21 Sep 2012

Kawalan Udara Tak Berfungsi, Syarikat Anak Jamaluddin Jarjis Bertanggungjawab

Subang: Pusat kawalan udara di ibu negara tidak berfungsi minggu lalu ekoran kegagalan sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, fungsi radar dan radio tergendala selama dua jam menyebabkan semua penerbangan dibatalkan dan kawalan ruang udara diserahkan kepada negara jiran.

Beliau mendedahkan laporan interim Jabatan Penerbangan Awam (DCA) oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara itu.

Menurut Izzah, syarikat bertanggungjawab mengawalselia sistem terbabit adalah Advanced Air Traffic Systems Sdn Bhd (AAT) yang dimiliki anak bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Jamaluddin Jarjis.

“Pelbagai kenyataan media, permintaan penjelasan dan audit bebas terhadap sistem yang dibangun dan diselenggara SELEX Sistemi Integrati dan AAT dibuat.

“Namun Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak mengendahkan, malah memperkecil catatan sistem yang menelan belanja 26.05 juta Euro (RM128.4 juta),” katanya pada sidang media di hadapan DCA, di Subang hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden Keadilan, N Surendran dan Ketua Biro Keselamatan Keadilan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Justeru, beliau persoal bagaimana Kementerian Pengangkutan dan DCA boleh melulus dan membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim dan lewah (redundancy).

Tegasnya, kegagalan sistem ini menimbulkan syak jutaan ringgit yang dibelanja dalam pembangunan sistem di KLIA2 mungkin mengalami nasib sama yang menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan,” kata Izzah.

2 ulasan:

  1. bila sang penyamun & penyangak dengan senang menyeleweng khazanah negara demi kronisma terlampau ! ABU saja penyelamat!

    BalasPadam
  2. Bila sudah jatuh satu kapalterbang, agaknya baru ketika itu ubn kata ada isu untuk bertindak.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.