12 Mei 2012

[KAJIAN] Isu "2L" (Lembu NFC & Lynas) Bakal Buat UMNO BN Terkangkang Pada PRU13

PRU13: Isu NFC boleh jejas imej Umno-BN

Shah Alam - Kontroversi berkaitan dengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang tercetus November lalu, dilihat sebagai antara isu masih 'segar' di kalangan pengundi dan boleh menjejaskan imej Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Ia antara penemuan kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang baru dikeluarkan.

Daripada lebih 2,200 responden ditemui, yang terdiri daripada pengundi berdaftar, majoriti pengundi mengatakan mereka bersetuju yang isu NFC menjejekasn imej Umno kerana ia memberi gambaran parti teras Barisan Nasional (BN) itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Isu itu telah membawa kepada tindakan mahkamah ke atas Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Salleh Ismail manakala isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh senator berakhir 8 April lalu.

Kajian ini dijalankan dalam lingkungan tersebut.

Hasil kajian yang diperoleh menunjukkan 68 peratus responden Melayu berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju apabila diajukan soalan berkaitan.

Begitu juga dengan responden kalangan pengundi Cina - masing-masing 31 peratus sangat setuju dan 49 peratus setuju. Pengundi India yang sangat bersetuju dan setuju dengan soalan itu masing-masing 13 peratus dan 32 peratus.

Kontroversi NFC merupakan salah satu daripada empat isu yang menjadi pilihan responden apabila ditanya mengenai antara isu yang boleh menjejaskan prestasi BN pada PRU13.

Dua isu yang lain ialah kenaikan harga rumah yang melambung tinggi dan aspek berkaitan dengan integriti pemimpin BN-Umno.



Salah satu aspek penemuan hasil kajian, yang dibawa Sinar Harian Online semalam menunjukkan BN menjadi keutamaan di kalangan 49 peratus pengundi manakala 21 peratus kepada Pakatan Rakyat. Bagaimanapun 30 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, dilihat sebagai pengundi atas pagar.

Berhubung soalan sama ada isu NFC tidak berkaitan dengan Shahrizat dan diperbesarkan oleh parti pembangkang, 49 peratus respoden tidak setuju manakala 35 peratus tidak pasti.

Hanya masing-masing empat peratus dan 12 peratus sangat setuju dan setuju dengan soalan itu.

Malah, arah aliran pandangan itu seiring dengan pendirian yang dilahirkan oleh responden yang cenderung menyokong BN.

Peratusan mereka yang tidak setuju dan sangat tidak setuju (38 peratus) mengatasi kumpulan responden yang setuju dan sangat setuju (21 peratus).

Majoriti responden juga bersetuju bahawa isu NFC melibatkan Shahrizat kerana penglibatan keluarganya secara langsung.

Seramai 58 peratus sangat setuju dan setuju manakala 35 peratus lagi tidak pasti.

Menjawab soalan sama ada keluarga Shahrizat perlu memulangkan kembali wang NFC kepada kerajaan, 66 peratus responden berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju.



Hanya 29 peratus responden tidak pasti. -SH


Kajian: Lynas perlu ditutup sebelum PRU13

SHAH ALAM - Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil tindakan drastik - menutup projek nadir bumi Lynas dengan kadar segera, untuk memperoleh sokongan menyeluruh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), demikian menurut satu kajian kendalian Universiti Malaya (UM).



Penemuan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel), yang dikendalikan akhir Mac dan awal April lalu mendapati, 34 peratus sangat bersetuju dan 27 peratus lagi bersetuju agar operasi projek itu ditutup segera.



Seramai 24 peratus tidak pasti manakala 11 peratus tidak setuju dan empat peratus lagi sangat tidak bersetuju - mahu projek itu kekal.



Kajian itu menyenaraikan soalan "apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap bantahan projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Kedua-dua Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang diterajui oleh BN.

Tahun lalu, kerajaan menjemput pakar-pakar luar negara menyediakan laporan mengenai projek itu sebelum memutuskan untuk mengeluarkan lesen beserta satu senarai syarat yang panjang.

Ekoran protes yang berterusan, baru-baru ini kerajaan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkenaan Lynas.

Bantahan berkenaan projek terus diadakan dengan perhimpunan Hijau berlangsung di Kuantang lebih dua bulan lalu, dan baru-baru ini pada 28 April lalu bersama Bersih 3.0 di ibu negara dan beberapa bandar lain.

Dari segi kaum, peratusan pengundi yang sangat bersetuju dan bersetuju, di kalangan orang Melayu, masing-masing sekitar 32 peratus dan 24 peratus dan lebih tinggi di kalangan pengundi Cina iaitu masing-masing 43 peratus dan 29 peratus.

Pengundi India yang sangat bersetuju adalah seramai 26 peratus dan 48 peratus pula bersetuju.

Berhubung soalan sama ada kerajaan perlu memindahkan penduduk berhampiran Gebeng ke kawasan yang lebih selamat, 17 peratus sangat bersetuju dan 40 peratus bersetuju - bermakna hampir 60 peratus menyokong keperluan tidak meneruskan projek tersebut.

Menjawab satu lagi soalan yang berkaitan, seramai 15 peratus tidak sesetuju dan 32 peratus sangat tidak bersetuju apabila ditanya sama ada projek Lynas perlu diteruskan kerana ia merupakan pelaburan besar.

Hanya lapan peratus responden sangat bersetuju dan 16 peratus bersetuju agar projek itu diteruskan. -SH


2 ulasan:

  1. NFC punya duit RM250 juta baik di gunakan olih Kerajaan menyelesaikan masaalah bayaran pampasan tanah peneroka felda Sg Buaya.Kerajaan dapat tanah tu dan di bangunkan kan projek perumahan olih SPNB.Pampasan untuk semua peneroka tu RM800,000.00 x 365 orang peneroka.Tapi pemimpin yg ada hanya menumpukan projek yg dia bolih kaut untung untuk diinya sendiri bukan bangsanya.

    BalasPadam
  2. Perhimpunan UMNO konon mencecah angka 100,000 diStadium Bk.Jalil tidak menghairankan sebab:

    (1) Baju dan topi - percuma(2) Kenderaan/Pengangkutan disediakan(3)Wang saku diberi dan makan minum disediakan,tanpa ganguan dari mana-mana pihak.

    Peserta himpunan Bersih terpaksa beli baju,topi dan selendang sendiri.Datang keKL gunakan wang sendiri,tidur kad surau dan mesjid,makan-minum sendiri dan terpaksa berhadapan pula dengan gas pemedih mata dan air kemikal serta belantan polis.350,000 munkin lebih - wartawan akhbar-akhbar UMNO/BN tak dapat kira dengan tepat sebab tak sekolah tinggi.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.