15 Feb 2012

Ramai Kena Cekup Di Hari Kekasih

Johor Bahru – Hasrat kononnya ingin menjadikan Hari Kekasih sebagai hari istimewa bersama pasangan bertukar menjadi mimpi ngeri kepada 102 orang yang dicekup Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), malam kelmarin.

Jumlah itu adalah mereka yang ditahan di seluruh negeri ini dalam Operasi (Ops) Kekasih dilakukan Jaij bermula jam 10 malam hingga dua pagi.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di hotel bajet dan tempat awam dan berusia sekitar 18 hingga 40 tahun.

“Daripada jumlah tersebut, 94 orang merupakan rakyat tempatan, tujuh warga Indonesia dan seorang lagi warga Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mohd Zamri, sebanyak 44 pasangan disiasat mengikut Seksyen 27 (1)(a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat.

Katanya, seramai 12 orang pula disiasat mengikut Seksyen 29 enakmen sama kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan dua di bawah Seksyen 19 enakmen sama kerana meminum minuman memabukkan.

Kesemua yang ditahan telah diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara.

Sementara itu, dalam salah satu operasi yang dijalankan, seorang wanita bagaikan tidak serik apabila dicekup buat kali ketiga di sebuah hotel murah di Taman Puteri Wangsa, di sini, kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini pernah ditahan dua kali atas kesalahan sama dicekup bersama pasangannya berusia 30-an ketika serbuan dijalankan pada jam 11.30 malam.

Turut ditemui di bilik yang disewa oleh pasangan itu peralatan dan dadah dipercayai jenis syabu. Dalam operasi sama, seorang lelaki hampir pitam apabila bilik yang disewanya diserbu penguatkuasa.

Lelaki berasal dari Kota Tinggi itu kelihatan pucat dan berpeluh-peluh apabilanya dihujani pelbagai soalan daripada pegawai bertugas.

Dalam Ops Kekasih tahun ini, seramai 78 penguatkuasa Jaij terlibat di seluruh daerah negeri Johor. -SH

Menggigil dicekup Jais di hotel

PETALING JAYA - Seorang lelaki menggigil ketakutan ketika dicekup bersama pasangannya oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah hotel bajet di sini, dalam operasi bersepadu cegah maksiat sempena Hari Kekasih, awal pagi semalam.

Walaupun bertegas mendakwa mereka adalah suami isteri yang sah, lelaki berusia 20-an itu gagal menunjukkan kad nikah.

Akibat terlalu takut, lelaki itu mengeluarkan kad nama daripada dompetnya sambil tangannya terketar-ketar apabila penguat kuasa meminta menunjukkan kad nikah.

Bagaimanapun, dia memberi alasan tidak membawa kad nikah dan mahu pulang ke rumahnya bagi mengambil kad tersebut.

Jurucakap Jais berkata, sebelum itu, penguat kuasa terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum bilik hotel itu dibuka oleh lelaki tersebut dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi.

Pasangan itu antara enam pasangan kekasih yang ditahan di bilik hotel bajet di sekitar daerah ini.

Selain Jais, operasi bermula jam 1 pagi itu melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan polis.

Jurucakap Jais berkata, daripada lebih 10 hotel bajet yang diperiksa, pihaknya menahan enam pasangan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun kerana berdua-duaan dalam bilik tanpa ikatan pernikahan yang sah.

Kesemua pasangan yang ditahan kemudian dibawa pulang ke ibu pejabat Jais untuk disoal siasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat.


Pasangan cuba lari elak dicekup

DAMANSARA DAMAI – Cubaan sepasang kekasih cuba melarikan diri tidak kesampaian apabila mereka berjaya dicekup unit cegah maksiat Masjid Al-Muhtadeen dan Biro Keselamatan Apartment Idaman di sebuah hotel bajet awal pagi semalam.

Pasangan berusia 28 dan 24 tahun itu cuba melarikan selepas mendapat tahu hotel tempat mereka menginap diserbu.

Ketika disoal, wanita itu memberikan pelbagai alasan termasuk mengakui lelaki yang datang bukan kekasihnya tetapi kawan yang kebetulan mahu menghantar makanan.

“Saya sepatutnya menginap di rumah rakan, tetapi kerana rumahnya tidak cukup bilik, saya disuruh menyewa hotel,”katanya kepada Sinar Harian.

Sementara lelaki yang bekerja sebagai juruteknik menara telekomunikasi mengaku hanya mahu menghantar makanan.

“Dia bukan teman wanita saya kerana saya datang ke sini untuk tolong beli makanan sahaja,”katanya yang tinggal di Bandar Sri Damansara.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai operasi yang dijalankan Imam Masjid Al-Muhtadeen, Ustaz Mohd Fadhil Mohd Nor berkata pemantauan akan terus dibuat di lokasi berisiko menjadi port remaja melakukan maksiat di perumahan itu.

“Kita akan lakukan rondaan tambahan pula semalam ialah sambutan Hari Kekasih, kerana tahun lalu kita berjaya memberkas tujuh pasangan berkhalwat di hotel yang sama,”katanya.



‘Hadiah’ sempena Hari Kekasih

SEREMBAN - Sepasang kekasih yang asyik bermadu asmara di sebuah hotel sekitar bandar ini, terkejut diserbu oleh anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan yang mendakwa dari negeri lain, datang ke Seremban untuk meraikan Hari Kekasih, sebelum mengambil keputusan menginap di sebuah hotel bajet, di sini.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguat kuasa JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, pasangan kekasih berusia awal 20-an itu bertemu pada petang kel­marin.

Katanya, selepas menyambut Hari Kekasih pada tengah malamnya, mereka mengambil keputusan menyewa sebuah bilik di salah satu hotel di bandar ini untuk bermalam.

“Semasa pemeriksaan, mereka yang lengkap berpakaian, memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa. Hasil pemeriksaan mendapati, teman lelaki wanita terbabit adalah warganegara Indonesia tetapi memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

Menurutnya, mereka juga menyatakan tujuan sebenar datang ke bandar ini adalah untuk mencari kerja kerana tidak mahu berjauhan.

Dalam pada itu, pada Ahad lalu, dua anggota lelaki dari sebuah unit beruniform ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya di dua lokasi berlainan.

Semua pasangan, berusia 20 dan 30-an itu, berdua-duaan, sekitar jam 3 hingga 5 pagi di Port Dickson dan juga Seremban.

“Semua kes akan disiasat mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992,” katanya.

SEMENTARA ITU DI BANDARAYA MELAKA, bagi mencegah pasangan Islam meraikan Hari Kekasih dan melakukan maksiat, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan pemantauan di kawasan tumpuan orang ramai di negeri ini bermula lewat malam, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, pemantauan membabitkan lapan lokasi dalam operasi selama tiga jam, bermula jam 11 pagi itu.

“Bagaimanapun, keba­nyakan pengunjung melarikan diri selepas melihat kami membuat rondaan. Antara lokasi yang dipantau adalah Pantai Crystal Bay, kawasan tambak Padang Temu, Kampung Portugis, Pantai Klebang, Pantai Puteri, Dataran Pahlawan, Pantai Marina Bay dan Pulau Melaka,” katanya, semalam.

Menurutnya, menerusi pemantauan di Pantai Klebang mendapati, banyak kenderaan diparkir, dipercayai untuk melakukan maksiat.

“Namun, sejurus kenderaan kami tiba, semua pemandu terbabit beredar dari kawasan berkenaan,” katanya, di sini, semalam.

“Ada juga kawasan yang lengang dan hanya terdapat pengunjung yang memancing di tepi pantai,” katanya.


5 ulasan:

  1. Don't blame The Valentine Day. It's self attitude that's concern..

    BalasPadam
  2. Kalau tangkap je kat hotel bajet @ murahan, hotel2 berbintang2 takde ke org buat maksiat..

    BalasPadam
  3. Hotel 5 bintang dimaksiati oleh golongan 5 bintang juga la. So yang nak serbu; penguatkuasanya kena 5 bintang juga.....

    BalasPadam
  4. kenapa hotel bajet jer sasaran? hotel mahal ?

    BalasPadam
  5. Kalw betul nk buat rush knp buat kt hotel bajet je?? Hotel berbintang2 tu lg byk org buat maksiat lah..

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.