25 Feb 2012

Exco Kedah Tetap Bersama Ustadz Azizan

Hamdan nafi boikot angkat sumpah

SUNGAI PETANI - Seorang daripada anggota Exco Kerajaan Kedah yang disebut-akan memboikot majlis angkat sumpah Exco pada 28 Februari ini, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib menafikan beliau terbabit dengan konspirasi menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Sebaliknya kata Hamdan, beliau masih bersama dengan kepimpinan negeri (Azizan) dan sanggup berada dalam barisan Exco jika mendapat tawaran menyambung tugas.

“Saya setuju terima jika ada tawaran untuk jadi Exco lagi. Saya sedia sambung tugas untuk terus memberi khidmat kepada rakyat dan juga meneruskan perjuangan jemaah (parti) yang penuh dengan cabaran ini.

“Kita tunggu 28 Februari ini, pada hari angkat sumpah Exco untuk sambung tugasan yang belum selesai untuk rak­yat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kenyataan Hamdan itu sekali gus menafikan laporan muka depan sebuah akhbar semalam, menyebut beliau antara empat anggota Exco Kerajaan Kedah yang akan memboikot majlis angkat sumpan anggota Exco Kerajaan Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Selain Hamdan, turut disebut ialah Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Ismail Salleh.

Kedua-duanya juga masing-masing adalah Timbalan Pesuruhjaya I dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri.

Sinar Harian semalam menyiarkan kenyataan Menteri Besar yang mengaku akan membuat kejutan pada hari pelantikan Exco sebagai susulan kontroversi itu.

Azizan berkata, tidak timbul ada Exco sedia ada yang menolak tawaran menyambung jawatan kerana surat tawaran belum dihantar.

Phahrolrazi ketika dihubungi berkata, beliau akan memberi kenyataan apabila tiba masanya. -SH

Azizan: Saya ada hak lantik Exco tanpa rujuk Presiden parti

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pemilihan exco kerajaan negeri adalah hak beliau tanpa perlu merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Azizan berkata, beliau telah menyerahkan senarai nama exco kerajaan negeri bagi 2012 kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, dua hari lepas di Istana Negara.

"Walaupun Sultan Kedah menjadi Yang di-Pertuan Agong, segala pelantikan exco kerajaan negeri masih dalam bidang kuasa baginda, dan saya tak akan buat sebelum dapat perkenan baginda kerana ia tradisi kerajaan negeri.

"Biasanya, Tuanku Sultan akan perkenan, (terpulang kepada) baginda tolak yang tu (exco lama), dan bagi yang ni (exco baru), dan bila dapat surat, baru boleh bagi tau," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata senarai exco dari Pejabat Sultan Kedah dijangka diterima Ahad ini.

Azizan juga berkata sebenarnya tidak timbul soal menolak pelantikan semula oleh dua Exco seperti yang dilaporkan kerana beliau belum mengeluarkan surat tawaran kepada mereka.

"Pasai apa dia nak hantar surat, saya tak buat tawaran lagi, kalau hantar surat, baru boleh tolak, surat tak hantar, tawaran nak tolak macam mana.

Spekulasi ni ada benda betul, dan ada tak betul," katanya.

Beliau mengulas khabar angin dua exco Kedah menghantar surat kepada beliau bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, yang dijadual diumumkan Selasa ini.

Dua Exco yang disebut-sebut berbuat demikian ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II Datuk Dr Ismail Salleh, yang dipercayai kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua Exco tidak mengesah atau menafikan khabar angin itu, dan menyerahkan perkara tersebut kepada Azizan.

Majlis pelantikan anggota Exco kerajaan negeri Kedah bagi tahun 2012 akan diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar. - Bernama


Ulasan GB

GB bersama dengan MB Kedah, Ustadz Azizan Abdul Razak.

Perlantikan exco sememangnya prerogatif Menteri Besar. Beliau berhak untuk mengugurkan dan melantik exco. Jadi tidak timbul sebarang isu mengenainya.

Kepada para exco yang namanya terpalit dengan isu ini, GB yakin mereka juga dari kalangan yang matang dan tidak melakukan perkara-perkara seperti dilaporkan oleh akhbar media massa kononnya mereka tidak puas hati dengan Ustadz Azizan.Pemimpin PAS yang sebenar tidak gilakan sebarang jawatan kerana mereka tahu sesuatu jawatan samada di dalam parti atau kerajaan adalah sesuatu taklif bukan tasyrif (bebanan bukan keistimewaan).

Justeru itu GB doakan agar Ustadz Azizan diberikan hidayah dan kekuatan untuk mengatasi apa jua isu yang timbul dan semuga PAS Kedah sentiasa mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. dari tindak-tanduk musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk memporak-perandakan mereka.

8 ulasan:

  1. Tak payah komen le GB kalau tak tahu hujung pangkal.

    BalasPadam
  2. GB, mungkin ada exco kedah dah terjangkit dengan parasit yg dikembangkan oleh Hassan Ali. cuba untuk huru-harakan parti.

    sepatutnya di dalam keadaan seperti ini, kedua-dua exco yang hangat diperkatakan itu tampil dengan membuat kenyataan mengukuhkan parti. Ini tidak, senyap macam batu.

    BalasPadam
  3. hmm tetapi ada juga ahli-ahli dan blogger2 PAS yang termakan dgn hasutan media massa arus perdana yg nak pecahbelahkan kerajaan pas kedah.

    bukan nak kasi baik, lagi dikecohkan.

    BalasPadam
  4. anon 11:49

    hang ingat hang sorang jer ker yg tahu?

    Saya yakin GB tulis untuk kebaikan saf jemaah. Bukan untuk menambahkan lagi kekocohan yg dibikin2 oleh pihak musuh.

    BalasPadam
  5. Hairan dengan puak kita ni. Yang pasti tidak ditentang habis-habisan. Yang tidak pasti pulak, do'goreng' sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan fitnah.
    Ingat, Yang terang lagi jelas, wajib ditentang. Yang masih samar tu, cari kepastian, barulah bertindak. Jangan terkena perangkap puak munafikun @ yahudi Tanah Melayu.

    BalasPadam
  6. Siapa yang salah dan siapa yang betul,bukan isu.Amat menyedihkan perkara macam ni berlaku dalam Harakah Islamiah.Dimana semangat ukhwah,dimana semangat tolerensi,dimana semangat persaudaraan? Inikah parti yang nak kePutrajaya? Satu penggal perintah Trengganu,sudah gagal dan sekarang perintah Kedah pun berkecamuk.

    BalasPadam
  7. 1. ada pimpinan kata rujuk sumber/berita yg sah. Mana dia?

    2. kalau ya pun kuasa mb lantik exco, jgnla lupa mb itu dilantik presiden. presiden dilantik ahli. jwtn2 dlm parti perlu dipertimbangkan.

    3. tkpayahla ckp ada kejutan. ramai yg kena hrt atck nanti.

    -wan-

    BalasPadam
  8. anon 10:55 menulis

    "2. kalau ya pun kuasa mb lantik exco, jgnla lupa mb itu dilantik presiden. presiden dilantik ahli. jwtn2 dlm parti perlu dipertimbangkan."

    Bila presiden dah lantik MB, bererti siapa presiden sudah memberikan kepercayaannya kepada MB untuk melantik barisan exconya, bahlol!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.