26 Dis 2011

Bendera Separuh Tiang, UMNO Besut Tunjuk Dendam & Durhaka Kepada Sultan?

Umno Besut kibar bendera negeri separuh tiang?

BESUT, 27 Dis: PAS Besut melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Umno bahagian yang mengibarkan bendera negeri separuh tiang sejak lebih seminggu lalu.

Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tindakan mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang di pejabat Umno bahagian Besut itu tidak wajar.

Ini kerana, katanya di saat seluruh rakyat jelata gembira dengan keberangkatan pulang Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin kembali memerintah negeri tindakan tersebut amat dikesali.

“Ini tidak harus berlaku di saat seluruh rakyat negeri ini bergembira dengan kepulangan Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk kembali memerintah Terengganu, setelah menamatkan tempoh pemerintahan baginda selama sepenggal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 13,” katanya.

Menurutnya, Umno BN bersikap hiporkrit apabila melenting marah ketika seorang mahasiswa yang berdemonstrasi bertindak menurunkan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi membisu berhubung bendera Terengganu dinaikkan separuh tiang itu.

“Saya tidak fikir Ketua Umno Bahagian Besut tidak nampak bendera Terengganu berkibar di separuh tiang di hadapan pejabatnya di tengah-tengah bandar Jerteh dalam tempoh waktu yang agak lama.

“Saya juga tidak terfikir bekas Menteri Besar Terengganu (Idris Jusoh) itu tidak dimaklumkan tentang kepulangan Tuanku Sultan Mizan yang telah kembali memerintah Terengganu,” ujarnya.

Katanya, PAS Besut menasihati kepimpinan Umno bahagian agar segera mengembalikan semula bendera negeri Terengganu pada kedudukan asal dengan baik. -HD




Ulasan GB

Rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana kejinya perbuatan sekumpulan ahli-ahli UMNO Terengganu khususnya penyokong bekas Menteri Besar Idris Jusoh memanggil Sultan mereka (ketika itu Yang Dipertuan Agong) dengan panggilan "natang" (binatang).



Apakah pemasangan bendera separuh tiang tersebut adalah penerusan dan manifestasi kederhakaan ahli-ahli UMNO terbabit terhadap Sultan Terengganu?

Gadis Jadi Mangsa Lelaki Berperangai Binatang, Ditolak Semasa Menunggang Motorsikal

Ditolak lelaki tak dikenali

GUA MUSANG - Seorang remaja wanita cedera muka apabila terjatuh motosikal yang ditungganginya selepas ditolak seorang lelaki tidak dikenali di Jalan Pulai lama, dekat sini, malam Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Nurul Hidayah Che Su, 18, menunggang seorang diri dalam perjalanan pulang membeli barang keperluan di sebuah kedai di Bandar Baru, Gua Musang.

Beliau yang tinggal di Kampung Simpang Empat Kundur dihampiri seorang lelaki tidak dikenali lalu menolak kepalanya sebelum terjatuh motosikal ditunggangi dan mukanya tersembam dalam selut.

Ketika ditemui di rumahnya, beliau berkata, sebaik berlaku kejadian itu, suspek juga menunggang motosikal seorang diri melarikan diri mengelakkan dikesan orang ramai yang memberi pertolongan.

“Saya tidak ada musuh dengan sesiapapun, tetapi hairan kenapa lelaki tersebut bertindak demikian hingga menyebabkan saya cedera muka selepas tersembam dalam selut di tepi jalan di situ.

“Kejadian tidak jauh dari rumah saya dan secara kebetulannya ada orang ramai melalui kawasan membantu saya menghantar balik ke rumah sebelum keluarga pula menghantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendapat rawatan,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, selepas itu pula beliau ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu, tetapi yang sukarnya kerana tidak mengenali lelaki terbabit.

Beliau berkata, suspek menolak kepalanya dengan kuat hingga gagal mengawal motosikal yang ditunggangi sebelum terbalik di bahu jalan berhampiran simpang masuk ke Taman Tropika.

“Saya langsung tidak sempat melihat lelaki terbabit yang datang dari arah belakang kerana berlaku dalam keadaan gelap dan cepat dia melarikan diri ke simpang empat berkenaan,” katanya.

Katanya, dia juga tidak tahu motif sebenar lelaki terbabit bertindak demikian hingga membawa kecederaan kepada mukanya dan mahu polis menyiasat perkara itu. -SH

Banjir Di Rompin & Johor Semakin Buruk

Banjir Di Rompin Semakin Buruk, Lebih 300 Lagi Dipindahkan

KUANTAN: Keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini, demikian lapor Bernama.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.

Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya.

Di Johor pula, mangsa banjir di negeri itu semakin meningkat apabila hampir 300 orang lagi dipindahkan ke pusat pemindahan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,437 orang pagi ini berbanding 1,143 orang malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), setakat 10 pagi ini, kesemua mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan dengan 12 di Segamat, tujuh di Mersing dan enam di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin dilaporkan masih terputus hubungan dan hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua batang sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong mencatatkan aras 3.34 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, 9.47 meter.

Beberapa batang sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat (17.04 meter), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.92 meter), Sungai Simpang Kiri di Seri Medan, Batu Pahat (2.19 meter), Sungai Senggarang, Batu Pahat (3.28 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (5.60 meter).


Bakal Pengantin Dicekup Berdua-duaan Di Hotel

LEDANG – “Saya tak nak perkara ini heboh dan kami akan kahwin bulan depan.”

Itu permintaan seorang lelaki apabila dicekup berkhalwat bersama tunangnya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) dalam sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 27 tahun dan pasangannya berusia 24 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, ketika sedang berdua-duaan dalam bilik di sebuah hotel.

Lelaki itu mendakwa, dia berada di bilik hotel tersebut sekadar untuk menemani tunangnya dan akan pulang ke rumah ibunya di Sagil sebaik sahaja hujan berhenti.

“Tunang saya tiba dari Masai kira-kira jam 5.30 petang dan dia datang ke sini kerana mahu menghadiri majlis pertunangan adik perempuan saya hari ini (semalam).

“Saya bawa dia ke hotel ini kerana dia tidak mahu tidur di rumah ibu saya disebabkan malu dengan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika disoal siasat penguat kuasa yang turut disertai Sinar Harian.

Mereka sudah bertunang sejak setahun lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada Januari tahun depan.

“Sementara menunggu hujan teduh, saya tertidur dan tidak sangka penguat kuasa akan memeriksa bilik ini,” katanya.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa hotel berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki berbaju T dan berseluar pendek membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar sedang bersembunyi di sebalik langsir bilik hotel berkenaan” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -SH

Najib Dikencing Lagi Oleh Bernama & Pensyarah Kangkung

Kajian pensyarah UiTM: Belia kini lebih dekat dengan k'jaan

Dapatan awal satu kajian oleh seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunjukkan 70 peratus responden daripada golongan belia kini berasa lebih dekat dengan kerajaan berikutan langkah yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendekati golongan itu.

Tinjauan terhadap belia melalui kajian yang dijalankan sejak 2010, berpendapat mereka menyambut baik penggunaan media sosial interaktif oleh Najib yang membolehkan golongan ini menghubungi Perdana Menteri secara langsung untuk memberi pendapat, idea dan juga kritikan mengenai pelbagai isu.

"Hasil kajian saya mendapati 70 peratus belia menyokong kerajaan kerana mereka seronok dan suka dengan pendekatan yang dilakukan kerajaan menerusi program-program yang dirangka.

"Itu adalah kuncinya untuk kerajaan mendekatkan diri dengan belia," kata pensyarah Sains politik di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun (Terengganu), Che Hamdan Mohamed Razali kepada Bernama baru-baru ini.


Selain pendekatan melalui media sosial, katanya responden yang terdiri daripada golongan berusia antara 18 dan 40 tahun serta daripada pelbagai bidang pekerjaan termasuk pelajar, profesional hingga nelayan dan petani, berpendapat kerajaan pimpinan Najib juga kini lebih terbuka.

Rata-rata responden mengakui sedar akan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang semakin banyak melibatkan belia dan kepentingan mereka dalam merangka sesuatu program seperti rumah mampu milik untuk belia baru bekerja, bantuan kepada usahawan muda dan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mereka menghargai sekecil-kecil usaha seperti Perdana Menteri duduk bersila bersama belia di jalan raya untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak, menganjurkan banyak kegiatan seperti futsal dan rancangan membina satu gelanggan futsal bagi setiap mukim.

Jadi adalah tidak benar jika dikatakan golongan belia suka menentang kerajaan dan 'anti-kerajaan' seperti yang cuba ditonjolkan pembangkang yang membawa belia ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan bertindak tidak hormat terhadap pemimpin?

"Adalah menjadi sifat segelintir belia suka memberontak. Dapatan awal saya ialah belia ini bukanlah 'anti-kerajaan' seperti didakwa banyak pihak. Mereka cuma berjauh hati jika berasa dipinggirkan. Jika kerajaan memberi perhatian, mereka ini akan menyokong kerajaan," katanya.

Beliau berpendapat kerajaan perlu agresif memberikan penjelasan mengenai sesuatu perkara sekiranya tidak mahu golongan belia terus diracuni dengan maklumat dan fakta yang salah oleh pihak tertentu yang berkepentingan politik yang cuba menonjolkan golongan belia menyokong mereka.

Che Hamdan bagaimanapun belum bersedia memberikan perincian lanjut dapatan kajian itu atas alasan bahawa ia masih terus dijalankan dan akan hanya diumumkan sepenuhnya setelah selesai.

Rumusan awal beliau ialah belia tidak akan menggadai masa depan mereka semata-mata kerana janji-janji manis, sebaliknya mereka lebih bersedia bersama-sama bergelumang dan berusaha dengan kerajaan yang sudah terbukti mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan mereka, malah mempunyai rekod yang terbukti.

Sementara itu, naib pesiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan belia dalam apa jua aspek termasuk Belanjawan 2012, malah menghargai dan terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan belia kepada kerajaan.

"Kerajaan telah melakukan yang terbaik dengan merancang pelbagai usaha untuk mendekatkan golongan belia dengan kerajaan. Jadi dakwaan mengatakan golongan belia anti kerajaan adalah tidak benar, cuma segelintir sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain mengiktiraf golongan belia dalam Belanjawan 2012, kerajaan juga sedia melakukan pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Mengenai penglibatan mahasiswa dalam politik negara, dan terbaru Perdana Menteri mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti.

Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib pada 12 Dis lepas berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya dengan penglibatan mereka.

Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam berkata hasil pemerhatiannya juga, ramai belia atas pagar kini menyukai kerajaan BN dan berterima kasih atas usaha-usaha kerajaan untuk melibatkan mereka dalam banyak isu dan projek.

Dalam pada itu, beliau mengakui memang terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menghasut golongan belia di universiti supaya membenci kerajaan hanya untuk kepentingan politik dan keghairahan merebut kuasa pemerintahan.

"Namun, belia yang terdedah kepada pelbagai maklumat tidak mudah menerima semuanya bulat-bulat tanpa memeriksa kebenarannya.

Begitu juga dengan janji-janji pembangkang, yang kami sedari sepenuhnya hanya gimik untuk meraih undi tanpa sebarang langkah konkrit diatur untuk belia seperti yang sudah dilaksanakan kerajaan BN sekarang," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Demikian laporan BERNAMA yang melaporkan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat kajian menunjukkan 70 peratus responden daripada golongan belia kini berasa lebih dekat dengan kerajaan.

Tetapi itu "dapatan awal" - bererti kajian itu belum sempurna dan belum siap, sudah pun dilaporkan oleh Bernama - bertujuan untuk menjulang dan mengampu Najib.

Najib telah banyak kali dikencingkan dengan laporan-laporan palsu sehingga di satu ketika Najib sendiri menyedarinya. Kata beliau:

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegur sikap pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) berhubung pemberian 'laporan tipu' kepadanya semata-mata mahu menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar.

Malah tegas beliau, penganjuran program 'syok sendiri' juga turut menyumbang kepada kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

"Jangan buat program syok sendiri sahaja. Bila buat program Juara Rakyat, tulis dalam laporan bahawa ia telah berjaya apabila dihadiri oleh 300 dalam sesuatu kawasan.

"Tapi siapa 300 orang itu? Saya sudah 35 tahun dalam politik, saya dah tahu (taktik). Saya tahu apa yang anda semua buat dan anda pun tahu apa yang saya tahu (tipu laporan).

"Saya tak pakai laporan macam ini. Himpunkan 300 orang lepas itu kata kita dah berjaya. Tak mungkin...itu menipu diri sendiri," katanya ketika merasmikan Konvensyen BN Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Sabtu.


Kini Bernama dan pensyarah-pensyarah pula cuba untuk kencingkan Najib dalam rangka mengampu dan membodeknya yang didalam istilah najib sendiri: "menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar".

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





"Datuk" Yang Ditahan Tiada Kaitan Dengan NFC - Sandiwara Siapa?

Lelaki Yang Ditahan Reman Tiada Kaitan Dengan NFC

PETALING JAYA: Pengerusi Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata ahli perniagaan berpangkat Datuk yang diberkas pihak polis baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan beliau atau mana-mana anggota keluarganya.

Katanya, individu tersebut juga tidak pernah berkhidmat dengan NFC.

Semalam, reman terhadap lelaki tersebut berhubung kes dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara disambung selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes itu di bawah Akta SPRM 2009.

Isu mengenai NFC itu berbangkit ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dananya. -mstar

Kehadiran Pegawai SPRM Di NFC Bukanlah Satu Serbuan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC)pada malam Jumaat telah mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) ke pejabat mereka bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan oleh hampir kesemua media massa.

Sebaliknya kata kenyataan itu lagi, kehadiran pegawai-pegawai SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan yang sedang berlangsung.

"Sebenarnya, pihak pengurusan dan staf NFC mengalu-alukan kehadiran pegawai-pegawai SPRM ke pejabat kami dan segala kerjasama penuh telah diberikan kepada SPRM.

"Oleh yang demikian, pada pandangan NFC, lawatan dan kedatangan kakitangan SPRM ke pejabat NFC bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan.

"Bagaimanapun, pihak syarikat berasa adalah tidak wajar sebarang kenyataan dikeluarkan pada masa ini kerana siasatan masih lagi diteruskan oleh pihak berkuasa," jelas kenyataan tersebut.

Sebelum itu media massa dan pelbagai portal berita melaporkan, pegawai-pegawai SPRM telah menyerbu pejabat NFC yang terletak di Jalan Solaris, Mont Kiara, di sini pada tengah hari Jumaat.

Enam pegawai penguat kuasa yang berkunjung ke pejabat NFC itu adalah dari SPRM Putrajaya.

Isu-isu dan kontroversi dalam NFC timbul berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada bulan Oktober, yang menyatakan bahawa NFC telah gagal untuk memenuhi sasaran penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa terdapat penyelewengan dalam pengurusan dana NFC.

Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

SPRM juga sedang menyiasat sama ada Shahrizat turut terlibat dalam mana-mana bahagian yang melibatkan pinjaman RM250 juta oleh kerajaan kepada NFC.


Ulasan GB

Jika NFC sendiri sudah menafikan bahawa kedatangan SPRM ke ejabatnya bukanlah satu serbuan dan "Datuk" yang ditahan itu tiada kaitan dengan keluarga Shahrizat dan NFC, ia mengundang persepsi bahawa siasatan dan penahanan berkenaan hanyalah satu sandiwara.

Malah identiti "Datuk" berkenaan masih misteri. Polis belum berani mendedahkannya. Persoalannya kini, sandiwara siapa?

Yang nyata juga ialah isu pokok tidak disiasat.

PKR sebelum ini mendedahkan:

Pertama, katanya, pemalsuan dokumen yang diguna NFC sebagai taktik untuk mengeluarkan dana sebanyak RM250 juta.

Kedua, pengeluaran sebanyak RM80,000 setiap bulan dari dana itu untuk pakej pelancongan yang ditawarkan syarikat Impian Global Network Services (IGNS), sejak Januari hingga Julai 2010.

“Dua pendedahan ini sudah cukup untuk SPRM siasat tetapi mereka tidak berbuat demikian,”


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] NGO Wanita Kecam Tentera Mesir Seret Wanita Hingga Separuh Bogel

Gabungan pertubuhan wanita, Solidariti Wanita Prihatin hari ini menyerahkan satu memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir bagi membantah perlakuan kejam tentera negara itu terhadap kaum wanita.

Ianya berhubung rakaman satu klip video yang disebar di internet yang memaparkan seorang wanita Mesir yang menyertai demonstrasi rakyat negara itu diserang dan dibelasah tentera dengan kayu pemukul sehingga separuh mati.

Lebih menyedihkan, apabila pakaian dan tudung wanita itu juga telah ditarik hingga terselak sekaligus mengaibkannya.

Malah dua lelaki yang cuba membantu wanita itu juga turut dipukul dengan kejam oleh tentera tersebut.

Penyerahan memorandum itu disertai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, AJK International Muslim Women Union (IMWU), Malaysia Azlin Hezri, wakil Empower Maria Chin Abdullah, Koordinator Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM), wakil Persatuan Mawaddah Malaysia (PMM) dan wakil Ameerah.

Memorandum mengandungi empat tuntutan itu diterima wakil kedutaan, Yasser Hashem di bangunan kedutaan itu di Jalan Rhu persiaran Ampang Hilir di sini.

Antara lain kandungan isi memorandum menyatakan desakan agar Ketua Tentera Mesir, Field Marshal Tantawi segera memohon maaf kepada wanita dan dua lelaki yang dipukul tersebut.

Mereka juga mahu Field Marshal meletakkan jawatan tertinggi tentera itu secepat mungkin.

Mereka berpendapat, wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.

"Ada banyak cara bagi menangani rakyat secara baik.

"Jika demonstrasi itu ganas ke apa ke, mereka perlu ditangani dengan baik, bukan ganas dilawan dengan ganas," katanya Dr Siti Mariah kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Bercakap pada sidang media sama Maria Chin dan Azlin juga sependapat, tindakan kejam tentera tersebut tidak sepatutnya berlaku sekalipun provokasi dimulakan oleh rakyat.

"Perhimpunan aman ke tak aman ke, tindakan pencabulan dan kekejaman khususnya kepada wanita seperti ini tidak patut berlaku," kata Maria.

Aiman Athirah pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut cubaan memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan baru negara itu selepas kejatuhan regim akibat kebangkitan rakyat enam bulan lalu.

Katanya, banyak pihak tidak senang dengan kemenangan parti yang memperjuangkan Islam di negara itu dan cuba memburukkan imej mereka.

Dalam pada itu, bantahan sama turut dibuat di Mesir apabila kaum wanita turun beramai-ramai di Kaherah sebagai tanda protes. -HD

Ribuan Perempuan Mesir Protes Keganasan Tentera

Ribuan demonstran yang terdiri dari para perempuan di Mesir turun ke jalanraya, memprotes pihak tentera yang melakukan tindakan kekerasan dan kekejaman. keganasan tentera tersebut terrakam jelas dalam video yang beredar di internet.

Dalam video tersebut, pasukan keamanan anti-rusuhan Mesir dilihat mengejar seorang perempuan dan memukulnya berkali-kali dengan batang logam sehingga terjatuh ke tanah. Tidak cukup hanya itu, tentera tersebut menyeret pakaiannya sehingga perempuan tersebut menjadi separuh bogel. Setelah jatuh, perempuan itu ditendang berulang kali hingga tergeletak tak berdaya di tanah, bajunya terbuka, dan colinya jelas terlihat.

"Mereka menyatakan bahawa mereka melindungi kami, tetapi mereka melucutkan pakaian sehingga kami telanjang," demikian salah satu nada protes yang disuarakan massa.

Salah seorang aktivis, Um Hossam (54), yang mengenakan pakaian panjang hitam khas Timur Tengah, mengatakan bahawa perempuan tersebut bak anak perempuan sendiri sehingga menyerangnya adalah seperti melukai anak sendiri.

Jumlah demonstran yang terdiri dari kaum hawa ini tergolong jarang hingga dianggarkan seramai 10,000 orang. Para perempuan yang terdiri dari berbagai kelas sosial dan agama berkumpul di Lapangan Tahrir yang bergerak ke jalan-jalan utama Kaherah. Ramaiyang membawa foto perempuan setengah telanjang yang sedang diseret tentera.

Desakan ini semakin menekan pihaktentera Mesir yang selama lima hari terakhir didesak untuk dibubarkan oleh para penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kerusuhan.

Pihak tentera Mesir sendiri sudah meminta maaf atas tindakan anggotanya yang menyerang perempuan dengan kejam. Mereka meminta maaf kepada perempuan Mesir dan berjanji mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukannya. Namun, permintaan maaf tersebut sepertinya sudah tidak berguna.

Potret tindakan anggota tentera Mesir yang tidak terpuji itu turut mendapat sorotan PBB dan Menteri Luar Negeri AS Hillary Clinton. Menurut Hillary, tindakan tersebut mencemarkan revolusi yang berlangsung di Mesir, mempermalukan negara dan askar, serta tidak layak untuk orang-orang yang terhormat. -kompas