14 Jan 2012

Pukulan Maut Untuk BN - Tol PLUS Hapus Jika Pakatan Rakyat Tawan Putrajaya

Pakatan akan hapuskan tol jika tawan Putrajaya

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol lebuh raya yang telah memperolehi keuntungan berlebihan selepas menawan Putrajaya dalam pilihan raya ke 13.

“Kita akan ringankan beban rakyat dengan mengambil tindakan terhadap konsesi tol macam Projek Lebuhraya Utara Selatan.

“Kos pembinaan PLUS ialah RM6 bilion. Kutipan tol dan ganti rugi dari kerajaan 24.3 bilion. Untung buta 18 bilion,” katanya.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun berkata tindakan tidak akan diambil terhadap syarikat konsesi yang tidak memperoleh keuntungan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar petang ini.

Beliau menambah Pakatan Rakyat akan turut mengambil tindakan terhadap syarikat kroni Barisan Nasional sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan beban ekonomi kepada rakyat.

Lim menambah bahawa tindakan terhadap konsesi yang merupakan kroni BN telah pun dibincangkan bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

`Jasad dan nyawa’

Sementara itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk benar – benar menjadi wakil majoriti suara kesederhanaan.

“Jika benar Umno dan BN mewakili suara kesederhanaan, tarik balik kata-kata “walau bercerai jasad dan nyawa, kita akan pertahankan kuasa di Putrajaya.”

Najib dilaporkan berkata demikian dua tahun lalu semasa perhimpunan agung Umno.

“Ini bukan kesederhanaan. Jika sederhana, terimalah keputusan rakyat,” kata tokoh veteran DAP tersebut.

Beliau turut mencabar Najib menjalankan proses transformasi terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Pakatan janji hapuskan kapitalisme kroni

ALOR SETAR, 14 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan ekonomi kapitalisme kroni yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat kroni dan membebankan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebagai ganti, Pakatan Rakyat akan memperkenalkan dasar ekonomi yang berjiwa rakyat dan memartabatkan rakyat.

“Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol Lebuhraya Utara-Selatan apabila kita mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

“Kita juga akan mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah,” katanya di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di sini hari ini.

Menurutnya, masalah besar akibat ekonomi kapitalisme kroni telah dipupuk oleh kerajaan Barisan Nasional di mana subsidi gas berjumlah RM20 bilion setahun diberi kepada syarikat-syarikat IPP melalui perjanjian berat sebelah.

Begitu juga syarikat-syarikat konsesi tol lebuh raya dibenarkan untuk meningkatkan kadar tol secara berkala sepanjang tempoh konsesi yang panjang, walau pun kebanyakan daripada mereka sudah pun mengaut keuntungan yang jauh melebihi pelaburan asal,
tambah beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, setakat 31 Disember 2010, pengendali tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan NSE tetapi sudah menerima RM24,266 juta dalam kutipan tol dan pampasan kerajaan.

“Dalam kata lain, pengendali tol NSE telah mencatatkan keuntungan lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31 Disember 2010 berbanding pelaburan asalnya. Adakah masih perlu pengendali tol NSE untuk meneruskan kutipan tol daripada rakyat, apatah lagi menaikkan kadar tol?

“Demi kepentingan rakyat, kutipan tol NSE harus dihentikan serta merta kerana pulangannya sudah pun 3 kali ganda melebihi pelaburan asal. Ceritanya sama untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip RM1,859 juta berbanding pelaburan asal RM944 juta, iaitu keuntungan sebanyak RM924 juta,”
katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pengalaman pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah contoh paling baik untuk membuktikan kepada kawan-kawan di negeri-negeri lain bahawa kemakmuran dan kesejahteraan boleh dicapai melalui pentadbiran yang cekap, akauntabel dan telus.

“Kita bersyukur Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan tetapi yang lebih penting adalah membebaskan Malaysia daripada cengkaman BN yang kotor, berasuah, tamak dan rakus.

“Ini tidak bermakna PR pasti menang, tidak, jauh sekali tidak kerana BN masih mempunyai kelebihan tetapi kini PR lebih dekat dengan Putrajaya kalau berbanding tiga bulan yang lepas.

“Itulah sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pilihan raya akan ditunda lebih lama,” katanya.

Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Pakatan gigih bekerja dengan beramanah dan berpasukan untuk menjayakan misi bersejarah bagi menggantikan BN.

“Marilah Ubah kepada PR demi bersihkan Malaysia dan selamatkan rakyat agar bantuan ditambah, tol Lebuhraya Utara-Selatan dihapuskan, harga minyak diturunkan dan kos sara hidup ditangani,” tambah beliau. – Roketkini -roketkini



PLUS Di Hapus Apabila PR Perintah

ALOR SETAR, 14 JAN: Pakatan Rakyat akan menghapuskan tol Projek Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) sejurus selepas menguasai Putrajaya kelak.

Ketua Menteri Pulau Pinang dalam ucapan penggulungannya berkata tidak mustahil PLUS boleh di hapuskan.

"Kos pembinaan PLUS RM6 bilion, tahun lalu keuntungan PLUS RM24.3 bilion. Jadi untungnya adalah lebih RM18 bilion. Apakah mustahil untuk menghapuskan tol PLUS," kata beliau yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan dan pemerhati.

Katanya janji tersebut hanya kepada PLUS dan tidak membabitkan konsesi lebuhraya yang masih belum mendapat keuntungan dan pulangan modal.

"Ini janji Pakatan Rakyat," jelas beliau lagi.

Katanya selain itu, Pakatan juga menjanjikan untuk menurunkan harga barangan dan meningkatkan sara hidup rakyat.

Katanya lagi, janji pakatan tersebut bukan sesuatu yang mustahil di laksanakan sebagaimana tercatat dalam Buku Jingga. -tvsnews




Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Untuk NFC, Bukan Lantik Muhyiddin & Noh

Muhyiddin: Saya dan Noh akan pantau NFC

KANGAR - Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah mengatasi isu yang melanda Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dalam masa yang terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, kerajaan sedang merancang mengenai kaedah mengatasi isu itu dan beliau bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar akan berbincang mengenainya sebelum memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin berkata, segala aset NFC telah dibekukan sementara dan Perdana Menteri telah melantik beliau bersama Noh akan memantau NFC.

Najib mengumumkan langkah membekukan aset di Perak hari ini.

"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri bahawa isu NFC ini dimanipulasi oleh pembangkang dan telah sampai ke penghujungnya bahawa kerajaan akan ambil tindakan dan akan umumkan (tindakan yang diambil) dalam masa yang terdekat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari dan penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan 2020 di sini.

Beliau berkata kerajaan akan meneliti semula semua aspek mengenai NFC itu termasuk meneliti daripada aspek undang-undang dan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat terbabit.

Muhyiddin berkata, kerajaan mempunyai cara untuk menyelesaikan isu itu dan rakyat akan mengetahui tindakan yang diambil terhadap isu itu selepas memaklumkannya kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis mungkin dapat dijadikan panduan untuk langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan.

SPRM baru-baru ini memaklumkan isu pembelian kondominium menggunakan dana NFC telah diserahkan kepada polis yang dilanjutkan kepada Pengarah Jabatan Jenayah Komersial.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya. -SH

PKR Gesa Kerajaan Lantik Pentadbir Korporat Bagi NFC

SHAH ALAM 14 Jan: Seorang pentadbir korporat perlu dilantik bagi mengambil alih pengurusan projek sakit National Feedlot Corporation bagi membuktikan kerajaan pusat serius dalam menyelesaikan kemelut projek RM250 juta itu.

Pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata seorang pentadbir korporat boleh mengambil alih pengurusan NFC bagi melaporkan kepada Dewan Rakyat penyelewengan yang telah berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Menteri Datuk Seri Shahrizat Jalil.

"Sekiranya tindakan membekukan aset tidak disusuli dengan perlantikan pentadbir korporat, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga seperti mana keputusan mengarahkan Datuk Seri Shahrizat Jalil mengambil cuti berbayar selama tiga minggu sahaja," Rafizi berkata di dalam sebuah kenyataan di sini.

Kerajaan pusat semalam mengumumkan bahawa aset NFC akan dibekukan sementara menunggu siasatan penuh dijalankan. Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, juga diberikan cuti tiga minggu sementara siasatan dijalankan.

Keluarga Shahrizat, yang mendapat kontrak bagi menjayakan NFC, didakwa menyeleweng duit RM250 juta yang diberikan untuk menguruskan projek tersebut.

Rafizi turut membidas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan kawalan projek NFC kepada Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Dakwa Rafizi, keseluruhan penyelewengan berlaku dibawah seliaan mereka sebelum ini.


"Kejadian dana yang besar yang dipindahkan ke syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil berlaku pada ketika kedua-dua orang menteri ini sepatutnya memastikan dana hanya dibelanjakan bagi tujuan aktiviti perniagaan NFC sahaja.

"Kecuaian mereka sebelum inilah yang menyebabkan dana rakyat diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, tanah banglo, melancong ke luar negara dan lain-lain," Rafizi berkata. -tvsnews



Ulasan GB

Sunnguh menghairan, menteri-menteri yang terlibat secara terus dengan penyelewengan NFC dilantik untuk memantau perjalanan syarikat tersebut.

Justeru, ia lihat oleh rakyat sebagai usaha untuk menutup kepincangan dan penyelewengan NFC, bukan untuk mendedahkan dan memperbaikinya.

Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja sepatutnya ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan NFC ini. Ia bersangkut-paut dengan penyalahgunaan wang rakyat. Yang bersalah mesti diambil tindakan.

Jika tidak, pastikan UMNO BN dihukum di dalam pilihanraya akan datang ini.

TGNA Mahu BERS✔H 3.0 Digerakkan

Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datok Nik Aziz Nik Mat menyeru supaya BERSIH 3.0 di gerakkan bagi memastikan Pilihanraya Umum ke-13 akan datang dilaksanakan dengan adil, telus dan bersih.

Dalam perutusan yang di edarkan hari ini, beliau berkata tindakan Kerajaan Umno/BN yang di terajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakankan taktik melengah-lengahkan lapan tuntutan BERSIH 2.0 menerusi Pengistiharan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

"Ia satu usaha yang dipertikaikan keikhlasannya. Ini tidak lebih dari usaha pengalih perhatian umum dari menyerang SPR. Ia satu taktik supaya rakyat lupa lapan tuntutan BERSIH 2.0."

Berhubung Konvensyen yang sedang berlangsung, Menteri Besar Kelantan itu berkata perpaduan yang terjalin dengan komponen PR membolehkan PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat bukan Islam.

"Umno pula tidak putus-putus mengkhianati perjuangan PAS dengan menuduh PAS menjadi kuda tunggangan DAP.

"Sebab itu Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk di jemput menjadi rakan dalam PR.

Sehubungan itu menurut beliau sudah tiba masanya menerusi konvensyen ini untuk menggarap dan meningkatkan kerjasama untuk menjayakan agenda BERSIH 3.0 akan menjadi sebuah realiti.

"Ini adalah usaha dan kerjasama yang pasti akan memartabatkan lagi PR selepas 901 iaitu keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerjasama politik dalam PR memenuhi prinsip Tahaluf-Siasi yang merupakan kebajikan sejagat yang mendapat keredhaan Allah.

Justeru katanya, keadilan untuk pelbagai kaum yang diperjuangkan PR selepas 901 mempunyai harapan yang cerah untuk menguasai Putrajaya. -tvsnews

Kerajaan perlu dedah daftar pengundi warga asing

ALOR SETAR, 14 Jan: Seluruh rakyat negara ini diseru menolak politik kotor yang diamalkan di negara ini oleh para pemimpin Umno BN dengan menukar BN kepada Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 akan datang.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga sehubungan itu menyeru seluruh rakyat negara ini menolak segala ciri yang menyumbang kepada politik kotor termasuk menolak pemimpin-pemimpin yang tidak berintegriti.

Menurutnya, selain itu, orang ramai juga perlu menolak pemimpin-pemimpin yang rasif dan pasif dan pemimpin yang mementingkan diri berbanding kepentingan rakyat.

Berucap pada Acara Suara Nurani Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu"adzam Shah, di sini, hari ini, beliau berkata, pentadbiran Kerajaan BN ternyata gagal mencegah rasuah, malah indeks rasuah di negara ini terus meningkat dari kedudukan di tangga ke-10 ke tangga ke-6 tahun lalu.

"Aset negara yang telah dikeluarkan ke luar negara juga cukup tinggi sehingga USD291 bilion tahun lalu dan pengeluaran aset secara haram ini mestilah dihentikan," katanya.

Beliau turut mendesak pihak kerajaan dan menteri terbabit mendedahkan akaun petronas untuk pengetahuan seluruh rakyat.

Begitu juga dengan data-data berhubung pendaftaran warganegara asing sebagai pengundi di negara ini yang mesti didedahkan oleh menteri yang bertanggungjawab.

"Kerajaan BN juga mestilah melaksanakan lapan tuntutan Bersih terlebih dahulu sebelum mengadakan PRU Ke-13," ujar beliau.

Kesemua tuntutan itu telah dinyatakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen baru-baru dan ia mestilah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum pilihanraya diadakan.

"Kalau tidak tak ada gunanya kerajaan menubuhkan jawatankuasa itu," tegas beliau. -HD


Ulasan GB

BERS✔H 3.0 memang wajar digerakkan daripada sekarang. Dakwat kekal digunakan tetapi daftar pemilih masih belum diberishkan. Warganegara asing pula ramai didaftar sebagai pemilih.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Pemuda PR mampu menjadi peneraju utama penggerak BERS✔H 3.0 jika pihak J/K BERS✔H 2.0 sudah enggan untuk menjayakannya.

Jangan hanya bercakap, berindak sekarang. Panggil mesyuarat, tetapkan tarikhnya SEGERA.

Dan jangan berlengah sebelum kita terus ditipu SPR dan UMNO/BN.

Aset NFC Dibekukan. [UPDATED]

PM: Aset NFC dibeku hingga siasatan selesai

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kesemua aset Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dibekukan sehingga siasatan pihak berkuasa berhubung kontroversi yang menyelubungi projek lembu daging itu selesai.

Sehubungan itu, perjalanan projek tersebut akan diawasi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai isu NFC dan keputusan Ketua Wanita Umno itu bercuti adalah "keputusan terbaik."

"Ya, saya sudah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan (pergi) bercuti adalah keputusan terbaik untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang rapi," katanya lagi.

Projek itu yang mendapat dana RM250 juta daripada kerajaan diuruskan oleh keluarga Shahrizat dengan suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan pengerusi eksekutifnya.

Semalam, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya konsisten mahu kepimpinan Najib membekukan segala operasi dan aset NFC.

Sehubungan itu tegas Rafizi, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu mengambil tindakan itu dan ia menjadi keutamaan demi kepentingan rakyat berbanding keputusan Shahrizat mengambil cuti tiga minggu.

"Bagi saya, sebagaimana kami telah katakan dari dahulu lagi, kami konsisten dengan pendirian bahawa kerajaan harus membekukan aset NFC sementera siasatan dijalankan, harus menghentikan operasi NFC dan menghentikan sebarang bentuk bayaran dan menghalang

NFC daripada membuat sebarang keputusan-keputusan penting.

"Soal Datuk Seri Shahrizat mengambil cuti selama tiga minggu bagi membolehkan siastaan dijalankan, ia adalah perkara kedua, bukan keputusan signfikan," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Kata beliau, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan membekukan dana yang disalurkan sebab ia membabitkan wang rakyat dan kepentingan nasional.

Kelmarin, Shahrizat mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai hari ini daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketua Wanita Umno itu berkata, beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya Shahrizat berkata: "Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai NFC di mana suami saya

Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif."

NFC ialah projek Lembah Daging di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Masalah berkenaan projek itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan akhir tahun lalu.

Ekoran laporan itu, kepimpinan PKR dalam pendedahan bersiri sejak November lalu mendakwa wujud unsur salah guna dana RM250 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada NFC.

Beberapa pemimpin PKR turut meminta Shahrizat memikul tanggungjawab selaku anggota Kabinet dan melepaskan jawatannya. -sinarharian

Najib Anggap Keputusan Shahrizat Ambil Cuti Tepat

PARIT BUNTAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti selama tiga minggu adalah keputusan yang tepat.

Beliau berkata ia akan membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap Shahrizat sama ada beliau terbabit atau tidak dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Najib berkata ia termasuk siasatan dari awal lagi sama ada Shahrizat sebagai seorang menteri, terbabit dalam proses pemberian projek itu kepada keluarganya.

"Ya, saya dah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan untuk ambil cuti itu adalah keputusan yang tepat untuk membolehkan pihak berkuasa jalankan siasatan yang rapi.

"Dan Datuk Seri Sharizat beritahu dia sanggup disiasat sepenuhnya dan apa yang akan berlaku kemudian tertakluk kepada hasil siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di sini Sabtu.

Shahrizat dalam satu kenyataan Khamis lepas mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai semalam daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui suaminya Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Najib berkata kesemua aset NFC telah dibekukan pada masa ini.

Perdana Menteri berkata beliau juga sudah menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk mengkaji apakah penyelesaian yang terbaik dalam isu NFC, dengan siasatan polis yang dijalankan dan masa depan NFC itu sendiri.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. - BERNAMA



Semua aset NFC telah dibekukan, kata PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua aset Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) telah dibekukan pada masa ini.

Katanya, beliau juga sudah menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk mengkaji apakah penyelesaian yang terbaik dalam isu NFC, dengan siasatan polis yang dijalankan dan masa depan NFC itu sendiri.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging
import.

Perdana menteri juga menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti selama tiga minggu adalah keputusan yang tepat.

Katanya, ia akan membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap Shahrizat sama ada beliau terbabit atau tidak dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Najib berkata ia termasuk siasatan dari awal lagi sama ada Shahrizat sebagai seorang menteri, terbabit dalam proses pemberian projek itu kepada keluarganya.

"Ya, saya dah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan untuk ambil cuti itu adalah keputusan yang tepat untuk membolehkan pihak berkuasa jalankan siasatan yang rapi.

"Dan Datuk Seri Sharizat beritahu dia sanggup disiasat sepenuhnya dan apa yang akan berlaku kemudian tertakluk kepada hasil siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Parit Buntar hari ini.

Shahrizat dalam satu kenyataan Khamis lepas mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai semalam daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui suaminya Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. -BERNAMA




[Bergambar] Konvensyen PR: Undi Pakatan Rakyat Sebelum Malaysia Dibankrapkan BN

Undi Pakatan Rakyat sebelum Malaysia bankrap

ALOR SETAR, 14 Jan: Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, sebaliknya perlu berbuat demikian pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, tindakan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 amat penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat menyelamatkan negara dari kejadian itu.

Menurutnya, sekiranya undi diberikan kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, ia sudah tidak bermakna lagi kerana tindakan tersebut ternyata telah terlewat

"Jadi untuk menyelamatkan Malaysia, undilah Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 ini. Jangan beri undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap.

"Kalau diberikan undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, kami pun tak nak sebab kami tak mahu dikatakan kerajaan bankrap," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Katanya, setiap rakyat negara ini perlu sedar, menurutnya, kenyataan mengenai Malaysia akan bankrap bukan rekaan tetapi ia diramalkan oleh tokoh ekonomi sendiri, Datuk Idris Jala dan kejadian itu diramalkan berlaku pada tahun 2019 nanti jika langkah-langkah mengatasinya tidak dilakukan.

Ramalan tersebut dibuat berdasarkan realiti yang berlaku di Malaysia sekarang di bawah pemerintahan BN yang penuh rasuah, penyelewengan, pembaziran wang rakyat sehingga hutang negara semakin meningkat melebihi RM450 bilion sekarang.

Mohamad Sabu menambah, ramalan Datuk Idris itu jelas menunjukkan rakyat negara ini sudah tidak boleh lagi memberikan kepercayaan kepada para pemimpin Umno BN untuk memerintah negara ini kerana mereka ternyata gagal menyelamatkan negara dari bankrap.

"Sebaliknya jika BN menang dalam pilihan raya nanti, Malaysia akan bankrap. Kata-kata ini mesti diratib selalu kepada orang ramai bagi menyedarkan rakyat mengenai perkara itu untuk menyelamatkan Malaysia dari kemusnahan jika terus menyokong Umno BN," ujarnya.

Konvensyen tersebut dihadiri kesemua pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -HD













sumber: pelbagai


Ratu Belanda Hentam Pemimpin Anti-Islam

Amsterdam: Ratu Belanda, Beatrix, menghentam pemimpin parti anti-Muslim negaranya, Geert Wilders, dengan menyifatkan kata-katanya sebagai ‘mengarut’ mengenai tindakan ketua diraja itu memakai tudung kepala ketika melakukan lawatan di sebuah masjid di sebuah negara Teluk.

Kenyataan beliau dianggap luar biasa kepada wartawan Belanda yang mengiringinya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, baru-baru ini.

Beatrix memberitahu wartawan, beliau memakai tudung kepala berkenaan ketika di UAE dan sekali lagi sewaktu mengunjungi Masjid Besar Sultan Qaboos, sebagai menghormati agama Islam.

Ratu Belanda berkenaan menjawab pertanyaan wartawan berhubung soalan yang dikemukakan di Parlimen yang dikemukakan oleh Wilders, pemimpin Parti Kebebasan (PVV) yang menuduh keputusan ketua diraja itu menutup kepala ketika mengunjungi masjid di Abu Dhabi, Ahad lalu, sebagai mengesahkan penindasan wanita.

Wartawan yang mengiringi ratu Belanda itu di Muscat pada Khamis lalu melaporkan Beatrix menarik nafas panjang sambil berkata beliau tidak terkejut dengan apa yang disuarakan oleh Wilders.

Puteri Maxima juga menolak tuduhan Wilders dengan menyatakan bahawa dua pertiga pelajar di Abu Dhabi adalah wanita, lapor media Belanda.

Media Eropah menyifatkan kata-kata yang diluahkan secara terus terang oleh Beatrix itu sebagai luar biasa kerana ia jarang disuarakan terhadap parti politik Belanda sendiri.

Wilders berpendirian menentang pemakaian tudung termasuk burqa bagi wanita. Malah, kerajaan Belanda sendiri sudah mengumumkan rancangan mengharamkan burqa.

Di Belanda, orang Islam meliputi satu juta daripada 16.7 juta penduduk negara berkenaan, kebanyakannya imigran dari Turki dan Maghribi.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pula mempertahankan tindakan Beatrix.

“Apabila beliau mengunjungi rumah ibadat, sudah semetinya beliau menghormati adab berpakaian,” kata Rutte dalam jawapan bertulis kepada soalan Wilders di Parlimen. – Agensi

Khalid, Timbalan KPN Disaman RM100 Juta

Ibu Kugan saman Timbalan KPN RM100 juta

KUALA LUMPUR 13 Jan: Ibu kepada mangsa tahanan yang mati dalam lokap polis, A Kugan memfailkan saman RM100 juta terhadap Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Selain Khalid, saman itu turut difailkan kepada empat yang lain kerana gagal memastikan keselamatan anaknya semasa dalam tahanan, tiga tahun lepas.

Pentadbir estet N Indra turut menamakan Konstabel Polis V Navindran, bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Indra memfailkan saman itu melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di ibunegara pada pukul 9 pagi, lapor Malaysiakini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati (Kugan) semasa dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009 serta gagal untuk melaksanakan pengawasan dan pengawalan ke atas anggota polis.

Wanita berusia 44 tahun itu turut mendakwa defendan gagal menyediakan satu sistem yang selamat untuk menyoal dan mengendali suspek dalam polis tahanan serta gagal memastikan jagaan perubatan untuk anaknya.

Indra mendakwa para defendan juga cuba menyembunyikan sebab kematian sebenar anaknya dan/atau mengeluarkan kenyataan yang dikira membebaskan polis daripada tanggungjawab dengan pengetahuan sepenuhnya bahawa kematian itu adalah tidak disebabkan oleh mereka.

Wanita itu menuntut gantirugi RM100 juta, serta gantirugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Pada 28 Jan tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membebaskan Navindran daripada dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 20 Januari 2009.

Masalah Air Di Parlimen Pekan Sendiri Tak Selesai, Mahu Selesaikan Masalah Di Selangor

Najib: Masalah penduduk selesai jika BN berkuasa

Shah Alam, 13 Jan — Datuk Seri Najib Razak hari ini berjanji segala masalah penduduk di Selangor akan selesai sekiranya rakyat memilih perikatan tersebut untuk memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 depan.

Perdana Menteri berkata demikian ketika Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Rimba Jaya, Seksyen 16, di sini.

“Segala masalah penduduk di Selangor termasuk masalah sampah sarap, air dan sebagainya akan selesai sekiranya kerajaan BN memerintah negeri ini,” katanya yang sudah melakukan tiga lawatan dalam sebulan ke Selangor dalam usaha yang dilihat sebagai usaha menawan kembali kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum itu, Najib mengadakan lawatan “walkabout” ke Kompleks PKNS Shah Alam bagi mendengar keluhan peniaga-peniaga yang menghadapi masalah tekanan kenaikan kadar sewa sebanyak seratus peratus oleh kerajaan negeri.

Lawatan Najib ke Selangor hari ini turut menyaksikan mesyuarat tertutup beliau dengan ketua Pusat Daerah Mengundi Selangor di Intekma Resort.

Dalam lawatan ke PKNS, Najib turut berjanji akan menyelesaikan masalah peniaga-peniaga di berkenaan bahawa tidak akan berlaku sebarang kenaikan kadar sewa di kompleks berkenaan sekiranya Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan negeri selepas pilihan raya akan datang.

Malah, Najib turut berjanji akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan supaya mewartakan kompleks berkenaan sebagai Kompleks Warisan demi menarik kemasukan pelancong ke Shah Alam.

“Ada cadangan daripada peniaga supaya kerajaan pusat mengambil alih kompleks ini daripada kerajaan negeri, namun begitu, agak sukar untuk kerajaan pusat membantu peniaga-peniaga di kompleks PKNS ini sekiranya kerajaan negeri masih lagi di bawah Pakatan Rakyat, mereka akan tetapkan pelbagai syarat yang ketat kepada kerajaan.

“Adalah lebih mudah sekiranya kita kuasai kerajaan negeri dan kita akan ambil alih komples PKNS ini untuk dibangunkan,” katanya dan disambut jeritan sokongan daripada peniaga-peniaga di kompleks berkenaan.

“Sekarang kita mengalami zaman gelap, kita makan ubi kayu, tapi selepas semboyan dibunyikan, saya berjanji kita akan makan nasi minyak,” katanya lagi dan mengharapkan peniaga-peniaga di kompleks PKNS berkenaan bersabar dan membuat keputusan bijak dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Penduduk di kawasan Rimba Jaya turut dijanjikan peruntukan untuk membina surau dan kuil untuk aktiviti keagamaan masyarakat di sini.

Selain itu, Najib turut mempertimbangkan kaedah dan cara untuk mengatasi masalah pinjaman untuk penduduk setinggan di kawasan tersebut yang tidak mampu membuat pinjaman perumahan untuk berpindah ke kawasan pangsapuri berkenaan.

“Saya bukan berjanji, tetapi saya minta penduduk beri saya masa untuk memikirkan penyelesaian terbaik untuk membantu mereka yang tidak mampu membuat pinjaman perumahan,” katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

Demikian hebat janji Najib. Katanya:

“Segala masalah penduduk di Selangor termasuk masalah sampah sarap, air dan sebagainya akan selesai sekiranya kerajaan BN memerintah negeri ini”.

Sedangkan masalah air di parlimennya sendiri di pekan Pahang tidak selesai, tiba-tiba beliau membuat kenyataan "semua" masalah seluruh Selangor akan selesai jika BN memerintah.

Menjadikan dirinya seolah-olah seperti Santa Claus yang menabur gula-gula kepada penduduk Selangor.

Kita minta beliau balik ke Pekan selesaikan dahulu masalah air yang kian meruncing di parlimennya.

Persoalannya, kata beliau mengapakah projek pembinaan UMP yang kini telah pun menempatkan mahasiswa di sana dalam keadaan tidak lengkap dengan keperluan asas seperti bekalan air.

“Katanya, mengapa kawasan Perdana Menteri boleh jadi seperti itu sedangkan beliau merupakan ahli parlimen Pekan.

“Adakah beliau tidak turun padang dan tidak ambil tahu permasalahan mahasiswa di UMP yang kian parah?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] Mahasiswa UPSI Digantung & Dibuang Kolej Kerana Video "Kau Nie"

Dua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi notis pembuangan kolej dengan alasan yang sangat tidak munasabah.

Menurut pimpinan Mahasiswa Pendidik UPSI, mereka berdua adalah antara pelakon yang menjayakan video pendek 'Kau Nie' yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan anak muda.

Video tersebut turut memaparkan beberapa perbualan tentang isu semasa yang berlaku kepada mahasiswa.

Antara yang hangat diperbincangkan dalam video tersebut adalah tentang isu Adam Adli dan beberapa siri himpunan mahasiswa.

Video tersebut dipaparkan bertujuan untuk memberi pendidikan politik kepada mahasiswa di Malaysia.

Mengulas perkembangan itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berasa kesal dengan pentadbiran UPSI yang dilihat semakin keterlaluan kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor, universiti bukan tempat menghukum mahasiswa tetapi sebagai training ground bagi mahasiswa sebelum keluar ke medan yang lebih mencabar.

"Apa salahnya mahasiswa ingin berkongsi ilmu dan idea dalam bentuk video, itu adalah satu perkembangan ilmu yang terbaik dalam era globalisasi hari ini.

“Saya bimbang jika pada satu hari nanti, mahasiswa yang menulis 'status' di Facebook juga akan menjadi mangsa," ujarnya.

Beliau juga turut mengecam beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini khususnya himpunan 1 Januari yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Katanya, kehadiran polis pada malam tersebut sangat tidak rasional kerana ia hanyalah himpunan bukan pemberontakan.

Justeru, ujarnya UPSI mesti lebih matang dan bersifat terbuka lebih-lebih lagi memegang status sebagai kampus pendidikan di Malaysia.

Hafizuddin turut menyeru kepada Timbalan Naib Canselor HEPA UPSI, Datuk Junaidi Abu Bakar supaya lebih bersikap profesional dan rasional dalam membuat sebarang respons terhadap gerakan mahasiswa.

Beliau turut mengecam tindakan menggantung Adam Adli selama 3 semester kerana sangat melampau, hanya kerana bendera.

"Saya berharap Datuk Junaidi dan Datuk Khaled Nordin selaku Menteri KPT tidak menjaga periuk nasi mereka semata-mata, bahkan mereka mesti menghormati pendirian dan pergerakan mahasiswa selaku anak muda intelektual," ujarnya. -HD