14 Jul 2012

[PANDUAN] Rafizi Disiasat Polis, Hanya Akan Jawab Di Mahkamah

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini dipanggil oleh pihak polis di Balai Polis Tropicana, Petaling Jaya untuk disiasat berkenaan dokumen rahsia projek sambungan LRT Ampang.

Rafizi dipanggil ke balai polis Tropicana pada pukul 3 petang dan disoal berkenaan dengan dokumen rahsia itu selama sejam.

“Saya hanya jawab ‘saya akan jawab’ di mahkamah ketika disoalsiasat oleh polis.

“Di bawah Seksyen 112 Prosedur Siasatan Jenayah, Kita mempunyai hak untuk tidak menjawab sekiranya jawapan kita boleh digunakan untuk mendakwa kita.

“Saya tidak menjawab satu soalan pun,”
kata Rafizi dalam perbualan telefon bersama The Malaysian Insider sebentar tadi.

Menurut Rafizi lagi, beliau disiasat berikutan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang pegawai Kementerian Kewangan berkenaan dengan isu kebocoran dokumen.

“Selepas ini pihak polis akan menyerahkan notis untuk dapatkan dokumen asli.

“Dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), polis mempunyai hak untuk berbuat begitu,” kata Rafizi lagi.

Sebelum ini, blog pengarah strategi PKR itu digodam, dipercayai kerana memuat naik dokumen-dokumen sulit yang turut melibatkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak. -TMI


PANDUAN

Apa yang perlu anda buat apabila ditahan polis?

o Minta beliau tunjukkan Kad Kuasa Polis
o Catit nama dan nombor anggota yang tercatat dalam Kad Kuasa Polis
o Jika beliau berpakaian seragam, catit nombor anggota pada pakaian seragam
o Jika beliau berkenderaan, catit nombor pendaftaran kenderaan

2. Apa perlu anda buat jika diminta pengenalan diri?
o Berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat sahaja
o Jangan sekali-kali menyerahkan kad pengenalan anda kepada polis; hanya tunjuk sahaja
o Jika polis paksa anda serahkan kad pengenalan, minta dikeluarkan Borang Pemeriksaan sebagai bukti kad pengenalan dirampas

3. Bilakah anda ditahan?
o Apabila anda dihalang beredar dari tempat tersebut
o Apabila anda digari

4. Apa harus anda buat apabila ditahan?
o Jangan melawan dan jangan beri alasan kepada polis untuk gunakan kekerasan
o Tanya apakah alasan anda ditahan
o Tanya ke balai mana anda akan dibawa

5. Apakah hak anda setelah ditahan?
o Anda berhak membuat panggilan telefon kepada keluarga dan/atau peguam dan maklumkan balai tempat anda dibawa, sebab tangkapan dan nama polis yang membuat tangkapan

6. Berapa lama polis boleh menahan anda?
o Polis boleh menahan anda tidak melebihi 24 jam di balai atau lokap polis
o Anda boleh ditahan melebihi 24 jam jika anda diberikan Perintah Reman oleh Mahkamah Majistret tertakluk kepada tempoh maksimum 7 (4+3) hari bagi kesalahan menghadiri perhimpunan ‘Bersih 2.0’

7. Apakah yang perlu dibuat apabila anda dibawa ke hadapan Majistret untuk mendapatkan Perintah Reman?
o Beritahu polis/Majistret bahawa anda ingin diwakili peguam
o Jika anda diwakili peguam, anda tidak perlu bercakap kerana peguam yang akan bercakap bagi pihak anda di hadapan Majistret
o Anda hanya perlu beritahu peguam yang mewakili anda sekiranya anda sakit, didera, diugut atau tidak diberikan makanan/air/pakaian secukupnya semasa dalam tahanan. Buat laporan polis dengan segera jika berlaku keadaan sedemikian
o Beritahu juga kepada peguam sama ada polis telah menjalankan penyiasatan semasa anda dalam tahanan

8. Apakah yang perlu dibuat apabila polis ingin merakam Kenyataan Bertulis semasa dalam tahanan?
o Kenalpasti nama dan pangkat pegawai yang menyoal siasat anda
o Berikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan (butir-butir peribadi) jika diminta
o Selain memberikan butir-butir peribadi, anda dinasihatkan untuk berdiam diri dari menjawab soalan dari pegawai polis
o Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan “saya akan jawab di mahkamah” terhadap sebarang soalan yang dikemukakan kepada anda dan polis tidak boleh memaksa, mengugut atau memukul anda jika anda enggan menjawab soalan

o Bilakah anda didakwa di mahkamah? Anda boleh didakwa di mahkamah pada atau sebelum tempoh reman yang diberikan terhadap anda tamat
o Anda didakwa jika pertuduhan dibacakan terhadap anda di hadapan seorang Majistret/Hakim dan anda ditanya sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan
o Pastikan anda MENGAKU TIDAK BERSALAH dan peguam akan mewakili anda sehingga perbicaraan selesai



1 ulasan:

  1. Terima kasih atas maklumat yang sangat sangat berguna... selama ini kita rasa sentiaa dibuli... dengan penjelasan yang seperti ini kita lebih bersedia.. Semoga Allah membalas jasa baik GB.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.