14 Nov 2011

Pemberian "One-Off" Sudah Diagihkan Walaupun Bajet Belum Diluluskan

K'jaan dibidas, berbelanja sebelum Bajet dilulus

Kementerian Pelajaran dibidas oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat kerana mengedarkan wang bantuan persekolahan RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah yang disenaraikan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan Bajet 2012 yang belum diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Gambar: Pemberian RM100 telah mula diberikan kepada para pelajar Tahun Satu SJKC Chung Hwa Wei Sin, Terengganu, hari ini.

"Rang undang-undang masih dibahaskan di Dewan. Bagaimana wang boleh dibelanjakan sebelum peruntukan itu diluluskan?” soal M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) kepada timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee.

Kulasegaran menimbulkan perkara itu mengikut Peraturan Tetap 66(4), yang memperincikan butiran sebelum rang undang-undan pembekalan itu akan menjadi bajet perbelanjaan kerajaan.

Bagaiamanapun, Kiandee menolak perkara itu dengan alasan ia bukan di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat dan peraturan tetapnya.

"Ini tiada kaitan dengan Dewan. Ini urusan kementerian. Mereka sepatutnya tahu apa yang mereka lakukan.

"Saya hanya boleh memantau peraturan tetap yang berkaitan perjalanan Dewan. Ini isu luar, tidak peraturan tetap yang dicabuli,” katanya lagi.

Bantuan persekolahan RM100 itu masih disenaraikan sebagai perbelanjaan dan sedang didebatkan bagi cadangan rang undang-undang Bajet 2012.

Bagaimanapun, Khamis lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata wang bantuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing dengan serta-merta.

Wang bantuan itu yang akan diagihkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011. Bayaran bantuan kepada pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012 akan dibayar pada Januari tahun depan. -mk

Dewan Rakyat Kecoh Pembangkang Bantah Bantuan Sekolah RM100

KUALA LUMPUR: Suasana hambar persidangan Dewan Rakyat pada Isnin bertukar kecoh apabila ahli Parlimen pembangkang dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertikam lidah mengenai isu pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar seperti yangdiumumkan pada perbentangan Bajet 2012.

Kekecohan berlaku apabila beberapa wakil rakyat pembangkang dengan lantang mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan bantuan persekolahan berkenaan yang kini disalurkan kepada akaun sekolahmasing-masing secara serta merta.

M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) membangkitkan Peraturan Mesyuarat66(4) dengan menyatakan bahawa tindakan pemberian wang bantuan persekolahan itu adalah salah dan tidak mengikut peraturan.

"Pemberian ini tidak mengikut peraturan. Bagaimana kerajaan boleh beri bantuan RM100 kepada setiap pelajar sedangkan Bajet 2012 masih belum diluluskan di Dewan ini?

"Kalau kami jadi kerajaan, kami boleh beri RM1000 kepada setiap pelajar, tapi isunya ialah perlu ikut peraturan," katanya pada sesi perbahasan pertimbangan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2012.

Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menghalang Kulasegaran membangkitkan isu berkenaan kerana ia tidak berkaitan dengan peraturan mesyuarat tersebut.

"Perkara berkenaan tidak bertentangan dengan peraturan mesyuarat. Saya serahkan perkara tersebut kepada pihak kementerian untuk menguruskannya," katanya.

Peraturan 66(4) menyatakan setelah dibacakan Rang Undang-undang Perbekalan itu kali yang kedua dan usul mengenai Anggaran Pembangunan disetujukan, Rang Undang-undang dan ketetapan akan terserah kepada Jawatankuasa sesebuah Majlis.

Keputusan Ronald itu menimbulkan kemarahan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan Chong Eng(DAP-Bukit Mertajam).

Kekecohan semakin ketara apabila beberapa ahli Parlimen BN mendakwa tindakan pembangkang itu seolah-olah mereka tidak bersetuju dengan pemberian bantuan berkenaan.

"Kerajaan ada duit, apa salahnya kalau kita belanjakan untuk rakyat?

"Inilah masalah pembangkang, mereka tidak tahu belanjakan wang untuk kepentingan rakyat. Semua perkara mereka nak bangkang," kata Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol).

Minggu lalu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa bantuan RM100 kepada pelajar akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing serta merta.

Bagaimanapun bantuan persekolahan itu akan disalurkan kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tahun Lima, dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.

Sementara pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi pesekolahan 2012, pembayaran bantuan persekolahan akan dibuat pada Januari tahun depan bagi memastikan pelajar sudah mendaftar di sekolah masing-masing bagi memudahkan pembayaran. -mstar


Ulasan GB

Kerajaan UMNO/BN memang TERKENAL dengan membuat perbelanjaan tidak ikut peraturan.

Maka itu sebab berlaku ketirisan, berlaku rasuah, berlaku korupsi, berlaku penyelewengan, sepertimana yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini.

Tetapi kerajaan UMNO BN masih menunjukkan lagaknya untuk berlaku samseng di dalam membelanjakan wang rakyat.

Mereka menyangka dengan pemberian one-off itu dapat menggula-gulakan rakyat untuk mengundi mereka di dalam pilihanraya nanti.

Mereka alpa. Hukum Kebenaran telah dilanggar oleh UMNO BN berkali-kali. Dan hukum kebenaran juga akan melanggar UMNO BN nanti berkali-kali. UMNO BN akan tercampak keluar dari Putrajaya kerana sudah tidak layak untuk menjadi pemerintah negara ini.

Yakinlah! Hanya menunggu masa dan ketikanya.

Mahasiswa Bidas Naib Canselor UiTM, Cakap Lain Buat Lain

Politik pelajar: Jangan cakap lain, buat lain, kata KAMI

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) menuntut penjelasan daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Sahol Hamid Abu Bakar (gambar) berhubung pertandingan pidato politik anjuran Pemuda BN di kampus universiti itu, semalam yang dikatakan secara terang- terangan berunsurkan politik.

Dalam satu kenyataan media, presiden KAMI, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata jika kerajaan benar-benar ikhlas tidak mahu mahasiswa berpolitik, sepatutnya kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus tidak seharus dikeluarkan.

“Mahasiswa merasakan keterangan naib canselor UiTM bertajuk “Tidak Perlu Pinda AUKU” hanyalah sekadar retorik semata-mata.

“Kalau betul tidak mahu mahasiswa berpolitik , jangan bagi kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus.

“Tindakan memberi kebenaran kepada parti politik masuk ke kampus sebenarnya akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat khususnya mahasiswa,” katanya.

Menurut Haziq Abdullah, kenyataan Sahol Hamid (kiri), Jumaat lalu bahawa politik di universiti hanya akan memecahkan perpaduan sesama penuntut sedangkan matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapatkan pekerjaan bagi menjamin masa depan, bercanggah dengan apa yang terjadi di kampus UiTM.

Sahol Hamid juga dilaporkan berkata bahawa universiti itu tidak bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana kebebasan politik hanya akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Melayu dan Bumiputera di universiti.

"Anak-anak (penuntut UiTM) saya aman harmoni berjuang bersama-sama dan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Apa yang penting kita semua bersatu padu dan tidak berpecah belah," katanya.

Kongkong mahasiswa

Bagaimanapun menurut KAMI, mahasiswa perlu diberikan kebebasan untuk meluahkan pendapat walaupun apa yang bakal diperkatakan itu mungkin bertentangan dengan apa yang dihasratkan oleh pihak universiti.

“Sejujurnya KAMI tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan naib canselor UiTM yang mengatakan penglibatan mahasiswa dalam politik akan menyebabkan perpecahan.

“Kenyataan bahawa pindaan AUKU akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut bumiputera dan Melayu di universiti itu kami kira sebagai sesuatu yang tidak relevan," kata Haziq Abdullah.

Beliau tegas mempertahankan bahawa mahasiswa mesti diberikan kebebasan yang sewajarnya untuk bersuara.

“Tindakan mengongkong mahasiswa sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah malah akan melahirkan mahasiswa yang tidak kritikal, konservatif serta jumud dalam berfikir,” katanya.

Menurutnya lagi jika “orang politik pemerintah boleh dibawa masuk ke kawasan kampus, apa salahnya berikan sahaja kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.”

“Jangan pula nanti cakap lain tapi buat lain.”

Pertandingan pidato politik Piala Perdana Menteri peringkat saringan zon tengah di UiTM, Shah Alam, semalam,dirasmikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ).

Khairy juga dipetik Bernama berkata program anjuran unit pidato Pemuda Umno itu akan diteruskan di empat zon iaitu zon utara, selatan, pantai timur dan Sabah serta Sarawak. -mk


Jenayah Di Kalangan Polis Menjadi-jadi Kerana Menteri KDN Kata Jumlahnya Kecil

9 anggota polis terbabit dalam rompakan akan dihadapkan ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sembilan anggota polis yang terbabit dalam kes jenayah rompak di Johor Bahru baru-baru ini akan dihadapkan ke muka pengadilan dan bakal berdepan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan supaya anggota yang terbabit dalam jenayah itu dihadapkan ke mahkamah.

"Walaupun hanya segelintir yang terbabit dalam kegiatan jenayah, ia tetap menjejaskan imej PDRM sebagai pasukan yang menjaga kestabilan dan keamanan negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Polis/Ketua Polis/Komander dan Komandan di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, anggota polis yang terbabit dalam kes jenayah seumpama itu hanya sebilangan kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya. -BH


Ulasan GB

Inilah senario yang hodoh berlaku di dalam KDN & PDRM.

Kejadian jenayah menjadi-jadi di kalangan anggota PDRM kerana ada menteri yang membelanya - bahawa bilangan anggota polis yang melakukan jenayah adalah kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya.

Sindrom memberikan alasan sedemikian amat-amat tidak wajar kerana ia persis menggalakkan lagi perbuatan jenayah dan salahlaku polis yang sepatutnya bertindak membenteras jenayah - tetapi kini, mereka sebenarnya penjenayah.

Sebelum ini GB sudah ulas di dalam kes seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. Petikan:

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?


Sekali lagi ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.

Bapa Bob Lokman Persoal JAIS Tahan Anaknya Beri Syarahan Agama

Kota Bahru - Bapa kepada pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman, Lokman Ahmad (gambar), 73, sehingga kini belum mengetahui perkembangan terbaru anaknya itu.

Beliau berkata, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, pernah dihubunginya ketika berita penahanan anaknya itu dihebahkan menerusi media, namun belum sempat berbual dengannya.

“Mengikut media, Bob ditahan tetapi sudah dibebaskan. Saya kira, Mohd Hakim tidak patut ditahan kerana dia bersyarah mengenai agama dan jika difikirkan, ia sama seperti orang tabligh menyebarkan agama, tetapi tabligh tidak pula ditahan.

“Mungkin nama Bob itu perlu ditukar kepada Ustaz Mohd Hakim kerana saya rasa, itulah nama serasi memandangkan dia mempu nyai latar belakang pengajian agama,” katanya, semalam.

Beliau berkata, nama ‘Ustaz Mohd Hakim’ dicadang kan berdasarkan Bob ketika bersekolah di Maahad Hami diah Kajang pernah menjadi juara syarahan dan merupakan cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Tok Kenali.

Menurutnya, penahanan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dirasakan tidak adil kerana anak lelakinya memberi syarahan agama dalam masjid, bukan berbuat perkara tidak sopan.

“Sepatutnya, jabatan agama tangkap mereka yang melakukan perkara tidak sopan seperti mengadakan majlis tarian, seks serta menyanyi, bukan orang beri ceramah agama,”
katanya.

Oktober lalu, Jais menahan Bob Lokman, setelah didapati memberi ceramah tanpa tauliah di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. -SH

Pasangan Khalwat Dibebaskan Kerana Kroni Tok Sidang

Alor Gajah: Tindakan seorang pegawai syarak sebuah tanah rancangan Felda, di sini yang menahan sepasang kekasih yang disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik sebelum didakwa membebaskan mereka menimbulkan rasa kurang senang beberapa penduduk yang membuat laporan itu, malam kelmarin. Gambar hiasan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia awal 20-an bersama pasangannya berusia 18 tahun ditahan penduduk serta Imam satu Felda berkenaan selepas didapati berkhalwat dalam sebuah rumah.

Penduduk, Qasha Umar, 28, berkata, penduduk terpaksa mengambil masa 30 minit sebelum menyerbu masuk ke dalam rumah disyaki selepas mendapat maklumat mengatakan terdapat sepasang kekasih sedang berdua-duaan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, mereka terkejut apabila mendapati seorang wanita tua dipercayai ibu kepada remaja terbabit sedang tidur di bahagian tengah rumah sebelum pasangan itu keluar dari bilik kira-kira 15 minit kemudian.

Qasha yang juga Ahli Jawatankuasa Keselamatan Felda berkenaan berkata, selepas 15 minit berbual dengan wanita terbabit, muncul seorang lelaki berusia awal 20-an berpura-pura menggaru kepala diikuti remaja perempuan itu.

Selepas diperiksa, pihaknya mendapati lelaki terbabit adalah anak kepada seorang sidang kampung dan tangkapan itu adalah yang kedua dilakukan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas lelaki terbabit, kami terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu sudah berada di dalam bilik remaja perempuan itu sejak jam 10 malam.

“Mereka mengaku sudah melakukan perbuatan itu berulang kali biarpun ibu pasangannya berada di rumah dan berjanji tidak akan melakukannya lagi sebelum pasangan terbabit dibawa ke balai polis berdekatan laporan penahanan,” katanya.

Menurut Qasha, setibanya di balai polis berkenaan, ibu bapa lelaki terbabit sudah sedia menunggu dan berbincang sesuatu dengan Imam satu yang juga pegawai syarak sebelum anak mereka dilepaskan sekali lagi begitu sahaja.

“Dalam hal ini, kami memang tidak berpuashati dengan cara pegawai syarak dan Tok Sidang berkenaan mengambil jalan mudah melepaskan anak sendiri yang melakukan maksiat tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

“Sebagai ahli jawatankuasa keselamatan di felda ini, saya berharap perkara maksiat seperti ini perlu dipandang serius bukan sebab dia saudara kita atau anak kita, maka boleh dilepaskan tanpa tindakan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Syarak yang enggan dikenali berkata, pasangan berkenaan ditahan kerana berdua-duaan di dalam bilik namun pada masa sama ada seorang lagi wanita.

“Dalam hal ini, kami sukar mendakwa pasangan terbabit berikutan keadaan itu namun mereka sudah diberikan nasihat serta akujanji agar mereka tidak akan melakukan kesalahan itu lagi,” katanya. -hm

Kg Hulu Terengganu Diserang Virus Hepatitis A. Apa Pelajarannya?

Hulu Terengganu: Seramai 27 orang termasuk lapan kanak-kanak dari Kampung Basong dan Kampung Pasir Dula di sini dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) kerana disyaki dijangkiti virus Hepatitis A.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Anuwa Sulaiman berkata lima orang lagi mangsa dari dua kampung berkenaan dirawat sebagai pesakit luar.

"Kesemua mangsa yang dirawat berusia antara dua tahun hingga lingkungan 50-an dan keadaan mereka dilaporkan setabil," katanya ketika dihubungi, Ahad.

Menurutnya kesemua mangsa terbabit dimasukkan ke hospital itu sejak tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha secara beperingkat-peringkat hingga beberapa kes terbaru dikesan pada Sabtu.

Dr Anuwa berkata pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti jenis penyakit sebenar yang dihadapi kesemua mangsa. Beliau berkata buat masa ini, kesemua mangsa yang sedang dirawat itu disyaki terkena virus Hepatitis A berdasarkan simptom yang dialami seperti mata kuning, demam, sakit kepala dan cirit birit.

"Mereka bukan mengidap virus air kencing tikus atau Leptospirosis," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Telemong, Rozi Mamat, yang melawat mangsa di HHT hari ini, berkata beliau mengharap Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan segera bagi mengesan punca sebenar wabak itu.

Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, berkata beliau difahamkan kejadian itu berpunca dari penggunaan air yang tidak bersih.

Katanya, sebelum ini penduduk di Kampung Sungai Berua, dekat sini, telah diserang wabak itu pada September lepas. -BERNAMA

Ulasan GB

Setiap sesuatu musibah yang turun perlu dilihat sebagai iktibar untuk menyedarkan manusia.

GB telah berkali-kali menyatakan bahawa Terengganu kini sudah jauh dari nilai-nilai peradaban Islam dengan gejala maksiat yang begitu menjadi-jadi di negeri yang bergelar "darul-iman" tersebut.

GB nyatakan kekhuatiran itu kerana ia bakal mengundang kemurkaan Allah kerana apabila sesuatu kemungkaran itu berlaku maka bala Allah akan turun, tak mengira siapa yang akan terkena.

Kemurkaan Allah swt datang dengan pelbagai bentuk. Wabak penyakit adalah salah satunya.

Firmanullah s.w.t.


Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[Ar-Rum : 41]

Ummu Salamah Radiallahu `anha berkata: aku mendengar Rasulullah Salallahu `alaihi wa sallam bersabda:

“Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…” -HR. Ahmad dll. Hadith Sahih

GB pernah ulas sebelum ini Petikan:

Ada pihak yang kurang senang apabila GB mendedahkan kes khalwat, rogol, zina dan sebagainya di blog ini terutama kejadian-kejadian yang banyak berlaku dewasa ini di Dungun dan di negeri Terengganu.

Akhirnya kebenaran terserlah. Berita di atas membuktikan pendedahan GB bukan sengaja untuk publisiti. Tetapi ia masalah jenayah syariah yang tegar yang perlu dibasmi.

Jika tidak maka hukuman Allah pun berjalanlah...... apabila maksiat bermaharaja-lela, tunggu saja balaNya...

p/s Banyak keruntuhan berlaku di Terengganu. Baru-baru ini negeri Terengganu dilanda ribut pula. Tak bacakah ayat-ayat manzurah itu?


Tiada Waris Jengah Sofea Yang Ditinggalkan Di Mahkota Parade

Melaka: Lebih seminggu selepas ditinggalkan di tepi tandas lelaki sebuah pusat beli-belah di bandar ini, malah berita mengenainya disiarkan Jumaat lalu, penemuan kanak-kanak perempuan berusia setahun setengah itu masih misteri kerana tiada mana-mana pihak mahupun ahli keluarga tampil menuntutnya hingga lewat petang semalam.

Begitupun, kanak-kanak malang yang dipanggil Sofea itu kini ceria dan selamat dalam jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan ditempatkan di rumah perlindungan Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.

Pengarah JKM negeri, Daud Arbah berkata, pihaknya masih menunggu dan pada masa sama memantau perkembangan Sofea yang masih belum diketahui identitinya.

“Sehingga hari ini (semalam) selepas berita penemuannya disiarkan Harian Metro, kami masih menunggu ibu bapa kanak-kanak perempuan terbabit ataupun warisnya untuk datang ke Pejabat JKM Melaka Tengah.

“Namun, setakat ini belum ada mana-mana pihak menghubungi kami bertanyakan mengenainya. Justeru kanak-kanak terbabit masih dalam jagaan JKM untuk tempoh sebulan daripada tarikh perintah jagaan sementara mengikut peruntukan Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang diluluskan Mahkamah Majistret sebelum ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, apabila tempoh perintah jagaan sementara itu tamat dan belum juga ada pihak yang berhak menuntut jagaan terhadap kanak-kanak perempuan itu, pihaknya akan memfailkan permohonan baru di Mahkamah Kanak-Kanak.

Katanya, terpulang kepada mahkamah yang bersidang menentukan sama ada Sofea diserahkan kepada JKM dan ditempatkan di rumah perlindungan sehingga mencapai usia 18 tahun atau sebaliknya.

“Penempatan kanak-kanak secara tetap di rumah perlindungan JKM ini selama tempoh 3 tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, mengikut mana yang lebih pendek mengikut peruntukan Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.

Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun setengah menangis ketakutan ditinggalkan bersendirian di tepi tandas lelaki di pusat beli-belah Mahkota Parade malam, 5 November lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kanak-kanak malang itu dilihat ditinggalkan seorang lelaki sebelum ditemui kakitangan pusat beli belah itu.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Superintendan (Operasi/Risikan) R Gunarajan berkata, pihak sudah membuka siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. -hm

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Demo Tolak Kedatangan Presiden AS, Barack Obama Ke Indonesia

Ribuan demonstran dari Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) Sulawesi Selatan menolak kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, ke Indonesia.

Tindakan tersebut dilakukan dengan melakukan perarakan sepanjang 3 kilometer, dimulai dari halaman masjid Al-Markaz al-Islam menuju Monumen Mandala, Jalan Jenderal Sudirman, Makassar.

Di sepanjang Jalan Masjid Raya, Jalan Gunung Bawakaraeng, hingga jalan Jenderal Sudirman, para demonstran menyeret sebuah gambar Obama dan replika bendera Amerika Syarikat. Sesekali gambar tersebut diletakkan di tanah, lalu dipijak-pijak oleh penunjuk perasaan.

Menurut Nasaruddin, salah seorang aktivis HTI Sulawesi Selatan, tindakan itu dilakukan sebagai bentuk penolakan terhadap kedatangan Barack Obama ke Indonesia.

“Kami haramkan kaki Obama untuk memijakkan kakinya di Indonesia. Obama tidak layak datang ke Indonesia dan sepatutnya pemerintah menolaknya,” teriak Nasaruddin ketika berucap.

Nasaruddin menambahkan, kedatangan Obama merupakan bentuk penjajahan Amerika terhadap Indonesia. Kerana, mereka hanya datang untuk mengokohkan kepentingan AS di wilayah Indonesia.

Apalagi ketika ini, Indonesia sudah dijajah oleh Amerika dalam sektor ekonomi. “Mereka hanya ingin melanjutkan kontrak soal Freeport, Exxonmobil, Unocal-Texaco, Chevron dan perusahaan lainnya,” ujar Nasaruddin.

Kerana itu, menurut Hizbut Tahrir, jika pemerintah Indonesia tidak menolak Obama maka Indonesia akan tetap hidup dalam jajahan Amerika dalam segala sektor. Menurut HTI, penjajahan Amerika atas Indonesia tidak boleh dibiarkan dan mesti ditentang.-vivanews

Hizbut Tahrir bantah lawatan Obama

JAKARTA: Ribuan penyokong kumpulan Hizbut Tahrir berkumpul di tengah Jakarta semalam bagi membantah lawatan Presiden Barack Obama pada minggu ini.

Kira-kira 2,500 orang melaungkan kecaman ke atas Presiden Amerika Syarikat itu serta menyelar negara berkenaan sebagai pengganas.

Mereka turut membawa sepanduk bertulis “Tolak Obama Tolak Kapitalisme Tolak Imperialisme” bagi menyatakan bantahan berkenaan.

Jurucakap penunjuk perasaan itu, Mujiyanto, berkata mereka tidak dapat bersetuju dengan AS dan membantah keras lawatan Obama ke Indonesia.

“Obama pembunuh saudara seagama kami di Palestin dan Afghanistan, mencuri sumber asli Indonesia dan penjajah yang mahu menguasai dunia supaya boleh melakukan apa saja kemahuannya,” katanya.

Protes sama juga diadakan di beberapa bandar raya lain, termasuk Surabaya dan Makasar di Sulawesi Selatan.

Obama berada di Indonesia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pada hujung minggu ini.

Sidang Kemuncak Asean juga bakal dilangsungkan pada minggu ini. - AFP




307 Rekrut Gangster Melayu Diberkas

Manjung: Sekumpulan individu dipercayai dianggotai penjenayah dikesan cuba merekrut ahli baru mereka termasuk membabitkan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, menerusi penganjuran satu majlis khas di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Gambar: ANTARA tujuh wanita yang hadir pada majlis angkat sumpah kumpulan penjenayah di sebuah Resort di Teluk Batik, malam kelmarin. 33 pelajar bakal duduki SPM, 7 wanita ditahan di sebuah resort

Mereka yang dipercayai datang dari seluruh negara terutama dari Pulau Pinang dikatakan mula mendaftar masuk ke resort itu bermula jam 3 petang kelmarin bagi menghadiri majlis ‘Hari Keluarga Genki Seven Malaysia’ yang dijadualkan diadakan di resort sama, bermula jam 8 malam.

Bagaimanapun, aktiviti dan perhimpunan haram itu berjaya dibanteras apabila sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Perak dibantu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menyerbu majlis terbabit kira-kira sejam kemudian.

Serbuan itu berjaya menahan 307 individu berusia 17 tahun hingga 30-an termasuk tujuh wanita dan 39 pelajar yang 33 daripadanya bakal menduduki SPM serta tiga kakitangan kerajaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata ketika serbuan dijalankan, semua mereka sedang mendengar ucapan dan dipercayai dalam proses mengangkat sumpah menjadi ahli kumpulan.

Katanya, polis mengesyaki mereka mengadakan majlis khas itu untuk merekrut ahli kumpulan baru dan menjadikan program hari keluarga berkenaan sebagai mengaburi pandangan masyarakat serta pihak berkuasa.

"Pada serbuan pertama, kami menahan 180 individu di dalam dewan berkenaan, manakala selebihnya ditahan di beberapa lokasi selepas siasatan susulan dibuat.
“Turut dirampas kemeja-T, pelekat kenderaan dan rantai kunci berlogo sebuah pertubuhan bukan kerajaan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

"Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 327 Kanun Keseksaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut. Siasatan polis mengesyaki kumpulan terbabit dipercayai mengadakan majlis mengangkat sumpah untuk sebuah kumpulan kongsi gelap," katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian ke lobi resort berkenaan ketika serbuan dijalankan mendapati satu kain rentang tertera tulisan 'Hari Keluarga Genki Seven Malaysia' yang disertakan dengan logo kumpulan. -BH

180 bakal gengster Melayu dicekup


Sebuah dewan resort di Teluk Batik, Lumut telah ditempah khas oleh ahli Genki Seven Malaysia untuk melakukan ikrar sumpah taat setia.

LUMUT – Sekumpulan 180 individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap di sebuah resort di Teluk Batik di sini kelmarin.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, semua ahli kumpulan yang bernaung di bawah nama Genki Seven Malaysia (Generasi Kini Tujuh Malaysia) termasuk tujuh wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu melakukan serbuan di resort tersebut.

“Semasa serbuan dilakukan, mereka sedang membaca ikrar dipercayai berkaitan dengan kegiatan ala kongsi gelap.

“Kumpulan berkenaan dipercayai mendaftar masuk ke resort itu pada petang semalam (kelmarin) dengan berselindung di sebalik program hari keluarga,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, ikrar yang dibacakan oleh kumpulan itu adalah ikrar sumpah untuk taat setia kepada ketua kumpulan dan akan saling melindungi ahli-ahlinya.

Menurut beliau, antara yang ditahan ialah 39 pelajar termasuk 33 orang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Turut ditahan tiga kakitangan yang bekerja dengan agensi kerajaan. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri Perak.

Genki Seven Malaysia yang hampir keseluruhannya dianggotai orang Melayu dipercayai baru ditubuhkan pada 2006 dan didakwa berpusat di Ipoh.

Kumpulan itu kini memperluaskan sayapnya dengan membuka cawangan di Taiping. Genki Seven Malaysia juga sedang mencari ahli-ahlinya dalam kalangan orang muda dan mereka yang masih bersekolah.

“Siasatan polis mendapati perhimpunan haram yang dipercayai menjurus aktiviti kongsi gelap itu didalangi seorang kakitangan agensi kerajaan yang bekerja di Ipoh. -kosmo


Tarian ghairah buka ‘ritual’

MANJUNG: Mereka dihiburkan dengan tarian ghairah oleh sekumpulan gadis cantik sebelum dikumpulkan di dalam satu dewan besar untuk menjalani satu ‘ritual’ khas bagi ditauliah menjadi ahli pertubuhan kongsi gelap.

Itu antara sesi angkat sumpah yang dilalui 307 orang termasuk remaja berusia 17 tahun sebelum ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) negeri di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, 307 individu berusia dari 17 hingga 30 tahun itu berkumpul di resort berkenaan mulai jam 8 malam kelmarin lengkap memakai kemeja-T dengan logo pertubuhan itu.

Berselindung di sebalik program Hari Keluarga, acara itu dikendalikan sekumpulan individu dipercayai ahli kumpulan gengster untuk merekrut ahli baru.

Difahamkan, peserta program itu datang dari seluruh negara untuk menyertai kumpulan berkenaan dan mendaftar masuk di resort bermula jam 3 petang kelmarin. -hm

DITAHAN...gadis yang menghiburkan program terbabit.

KUMPUL... belia dan remaja dikumpulkan polis, kelmarin.



[GEMPAR] Hospital Sultanah Nur Zahirah K.Terengganu "Terbakar"

Kuala Terengganu — Pesakit dan kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini, gempar apabila bangunan hospital yang masih dalam pembinaan terbakar berikutan berlakunya asap tebal.

Akibat kejadian itu beratus-ratus pesakit yang berada dalam wad di bangunan bersebelahan terpaksa dipindahkan ke tingkat bawah hospital berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Turut dipindahkan ibu dan bayi yang baru dilahirkan, pesakit lain serta orang ramai yang menjaga pesakit turut keluar dari bangunan wad hospital itu.

Jurutera Kanan Kawalan Kualiti Projek, Yassin Sidek berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi apabila dua pekerja menyalakan obor kerana keadaan gelap bagi melakukan kerja-kerja penyambungan paip di blok utama wad bersalin yang dalam proses pembinaan itu.

Bagaimanapun ketika sampai di pintu masuk bangunan wad itu, api tersebut terus menyambar gam PVC yang berada berhampiran pintu tersebut
.

"Dalam beberapa saat sahaja bangunan itu mengeluarkan asap tebal dan hampir separuh saluran pendingin hawa bangunan tersebut terbakar,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 237 pekerja sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan hospital baru itu setinggi enam tingkat, yang mula dibina September 2008 dan dijangka siap pada April tahun depan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Azmi Salleh berkata, kejadian itu menyebabkan empat peratus bahagian tingkat bawah bangunan tersebut rosak.

Katanya punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan percaya asap itu berpunca daripada cecair penyejat yang dikenali PU Foam yang menyejat air dalam pendingin hawa menyebabkan ia mengeluarkan asap tebal. — Bernama Foto: tokobakso