4 Mac 2012

Budak Mati Dihempap Pagar Rumah Datuk

Besut - Pintu pagar besi yang menjadi kebanggaan warga emas, Mat Saman Pak Adek di hadapan rumahnya di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut meninggalkan sejarah hitam hanya selepas dua bulan dipasang apabila ia tumbang dan menghempap cucunya sehingga mati pagi kelmarin.

MAJUKI membawa jenazah Mohd. Aqif Najwan (gambar kecil) keluar dari Hospital Besut untuk dikebumikan kelmarin.

Mat Saman, 66, berasa bangga kerana pintu pagar yang setiap satunya sepanjang 2.5 meter dan seberat kira-kira 40 kilogram itu dibina dan dipasang sendiri oleh menantunya, Majuki Awang Kecik, 45, seorang pengawal keselamatan sekolah yang mahir bertukang.

Namun kelmarin, perasaan itu bertukar hiba apabila ia meragut nyawa cucunya yang juga anak bongsu Majuki, Mohd. Aqif Najwan, tiga tahun.

Kejadian pada pukul 10 pagi itu dipercayai berlaku sewaktu Mohd. Aqif bermain dengan pintu pagar gelongsor, manakala abangnya Nizarudin Ikmal, 11, dan kakak, Nurul Aina, 10, bermain badminton di pintu pagar bersebelahan.

Difahamkan, Mohd. Aqif terlalu leka bermain dengan menyorong dan menarik pintu pagar besi itu tanpa menyedari ia tergelincir daripada rel gelongsornya dan terus menghempap mangsa.

Akibat kejadian itu, Mohd. Aqif jatuh terhantuk ke atas simen sebelum dihempap pagar berkenaan sehingga menyebabkan kepala dan muka sebelah kiri kanak-kanak malang itu cedera parah.

Mat Saman juga berasa terkilan kerana terlalu mengikut kehendak cucunya itu yang merengek-rengek mahu pulang bersamanya ke rumah.

"Pada pagi sebelum kejadian, cucu saya itu ikut emak dia bekerja di kilang keropok tidak jauh dari rumah saya.

"Dia nak ikut saya balik, jadi saya bawa dia pulang dan bila sampai, saya terus masuk ke dalam dan dia bermain di halaman rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. -kosmo

Budak maut dihempap pagar datuk

JERTIH: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun maut dihempap pintu pagar besi ketika bermain di rumah datuknya di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Muhammad Aqif Najwan Majuki, bermain bersendirian dengan berpaut sambil menolak dan menyorong pintu pagar besi itu.
Muhammad Aqif Najwan dari Kampung Pengkalan Nyireh, ditinggalkan ibu bapa untuk dijaga datuknya Mat Seman Pak Adek, 67, seorang pesara, ketika mereka bekerja.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Mat Seman berada tidak jauh dari pintu pagar berkenaan ketika kejadian.

"Sebaik melihat pintu pagar itu terbalik dan menimpa cucunya, Mat Seman, berkejar mendapatkan cucunya yang berlumuran darah dan menghantarnya ke Hospital Besut (HB), di sini," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Aqif Najwan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan pipi kirinya. -BH


3 ulasan:

  1. Yang tulis berita tu pun agak-agak la. Sebarang je cakap datuk dia tu 'berbangga' dengan pagar rumah dia. Seolah-olah nak menunjuk akibat berbangga tu cucu dia kena hempap. Orang tu dah la berduka, buat pulak cerita bodoh. Lu dapat apa pun

    BalasPadam
  2. ramai rakyat yang hidup segan mati tak mahu dihempap tekanan pemerintahan BN

    BalasPadam
  3. Anon 0407, emosi awak tu yang bermasalah !

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.