12 Mac 2012

All-England: Chong Wei Tarik Diri Mengadu Sakit Bahu, Lin Dan Juara

Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan Seluruh England buat kali ketiga berturut-turut apabila beliau memutuskan untuk menarik diri ketika permainan masuk set kedua, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Gambar: LIN Dan (kiri) memegang trofi kejuaraan Kejohanan All England 2012 selepas menang ke atas Datuk Lee Chong Wei pada perlawanan akhir di Indoor Arena, Birmingham, awal pagi ini. Chong Wei terpaksa menarik diri berikutan kecederaan serius di bahu kanannya. - Foto Reuters

Chong Wei mengambil keputusan memberi laluan mudah kepada Lin Dan dari China disebabkan masalah kecederaan di bahagian bahu.

Pada set pertama, Chong Wei kalah 19-21 dan ketinggalan 2-6 ketika mengambil keputusan menarik dari meneruskan persaingan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak ketika ramai meletakkan harapan beliau boleh memburu gelaran hatrik kejuaraan Seluruh England di Birmingham.

Pertemuan antara Chong Wei dan Lin Dan adalah yang terakhir dalam jadual perlawanan akhir Kejohanan Seluruh England kali ini.

Tahun lalu, Chong Wei mengetepikan musuh ketatnya itu untuk mempertahankan kejuaraan.

Ketika itu dia mengambil masa 52 minit untuk menundukkan Lin Dan 21-17, 21-17.

Laporan Bernama pula menyebut, penonton yang berada di National Indoor Arena itu nyata tidak putus-putus memberi sokongan padu dan sorakan semangat kepada pemain negara itu sehingga Chong Wei terpaksa akur dengan kecederaan yang dialaminya.

"Saya rasa kami bermain baik dan dia (Chong Wei) juga bermain baik.

"Tetapi dia tidak mahu kecederannya menjejaskannya kerana saya tahu dia mahu bermain dan kami akan bertemu lagi di Sukan Olimpik," kata Lin Dan ketika ditemubual selepas perlawanan itu.

Lin Dan juga pernah menjuarai kejohanan All England sebanyak lima kali pada tahun 2004, 2006, 2007, 2009 dan terbaru tahun ini.

Beregu Korea Selatan, Jung Jae Sung/Lee Yong Dae terpaksa mengharungi pertarungan selama 66 minit sebelum berjaya menundukkan lawan mereka, pasangan nombor satu dunia dari China, Cai Yun/Fu Haifeng.

Dalam pertarungan sengit yang berlarutan hingga ke set penentuan lewat malam ini, Jung/Lee dipaksa bekerja keras sebelum dinobatkan juara All England apabila menewaskan Cai/Fu 23-21, 21-9 dan 21-14.

Dalam saingan perseorangan wanita pula, Li Xuerui dari China turut menjuarai kejohanan berprestij itu selepas menewaskan rakan sepasukannya Wang Yihan 21-13
dan 21-19.

Kategori beregu campuran pula menjadi milik pasangan dari Indonesia, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir selepas menundukkan lawan mereka dari Denmark, Laybourn
Thomas/Kamilla Rytter Juhl, 21-17 dan 21-19.

China turut menggungguli acara beregu wanita apabila Tian Qing/Zhao Yunlei dari China dengan mudah mengenepikan rakan sepasukannya Wang Xiaoli/Yu Yang 21-17 dan 21-12.

4 ulasan:

  1. terasa x boleh lawan..pastu buat-buat sakit.. modal turun temurun.. ha ha ha..

    BalasPadam
  2. Mana tahu lcw dah surrender? Kamu tu siapa?

    BalasPadam
  3. Mana tau dia tak boleh menang dengan Lin Dan? Suka sangat buat tanggapan macam tu..... Kalau dia dah rasa sakit, buat apa nak paksa diri...

    BalasPadam
  4. sebelum ni memang sakit ke bahu dia tu.......

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.