4 Ogo 2012

George Kent Hanya Dapat 8.7 Drp 30 Markah Keseluruhan Bagi Penilaian Kewangan

Petaling Jaya: Konsortiun George Kent-Lion Pacific didakwa mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kelulusan penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaan projek tambahan sistem LRT-Ampang.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebaliknya berkata, konsortium tersebut sebenarnya gagal dan hanya mendapat 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

Perkara itu didedahkan Rafizi melalui satu salinan surat yang dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar kepada Kementerian Kewangan.

Dalam surat bertarikh 20 Januari itu, Shahril melaporkan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut laporan tersebut, berdasarkan lapan calon pembida, Konsortium George Kent juga didapati tidak memenuhi syarat kontrak, namun membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (Agreed Disruption Damages) disemak kembali.

Manakala dari segi teknikal, laporan tersebut menyatakan George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal dengan 38.62 daripada 70 markah keseluruhan.

Malah laporan Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Bidaan itu dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara.

“Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pembohongan yang dibuat Pengarah Eksekutif George Kent, Ir Dr Cheong Thiam Fook ini dibuat dengan tujuan untuk mengaburi mata rakyat Malaysia.

Malah, katanya ia menghina semua prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara seolah-olah ia tidak berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

`Lesen besar’

Lebih merunsingkan, katanya ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana.

“Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional (BN) percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan Najib dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak,” katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata kemampuan Prasarana kini mungkin diragui bagi memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat Prasarana.

“Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Najib kepada syarikat itu.

“George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih,” katanya.

Cheong dalam kenyataannya semalam menafikan pihaknya gagal dalam penilaian teknikal sebelum dianugerahkan projek tersebut yang bernilai RM1.1 bilion, malah yakin dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan. -FMT

Buktikan Mengapa George Kent Layak Laksana Projek LRT

SHAH ALAM 3 OGOS : Kerajaan dan Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) perlu memberikan penjelasan kepada rakyat bahawa George Kent adalah “konsortium terbaik” daripada segi harga dan kepakaran teknikal, berbanding syarikat itu sendiri yang membuat kenyataan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Prasarana perlu menunjukkan dokumen berkenaan dengan projek pembinaan tambahan LRT Ampang dengan membuktikan mengapa konsortium George Kent patut mendapat kontrak tersebut.

Prasarana pada Selasa lalu mengumumkan bahawa George Kent-Lion Pacific (GKLP-JV) berjaya mendapat kontrak tersebut yang bernilai RM956 juta.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak campur tangan dalam pembidaan tender tersebut.

Penganugerahan kontrak itu juga dakwa dimiliki oleh “kawan rapat” Perdana Menteri, dan mendapat markah terendah penilaian teknikal dan komersial dalam projek tersebut.

“Beban dari segala persoalan ini kepada kerajaan persekutuan untuk membuktikan bahawa tidak ada salah guna kuasa dalam penganugerahan tender kepada George Kent,” kata Pua dalam kenyataannya hari ini.

Jelas beliau lagi, tindakan terbaik untuk kerajaan menghapuskan segala tuduhan terhadap kronisme ini ialah dengan menunjukkan segala dokumen dalam penganugerahan projek ini.

Ia dari dokumen tender hingga penyerahan projek, kepada kertas penilaian yang diaturkan oleh Prasarana dan panel konsultan serta minit mesyuarat dalam membuat keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan berkenaan dengan penganugerahan projek ini.

“Dengan mendedahkan dokumen ini, barulah sejajar dengan apa yang perdana menteri katakan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diketuai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), yang mahu ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran dan perolehan projek kerajaan,” ujar Tony.

Tambah Tony, kajian PEMANDU sendiri semasa GTP Roadmap 2010 menunjukkan “71 peratus dari korporat tidak ada ketelusan dan keterbukaan dalam penganugerahan kontrak dari kerajaan”.

George Kent semalam mengeluarkan kenyataan berkata GKLP-JV gagal dalam penilaian teknikal dan komersial sebagai “tidak berasas”.

Syarikat itu mendakwa menguruskan banyak syarikat pembinaan yang melibatkan mekanikal kompleks dan kejuruteraan di Malaysia dan luar negara.

Ia juga mengatakan berjaya membina projek dalam masa dan bajet yang tepat, antaranya projek RM100 juta dan merekabentuk hospital Kuala Lipis.

George Kent juga berkata syarikat itu juga akan mengetuai projek LRT Ampang ini, bersama-sama Tewet GmbH, iaitu sebuah syarikat yang telah mempunyai pengalaman dengan membina lebih 400 projek serupa di seluruh dunia.

Sebelum ini,Rafizi menyeru kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk mendedahkan penganugerahan projek tambahan LRT Ampang.
-selangorku



2 ulasan:

  1. MasyaAllah, apa nak jadi dengan negara Malaysia nie...
    Penjawat Awam yg kerdil nie.. buat silap 5 sen pun kena terjah dek SPRM ... renung2kan lah.

    BalasPadam
  2. sejak zaman mahadir sampai skrg semakin tenatnya PM umno menggunakan kuasanya sesukahatinya utk nak menolongkan kroni dan kwn2 dia...mcm negara ni hak penuh dia dan dipertahankan oleh undang2 negara yg dah dipijakkan oleh mahadir dulu

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.