14 Mac 2012

[Bergambar & Video] Papan Iklan Mydin USJ Terbakar

Petaling jaya — Kebakaran papan iklan di bahagian atas pasar raya besar Mydin USJ Subang Jaya dekat sini, awal malam ini menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan dan 600 kakitangan bergegas menyelamatkan diri dari premis tiga tingkat itu.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu juga menyebabkan operasi pasar raya itu ditamatkan empat jam awal untuk memastikan tiada ancaman bahaya kepada orang ramai.

Seorang juruwang pasar raya berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mazlan berkata, semasa kebakaran beliau sedang melayan pelanggan sebelum terdengar orang ramai berteriak dan berlari keluar.

"Saya dengar ramai pelanggan menjerit ”api, api” sebelum mereka semua berlari keluar dan berkumpul di tempat letak kereta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata kira-kira sejam kemudian, selepas api dipadamkan pihak Bomba dan Penyelamat, semua kakitangan dibenarkan masuk untuk menyelesaikan kerja masing-masing sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kebakaran itu hanya melibatkan tingkat atas premis berkenaan namun turut menyebabkan kerosakan pada tingkat dua dan tiga.

"Tingkat dua dan tiga merupakan ruang pejabat dan kerugian dianggarkan bernilai RM5 juta termasuk kerosakan perabot dan permaidani yang basah dengan air,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Jurucakap Balai Bomba Subang Jaya ketika dihubungi pula berkata, panggilan mengenai kebakaran itu diterima 7.12 malam sebelum ia dikawal pada 7.40 malam.

Dua jentera dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba Subang Jaya digegaskan ke tempat kejadian. — BERNAMA


Pasar Raya Mydin Di Subang Jaya Ditutup Selepas Terbakar

SUBANG JAYA: Perniagaan di pasar raya Mydin Hypermarket di sini terpaksa dihentikan selepas papan tandanya tiba-tiba terbakar pada petang Selasa.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Mohd Khairi Daud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.12 malam.

“Kami tiba ditempat kejadian 10 minit kemudian, papan tanda tersebut telah hangus terbakar dan api telah marak hingga ke arah bumbung bangunan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Khairi berkata, dua kereta bomba serta 10 ahli bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api dan mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 8.20 malam.

“Kami telah menasihatkan pihak pengurusan supaya menutup bangunan ini sehingga kami dapat menentukan struktur bangunan berada dalam keadaan yang baik,” katanya sambil menambah bahawa satu unit forensik telah dirahkan untuk menyiasat punca kebakaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata semua kakitangan dan pelanggan telah diarahkan untuk segera meninggalkan bangunan tersebut ketika kebarakan itu berlaku.

"Hujan yang turun bukan sahaja membantu memadamkan api malah ia membantu daripada mengelakkan orang awam daripada terkorban kerana papan tanda tersebut betul-betul berada di atas sebuah restoran.

"Kebiasaannya, pada waktu malam, orang ramai akan duduk di luar dan mungkin ada yang akan mengalami kecederaan sekiranya papan tanda itu jatuh,” katanya.

Beliau turut mengesahkan pasar raya tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga jabatan bomba selesai menjalankan siasatan.
-mstar









Sumber foto: Rencam. Terima kasih kepada semua pemilik asal foto-to berkenaan.

1 ulasan:

  1. Kewujudan pasaraya Mydin di USJ mendatangkan masalah persaingan antaranya dengan pasaraya Giant yang kini telah ditutup akibat kerugian kerana pelanggan beralih arah ke pasaraya Mydin. "Peperangan" antara keduanya suatu ketika dulu berpanjangan hingga masing-masing saling sindir menyindir melalui iklan-iklan dan pamplet yang tersebar di sekitar USJ. Persaingan perniagaan antara keduanya sangat tidak sihat dan merisaukan penduduk setempat sementelahan pula kebanyakan kakitangan Mydin terdiri daripada kaum Bangla manakala pasaraya Giant menggaji ramai kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Adalah diharapkan trajedi yang berlaku tidak berunsur khianat oleh mana-mana pihak, walaupun pendokong kerajaan BN itu banyak menyakiti hati penyokong PR kerana secara terang-terangan menjaja bendera BN di premis mereka!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.