18 Jan 2012

[Bergambar] Bangunan MRCB Di KL Sentral Dalam Pembinaan Terbakar

Bangunan pejabat milik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di kawasan KL Sentral di sini, yang sedang dalam pembinaan, terbakar kira-kira jam 3 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.53 pagi, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Pantai tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik pihaknya sampai di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat 30 dan 31 bangunan terbabit.

Menurutnya, bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana bangunan terbabit tidak mempunyai sistem bomba sepenuhnya.

“Spesifikasi pembinaan bangunan baru perlu ada sistem bomba di setiap selang dua tingkat daripada keseluruhan bangunan yang dibina.

“Dalam kes ini, sistem bomba sepatutnya ada di tingkat 28. Namun hanya sistem bomba di tingkat 25 bangunan sahaja yang berfungsi menyebabkan kita mengambil masa satu jam setengah untuk menyambung hos bagi memadamkan api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azizan berkata, pihaknya juga terpaksa naik ke tingkat 38 Kondominium Saujana Sentral yang terletak berhampiran bagi memudahkan proses menyiram air.

Api berjaya dipadam dan dikawal sepenuhnya pada jam 7.40 pagi.

Menurutnya, siasatan menunjukkan minyak yang digunakan untuk pembinaan bangunan dan disapu pada papan dan kayu, dipercayai antara punca menyebabkan api marak dengan cepat, sebelum membakar keseluruhan tingkat 30 dan sebahagian dari tingkat 31 bangunan itu. -SH

Gambar ehsan nst









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.