13 Jan 2012

Wardina: Kalimah ALLAH Selamatkan Keluarga Saya

Ampang - "Keluarga saya tak putus-putus membaca ayat suci al-Quran agar kami sekeluarga dilindungi oleh ALLAH dan tidak diapa-apakan oleh perompak."

Demikian kata Wardina Safiyyah Fadlullah, pelakon dan model, ketika menceritakan detik-detik cemas sewaktu rumahnya di Bukit Utama 2 dekat sini, dipecah masuk tiga perompak bertopeng, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi ini disedari Wardina apabila tubuhnya digerakkan oleh perompak semasa dia tidur berseorangan kerana demam.

Wardina berkata, suaminya, Ikhwan Johari pula tidur bersama anak lelakinya di bilik lain dan tersedar apabila perompak tersebut turut menggerakkan suaminya.

Menceritakan saat cemas itu lagi, Wardina berkata, kerana terlalu takut, dia cuba melindungi dirinya dengan hanya berselimut.

"Saya cuba elakkan muka saya dilihat dengan berselimut kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas diri saya dan hanya kalimah Allah yang saya mohon bantuan ketika itu.

"Kemudian perompak tersebut meminta barang kemas saya tetapi saya tiada barang kemas kecuali cincin pusaka nenek dan gelang hantaran perkahwinan yang saya serahkan," kata Wardina.

Katanya, kemudian tiga anaknya, suami dan seorang pembantu rumah berkumpul dalam biliknya dengan berselimut sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan harapan hati perompak tersebut dapat dilembutkan.

Dia menambah, sewaktu keluarga tidak henti-henti melafazkan kalimah suci al-Quran, perompak tersebut tidak tenang dan berkali-kali mengarahkan mereka berhenti melafazkannya.

"Pada waktu itu juga, seluruh keluarganya nampak dengan jelas ketiga-tiga perompak tersebut termasuklah anak lelakinya yang meraung menangis dan kini dalam keadaan trauma dengan kejadian tersebut.

"Mujurlah semasa kejadian itu, jiran di belakang rumah saya menyedari sesuatu berlaku dan menghubungi pengawal keselamatan taman supaya menyiasat apa yang berlaku.

"Sebaik sahaja perompak tersebut dengar pengawal keselamatan tiba , barulah ketiga-tiga perompak tersebut beredar," kata Wardina lagi.

Sementara itu, Ikhwan berkata, kakinya telah dipukul dengan kayu dan 'screw driver' apabila cuba menjerit selepas sedar dia digerakkan oleh perompak.

"Saya telah memberitahu kepada perompak tersebut agar tidak menyentuh isteri dan anak-anak saya.

"Jelas perompak tersebut mahukan wang dan barang kemas sedangkan kami tidak menyimpan barang-barang kemas selain buku-buku, namun mereka tidak berpuas hati dengan alasan kami.

"Perompak tersebut turut meminta saya menyerahkan dompet tetapi bernasib baik saya tidak ada wang tunai yang banyak ketika itu. Antara lain barang yang dicuri adalah empat komputer riba, telefon bimbit dan barang-barang lain," kata Ikhwan.

Katanya, selama empat tahun keluarganya tinggal di Bukit Antarabangsa, inilah kejadian pertama yang berlaku ke atas keluarganya.

Wardina dan Ikhwan mempunyai tiga anak.

Ulasan GB

Bersyukurlah kerana allah menyelamatkan Wardina sekeluarga.

Cuma sedikit pembetulan, GB tak tahu samada wartawan Sinar Harian yang tersalah tulis iaitu : Kalimah ALLAH Selamatkan Keluarga Saya

Sebenarnya, yang menyalamatkan Wardina bukan kalimah Allah, tetapi Allah sendiri. Menyebut kalimat Allah itu berpahala, tetapi hakikatnya bukan kalimah yang menyelamatkan sebaliknya Zat Allah yang menyelamatkan.

Sama seperti jika kita menelan pil Panadol yang kesannya pening kepala kita hilang. Zahirnya seperti panadol menghilang pening kepala, tetapi hakikatnya Allah jua yang menghilangkan pening kepala kita.

Begitulah di dalam pelajaran tauhid dan aqidah, kita menyembah dan memohon pertolongan kepada Allah dan bukan kepada selainNya termasuklah kalimah Allah.

Menyebut namaNya berpahala, itulah cara berzikir/mengingati yang lantarannyalah Allah akan menolong kita.

Firmanullah:


الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah). Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ar-Ra'd : 28)


Sama-sama kita saling ingat-memperingati.
Wallahu 'alam

5 ulasan:

  1. so... masih pertikai hukum hudud? ingat perompak nak takut hukum penjara?

    BalasPadam
  2. Itulah dia ugama Melayu ... kalimah Allah dibuat persis tangkal. Apa bezanya dengan kepercayaan penganut Kristian? Akibat menolak quran, inilah jadinya.

    BalasPadam
  3. Bila dia sebut baca kalimah Allah (ayat2 quran) tu maknanya dia bergantung harap pada Allah le tu.. Dlm keadaan panik, dia masih ingat Allah. Manusia x perfect. Kita?

    Mudahan2 Allah jauhkan. Dia lah yang Maha Mengetahui. & ulasan GB menambah ilmu ingat mengingat.

    BalasPadam
  4. Pokoknya Allah nak sedarkan Wardinah ,carilah rezeki di tempat lain,tinggalkanlah pekerjaan di TV3 yang sentiasa mendokong kerja-kerja jahat UMNO..orang baik seperti anda yang mesra kepada cara hidup Islam bukan tempatnnya bekerja di TV3 yang sentiasa berdendam dengan gerakan Islam di Malaysia...

    BalasPadam
  5. Kenapa sentiasa ada manusia yang sentiasa berburuk sangka dan dangkal....kerja di mana jua sekali pun,itu adalah mencari dan rezeki dan itu adalah hak milik Allah.Janganlah kita berada dikelompok yang berperasan bahawa kita adalah orang2 yang terbaik....

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.