10 Feb 2012

Najib Lakukan Kerja Syirik, Kenapa Jamil Khir & Hassan Ali Tidak Bersuara?

Najib ‘gadai akidah’ hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas Harussani

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan. -TMI

Ulasan GB

Itu teguran dari Mufti Perak, Harussani.

Dimana gerangannya Menteri Agama, Jamil Khir Baharum yang selama ini menjadi peneman Najib? Malah beliau menjadi menteri pengiring kepada PM semasa menunaikan haji dan lantang membela Najib semasa ditegur oleh Mufti perlis tentang kenyatan salah Najib di twitternya yang menyatakan beliau telah selesai tugas haji di saat orang lain masih bersaei.

Mengapa Jamil Khir tidak menasihati Najib di dalam hal-hal yang membatalkan syahadah seperti perbuatan syirik yang ditegur oleh Mufti Perak berkenaan?

Mana Hassan Ali yang ingin menjadi hero memperjuangkan aqidah? Kenapa tidak mahu ditegur perbuatan Najib yang "terang-terangan" melakukan kerja syirik dan murtad tersebut?

Apakah Jamil Khir & hassan Ali serta ahli-ahli UMO yang lain redha dengan perbuatan Najib dan sedia berkongsi saham hasil perbuatan Najib tersebut?

Pendedahan Rasuah: Kadir Selar UMNO Mahu Ambil Tindakan Disiplin Terhadapnya

Kadir: Apa dah jadi dengan Umno...

Timbalan Presiden Angkatan Amanah Rakyat (Amanah) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berkata Jawatankuasa Displin Umno "tidak perlu bersusah payah" untuk menyiasat kenyataan akhbar dan rakaman temubualnya di internet TV yang dianggap satu kritikan terhadap parti.

Sebaliknya, beliau sendiri akan menghantar rakaman "penuh dan tidak diedit" kepada jawatankuasa displin pada minggu depan.

Katanya, kenyataan dan rakaman temubual dengan Malaysiakini, Harakahdaily dan MOBTV serta ucapannya di Seminar ASLI telah direkodkan dalam DVD dan akan diserahkan pada minggu depan.

"Saya buat apa. Kalau benda ini, tak boleh beri pandangan, apa dah jadi dengan Umno.

"Itu sahaja, sebab saya kenal Umno. Tahun 50-an, 60-an dan 70-an, Umno memang demokratik, boleh kritik pemimpin, tak ada tindakan displin," katanya.

Bercakap dalam sidang media, Kadir mendesak supaya Umno mengkaji terlebih dahulu "kritikannya" sebelum tindakan diambil.

Kaji dahulu 'kritikannya'

Bercakap dalam sidang media, Kadir yang juga bekas menteri pelancongan mendesak supaya Umno mengkaji terlebih dahulu "kritikannya" dan melaksanakannya kerana beliau yakin ia akan membawa kebaikan kepada semua bagi jangka masa pendek atau panjang.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata jawatankuasa displin parti itu mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap ahli yang melanggar etika parti termasuk jawatankuasa itu akan merujuk kenyataan Kadir yang didakwa menjejaskan kepentingan parti.

Mengulas lanjut, Kadir berkata beliau menerima rombongan ahli keluarga rapatnya yang meminta supaya "jangan buat itu dan buat ini", bahkan dihubungi pihak media meminta komen berhubung jawatankuasa displin yang diminta menyiasat kenyataannya.

Antaranya cadangan dan pandangannya kepada Umno yang dilaporkan pihak media, yang dianggap sebagai "kritikan" ialah berhubung dakwaaan rasuah politik untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi dalam parti.

Kadir menganggapnya ianya satu perkara "keji dan jijik" dan mendesak kerajaan dan parti supaya menghentikan apa yang didakwanya "pemberian rasuah" - secara langsung atau tidak - kepada rakyat untuk menjadi popular dan mendapat undi dalam pilihan raya.

"Saya yakin ada cara-cara lain yang lebih berkesan dan berkekalan untuk mencapai objektif tersebut.

'Kita diperhati'

"Percayalah bukan sahaja rakyat dalam negeri tetapi masyarakat antarabangsa juga sedang memerhati kita. Perbuatan ini adalah hodoh dan ketinggalan zaman," tegasnya.

Kadir yang juga bekas menteri pelancongan mendakwa pengedaran wang tunai kepada rakyat, akan merosakkan nilai murni dan cara hidup mereka.

"Adakah ini yang kita hendak wariskan kepada generasi akan datang?" soalnya.

Selain itu, Kadir turut membangkitkan berhubung kegagalan pemimpin bumipitera meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat seadil dan sepatutnya.

Menurutnya, pandangan yang diberikan dalam rakaman tersebut "tidak sampai 10 peratus" daripada yang dilakukannya sewaktu beliau menjadi exco Pemuda Umno pada tahun 60-an dan 70-an termasuk berhujah, mengkritik dan memberi pandangan.

Beliau yang pernah bekerja di bawah bekas ketua Pemuda Umno ketika itu Allahyarham Datuk Harun Idris, ketika itu bukan sahaja tidak perlu menghadapi jawatankuasa displin teatpi sebaliknya diberikan peluang berkhidmat dengan pelbagai jawatan.

"Saya sendiri dilantik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan kemudiannya menyambung jawatan sebagai setiausaha politik kepada menteri-menteri kabinet. Allahyarham Tun Hussein Onn pula memilih saya untuk bertanding di kawasan parlimen Kulim-Bandar Baharu pada tahun 1978.

"Oleh yang demikian saya ingin mengingatkan semua yang berkaitan janganlah menghina Umno yang sepatutnya terus dikekalkan sebagai sebuah parti demokratik.

"Ahli di semua peringkat harus dibenar bersuara dan pemimpin pula harus mengkaji hujah-hujah dari ahli ini," katanya sambil menyatakan keyakinan hujah itu akan menyubur dan menguatkan perjuangan parti.

Menjawab soalan pemberita mengenai statusnya dalam parti, Kadir yang juga bekas menteri penerangan menjawab beliau masih lagi ahli Umno.

Ditanya sama ada beliau bersedia berdepan dengan apa sahaja tindakan jawatankuasa displin, Kadir yang juga bendahari Umno Kulim-Bandar Baharu berkata beliau "tidak ada masalah".

"Saya tak ada masalah apa. Saya pun tidak bergantung hidup dengan parti....Tak ada masalah, cuma saya kesianlah bahawa kita sudah menyimpang jauh daripada perjuangan asal. Itu sahaja," katanya. -mk



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Juruteknik Ditemui Mati Tergantung

Juruteknik ditemui mati dalam keadaan tergantung

KAPAR - Seorang Juruelektrik swasta sempat memohon maaf daripada isteri, keluarga dan rakan melalui sepucuk surat yang ditulis sendiri sebelum ditemui mati berhampiran kediamannya di Jalan Sungai Kapar Indah 6C, Taman Sungai Indah, di sini semalam.

Mangsa dikenali, Kong Ben Chung, 52, ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebatang pokok oleh orang ramai yang melalui kawasan itu kira-kira jam 7.10 pagi.

Melalui surat yang ditemui dalam poket seluar mangsa turut menyebut, mendiang meminta isterinya melangsaikan segala hutang.

Mangsa yang disahkan mengidap kanser otak itu dipercayai bertindak sedemikian kerana mempunyai kaitan dengan masalah hidup yang dihadapi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang ramai sebelum sepasukan anggota bergegas ke rumah teres dua tingkat milik mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui seorang lelaki dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok dengan menggunakan tali keselamatan elektrik.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat jerutan pada leher menggunakan tali keselamatan elektrik yang dipercayai milik mangsa sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Shukor berkata, berdasarkan makluman daripada isteri mangsa, suaminya masih berada dalam bilik tidur kira-kira jam 3 pagi.

Bagaimanapun, dia tidak menyedari bila suaminya keluar dari bilik mereka dan menghampiri pokok di hadapan­ rumah itu.

Katanya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, tiada sebarang salah faham berlaku antara mereka, tetapi Ben Chung dikatakan sanggup bertindak sedemikian kerana tertekan selepas disahkan menghidapi kanser otak, baru-baru ini.

“Siasatan polis terhadap mangsa juga tidak menemui sebarang unsur jenayah, kita percaya mangsa bertindak memanjat pokok di hadapan rumahnya dengan mengikat badan menggunakan tali keselamatan elektrik sebelum terjun,” katanya.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SH

Bukankah Ini Nyata Shahrizat Seorang Pendusta?

SPRM sahkan Shahrizat dipanggil, tapi Shahrizat dakwa dirinya datang secara sukarela

Meskipun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil mendakwa dirinya secara sukarela meminta untuk disoal-siasat, namun Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali mengesahkan kepada MerdekaReview, bahawa Shahrizat dipanggil SPRM untuk memberi kenyataan.

Shahrizat Jalil, juga Ketua Wanita UMNO kembali bertugas di Kementeriannya pada hari ini selepas bercuti tiga minggu, berada di ibu pejabat SPRM pada jam 4 petang tadi, dipercayai ada kaitannya dengan siasatan isu National Feedlot Corporation (NFC). Menurut laporan The Star Online, Shahrizat mendakwa dirinya secara sukarela memohon untuk disiasat SPRM, melalui satu pesanan ringkas (sms) kepada wartawan media itu.

"Excuse me !! I am here at SPRM willingly. Have requested to be questioned and investigated so that no stone is left unturned. Enuff of wild allegations!" (Saya berada di SPRM secara sukarela. Saya meminta untuk disoal-siasat agar siasatan itu dilakukan secara menyeluruh. Cukuplah tuduhan liar!)

Namun demikian, ketika dihubungi MerdekaReview pada jam 6 petang, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali (gambar kiri) mengesahkan bahawa Shahrizat dipanggil untuk memberi kenyataan. Wartawan menyusul dengan memetik laporan The Star Online, bahawa Shahrizat mendakwa dirinya yang minta untuk disoal-siasat.

"Saya tak tahu apa dia cakap. Yang saya tahu dia dipanggil untuk beri kenyataan," kata Mustafar Ali. Bagaimanapun, apabila ditanya apakah soal-siasat ini berkaitan dengan isu NFC, beliau menamatkan perbualan sebelum wartawan sempat menghabiskan soalan.

Shahrizat Abdul Jalil adalah isteri kepada Pengerusi Eksekutif NFC, Mohamed Salleh Ismail, dan anak-anak mereka juga terlibat untuk menyandang jawatan dalam syarikat berkenaan. Sebelum ini, beberapa orang pemimpin Parti Keadilan Rakyat mendedahkan penyalahgunaan wang melalui NFC, dengan menyasarkan Shahrizat Abdul Jalil. Shahrizat yang enggan tunduk kepada tekanan pada awalnya, bagaimanapun mengambil cuti selama tiga minggu, mulai 12 Januari 2012 untuk memberi laluan kepada siasatan SPRM.

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview.

Isu Lama Dimainkan Semula Menjelang PRU Di Selangor

Wan Syahinur 'Main' Isu Lama Di Selangor - Rafizi

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata kes rasuah, curi pasir dan pembunuhan berprofil tinggi yang didakwa sebagai isu besar di Selangor oleh Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh adalah isu lama.

Tetapi katanya, jika ada bukti baru tentang kesemua isu yang dikatakan berlaku di Selangor itu, sila hantar kepadanya dan beliau sendiri akan meminta kerajaan negeri menyiasatnya.

Malah kata Rafizi lagi, kerajaan negeri Selangor sentiasa bersikap terbuka untuk mana-mana pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan berterusan terhadap mereka yang didakwa terbabit dengan sebarang kes penyelewengan di negeri itu.

"Kerajaan negeri telah bersikap terbuka untuk sesiapa sahaja menjalankan siasatan terhadap kes-kes tersebut.

"Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas membuat siasatan, malah stesen TV pun ada yang sudah siasat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Rafizi, adalah tidak wajar untuk Wan Shahinur atau pihak tertentu untuk menyamakan kes-kes tersebut dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (PFN) yang baru dan mendapat perhatian rakyat.

"Isu PFN adalah isu baru yang tidak pernah ada cubaan untuk mendedahkan menyelewengannya sebelum ini.

"Berbeza, sampai tak ada keterbukaan dalam siasatan (bongkar penyelewengan). Kita pula yang kena upah penyiasat persendirian," jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Wan Shahinur pada Rabu yang menasihatkan beliau supaya memberi fokus kepada tiga kes lebih besar di Selangor berbanding isu projek PFN yang di luar bidang kuasanya.

Mengulas lanjut kenyataan Wan Shahinur itu, Rafizi berkata, pengarah NFCorp tersebut sepatutnya menjawab tentang pendedahan terbaru pembangkang berkaitan pembelian kondominium di Singapura.

Katanya, penjelasan Wan Syahinur mempunyai kaitan dengan persepsi masyarakat terhadap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Barisan Nasional (BN).

"Kenapa langsung tak sebut tentang pembelian kondo? Kalau saya tak betul, dia boleh saman saya mungkin lagi beberapa juta.

"Bila dia tak boleh jawab, dia cuba main politik tapi dia bukan orang politik.

"Ada sesetengah kes seperti curi pasir adalah masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, nanti mereka juga yang malu," katanya.

Rafizi berkata, pihaknya bersedia jika terdapat pihak yang ingin tampil bersama bukti untuk dikaitkan dengan penyelewengan atau kes-kes tertentu di Selangor.

"Kalau ada bukti boleh bawa kepada saya sendiri, kerajaan atau polis, saya tak ada masalah. Kalau siasatan dijalankan dan mendapati kita salah, kita reda dan terima," tegasnya.

Pada Rabu, PKR sekali lagi membuat pendedahan terbaru berhubung skandal PFN apabila mendakwa keluarga Shahrizat membeli dua unit kondominium mewah di Marina Bay Suites, Singapura bernilai lebih RM34.56 juta. -mstar

Isu pasir: SPRM sudahpun siasat saya, kata ADUN PKR

ADUN Batu Caves Amirudin Shaari berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telahpun menyoal-siasatnya mengenai dakwaan hubungannya dengan sindiket perlombongan pasir haram pada tahun 2010.

Mengulas isu itu yang dibangkitkan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Amirudin (kiri) berkata badan anti-rasuah itu tidak memintanya untuk kembali sejak beliau disiasat pada 2010.

"Ini isu lama. Saya berikan kenyataan saya kepada SPRM pada Julai 2010 mengenai surat sokongan yang dikeluarkan. Apabila saya bertanya kepada mereka apakah saya perlu kembali mereka berkata, 'Jika mahu, boleh tetapi kita mempunyai kes lain untuk disiasat '.

"Mereka tidak hubungi saya sejak itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Dalam blog terbarunya, Raja Petra menuduh Amirudin dan ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafie terbabit dalam rasuah perlombongan pasir yang melibatkan syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd.

Raja Petra mendakwa kedua-dua wakil rakyat PKR itu adalah pengarah syarikat berkenaan dan menerima elaun bulanan sebanyak RM5, 000.

Beliau juga memuat-naikkan satu salinan surat dari Amirudin kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) - syarikat kerajaan negeri Selangor yang mengendalikan perlombongan pasir di negeri itu - untuk menyokong permohonan Double Dignity bagi mendapatkan kontrak perlombongan pasir.

"Tetapi jika anda lihat dokumen yang Raja Petra 'dedahkan' itu, ia jelas menunjukkan bahawa saya kata saya beri sokongan terhadap permohonan selagi ia mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditetapkan. Saya jelas tentang itu.

"Saya tidak tolak permohonan rakyat apabila mereka minta surat sokongan dan amalan Pakatan Rakyat adalah untuk menyatakan bahawa sokongan adalah dengan syarat bahawa semua prosedur dipatuhi. Ada juga yang permohonan mereka ditolak walaupun berserta surat saya," katanya.
-mk


Ulasan GB

Sekarang ini semacam wujud satu fenomena baru iaitu mewujudkan isu-isu lapuk untuk memburukkan imej kerajaan PR Selangor seperti siu pasir, isu gambar bogel Elizabeth Wong dan sebagainya menjelang PRU13 di dalam misi UMNO BN Tawan Selangor.

Mereka ketandusan isu, lantas cuba "menggilap" isu lama dengan harapan rakyat terpedaya.

Maka diperalatkan Pengarah Eksekutif NFCorp dan RPK yang sekarang ini tersepit dengan pelbagai skandal dan isu yang melanda mereka berdua.

Mereka berdua (Wan Shahinur &RPK) seperti "disuruh" oleh pihak tertentu untuk membangkitkan isu berkenaan.

TG Nik Aziz Libas Komen Fuad Zakarshi

Menjawab komen Fuad Zakarshi

Merujuk kepada komen Fuad Zakarshi (UM & BH 8 Februari 2012) yang mencadangkan agar saya ditarbiyah semula atas sebab enggan memberi komen terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu negara Israel. Ia sesuatu yang jelas tersesat.

Saya amat kesal atas pemikiran sekular seorang timbalan menteri juga bekas seorang guru Yayasan Anda di bawah bumbung ABIM yang dikatakan pernah menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim kelihatan begitu dungu dalam menilai mana satu yang benar dan mana pula yang salah.

Sepatutnya sebagai seorang yang pernah mengagumi Anwar Ibrahim dan pernah duduk sebumbung Yayasan Anda/Markaz ABIM sepatutnya sudah tahu permainan kotor media tajaan Barat (WSJ) itu yang kerjanya untuk menjatuh kredibliti seorang yang tidak sebulu dengan Israel.

Begitu juga akhbar Barat dan pro-Barat juga yang acapkali mengulang-ulang kes liwat (menuduh Anwar) atas sebab untuk memalukan hamba Allah ini.

Apakah hak Fuad Zakarshi mencadang saya ditarbiyah semula? Sedang beliau sendiri sudah dilihat gagal memahami prinsip tarbiyah. Kalau benar dia memahami tarbiyah, masakan boleh membuat respon atas fakta yang diputar oleh WSJ, hantu media Barat yang sentiasa bertindak untuk memecah belah umat Islam. Logikkah saya mengulas atas fakta yang belum pasti benar kerana ia bukan dari sumber pertama.

Sebaiknya Fuad dapat berjumpa sendiri Anwar jika benar ingin mencari pencerahan. Kerana Anwar pernah jadi ketuanya.

Justeru adalah sesuai kalau dia ingin mencari kebenaran, baik sahaja pergi beribadat di masjid. Tapi bagi seorang yang mendokong ideologi kebangsaan sekular, sudah tentu tidak sesuai mencari kebenaran di masjid.

Saya cadangkan lebih baik mencari kebenaran di bilik tandas. Kerana dalam tandas sudah tentu sesuai––banyak syaitan dan iblis yang boleh merangsang fikirannya––menjadi waras selari dengan otak sekular.

Maka, tak payahlah asak dan menyibuk untuk mentarbiyah semula orang lain. Kerana asas tarbiyah itu hendaklah dipaksikan dengan keredahaan Allah.

Mana ada hak bagi manusia seumpama Fuad Zakarshi untuk mentarbiyah orang lain, sedangkan dia sendiri sedang menganut ideologi yang bercanggah dengan keredhaan Allah SWT. -HD

Skim Kesihatan 1Care Zalim Terhadap Rakyat – Boon Chye

Keputusan Kementerian Kesihatan mewajibkan rakyat Malaysia menyertai skim penjagaan kesihatan 1 Care membuktikan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak zalim kepada rakyatnya sendiri, kata Pengerusi Biro Sains dan Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye.

“Sistem 1 Care ini membuktikan betapa zalimnya pentadbiran Najib kerana beliau tahu majoriti rakyat terutamanya persatuan perubatan menolak skim ini.

“Harus diingat yang membantah skim ini adalah mereka yang terdiri dari pakar perubatan yang sangat memahami dunia perubatan dan sudah tentu bantahan mereka ini berasas,” tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Unit Pembiayaan Kesihatan Nasional (NHF) Kementerian Kesihatan, Dr Rozita Halina Hussein bahawa rakyat diwajibkan menyertai skim itu.
Menurutnya, beliau juga mendapat maklumat kerajaan bakal merangka uang undang-undang berkaitan National Health Financing Authority, sebuah perbadanan yang menjalankan kutipan gaji rakyat untuk membayar hospital terpilih yang ditetapkan kerajaan.

“Perbadanan yang bertindak sebagai orang tengah ini jelas merugikan rakyat kerana rakyat diwajibkan membayar kepadanya, selain kebebasan memilih untuk mendapatkan rawatan terhad kerana ia hanya diputuskan perbadanan ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gopeng.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya menumpukan usaha meningkatkan kemudahan di hospital kerajaan agar setanding dengan hospital swasta, berbanding sibuk mewajibkan rakyat menyertai skim berkenaan.

Sehubungan itu Boon Chye berkata, beliau akan memastikan isu itu dibahaskan sepenuhnya dalam sidang Parlimen akan datang.

Pengamal perubatan sebelum ini membantah skim kesihatan 1 Care kerana ia mengenakan potongan 10 peratus daripada pendapatan individu kepada skim berkenaan.

Berdasarkan cadangan itu juga, individu hanya boleh dirawat seorang doktor di kawasan mereka dan tidak dibenarkan memilih doktor lain serta dihadkan jumlah mendapat rawatan sebulan. -KD

1CARE diwajibkan untuk semua rakyat M'sia

Semua rakyat Malaysia akan diwajibkan menyertai cadangan skim penjagaan kesihatan '1Care for 1Malaysia'. Bagaimanapun, kerajaan masih belum merangka pelan pelaksanaannya.

"Bagi penyedia penjagaan kesihatan, ia tidak wajib tetapi untuk rakyat, ia adalah diwajibkan," kata Timbalan Pengarah Unit Pembiayaan Kesihatan Nasional (NHF) Kementerian Kesihatan, Dr Rozita Halina Hussein.

Ini, kata dR Rozita, adalah untuk memastikan sumbangan dapat dimaksimumkan dan semua orang mendapat perlindungan yang sama rata. -mk


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




[Bergambar] Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu Hanya Di Malaysia

Gambar-gambar berikut untuk kita gunakan untuk merehatkan minda kita dari terlalu serius memikirkan sesuatu isu. Gambar-gambar ini bersepah ini internet, dikutip untuk paparan di blog GB ini untuk kita segarkan semula minda kita untuk menghadapi isu-isu baru selepas ini.

Saksikan:
















Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Hadiah Tudung Percuma Ganti Hari Kekasih

NGO Islam Lancar Kempen Menutup Aurat

KUALA LUMPUR – Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa (Gemar) yang dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan mengedarkan tudung percuma dan mengedarkan risalah menutup aurat kepada orang ramai pada 11, 12 dan 14 Februari ini di Pulau Pinang.

Gemar melalui satu kenyataan media memberitahu, aktiviti itu antara program yang terkandung dalam `Operasi Sayangi Remaja’ yang akan diadakan oleh gerakan itu bersempena sambutan Valentine’ s Day pada 14 Februari ini.

“Gemar akan turun beraksi di lapangan pada 11 dan 12 Februari ini. Kawasan yang dipilih adalah di Pantai Jerjak, Queensbay dan Hentian Rehat Pantai Bersih, Bagan Ajam. Kemuncak acara ini adalah pada 14 Februari 2012 iaitu majlis pelancaran Gemar di Masjid At-Taqwa Bertam Pulau Pinang,” kata kenyataan itu hari ini.


Menurut kenyataan itu, NGO yang menyatakan komitmen untuk menyertai Gemar adalah IKRAM, NISA’ Pulau Pinang, Kelab Remaja Lestari, Ikatan Persaudaraan Muslimah Pulau Pinang (Salimah), Aktivis Pengupayaan Insan (API), Komuniti Suara Kehidupan dan Qaryah Masjid At-Taqwa Bertam.

Jelas kenyataan itu, Valentine’s Day tidak selari dengan syariah Islam dan dicemari dengan konsep yang mengajar orang ramai untuk memuja kekasih secara berlebihan dan Gemar diwujudkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya. – mynewshub


Tukar sambutan 'Valentine' kepada Hari Suami Isteri

KOTA BAHARU - Kerajaan Pas Kelantan bercadang menggantikan hari mengingati kekasih `Valentine's Day' yang disambut pada setiap 14 Februari kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah lebih elok jika Hari Valentine, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

"Untuk masa akan datang, kita bersetuju untuk menukar Valentine's Day kepada sambutan Hari Suami Isteri setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Wan Ubaidah Wan Omar.

Beliau berkata tujuan kerajaan menjadikan sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan bagi menggalakkan umat Islam menghayati kehidupan keluarga bahagia mengikut acuan Islam sebenar.

Ini selaras dengan matlamat kerajaan melancarkan kempen menggalakkan remaja melangsungkan perkahwinan melalui program Gerbang Az-ziwaj yang diperkenalkan dua tahun lepas melibatkan 100 pasangan mengadakan perkahwinan secara berkelompok, katanya.

Melalui program itu, katanya kerajaan negeri menyediakan bantuan RM1,000 bagi setiap pasangan yang kurang mampu untuk membiayai mas kahwin dan majlis perkahwinan yang dilangsungkan.

Nik Abdul Aziz melahirkan kebimbangan gejala sosial yang berlaku di seluruh negara akibat pergaulan bebas dan perkahwinan tidak sah menyebabkan kadar kelahiran anak luar nikah atau anak zina mencecah lebih 234,00 di seluruh negara dalam tempoh 2006 hingga 2010.

Menurutnya lebih membimbangkan lagi apabila kira-kira 81,000 daripada jumlah itu melibatkan orang Melayu atau umat Islam dari seluruh negara.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri mewujudkan Pusat Perlindungan Wanita untuk menempatkan wanita yang menjadi mangsa yang terlibat dengan gejala sosial akibat pergaulan bebas dan penganiayaan suami yang tidak bertanggung jawab.

Sementara itu, Wan Ubaidah berkata pusat itu di Pengkalan Chepa mula menerima penghuni terdiri daripada ibu tunggal dan wanita yang merupakan mangsa gejala sosial.
- Bernama