15 Dis 2011

Mustafa Ali Sudah Serik Dengan UMNO. Peringatkan Dua Bekas Pemimpin PAS

Hasan, Nasha terperangkap dalam agenda Umno'

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menganggap dua pimpinan parti itu Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

Mustafa berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasharudin yang pernah memegang jawatan timbalan presiden bertindak tidak wajar sebagai pimpinan parti, lapor Harakahdaily.

"Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS.

"Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti," kata beliau dalam temu bual bersama organ parti Harakah dan Harakahdaily di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terkini kedua-dua pemimpin itu mengenai kedudukan mereka dalam parti.

Perkara itu timbul apabila Ketua Penerangan Pas Selangor Shaari Sungib dilaporkan berkata, Hasan tidak menerima pencalonan mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

'Kekecewaan tidak terpilih'

Hasan pula selepas itu dilaporkan berkata akan terus bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat selagi pihak berkenaan mempertahankan prinsip Islam, hak Melayu dan institusi Raja.

Mengulas perkara itu, Mustafa berkata, kenyataan itu menggambarkan Dr Hasan seolah-olah mempersoal dasar Islam yang diperjuangkan PAS dan terpengaruh dengan tuduhan parti itu diperalatkan DAP.

"Saya rasa ini sebab kekecewaan kerana mereka tidak terpilih dan tidak diletakkan di tempat mereka seperti Nasharudin sebagai timbalan presiden dan Hasan sebagai pesuruhjaya Selangor," beliau dipetik sebagai berkata kepada organ parti PAS.

Mustafa juga dilaporkan turut menegur Saari yang dianggap mendahului parti sedangkan urusan calon pilihan raya ditentukan oleh Majlis Syura.

Bagaimanapun, veteran PAS itu berkata, kenyataan Hasan dan Nasharudin itu tidak menjejaskan parti kerana ahli menyokong dasar Islam dan bukannya individu.

"Bekerja untuk melemahkan parti, ini tidak betul walaupun kesannya tak besar sebab PAS mempunyai kekuatan tersendiri, memang tak boleh digugat oleh individu.

"PAS pernah kehilangan presiden suatu waktu dahulu tapi ahli tak lari ikut orang, tapi mereka ikut dasar," katanya. -mk

Ulasan GB

GB tidak mahu ulas mengenai sikap dan tindakan Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa kerana semua orang sudah tahu.

Yang GB tertarik kini ialah perubahan sikap dan tindakan Mustafa Ali.

GB dan sekalian ahli PAS peringkat bawahan boleh menarik nafas lega sedikit kerana Mustafa Ali sudah kembali ke saf perjuangan sekalipun satu ketika dulu, beliau adalah tokoh utama yang membawa gagasan Kerajaan Perpaduan.

Tetapi dengan pelbagai insiden kezaliman dan kekejaman UMNO, yang terkena kepada Mustafa Ali sendiri, maka kini Mustafa Ali lebih tegas daripada pemimpin PAS yang lain di dalam menentang gagasan UG yang dasyat itu.

GB menyatakan gagasan UG itu dasyat kerana ia merupakan penyebab kepada perpecahan ahli-ahli parti yang menyebabkan muktamar parti menjadi haru-biru setidak-tidaknya untuk dua kali pemilihan dimana sukarnya untuk mewujudkan wahdatul-fikr di peringkat akar umbi hasil daripada kewujudan gagasan tersebut.

Mustafa Ali sudah serik dengan UMNO. Allah menunjukkan kepada Mustafa UMNO itu parti yang tidak boleh dan tidak akan berstau dengan PAS sekiranya PAS berjuang di atas landasan Al-Quran dan Sunnah sepertimana tergaris di dalam Perlembagaan PAS.

GB katakan tadi Mustafa Ali serik dengan UMNO. Mengapa? Kerana Umno Selangor telah menyaman PAS dan Setiausaha Agungnya Mustafa Ali sebanyak RM10 juta berhubung kononnya Mustafa memfitnah bahawa UMNO yang didakwa berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Hassan Ali dan Nasharuddin Isa belum kenal UMNO dengan lebih dalam. Maka sebab itu mereka berdua masih meletakkan "reservation" dan Mustafa Ali layak dan berhak untuk memperingatkan mereka berdua itu.

Perubahan sikap dan tindakan Mustafa Ali mempunyai kesan yang signifikan kepada parti lantaran beliau adalah Setiausaha Agong parti dan Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah. Dan justerunya juga, Harakah/Harakahdaily kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif dengan menipiskan sikap pro-pemimpin UGnya selama ini sekalipun ada beberapa pengikut taksub UG tidak berpuashati dengannya.


Pelanggan Gerai Terkejut Rakam Gambar Misteri

Langgar - Seorang pelanggan sebuah gerai minum di pekan Langgar secara tidak sengaja merakam gambar satu kepulan asap yang menyerupai wajah manusia beberapa hari lalu sewaktu bersantai di kedai berkenaan.

Usahawan, Zul Azri Abdul Khalil, 34, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 5 petang, dia hanya mahu menguji kamera telefon bimbitnya sahaja dan mengambil gambar beberapa kali.

Menurutnya, selepas beberapa ketika dia meneliti kembali gambar yang diambil dan terkejut apabila mendapati terdapat satu kepulan asap seolah-olah menyerupai wajah manusia.

“Terdapat seolah-olah kepulan asap yang menyerupai wajah manusia semasa gambar diambil.


“Selepas itu, saya menunjukkan kepada beberapa kawan yang lain dan ternyata mereka juga turut terkejut,” katanya.

Pengalaman pertama kali merakam gambar aneh sedemikian ternyata turut menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang berada di kedai berkenaan.

Zul Azri berkata, dia tidak menyangka bahawa dengan hanya mengambil beberapa gambar menggunakan telefon bimbitnya, dia dapat merakam gambar aneh.

Seorang lagi pelanggan kedai minum itu, Yusof Hat, 40, mengakui masih belum pernah melihat benda aneh yang dirakam secara tiba-tiba.

Menurutnya, bagaimanapun perkara demikian tidak perlu diambil serius kerana langsung tidak memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat di kawasan sekitar.

“Serius saya katakan memang tidak pernah melihat kejadian seumpama ini, sedangkan gambar berkenaan pula dirakamkan pada waktu siang,” katanya. -SH

Racun Paraquat Merbahaya, Kerajaan Digesa Haramkannya Segera

Kersatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan racun rumpai jenis Paraquat yang didakwa mengandungi toksik berlebihan yang boleh membunuh.

Menurut Presidennya, S.M Mohamed Idris, racun yang turut diseludup di negara ini itu mempunyai kepekatan racun lebih daripada 40 peratus dan membahayakan pengguna khsusnya apabila disedut, bersentuh dengan kulit dan jika ditelan.

"Keracunan yang amat tinggi dan kekurangan antidot membawa kepada masalah kesihatan yang serius, dan kematian akibat daripada pendedahannya.

"Paraquat dikatakan sebagai racun pilihan bagi membunuh diri di negara ini," katanya.

Menurut beliau lagi, Paraquat juga diketahui sebagai penyebab masalah kesihatan yang akut dan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua, kanser kulit dan penyakit Parkinson.

Lebih bahaya ujarnya, Paraquat juga kekal dalam tanah dan sisanya dibawa dalam larian air bersama mendapan, yang menjadikan bahan itu berpotensi untuk mencemarkan air bawah tanah.

Sebelum ini Jawatankuasa Kesihatan Perak dalam satu seminar mengenai paraquat baru-baru ini menggesa satu panel ditubuhkan untuk menangani isu penggunaan pendekatan holistik.

Kerajaan Malaysia pada Ogos 2002, penah mengumumkan untuk mengharamkan Paraquat melalui proses menghapuskannya dalam tempoh dua tahun.

Pengharaman itu kemudiannya ditarik balik akibat tekanan pasaran.

"Kenapa pekerja pertanian yang terdedah kepada racun rumpai bertoksik ini yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan buruknya manakala syarikat kimia pertanian dan industri pertanian terus mendapat keuntungan?" soal beliau lagi.

Menurutnya, Kesatuan Eropah sudah pun mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan.

Penghapusannya diperingkat global mungkin berlaku jika ia disenaraikan di bawah Rotterdam Convention on Prior Informed Consent (PIC). Walau bagaimanapun, kami menjangkakan lobi yang lebih besar oleh industri bagi memastikan racun rumpai itu tidak termasuk di bawah perjanjian itu.

Sehubungan itu ujarnya, Kerajaan Malaysia perlu menguatkuasakan pengharaman sepenuhnya Paraquat dan mengawal aktiviti penyeludupan racun rumpai bertoksik ke negara ini.

"Kita perlu mempercepatkan ke arah amalan pertanian ekologi menggunakan kaedah pertanian asli dan kawalan serangga biologi. Menternak lembu di dalam ladang boleh membantu kawalan rumpai.

“Utamakan rakyat dan bumi, bukannya keuntungan” seharusnya menjadi modus operandi bagi kerajaan penyayang," tegasnya. -HD

Mengaku Bujang Elak Dicekup

Ledang – Seorang pekerja bengkel membaiki jentera yang sudah berkahwin tergamak mengaku bujang apabila disoal siasat penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) ketika dicekup berkhalwat, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 29 tahun dan pasangannya berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi ketika sedang berdua-duaan dalam sebuah rumah di Batu 1 ½ Tanjung Agas, di sini, untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku sudah tujuh tahun berkahwin dan memiliki dua anak yang kini menetap di Melaka selepas didesak PPADL.
Dia juga mendakwa datang ke rumah teman wanitanya untuk berehat seketika, tetapi tertidur kerana keletihan selepas pulang bekerja dari Johor Bahru.

Manakala, pasangannya adalah warganegara Kemboja dan baru sahaja memeluk Islam pada Julai lalu.

Mereka berkenalan sejak setahun lalu dan bercadang untuk mendirikan rumah tangga pada April tahun depan.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Zainal Kadiran memeriksa rumah itu.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T paras lutut sedang baring di atas tilam,” katanya.

Pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati dan Balai Polis Sagil untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut, sebelum dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. -SH

Jururawat Pelatih Maut Selepas Kena Ragut

Georgetown - Kejam perkataan paling sesuai diberikan kepada individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang jururawat pelatih sebuah hospital swasta dekat sini, malam kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, G Malathi, 24, maut dipercayai diragut sebelum terbabas berikutan gagal mengawal moto­sikalnya di Jalan Residensi, dekat sini.

“Mangsa dipercayai bergelut dengan peragut yang menyebabkan dia tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda berseorangan.

“Mangsa anak kedua daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terbabas, namun punca kemalangan masih disia­sat.

Menurutnya, dompet dan telefon bimbitnya juga gagal ditemui.

Difahamkan, mangsa yang baru setahun bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister dekat sini mempunyai kelulusan Diploma Kejururawatan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di negeri ini dan berasal dari Gelugor.

Ketika ditemui, mangsa berpakaian kemeja T dan dalam keadaan terbaring, manakala motosikalnya berada berhampiran pada jarak kurang lima meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

“Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya. -SH

Umno Jangan Mimpi Perpaduan Umno-PAS

Tiga kali Muktamar PAS memutuskan dan mengulangi ketegasannya bahawa tidak akan wujud gabungan atau persefahaman atau dalam istilah apapun antara PAS dan Umno.

Bahkan Keputusan Muktamar itu disusuli kenyataan demi kenyataan dari pemimpin PAS bahawa parti itu akan terus setia dengan Pakatan Rakyat, gabungan yang telah mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12 2008 yang lalu.

Oleh itu segala kenyataan dari pemimpin Umno dan mereka yang sehaluan dengannya mengenai perlunya persefahaman atau gabungan PAS-Umno kononnya demin untuk perpadian ummah, hanyalah ‘cakap-cakap tepi jalan’ yang tidak mempunyai makna dan andaran apa-apa.

Cakap-cakap manis dibibir pemimpin Umno ini hanya untuk menimbulkan suatu tanggapan palsu bahawa kononnya Umno memang mahukan pepaduan Melayu/Islam demi untuk kepentingan politik umat Islam.

Apabila jelas PAS menolaknya berulang kali, lalu mereka membuat andaian dan tuduhan jahat bahawa PAS takut dengan kemarahan DAP, atau tunduk kepada pengaruh DAP yang tidak mahu Umno bergabung dengan PAS.

Dakwaan karut ini terus diulangi oleh pemimpin Umno di mana saja ada kesempatan, terutama menjelang PRU Ke-13 ini. Iaitu dengan maksud untuk menanamkan kebencian orang Melayu terhadap PAS dan seterusnya DAP bahawa PAS lebih bersedia menerima DAP dari Umno.


Mereka menjaja premis ini terumata di luar bandar, kerana mereka yakin dakwaan ini mudah diterima oleh orang Melayu kerana untuk puluhan tahun digambarkan oleh Umno/BN ini bahawa DAP adalah parti perkauman Cina dan berbahaya kepada orang Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Secara tidak benar mereka menggambarkan bahawa DAP adalah dominan dalam Pakatan Rakyat sementara PAS hanya mengikut kehendak PAS. Analogi palsu ini bertahun dijaja oleh Umno/BN dan ditiupkan kembali dengan hangatnya menjelang PRU Ke-13. Ini semata-mata untuk mengekalkan kuasa Umn/BN yang bergelomang dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi.

Oleh itu penegasan berulang kali oleh pemimpin PAS bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Umno adalah penegasan yang sepatutnya diterima oleh orang Melayu yang sesetengahnya mungkin terpengaruh dengan propaganda Umno ini.

Oleh itu adalah wajar saya perturunkan kembali sebahagian Surat Terbuka Kepada Orang Melayu dari Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang:

“Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno.

Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu lebih dulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanah air ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah Barat.

Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan di antara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar.

Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai Barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Umno sebenarnya yang bermasalah.

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis.

Akhirnya orang Melayu bukan saja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan Bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik.

Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad.

Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemungkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.


Demikianlah pandangan Dato Seri Presiden yang sangat wajar menjadi renungan mengapa PAS menolak gabungan dengan PAS dan inilah juga sebahagian hujah yang dikemukakan oleh pemimpin dan perwakilan dalam tiga Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu.

Oleh itu suara-suara yang kedengaran kembali mengenai perpaduan Umno-PAS, terutama menjelang PRU ke-13 akan datang, adalah suara yang tidak memahami hakikat sebenar jalur perjuangan PAS, atau mereka yang keliru, atau untuk kepentingan politik golongan sekular/perkauman. Pandangan ini sudah tentu bertentangan dengan Islam. - Abd Shukur Harun (HD)

Pemuda PAS Buat Laporan Polis Isu Video Klip Hina Hudud

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, semalam membuat laporan polis berhubung klip video bertajuk ‘lagi hudud PAS’ yang disiarkan di halaman Youtube.

Laporan itu dibuat memandangkan klip video berkenaan melanggar aturan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Syekyen 120 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1994, seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan.

Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamed Nuri Mat Yaacob di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini tengahari semalam.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, ketika ditemui memberitahu kerana ingin menentang PAS, pihak tertentu sanggup mempersendakan hukum Allah.

“Langsung mereka tidak sedar tindakan itu bukan sahaja memperlekehkan PAS untuk menegakkan hukum Allah, sebaliknya menghina hukum Allah sendiri,”ujarnya.

Latif turut mempertikaikan kenapa Umno tidak mempertikaikan isu video itu sedangkan masaalah lain parti itu menjadi juara seperti isu air, ‘samakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi dan berbagai lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Pusat mengambil tindakan segera berhubung penghinaan hukum Hudud itu kerana ianya boleh mengelirukan orang ramai.

Sementara itu, seorang blogger melaporkan dalam analisanya, penerbit video berkenaan mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor.

Ini kerana, email penerbit berkenaan juga email kepada webmaster laman web Pena Noh Omar, Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang. -HD


Video hina hudud ada kaitan dengan Noh Omar?

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Penerbit video Sembang Rakyat yang menerbitkan klip video yang menghina hukum hudud adalah dimiliki oleh orang yang sama yang menguruskan blog Datuk Seri Noh Omar.

Penerbit video ini juga adalah orang yang sama yang menguruskan laman web Puteri Umno Selangor dan Umno Tanjung Karang di samping blog Pena Noh Omar itu.

"Besar kemungkinan dia adalah orang kuat Noh Omar," kata seorang blogger yang juga menerbitkan video klip bagi mendedahkan siapa sebenarnya di belakang video klip yang menghina hukum hudud ini.

Video klip pendedahan itu diterbitkan oleh Malaysianews di laman Youtube.

Pelbagai pihak kesal dengan tindakan pihak kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap penghinaan yang dibuat oleh video klip sembang rakyat itu.

Drs Khalil Idham Lim mempersoalkan mengapa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim terus membisu terhadap video yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud PAS' itu secara jelas mengelirukan umat Islam di Malaysia yang telah disebar luas di laman Facebook dan Youtube baru-baru ini.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa sejak akhir-akhir ini media boleh direka dalam pelbagai bentuk dan corak kerana perkembangan teknologi yang pesat, tetapi seharusnya tidak boleh sehingga menghina agama lebih-lebih lagi Islam itu sendiri.

“Kita amat khuatir terhadap perkembangan sebegini memandangkan para pelakonnya terdiri dari orang Islam dan ada di antaranya berlakon yang sebagai agamawan di samping penggunaan kamera beresolusi tinggi yang sudah pastinya mahal harganya,” ujar Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, klip video itu juga mempunyai unsur yang boleh mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam.

Menurut Malaysianews, kaitan antara video klip sembang rakyat itu amat jelas dengan Noh Omar dan Umno Selangor.

Ia mempunyai persamaan antara satu sama lain melalui emailnya iaitu " ajaff8@gmail.com" yang ada sebagai email penerbit dan webmaster untuk kesemua laman-laman dan video klip itu. -HD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca dan tonton videonya





2 Kanak-kanak Parah Digigit Siamang Di Zoo

Melaka - Keseronokan dua kanak-kanak untuk menyaksikan gelagat haiwan liar di Zoo Melaka berakhir dengan dua mangsa itu melalui pengalaman ngeri digigit seekor siamang jantan yang ganas kelmarin.

Gambar: ANITA menemani Afiq yang cedera dan dirawat di Hospital Melaka semalam akibat digigit siamang.

Dua mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu ialah Muhammad Afiq Haziq Kamarul, 3, berasal dari Klang, Selangor dan Zukrina Abdul Hadi, 5, dari Pekan, Pahang.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa itu berjalan bersama keluarga masing-masing berhampiran beberapa buah pulau buatan yang menjadi habitat siamang dan beberapa haiwan dalam kumpulan beruk lain.

Mengimbau detik cemas tersebut, ibu kepada Afiq, Anita Sulaiman, 36, berkata, dia dan suami, Kamarul Baharin, 38, serta tujuh anak termasuk Afiq, anak keenam, tiba di zoo itu pada pukul 1.30 petang.

Sejam selepas berjalan, mereka sekeluarga tiba di kawasan pulau buatan.

"Sedang kami leka meninjau spesies beruk di beberapa pulau, tiba-tiba saya nampak kira-kira 40 pengunjung bertempiaran lari kerana dikejar seekor siamang.

"Siamang sebesar Afiq itu datang menggigit betis kanannya yang ketika itu didukung oleh suami saya," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka semalam.

Menurut Anita, suaminya bertindak menarik bulu dan menggoncang kepala siamang itu bagi melepaskan gigitan pada kaki Afiq.

Namun siamang itu enggan melepaskan gigitan itu sehinggalah seorang pengunjung menendang perut haiwan itu. -kosmo

Parah digigit siamang zoo


MELAKA TENGAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun parah pada betis kanan selepas diserang seekor siamang dipercayai seberat 38 kilogram ketika sedang bersiar-siar bersama keluarganya di Zoo Melaka, Ayer Keroh, dekat sini, petang kelmarin.

Gambar: BISA siamang zoo - Muhammad Afieq Haziq Kamarul diteman ibunya Anita Leman,35, di bilik rawatan Hospital Melaka selepas digigit siamang di Zoo Melaka, petang semalam. Foto Rasul Azli Samad

Pengunjung tendang haiwan selamatkan budak 3 tahun

Akibat kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Afiq Haziq Kamarul, terpaksa menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam di Hospital Melaka (HM), selepas betisnya dilaporkan hampir hancur digigit haiwan itu.
Ketika dikunjungi di Hospital Melaka petang semalam, anak keenam daripada tujuh beradik berasal dari Klang, Selangor ini, dilihat masih lemah dan seolah-olah dalam ketakutan.

Ibunya, Anita Sulaiman, 36, berkata beliau sekeluarga tidak menyangka berdepan detik paling mencemaskan kerana menganggap haiwan di zoo terbabit jinak dan tidak membahayakan kerana dibiar bebas di kawasan laluan pengunjung.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang berjalan untuk melihat kawasan menempatkan burung dan tidak bercadang melihat siamang atau nama saintifiknya hylobates syndactalus.

“Dalam sekelip mata, sekumpulan pengunjung berhampiran haiwan itu kelihatan bertempiaran lari dan berteriak meminta tolong dan tidak lama selepas itu, haiwan ini meluru ke arah Muhammad Afiq dan menyerangnya.

“Saya menjerit terkejut dan suami yang awalnya tidak menyedari kejadian itu bertindak pantas memegang kepala haiwan itu tetapi ia tetap tidak melepaskan gigitan pada kaki Muhammad Afiq.

“Gigitan itu hanya dilepaskan selepas seorang pengunjung berhampiran menendang perut haiwan itu,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak HM, petang semalam.

Anita yang datang ke negeri ini bagi menghadiri majlis kenduri kakaknya di Semabok berkata, beliau dan suaminya membawa Muhammad Afiq ke pejabat Zoo Melaka untuk mendapatkan bantuan rawatan, sebelum diarah membawa mangsa ke klinik kesihatan tetapi kes itu dirujuk ke HM kerana kecederaan dialami serius.

“Anak saya dibedah bermula jam 9 pagi tadi (semalam) dan selesai tiga jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd Arop dalam kenyataan media kepada Berita Harian petang semalam, memohon maaf kepada keluarga mangsa atas kejadian itu.

“Zoo Melaka turut bersedih dengan kejadian menimpa Muhammad Afiq dan bersedia membantu termasuk menanggung kos rawatannya,” katanya.

Masri berkata, ini kejadian pertama berlaku di Zoo Melaka dan siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti puncanya, manakala haiwan itu sudah ditangkap dan diasingkan untuk kuarantin.


[Bergambar] Pudu Pula Dilanda Banjir Kilat

Kuala Lumpur: Hujan lebat di ibu negara selama dua jam bermula jam 5 petang, semalam menyebabkan beberapa kawasan terutama di Jalan Chan Sow Lin, Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara, dekat Pudu dilanda banjir kilat separas 0.5 meter.

Banjir kilat dan cuaca buruk itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di ibu negara lebih dua jam.

Tinjauan Harian Metro di jalan itu mendapati peniaga bertungkus-lumus mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi selepas air memasuki kedai.

Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) ketika dihubungi berkata, banjir kilat berkenaan memberi kesan kepada aliran trafik di jalan terbabit yang bermula jam 5.15 petang.

Katanya, jalan lain turut terjejas termasuk Jalan Sultan Ismail menghala Jalan Tuanku Abdul Rahman, bulatan Segambut menghala Jalan Ipoh, Jalan Genting Klang dan Jalan Kuching menghala Selayang.

“Turut terjejas aliran trafik di Jalan Kinabalu menghala Jalan Loke Yew dan bulatan Cheras, Jalan Maharajalela menghala Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak menghala bulatan Pahang,” katanya. -hm

DINAIKI AIR...beberapa jalan di kawasan Pudu dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam, semalam.

BANJIR...hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Jalan Brunei dan Jalan Brunei Utara, semalam.


Banjir kilat di ibu negara mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air termasuk tempat letak kereta kompleks membeli-belah di Bukit Bintang. – Foto Jack Ooi




Tiga Menteri Pertanian Didakwa Sangkut Projek NFC

Projek bermasalah National Feedlot Corporation terus dihantui kontroversi.

Terbaru, Gerakan Jingga 13 telah mengesa Suruhan Jaya Pencegah Rasuah agar menyiasat bagaimana wang rakyat disalurkan kepada projek tersebut sebelum perjanjian dibuat antara syarikat itu dan kerajaan pusat.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa sejumlah wang didebitkan ke satu akaun khas sejak 2008 hingga 2009 iaitu sebelum perjanjian antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan NFC ditandatangani pada 2010.

Menurut Fariz, pendedahan ini dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang turut memberitahu bahawa kerajaan pusat gagal menjawab persoalan bagaimana wang dikeluarkan sebelum perjanjian dilakukan.

Sehubungan itu, pagi ini, Jingga 13 bertindak membuat laporan ke Pejabat SPRM di sini berkenaan salah guna kuasa bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin (2004-2008), Datuk Mustafa Mohamed (2008-2009) dan menteri yang bertanggungjawab sekarang, Datuk Seri Noh Omar.

"Jesteru kami memohon kehadiran kami pada hari ini adalah untuk membuat laporan kepada SPRM agar melakukan satu siasatan terperinci terhadap mereka yang terlibat termasuk bagaimana penyaluran wang rakyat yang besar tersebut dilakukan.

"Bagi kami ini adalah penyelewengan yang nyata dan jelas oleh pihak kementerian kerana sebarang kelulusan pengaliran wang sememangnya perlu mendapat kelulusan kementerian berkaitan," ujar Fariz.

Menurut Fariz lagi, siasatan yang dibuat oleh PAC adalah bukti nyata terhadap salah guna kuasa oleh menteri berkaitan. Oleh itu ujarnya, keadilan perlu ditegakkan dan hukuman setimpal harus dikenakan ke atas salah laku ini kerana melibatkan wang rakyat.

Selain itu, Fariz juga turut membangkitkan persoalan istimewanya skandal NFC ini apabila dengan mudah dapat peruntukan wang yang besar sebelum perjanjian dimeterai. Ia lebih istimewa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap mereka yang berkaitan.

"Kami melihat ini sebagai satu tindakan yang luar biasa dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional serta kami yakin dan percaya banyak persoalan yang timbul dengan penglibatan yang jelas oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku menteri kabinet dan juga Ketua Wanita Umno," tegas Fariz. -tvsnews



[Video] Bekas Ketua Puteri Umno Ikrar ‘Gantikan Umno Dengan PAS’

Kuala Nerus - Bekas Ketua Puteri Umno Kampung Banggol Donas berkata ‘penghijrahan’ beliau bersama 40 rakan Puteri yang lain, adalah atas kerelaan mereka sendiri tanpa paksaaan mana-mana pihak.

Puan Rusni Hassan, 37, mewakili rakan-rakannya berikrar akan bersama-sama dengan PAS untuk menjatuhkan dan menggantikan Umno dengan PAS dalam pilihanraya akan datang.

“penghijrahan kami secra sukarela, tiada paksaan dari mana-mana pihak, ini adalah kerelaan kami semua dan tidak ada paksaan dari mana-mana pihak.

“Ini dikira satu penghijrahan pada bulan muharram, bulan yang mulia. Insyaalah! Kami akan mula kekal dan kami akan terus bersama PAS untuk menjatuhkan pemerintahan umno pada PRU yang ke 13 nanti insyaalah! Insyalaah!,”tegasnya

Beliau berkata demikian ketika dtemui selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayob pada Jumaat malam, 9 Disember. [Gambar]

Menurutnya, beliau dan rakan-rakannya tidak lagi merasa ‘selesa’ duduk di bawah Umno dan hilang keyakinan kepada kerajaan Umno.

“kami rasa tak begitu selesa dan tak yakin lagi dengan kerajaan Umno yang memerintah Terengganu pada sekarang ni kerana masalah yang berlaku di (Kampung) Banggol Donas ni dah masuk 5 tahun, tak juga selesai,

“ jadi, kami dengan keadaan Umno yang sedang lemah jadi kami ambil keputusan untuk keluar dari parti, menyertai parti PAS dan juga parti Pakatan Rakyat,”jelasnya.

Beliau yakin bahawa PAS dan Pakatan Rakyat adalah satu parti yang dapat menolong orang-orang Melayu, terutamanya masyarakat kampung. -buletinonline