23 Mei 2012

BERSIH 3.0: Siasatan Belum Bermula, Anwar Sudah Didakwa Di Mahkamah -updated

Panel siasatan “bebas” mengenai perhimpunan Bersih 3.0 yang diketuai oleh Tun Hanif Omar yang secara terbuka menuduh perhimpunan tersebut diresapi komunis dan berniat menggulingkan kerajaan, belum pun memulakan mesyuarat untuk menyediakan terma-terma rujukan siasatan.

Namun, semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shaharin telah pun dihadapkan ke mahkamah berhubung isu perhimpunan tersebut.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ia adalah satu langkah tidak bijak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana membelakangkan keadilan.

Menurutnya, siasatan yang bebas, saksama dan komprehensif perlu menjelaskan, membuktikan dan memberi jawapan terlebih dahulu kepada persoalan-persoalan penting sebelum sesiapa pun dihadapkan ke mahkamah.

Dalam satu kenyataannya semalam, beliau berkata, siasatan yang menyeluruh dan adil perlu menjelaskan:

1. Adakah benar wujud satu percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan dalam Bersih 3.0?

2. Mengapa pihak polis seakan-akan mengamuk dan menggunakan kekerasan yang melampau, sama ada dengan gas pemedih mata, semburan air yang bercampur bahan kimia atau keganasan fizikal terhadap peserta perhimpunan aman ini selepas jam 3 petang yang telah berlanjutan selama 5 jam pada hari tersebut?

3. Bagi yang telah merempuh sekatan yang didirikan, mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sahaja? Mengapa pihak polis bertindak untuk menghukum dengan kekerasan dan keganasan terhadap majoriti takyat yang telah berhimpun secara aman dan yang ingin bersurai secara aman?

4. Mengapa ada polis yang bertugas tanpa tag nama atau nombor pengenalan?

5. Mengapa wakil media menjadi sasaran pihak polis dan mengapa mereka diserang di mana peralatan kamera mereka dipecah dan kad memori kamera mereka dirampas?

6. Mengapa ada antara beberapa stesyen LRT telah diarahkan untuk tutup selepas gas pemedih mata atau semburan air bermula? Adakah pihak polis berniat untuk membantu peserta bersurai atau sebagai satu “perangkap” untuk terhadap rakyat jelata yang berhimpun pada hari tersebut?

7. Adakah benar transmisi telefon bimbit sengaja disekat supaya apa-apa komunikasi dihalang yang akan menyebabkan lebih kekeliruan dalam keadaan yang sudah pun pada masa yang genting itu?

8. Siapa dari pihak polis atau dari Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab memberi kebenaran untuk mencabul hak asasi manusia dan tidak menghiraukan prinsip dan garis panduan dalam penggunanan kekerasan dan senjata api oleh polis? – Roketkini

TERKINI

BERSIH 3.0: K'jaan saman Ambiga dan 9 AJK pemandu

Kerajaan memfailkan saman menuntut gantirugi berjumlah RM122,000 terhadap Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga serta sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu gabungan tersebut kerana didakwa gagal mengawal perhimpunan anjurannya pada 28 April lalu sehingga pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

Selain Ambiga, ahli jawatankuasa pemandu itu yang disaman ialah Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah Mohamed, Arumugam a/l Kalimuthu, Arul Prakkash a/l Sinnappan, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo.

Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said dan seorang lagi anggota jawatankuasa pemandu, Hishammuddin Rais, bagaimanapun tidak tersenarai dalam saman tersebut.

Ketika dihubungi, Ambiga berkata, beliau telah diserahkan saman tersebut pada kira-kira jam 3.25 petang ini

Dalam samannya, kerajaan mendakwa pihak defenden telah:

# Membawa peserta perhimpunan yang terlalu ramai tetapi gagal untuk mewujudkan/mengadakan kawalan yang efektif dan secukupnya;
# Gagal mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman; dan
# Gagal melantik bilangan orang yang perlu untuk bertanggungjawab bagi mengendalikan perhimpunan dengan teratus.
# Akibat daripada kegagalan tersebut, kata saman tersebut, 15 kenderaan milik kerajaan mengalami keroskan dan terpaksa menanggung kerugian yang telah ditaksirkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut saman tersebut, kos untuk memperbaiki semua kenderaan terbabit ialah antara RM2,000 hingga RM16,000 yang kesemuanya berjumlah RM122,000.

Oleh yang demikian, Plaintif menuntut terhadap defenden untuk:

Satu deklarasi bahawa Defenden-Defenden sebagai penganjur telah mengingkari seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut;

# Gantirugi am;
# Gantirugi khas berjumlah RM122,000;
# Faedah dan gantirugi khas atas kadar 4 peratus dikira dari tarikh saman dan pernyataan tuntutan difailkan sehingga tarikh penghakiman;
# Faedah 4 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh;
# Kos; dan
Apa-apa relif yang difikirkan sesuai dan manfaat oleh mahkamah.
-mk


Ulasan GB

Itu satu lagi di atas, siasatan belum pun bermula, kerajaan dah mula saman Bersih 3.0.

Ketara sangat badan bebas kononnya untuk menyiasat BERSIH hanyalah wayang.


1 ulasan:

  1. Memang kalangan yang bakal menghadapi perbicaraan itu sangat berharap untuk mengemukakan hujah. Tindakan berani ketiga-tiganya hadir di mahkamah secara tidak langsung meningkatkan reputasi mereka. Syabas, berani kerana benar. LAWAN TETAP LAWAN!!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.