20 Jan 2012

Tubuh J/K Parlimen Untuk Semak Beli Alat Tentera

Tubuh JK Parlimen semak beli alat tentera

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan agar ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen Komiti bagi melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap pembelian peralatan ketenteraan di negara ini.

Cadangan tersebut disuarakan oleh tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi di pejabatnya di Kementerian Petahanan, di sini.

Ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat bagi pihak PAS, Ahli Parlimen Machang yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak PKR dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dari DAP.

Pertemuan tersebut bermula jam 3.00 petang dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara.

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut pada dasarnya telah dipersetujui oleh Zahid, Ketua Setiausaha kementerian dan ketiga-tiga panglima terbabit sekiranya ia diluluskan oleh Parlimen.

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik. Ini akan membolehkan rakyat mendapat manfaat lebih besar apabila pemimpin yang juga ahli-ahli Parlimen pembangkang turut berpeluang memainkan peranan penting bagi melaksanakan tugas semak dan imbang terhadap perbelanjaan kerajaan khususnya berhubung pembelian peralatan ketenteraan di negara ini," katanya.

Bercakap pada sidang media bersamanya dengan Saifuddin dan Tony di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan selepas pertemuan itu, beliau berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada Zahid mengenai beberapa isu.

"Antara isu utama yang dibincangkan adalah mengenai kos sebenar pembelian kapal patrol yang telah berubah harga sebanyak RM3 bilion selepas setahun iaitu dari RM6 bilion kepada RM9 bilion," jelasnya.

Menerusi pertemuan itu, ketiga-tiga mereka telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu bahawa perbezaan tersebut berlaku kerana perkara sebenar mengenainya tidak dijelaskan oleh Zahid pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Berdasarkan penjelasan Ketua Setiausaha kementerian itu didapati kos sebenar pembelian kapal tersebut sememangnya RM9 bilion, tetapi daripada jumlah itu hanya RM6 bilion sahaja yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), manakala RM3 bilion lagi dimasukkan dalam RMK-11.

Pada sidang media yang sama, Saifuddin menjelaskan, penjelasan tersebut akan dikaji oleh pihak Pakatan Rakyat dan mereka akan memberikan respon mengenainya kemudian nanti.

"Buat masa ini, kami memang menerima dulu segala penjelasan yang diberi, tetapi kami akan kaji pula selepas ini sama ada penjelasan itu boleh diterima oleh pihak Pakatan Rakyat atau tidak," katanya.

Manakala Tony pula berkata, langkah Kementerian Pertahanan yang bersetuju mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang pada hari ini pasti akan memberikan kesan yang cukup baik bagi kepentingan negara.

Beliau berharap agar langkah seperti itu akan turut diadakan oleh kementerian-kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Tidak rugi jika pihak kerajaan bersetuju mengadakan pertemuan seperti ini kerana ia akan membolehkan pihak pembangkang melakukan semak dan imbang terhadap segala tindakan dan perbelanjaan kerajaan bagi kepentingan rakyat dan negara," ujarnya. -HD



3 ulasan:

  1. dah berapa kali balun baru ada j/kuasa adake patut pakai orang tengah macam razak baginda awat askar malaysian ni bodoh sangat ka

    BalasPadam
  2. Sudah lama sangat penyelewengan beli senjata dan peratalan ATM ni berlanjutan.Terlalu banyak kong-kalikon berlaku dan ramai sangat dah kaya-raya melanun wang rakyat,mengambil kesempatan atas alasan "keselamatan negara".Ini semua wajar dihentikan.

    BalasPadam
  3. Aku tak percaya cadangan ini diterima kerajaan. Akhirnya ianya akan senyap begitu saja kecuali kerajaan lain yang memerintah.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.