22 Feb 2012

Taklimat KPF Kecoh: Isa Samad Halau Keluar Peneroka

Taklimat KPF Felda kecoh

PETALING JAYA: Taklimat antara Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dengan kira-kira 500 pemegang saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) dikhabarkan kecoh apabila salah seorang peneroka dihalau keluar daripada dewan kerana mempersoalkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, taklimat antara Isa dan sebahagian pemegang saham diadakan di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur petang tadi susulan pembatalan Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF pada saat-saat akhir yang sepatutnya dijadual berlangsung hari ini.

Menurut Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, insiden itu terjadi apabila soalan yang dikemukakan salah seorang pemegang saham daripada Felda Sendayan di Negeri Sembilan itu gagal dijawab dengan baik oleh Isa.

Katanya, semasa sesi dialog generasi kedua Felda yang berumur dalam lingkungan 50-an itu bangkit bertanyakan Isa mengenai jaminan yang akan diperoleh pemegang saham KPF jika ia disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

Namun, menurut Mazlan jawapan yang diberikan Isa hanyalah “Perdana Menteri akan bagi jaminan”.

Isa Samad angkuh

“Lelaki itu tidak berpuas hati dengan jawapan Isa kemudian bertanya lagi kalau Najib lepas ni tak jadi Perdana Menteri dan digantikan dengan orang lain, kalau berlaku masalah dalam KPF siapa yang nak bertanggungjawab?

“Isa kemudiannya menjawab ‘kalau awak tak percaya Najib sila keluar daripada dewan’,” kata Mazlan ketika dihubungi.

Menurut Mazlan, lelaki yang menetap di Felda lebih 50 tahun dan memiliki saham KPF melebihi RM250,000 itu kemudiannya dibawa keluar oleh polis bantuan dalam keadaan dimalukan dan disaksikan pemegang saham yang lain.

Mengulas mengena kejadian terbabit, Mazlan berkata tindakan Isa itu adalah tidak wajar dan tidak profesional memandangkan beliau sendiri yang mahukan dialog itu dijalankan.

“Hasil dialog petang tadi menunjukkan kecenderungan peneroka yang hadir memihak kepada peneroka yang dihalau itu.

“Namun Isa sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menggambarkan sikap pemimpin yang angkuh, ego dan tidak boleh terima teguran,” katanya yang turut kesal dengan kejadian itu. -FMT

Kecoh: Isa halau ahli KPF keluar dewan

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Seorang perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) hari ini meluahkan rasa kecewa apabila dihalau keluar oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad ketika satu sesi taklimat di Dewan Perdana Felda petang ini.

Sanggam a/l Raju (gambar) yang juga peneroka dari Felda Sendayan dihalau keluar dewan selepas bangkit menanyakan soalan kepada Isa ketika sesi soal jawab dibuka.

"Saya tanya dia (Isa), Tan Sri, saya bukan menghalang penyenaraian ke bursa saham ini, tetapi saya nakkan satu jaminan daripada Suruhanjaya Koperasi atau Koperasi Permodalan Felda tentang aset itu semua.

"Dia jelaskan dengan saya, jaminan daripada kerajaan, tak percaya dengan PM (Perdana Menteri) ke, PM jamin," kata Sanggam.

"Saya kata hari ini PM boleh jamin la sebab dia perdana menteri, tapi besok bila dia dah tak jadi perdana menteri nanti jadi dolak dalih.

"Lepastu dia (Isa) kata, kamu tak percaya PM kamu keluar dewan," ceritanya lagi ketika ditemui di luar dewan.

Difahamkan taklimat hari ini dibuat sebagai menggantikan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas yang sepatutnya diadakan tetapi dibatalkan.

Ia kerana mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan melarang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dibincangkan.

"Kemudian saya kata pada dia, saya ini sudah 50 tahun dalam felda, kamu (Isa) ini cap jari pun belum kering baru setahun lebih, patutnya kamu yang keluar dewan," katanya sambil menambah beliau kemudian bertindak keluar dari dewan itu.

Menurutnya, suasana ketika itu bertukar kecoh apabila ada peneroka turut marah kepada Isa.

Beberapa orang lain juga katanya turut bertindak keluar dewan bersamanya kerana tidak berpuas hati dengan sikap Isa itu.

Selain menuntut soal jaminan terhadap aset mereka, Sanggam dalam soalannya juga turut mempersoal tawaran bayaran durian runtuh yang dijanjikan kepada peneroka sekiranya FGVH disenaraikan kelak.

Beliau mempersoal tawaran itu yang disifatkannya tidak kekal lama berbanding aset tanah yang bakal dicagarkan.

Tambahnya lagi, pada sesi yang dikatakan 'taklimat' itu, Isa mengambil kesempatan itu memburuk-burukkan pakatan pembangkang.

Sebelum ini, Isa pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa mengeluarkan kata-kata menghina Ketua peneroka Felda, Shamsuddin Othman yang juga seorang ahli lembaga pengarah agensi itu.

Antara lain Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Pak Sam dihambur oleh Isa dengan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

Kata-kata penghinaan itu didakwa dinyatakan Isa ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian FGVH di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November tahun lalu.
-HD




Ku Li Bidas Kenyataan Najib: 'Buat Malu Sahaja Kata Kelantan Termiskin'

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa Kelantan menjadi negeri miskin tercorot sejak diperintah kerajaan PAS adalah tidak wajar dan memalukan.

Katanya, adalah tidak molek untuk seorang pemimpin negara bercakap sedemikian apatah lagi dengan nada menghina negeri tersebut semata-mata kerana Kelantan diperintah oleh kerajaan PAS.

"Kita tak boleh lah berbangga ini negeri sudah tidak miskin lagi, negeri Kelantan sudah jadi termiskin.

"Saya tak nak dengar percakapan macam itu, buat malu sahaja," katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib di satu majlis Lahad Datu, baru-baru ini kononnya Kelantan adalah negeri miskin tercorot dan bukan lagi Sabah, negeri dibawah bayu itu.

Najib berkata kedudukan tercorot itu bermula sejak negeri tersebut berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS Kelantan.

"Kita boleh rasa seronok lah dengar berita ini, tapi takkan lah kita nak biar Kelantan menjadi negeri termiskin pulak.

"Apakah kita ini nak terus membanding satu negeri yang miskin dengan satu negeri yang lain. Sampai bila kita nak tengok negeri ini miskin," soal Ku Li lagi yang juga anak kelahiran Kelantan dan kini ahli parlimen Gua Musang.

Mengulas lanjut perkara itu Ku Li berkata, jika benar sekalipun Sabah sudah mengatasi Kelantan, seorang pemimpin negara sewajarnya memikirkan langkah penyelesaian untuk memajukan negeri yang didakwa tercorot itu, dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan seolah-olah berbangga dengan perbezaan kedua-dua negeri tersebut.

Apatah lagi katanya majoriti masyarakat di Kelantan adalah Melayu dan sewajarnya dibantu.

"Macam Kelantan pulak, yang tinggal di sana anak Melayu. Takkan kita tak nak cari jalan nak perbaiki kehidupan orang Melayu di Kelantan berbanding dengan orang-orang lain.

"Kita juga nak pejuangkan anak-anak Melayu dapat nikmat daripada minyak (royalti) dan sebagainya supaya kehidupan mereka berubah dan taraf hidup mereka meningkat naik berbanding orang lain," tegasnya yang juga kini sebagai Presiden NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Sebelum ini, beberapa pihak turut menyelar kenyataan perdana menteri itu.

Ianya termasuk Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang mendakwa kenyataan Najib itu hanya membuka pekung dirinya sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara.

Abu Hassan berkata, jika benar dakwaan itu, ia bermakna kegagalan kesemua enam perdana menteri termasuk Najib untuk memajukan kesemua negeri dalam Malaysia ini sejak BN memerintah lebih 50 tahun lalu.

"Sekira benar Kelantan ini negeri miskin mengikut kata PM DS Najib, maka ini bermaksud benar-benar gagalnya enam orang Perdana Menteri dalam memajukan setiap pelusuk tanah air, setiap orang dari rakyatnya.

"(Ini) kerana negeri Kelantan ini adalah salah satu negeri dalam gabungan 14 negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia, dan sama sekali bukan sebuah negeri yang berada di Thailand, atau Indonesia, atau Brunei, atau Kemboja, dan tidak mungkin sebuah negeri di Benua Afrika," coretnya melalui Facebooknya Hassan Hayastani. -HD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Perangai UMNO: Depan Rakyat Maki Israel, Belakang Rakyat Cium Bontot Israel

Khairy sahkan Malaysia berdagang dengan Israel

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Ketika para blogger Umno bermati-matian berkata tiada kapal Israel masuk ke Malaysia, Ketua Pemuda Umno pula mengesahkan Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan Israel.

(Salah sebuah kapal Israel yang mendarat di Perlabuhan Klang)

Khairy berkata, kerajaan mempunyai polisi dan pendirian yang jelas bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan politik dan diplomatik dengan Israel.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya sedar bahawa ada hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel tetapi ia adalah hubungan antara syarikat.

"Saya harap perkara ini dapat diketahui umum bahawa kita berdagang bukan kerana kita sokong Israel tetapi ini keperluan dari segi globalisasi," katanya.

Selain menolak kenyataan bloger Umno, kenyataan Khairy juga menolak kenyataan pihak pengurusan Perlabuhan Klang baru-baru ini.

Westport, Port Klang melalui Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian mengakui kehadiran Kapal Israel, ZIM Integrated Shipping Services Ltd yang berlayar dari Israel [Sinar].

Namun beliau mendakwa tiada sebarang urusniaga berlangsung kerana kapal tersebut hanya singgah sahaja.

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno membuat pelbagai tuduhan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutannya kenyataannya dalam The Wall Street Journal.

Namun bagi para blogger Pakatan, tindakan ini hanya umpama, "Depan rakyat maki Israel, belakang rakyat cium bontot Israel" sahaja. -HD

Mahathir Terlupa UMNO Berbai'ah Di Perhimpunan Yang Lalu

Tak perlu bai'ah, kata Tun Mahathir

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan langkah Pas yang mahu mewajibkan calonnya, yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, mengambil sumpah bai'ah atas alasan ia seolah-olah menunjukkan ahli-ahlinya tunduk kepada pemimpin mereka.

Bekas Perdana Menteri berkata, manusia sepatutnya hanya tunduk kepada ALLAH dan bukan kepada sesama manusia.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno memberitahu bahawa pemimpin-pemimpin Pas juga merupakan manusia biasa, bukannya Nabi atau raja.

"Dia orang (pemimpin Pas) hanya manusia biasa. Bukan Nabi, bukan raja. Tak perlu bai'ah ini," katanya pada sidang media selepas memberi syarahan perdana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. -SH

Hadi: Calon PAS pada pilihan raya wajib berbai'ah

Setiap calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat dari bersumpah, kata presiden parti parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Ini bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya, kata beliau.

Abdul Hadi berkata, sesiapa yang melanggar bai’ah yang dibuat “maka akan celaka dunia dan akhirat”.

Beliau turut menyentuh dakwaan kalangan tertentu kononnya PAS sudah menyeleweng dari dasar Islamnya apabila membawa konsep negara berkebajikan.

"Jawapannya, PAS tetap dipelihara oleh undang-undang tubuhnya yang menghalang daripada melakukan sesuatu yang menyeleweng daripada Islam,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau mendakwa negara kebajikan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) berunsurkan rasuah demi kemenangan pilihan raya
.- Bernama


Ulasan GB

Kerana nak hentam PAS, Mahathir terlupa bahawa ahli-ahli UMNO di dalam Perhimpunan Agung Umno 2011 telah melakukan bai'ah - sesuatu amalan yang dilihat oleh banyak pihak, meniru kaedah PAS.


Perwakilan Umno Sumpah Bai'ah Taat Setia


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2011 mencatat sejarah apabila semua perwakilannya bersumpah bai'ah untuk taat dan setia kepada parti.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumpah bai'ah berkenaan dibuat bagi memastikan kelangsungan perjuangan Umno dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

"Dengan semangat kesatuan, kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan untuk meraih sokongan padu rakyat demi kemenangan kita dalam pilihan raya akan datang, ayuh kita lafazkan ikrar taat setia ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di PWTC, Sabtu.

Ikrar sumpah bai'ah yang diketuai Muhyiddin berbunyi:

"Kami orang Umno, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

"Kami orang Umno berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.

"Kami orang Umno bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah bagi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.

"Kami orang Umno berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti."

Ikrar beliau itu disambut dan dibaca oleh semua perwakilan di dalam dewan.
-mstar 3/12/2011




Perjuangan Perkauman: Dr. Asri Bidas Panjang Hujjah Harussani

Apakah Islam galakkan perjuangan perkauman?

Apakah Islam dan Nabi Islam Muhammad SAW menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman?

Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan ‘jihad perkauman’ yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah?

Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman?

Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina.

Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut;

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.

Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil.

Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.

Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.

Sabda Nabi SAW:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah.

Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa.

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.

Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah.

Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum, atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam.

Tiada kaum yang boleh menganggap mereka ‘lebih tuan’ dalam ertikata racial supremacy. Adapun hadis Nabi: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak.

Dalam masa yang sama Nabi bersabda:“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu.

Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini.

Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam).

Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya.

Menolong Kaum Dalam Islam

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga.

Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)

Nabi juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.

Sabda Nabi: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam. -Mohd Asri Zainul Abidin

Harussani: Nabi anjur pertahan Raja, kaum

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini menyokong usaha untuk memperjuangkan Islam seperti yang dipromosikan pertubuhan pro-Melayu JATI yang disifatkannya sebagai satu jihad kepada orang Islam.

Katanya jihad itu diwajibkan ke atas orang Islam, apatah lagi apabila serangan ke atas Islam kini "begitu hebat sehingga ramai di kalangan orang Islam menjadi murtad."

"Wajib kita pertahankan akidah kita daripada serangan ejekan atau diperhina. Namun hari ini kita lihat agama kita tidak diambil berat oleh orang Islam sendiri, malah ada yang mempertahankan perbuatan itu," katanya lagi.

Tambahnya, orang Islam juga wajib mempertahankan Raja-raja Melayu memandangkan golongan itulah yang mula-mula sekali menerima Islam di negara ini.

"Maka raja tidak boleh terpisah dengan kita," katanya lagi dalam ucapannya di majlis perasmian penubuhan NGO tersebut di Shah Alam hari ini.

Tambahnya, perjuangan untuk mempertahankan raja juga dianjurkan oleh Nabi Muhammad melalui sabda baginda bahawa "raja itu adalah bayang Allah di bumi ini."

"Jadi kita pertahankan kerana itu disebut oleh Rasulullah. Bukan dalam satu riwayat saja tapi banyak riwayat," tambahnya.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak mengenai perjuangan kaum, Harussani berkata Nabi Muhammad sendiri telah menyeru kepada kaum Quraisy pada waktu itu supaya mempertahankan bangsa mereka.

"Ada orang kata kalau kita bercakap bangsa Melayu dikatakan kita ini orang yang nasionalis. Nabi juga bercakap tentang kaumnya.

"Kita pertahankan bangsa kita bukan bermakna taksub dan memang wajib pun kita pertahankan kerana negara ini adalah kepunyaan orang Melayu.

"Salah satu wasiat raja-raja sebelum merdeka ialah selain gunung ganang, sungai atau lubuk-lubuk maka setengah daripada tanah Melayu itu mestilah hak orang Melayu, yang lain itu biarlah berebut sesama kamu," katanya lagi.

Wasiat berkenaan - dokumen yang sering didakwa sebagai asas perjanjian kepada raja-raja Melayu dalam pembentukan Persekutuan Malaysia - turut dinyatakan dalam tayangan video ketika majlis perasmian tersebut.
-mk


Kes Simbah Asid Di Marang: Janda 24 Thn Terkilan Jika Beliau Jadi Penyebabnya

Marang: “Saya kesal kalau benar saya yang menjadi punca mereka bergaduh,” kata janda berusia 24 tahun yang enggan dikenali dari Kampung Serating, Merchang, di sini, yang terkilan kerana dikatakan penyebab kejadian simbah asid di kampung terbabit, pagi Ahad lalu.

Bagi mengelak prasangka buruk terhadapnya, ibu kepada dua anak itu menjelaskan salah seorang suspek dan mangsa adalah bekas teman lelakinya dari kampung sama.

Menurutnya, mereka bersengketa apabila mengetahui seorang daripada mangsa iaitu Sharul Zaman Salim, 38, cuba melamarnya beberapa minggu lalu.

“Memang dia (Sharul Zaman) melamar saya minggu lalu, tetapi saya menolak kerana beranggapan mereka hanya sebagai kawan saja.

“Kejadian itu juga menyebabkan penduduk kampung memandang serong kepada saya selain tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja sebagai pembantu kedai makan dan sangat terkilan seandainya betul kejadian itu ada kaitan dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, susulan tangkapan terhadap dua lelaki berusia 39 dan 32 tahun yang dipercayai terbabit mencederakan dua mangsa dalam kejadian di Kampung Padang, Merchang, di sini, Ahad lalu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

“Lelaki terbabit seorang buruh binaan dari Kampung Padang, Merchang ditahan di premis mencuci kereta di kampung berkenaan kira-kira jam 4.30 petang semalam (kelmarin) dan penahanan terhadap lelaki terbabit dipercayai dapat membantu siasatan yang kini hampir selesai,” katanya. -HM

Mangsa simbah asid dibedah esok

MOHD. FAZIL terlantar di wad mangsa kebakaran HSNZ, Kuala Terengganu semalam dan dijangka dibedah esok.


KUALA TERENGGANU - Dua lelaki yang menjadi mangsa kes simbah asid ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Merchang, Marang dekat sini Ahad lalu dijadual menjalani pembedahan menampal kulit baharu esok.

Mohd. Fazil Idrus, 18, dan Shahrulzaman Salim, 38, kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Bapa Mohd. Fazil, Idrus Mat Nor, 54, berkata, anaknya itu bakal dibedah bagi membolehkan kulit paha lapisan pertamanya diambil untuk ditampal pada bahagian muka, tangan dan kaki yang melecur teruk.

"Kami harap pembedahan itu berjaya, sedih juga rasa apabila Mohd. Fazil masih enggan bercakap sejak ditimpa musibah itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Idrus juga belum tergamak membenarkan Mohd. Fazil melihat cermin bagi mengelakkan anaknya itu terkejut.

"Saya tidak tahu bagaimana dia mahu hadapi semua ini kerana hampir separuh daripada mukanya telah melecur," tambahnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan mengenai nasib malang dua sahabat itu yang cedera parah selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Merchang. -kosmo


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Nik Aziz Tempelak UMNO Tergamak Jalinkan Hubungan Dagang Dengan Israel

Nik Aziz: Beza atau tak, PAS tetap tak iktiraf Israel

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendirian parti Islam itu tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, walaupun pandangannya mungkin berbeza dengan pihak lain.

"Saya ingin mengulangi pendirian saya dah Majlis Syura serta pendirian PAS khususnya bahawa tidak sekali-kali mengiktiraf walaupun seinci pun hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang dirampas pada hari ini.

"Berbeza atau tidak dengan sesiapa, PAS tetap dengan pendirian ini," katanya yang juga menteri besar Kelantan.

Nik Aziz pada 14 Februari lalu meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang didakwa menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan The Wall Street Journal atau menyaman media itu jika laporannya tidak benar.

Berikutan itu, berlaku ketegangan seketika di kalangan penyokong Pakatan Rakyat. Namun, selepas pertemuan kedua-dua pemimpin utama pembangkang itu pagi tadi, Anwar berkata, mereka kini saling faham pendirian masing-masing, termasuk PAS yang tegas tentang Israel.

Dalam kenyataan di Facebook merujuk perkara itu petang ini, Nik Aziz bagaimanapun tidak menyentuh langsung sama ada beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Anwar kepadanya hari ini.

Nik Aziz sebaliknya mengambil peluang menempelak "pihak yang kelihatan sangat anti-Yahudi" tetapi tergamak menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

"Pihak-pihak ini hakikatnya hanyalah ayam jantan yang berkokok gagah sedangkan ekornya bergelumang najis!" katanya merujuk dakwaan kapal Israel dikesan berlabuh di Pelabuhan Klang.


NGO mesra PKR, JINGGA 13, semalam membekalkan "bukti" menunjukkan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang.

Mendedahkan dokumen dari Jabatan Kastam, Wesport dan syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, Jingga 13 mendakwa kapal Zim Atlantic yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu datang secara langsung dari pelabuhan Ashdod di Israel.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata kerajaan tidak melarang perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan ahli-ahli perniagaan Israel.

Justeru, katanya, kapal-kapal yang dimiliki oleh Israel juga dibenarkan berlabuh di pelabuhan di Malaysia untuk tujuan perdagangan tetapi dengan syarat bahawa anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang daripada mendarat. -mk

Ulasan GB

Dimanakah suara-suara kumpulan agamawan di dalam UMNO seperti Menteri Agama dan para mufti?

Dimanakah suara jaguh-jaguh UMNO yang sebelum ini mengkritik Anwar Ibrahim ekoran kenyataannya di Wall Street Journal?

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Gadis Hilang Pada Hari Kekasih Selepas Bercinta Dengan Pemuda Pakistan

Kuala Langat – Panahan asmara seorang lelaki Pakistan ke atas kekasihnya yang merupakan seorang pelajar tingkatan lima menyebabkan gadis itu bertindak membelakangkan keluarga apabila dia disyaki melarikan diri selepas cinta mereka mendapat tentangan.

NURUL ZAKIAH yang hilang sejak 14 Februari lalu dirayu pulang oleh keluarganya.

Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, dikatakan hilang pada Hari Kekasih 14 Februari lalu selepas tiga minggu berkenalan dan bercinta dengan lelaki dikenali sebagai Samer Khan, 20-an.

Samer Khan digambarkan sebagai lelaki yang kacak tetapi keluarga Nurul Zakiah hanya mendengar cerita mengenai Samer daripada gadis itu dan tidak pernah menemuinya.

Pertemuan yang tidak dirancang hingga melahirkan bibit-bibit cinta itu berlaku ketika Nurul Zakiah bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya manakala Samer pula bekerja di sebuah kedai menjual barang-barang makanan di Pekan Banting di sini. Kedua-dua premis itu terletak berdekatan.

Nurul Zakiah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini sebelum kejadian tinggal bersama ibu saudaranya, Norlaila Saad, 43, sejak 12 tahun lalu selepas kematian ibunya.

Mengimbau semula kejadian itu, Norlaila memberitahu, dia menyedari kehilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting dekat sini itu selepas anak saudaranya tidak pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat setelah tamat waktu belajar. -kosmo

[Bergambar] Lagi Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu Hanya Di Malaysia

Banyak lagi gambar-gambar pelik, aneh dan lucu untuk kita hilangkan tekanan setelah sehari suntuk mengikuti isu-isu berat yang berlaku sekeliling kita.

Gambar-gambar ini bersepah ini internet, dikutip untuk paparan di blog GB ini untuk kita segarkan semula minda kita untuk menghadapi isu-isu baru selepas ini. Selamat menyaksikan dan selamat berhibur.

Saksikan:



















Laporan sebelum ini
klik untuk baca