik dibebaskan dari Penjara. Berpeluang menghuni sebuah penjara. Dipenjarakan kerana kami berani melawan.

Apa yang kami lawan hingga kami tertangkap pada tarikh tersebut 1 Ogos 2009? Apakah signifikannya tarikh tersebut yang berjaya menarik perhatian puluhan ribu rakyat turun memenuhi segenap jalan di Kota Raya tanpa ada rasa gentar walau amaran demi amaran diberikan oleh pihak Polis untuk tidak turun ke jalanraya pada tarikh tersebut.

1 Ogos 2009 adalah hari ulangtahun ISA digubalkan pada tahun 1960, maka tarikh tersebut telah dipilih oleh GMI, Gerakan Mansuhkan ISA untuk menjadi lambang kebencian rakyat yang membuak kepada sikap pemerintah yang masih mahu mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang zalim dan kuno.

Pada 1 Ogos 2009 dilaporkan puluhan ribu orang turun ke jalanraya di Kuala Lumpur walaupun pelbagai sekatan dijalankan dan amaran dikeluarkan. Himpunan dicadangkan bermula pada jam 2.30 petang, namun seawal jam 3 pagi telah berlaku tangkapan oleh pihak polis ke atas mereka yang dipercayai datang ke perhimpunan tersebut.

ISA Zalim. Saya tidak mempunyai ahli saudara yang pernah ditahan ISA, namun saya tetap berkongsi penderitaan mangsa kezaliman ISA khususnya yang menimpa para isteri tahanan ISA serta anak-anak mereka. Saya melihat dan berkongsi penderitaan mereka. Sebagai AJK Gerakan Mansuhkan ISA kami merancang pelbagai aktiviti seperti menghantar memorandum kepada SUHAKAM, Kementerian Dalam Negeri, PDRM termasuk cubaan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri. Malah GMI juga membuat pertemuan dengan pihak Mufti setiap negeri di Malaysia bagai menjelaskan bahawa ISA juga adalah haram di sisi Islam dan mesti dimansuhkan. Semuanya gagal.

Maka dengan kefahaman rakyat tentang betapa zalimnya ISA dan menghayati penderitaan keluarga maka rakyat berani untuk meluahkan rasa mereka di secara terbuka bagi membuat desakan.

Pada hari tersebut sejumlah 589 orang telah ditangkap dan dikumpulkan di Pusat Gerakan Am Cheras. 489 orang telah dibebaskan pada tarikh yang sama, 91 orang dihantar ke Pusat Tahanan Bukit Jalil untuk dilokapkan. Akhirnya 29 orang telah didakwa di mahkamah dan dibicarakan. 16 orang didakwa menyertai perhimpunan haram dan 13 orang didakwa di bawah akta Pertubuhan.

Saya bersama anak lelaki, Ammar (gambar kanan, kanan), adalah antara yang ditangkap pada tarikh tersebut. Ammar yang ketika itu baru berusia 13 tahun telah dipenjarakan di Penjara Juvenil Sri Petaling bersama seorang rakannya yang berusia 16 tahun, Suhaib Mat Sah (gambar kanan, kiri), yang merupakan anak kepada seorang tahanan ISA yang masih meringkuk di dalam Kem Tahanan Kamunting ketika itu. Anak saya melalui pengalaman yang perit dengan mereka digari dan dipakaikan pakaian lokap. Dihalang dari berjumpa dengan peguam dan tidak diberikan makanan sehingga peguam menemui mereka pada jam 10 malam sedangkan kami ditangkap sejak jam 12.30 tengahari. Ammar dan Suhaib dibebaskan keesokan harinya setelah dibawa ke hadapan majistret.

Saya dan empat orang lagi wanita ditangkap ketika kami duduk-duduk di bangku di hadapan Pertama Kompleks. Perhimpunan dijangka bermula pada jam 2.30 petang. Pada jam 12.30 tengahari sekumpulan polis yang berpakaian preman datang menghampiri kami dan mengepung kami sehingga sekumpulan polis yang beruniform datang dan mengarahkan kami menaiki sebuah trak polis. Makluman awal mereka hanya mahu membuat sedikit dokumentasi ke atas kami.

Seterusnya kami dibawa dengan trak ke Cheras. Di sana kami melihat ramai pihak polis telah bersedia ada di sana di satu tempat yang sungguh besar. Proses dokumentasi dijalankan di sana. Walaupun berada di bawah kawalan polis saya dan empat orang lagi sahabat wanita tetap menjalankan tugas kami menyampaikan maklumat kepada semua yang ditangkap dan dibawa ke sana.

"Jangan beri apa-apa keterangan kepada polis. Kita hanya beri keterangan bila peguam kita ada bersama." Kami berusaha menyampaikan kepada seramai mungkin akan hak mereka untuk berdiam diri. Kami memberikan semangat kepada mereka. Kami lantang, kami melawan apabila polis gagal menunaikan permintaan asas kami iaitu hak kami untuk bertemu dengan peguam yang setia menanti kami di luar pusat tahanan.

Akhirnya kami 29 orang, 24 lelaki dan lima wanita dipenjara dan didakwa di Mahkamah. Perbicaraan berjalan hampir dua tahun. Pada November 2011 Hakim membebaskan 13 orang yang dituduh di bawah akta Pertubuhan dan 16 orang lagi termasuk saya dan empat wanita yang lain diperintah untuk membela diri.

Dengan membuat pilihan untuk memberikan keterangan dari kandang salah dan tidak boleh disoal balas kami memberikan kenyataan bela diri kami pada 16 Januari 2012. Kami bersyukur kerana ianya selesai dengan pantas. Tiada siapa yang suka didera terpaksa turun naik mahkamah berkali-kali bertahun-tahun lamanya. Kami berpendapat tujuan sebenar peserta perhimpunan aman ditangkap, dipenjara dan didakwa tiada lain selain dari mahu mendera dan menyusahkan rakyat yang berani bangun melawan.

Pada malam 15 September 2011, bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, dengan bangganya Perdana Menteri Malaysia membuat pengumuman bahawa Akta ISA akan dimansuhkan, begitu juga Seksyen 27 Akta Polis. Ini memang satu pengumuman yang agak mengejutkan namun saya adalah salah seorang yang tidak menyambutnya dengan gembira dan bertepuk tangan. ISA masih wujud, masih ada yang ditangkap dan ditahan di bawah ISA, kini ada seramai 13 keluarga yang baru menjadi mangsa kezaliman ISA di Tawau Sabah.

22 Februari 2012, esok adalah tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman ke atas kami 16 orang bagi dakwaan di bawah Seksyen 27 Akta Polis. Ironi bukan? Ianya sudah diumumkan untuk dimansuhkan namun kami masih menjadi mangsanya.

Apakah hukumannya pula?

"Hukuman - Mana-mana orang yang melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada RM10,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun."

Kami? Pasrah kepada Allah Yang Maha Esa. Kami tidak bersalah, kami bertujuan berhimpun dengan aman dengan peruntukan yang ada di bawah Perlembagaan. Kami ditangkap sebelum perhimpunan berlangsung. Kami rakyat biasa yang mahu bangun menentang kezaliman atas rakyat.

Atas prinsip ini kami tidak pernah mengaku bersalah atau terlintas di hati untuk mengaku bersalah. Jika denda yang dikenakan atas prinsip perjuangan kami rela dipenjarakan demi sebuah perjuangan!

*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.
-MR