18 Okt 2011

Warga Asing Dipaksa Ikrar Undi BN

Kuala Lumpur: PAS mendakwa 240 warga asing yang dikesan cuba mendaftar menjadi warga negara Malaysia di Astana Dugang Country Resort dekat Putrajaya pada 12 Oktober lalu telah dipaksa berikrar mengundi parti kerajaan.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, ikrar secara lisan itu dilihat saksi yang berada dalam bas yang dipenuhi warga asing terbabit ketika dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Putrajaya.

Suhaizan mendakwa, berdasarkan saksi itu terdapat seorang wanita yang memakai jaket Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menaiki bas daripada hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kulai.

“Wanita itu kemudiannya memberi taklimat tanpa menggunakan mikrofon, namun tidak bersama kumpulan warga asing ini semasa di Astana Dugang Country Resort,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Beliau berkata, arah perjalanan warga asing ini juga berubah-ubah kerana tujuan asalnya adalah bermesyuarat di Putrajaya, kemudian dipecahkan d ibeberapa lokasi di Johor.

Apabila sampai di Putrajaya bas terbabit berlegar-legar disekitar dan kemudian diarahkan membawa sekumpulan warga asing itu ke Astana Dugang Country Resort.

Sehubungan itu, Suhaizan mahu satu badan siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian berkenaan selain jaminan saksi yang terlibat bebas tampil untuk memberi keterangan dan bukannya secara paksaan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN), JPN dan agensi yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan tidak perlu terlibat dalam jawatankuasa bebas ini,” kataya.

Himpunan di Parlimen

Beliau berkata Dewan Pemuda PAS (DPP) akan membuat himpunan beramai-ramai di hadapan bangunan Parlimen pada pagi Isnin 24 ini bagi mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menjelaskan isu terbabit.

Suhaizan berkata, beliau dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan menyerahkan memorandum kepada Hishamuddin di Parlimen pada hari berkenaan,

Sementara itu, Suhaizan turut menyelar kenyataan Hishamuddin yang seolah-olah lepas tangan dalam isu ini apabila mhu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC).

Katanya, PSC ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihan raya dan bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan JPN.

“Menteri Dalam Negeri juga tak tahu apa tujuan warga asing berkenaan berada di sana sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang tahu.

“Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan tertentu,” katanya. -FMT


Siasat pendatang asing bebas dapat IC

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didesak menubuhkan satu badan penyiasat atau jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian warganegara asing didakwa diberikan IC dengan mudah yang berlaku di Istana Dugang Country Resort, Sepang, Selangor pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Bagi tujuan itu, semua pihak terbabit mesti dipanggil termasuk pengusaha Istana Dugang Country Resort, penganjur program, warga asing terbabit, pemandu bas, Pemuda PAS dan pihak polis.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam desakannya berkata, bagaimanapun pihaknya mahu satu jaminan bahawa semua pihak diberi kebebasan untuk memberikan keterangan kepada jawatankuasa bebas itu bukannya dipaksa menyatakan sesuatu yang tidak benar.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan tidak perlu terlibat dalam jawatankuasa tersebut.

Menurut beliau, desakan agar ditubuhkan jawatankuasa tersebut dibuat berikutan kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort pada 12 Oktober lalu sehingga menimbulkan kecurigaan kepada Pemuda PAS berhubung beberapa perkara.

Katanya, kecurigaan pertama timbul ekoran kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa warga asing yang berkubu di resort itu bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi.

"Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dan resort itu. Malah warga asing itu hanya mundar mandir dalam resort tersebut. Ini telah disahkan oleh petugas-petugas Pemuda PAS yang berada di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Kecurigaan kedua, menurut beliau, tiada ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 KM pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing.

Katanya, ketiga, apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini.

"Justeru, pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku itu," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.

Katanya, menurut saksi kejadian, terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa menggunakan mikrofon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan kepada warga asing itu dengan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.

"Menurut saksi kejadian, terdapat seorang wanita yang memakai jaket JPN telah menaiki bas dari hentian Rawat & Rehat (R&R) Kulai, Johor dan telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon, tetapi tidak bersama kumpulan warga asing itu semasa di resort tersebut.

Katanya, menurut saksi kejadian, arah perjalanan warga asing itu sering berubah-berubah, apabila mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya, kemudian ada ura-ura dipecahkan di beberapa lokasi di Johor dan setelah sampai di Putrajaya, mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya diarahkan ke resort itu.

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR.

"Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini, bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan JPN," tegasnya.

Menteri Dalam Negeri juga, katanya, tidak mengetahui tujuan 240 orang warga asing itu berada di resort tersebut, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ.

"Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu," ujar beliau. -HD


PAS Bidas Tindakan SKMM Siasat Aziz Bari

.Datuk Seri Rais Yatim diharap tidak menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai polis peribadinya semata-mata untuk membuktikan beliau masih lagi relevan, demikian tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di dalam satu kenyataannya hari ini.

Ketika menyatakan harapan tersebut kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu, Salahuddin berkata, rakyat tidak ingin melihat mana-mana kementerian atau institusi kerajaan digunakan untuk membodek Perdana Menteri atau membuktikan kononnya seseorang itu masih lagi relevan.

Mengulas tindakan SKMM menyiasat pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksi pensayarah itu terhadap tindakan Sultan Selangor baru-baru ini, Salahuddin berharap tindakan itu dihentikan serta merta.

"Tindakan itu dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara.

"Ia mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dr Abdul Aziz, kata Salahuddin, bercakap berdasarkan ilmu dan kelayakan akademiknya dan tindakan SKMM menyiasatnya tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan.

Beliau juga mempersoalkan adalah SKMM mahu mewujudkan 'profesor kangkung' yang bercakap melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah.

Sebelum itu, walaupun mendakwa kenyataan Dr Abdul Aziz kurang ajar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak tahu adakah pensyarah itu melanggar undang-undang atau tidak.

"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," Bernama memetik Dr Mahathir berkata.

Setakat ini, kata Salahuddin, tidak ada mana-mana pihak berwibawa yang secara jelas dan terus terang menyatakan Dr Abdul Aziz melanggar mana-mana peruntukan undang-undang kerana kenyataannya itu.

"Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," kata beliau.

Dr Abdul Aziz sebelum itu menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.

Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Dakwaan hina Sultan: SKMM siasat prof, Mkini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memulakan siasatan terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah diraja Sultan Selangor baru-baru ini.

"Seorang pegawai SKMM akan datang menemui saya di pejabat di Gombak jam 1030 (pagi) ini.

"Mungkin kerana desakan (kolumnis) Awang Selamat dalam MM (Mingguan Malaysia) semalam," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Awang dalam kolumnya di akhbar Umno itu semalam berkata, ada pihak yang sepatutnya diberi tanggungjawab tidak membuat kerja dengan cekap, tegas dan berkesan.

Mengambil kesempatan menempelak kenyataan Aziz, Awang berkata isu sebegini sudah banyak kali dibangkitkan dan orang ramai bosan menunggu penyelesaiannya.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia seperti biasa akan ada alasannya," tulis Awang lagi.

Ambil masa lama

Aziz memberitahu, sesi itu selesai kira-kira dua jam kemudian.

Selepas selesai memberikan keterangan, Aziz berkata, beliau dimaklumkan disiasat ekoran laporan terhadapnya yang dibuat pada Jumaat lepas.

Katanya, soalan yang diajukan padanya sekitar perkara peribadi dan kerjayanya selain ketepatan laporan Malaysiakini berhubung isu itu.

"Sesi berjalan dalam suasana tenang. Mereka tanya soalan berhubung peribadi dan kerjaya, dan bidang kajian saya.

"Mereka juga tanya soal-soal seperti telefon bimbit, kemahiran ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) saya," katanya.

Menurut Aziz, sesi itu mengambil masa lama sebab ada perkara yang dijelaskannya berkali-kali dan ada perkara yang tidak diingati dan tidak pasti jawapannya.

Sementara itu, SKMM juga petang ini menyiasat seorang wartawan Malaysiakini Jimadie Shah Othman berhubung isu yang sama di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Kenyataannya dirakamkan kira-kira 1 jam 30 minit mulai jam 3.30 petang oleh pegawai yang sama. -mk


Ulasan GB

Itu, blog-blog pencacai UMNO yang menyiarkan gambar dan video porno yang jelas bertentangan undang-undang, kenapa tiada siasatan dan tiada tindakan dari SKMM?

Rakyat Tanggung Beban: Hutang Negara Mungkin Cecah RM1 Trillion - REFSA

Sekiranya hutang kerajaan persekutuan berkembang pada kadar RM50 bilion setahun, ia boleh mencecah RM1 trilion menjelang tahun 2020, kata badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA).

Senario yang menggerunkan itu dikemukakan semasa kajian REFSA mengenai Bajet 2012, yang memberi amaran bahawa impian menuju Wawasan 2020 boleh "berkecai" melainkan jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan kewangannya.

Defisit semasa negara berada pada RM437 bilion, yang menurut REFSA adalahlebih dua kali ganda bajet defisit RM217 bilion yang dilaporkan pada tahun 2004.

"Dengan kata lain, kerajaan telah menambahkan lebih banyak hutang pada enam setengah yang lalu sejak tahun 2004 berbanding dengan 47 tahun selepas Merdeka," petik laporannya itu.

Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.

Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.

"Ini adalah 1 dengan 12 sifar di belakang - RM1, 000000000000," petik laporan itu.

Dengan mengandaikan kadar faedah sebanyak lima peratus setahun, laporan REFSA berkata, bayaran faedah sahaja akan menjadi RM50 bilion setahun.

"Ia adalah hampir keseluruhan kos projek MRT. Kami belum lagi memikirkan tentang bayaran balik hutang itu lagi, "kata laporan itu lagi. -mk

[Video] Pemuda UMNO Kutip Wang Perlindungan Berlagak Samseng Pukul Peniaga [updated]

Kuala Lumpur: Tiga ahli perniagaan mendakwa pekerja mereka diugut, diancam dan dipukul oleh sekumpulan ahli Pemuda Umno kerana enggan membayar wang perlindungan kepada kumpulan pemuda berkenaan.

Ahli perniagaan berkenaan mendakwa membeli membeli sebuah unit bangunan di tingkat bawah sebuah hotel di Jalan Haji Hussein, Chow Kit di sini, Jun lalu.

Mereka mendakwa pekerjanya mula diganggu kumpulan lelaki terbabit Jumaat lalu.

Selain pekerjanya yang cedera didakwa dipukul, cermin lori milik ahli perniagaan itu juga dipecahkan.

Wartawan serta ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang dibawa ke tempat kejadian secara tiba-tiba didatangi seorang Pemuda Umno yang menafikan tindakan itu sambil menyifatkan ia tuduhan palsu.

Pemuda itu yang dikenali sebagai Zulkeflie Mat mengaku beliau adalah ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa dan juga wakil Hal Ehwal Penjaja di Chow Kit.

Nafi bawa konco

Turut kelihatan seorang lelaki yang memakai baju merah dikenali sebagai Jaamat Jantan yang merupakan Ketua Umno cawangan Masjid Pakistan dan juga penjaga kawasan.

Zulkeflie menafikan bahawa beliau membawa konco-konco untuk membuat kacau serta meminta wang perlindungan seperti yang didakwa ahli perniagaan tersebut.

“Saya berjumpa dengan salah seorang rakan kongsi peniaga terbabit. Saya bertindak kerana menerima aduan daripada penjaja lain. Mereka buat ubahsuai adakah mengikut saluran yang betul? Mereka boleh tuduh..tapi saya tegaskan saya menjaga hal-ehwal penjaja-penjaja kecil yang berniaga di tepi-tepi jalan ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam sidang media sebelum itu, salah seorang rakan kongsi yang dikenali sebagai Lee Kok Leong, 43, mendapat tahu bahawa seorang pekerjanya warga Bangladesh dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Tidak cukup dipukul, para pekerja mereka diugut agar pihak majikan mereka segera menghentikan kerja pengubahsuaian di bangunan itu.

Menurut Lee, beliau didatangi oleh dua lelaki, iaitu Zulkeflie dan seorang lelaki hanya dikenali sebagai AD.

Minta bayaran RM800

“Mereka datang bertemu kami dengan wajah yang garang dan meminta bayaran sebanyak RM800,” katanya.

Katanya ekoran tindakan kumpulan itu tiga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat lalu dan semalam.

Seorang lagi rakan kongsi Cheng Chin Heng, 36, kesal dengan polis yang enggan menyiasat walaupun laporan polis sudah dibuat.

“Sehingga sekarang saya mendapati penama dikenali sebagai AD dan Zulkeflie masih berada di kawasan kedai kami. Meraka melarang saya dan pekerja balik ke sana jika tidak kami akan dipukul. Mereka juga membawa masuk barang-barang mereka seolah-olah ia tempat mereka.

“Ekoran saya enggan membayar wang perlindungan kepada dua penama itu, dan saya diberitahu mereka dari Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, mereka kata tempat itu dijaga oleh Umno,” katanya yang turut ditemani peguam.

Menurut Cheng satu laporan polis akan dibuat hari ini kerana semua peralatan untuk pengubahsuaian turut hilang.

Seorang lagi rakan kongsi mereka adalah wanita tetapi namanya enggan didedahkan. -FMT



Ulasan GB

Kita mahu lihat ketelusan dan keadilan Polis menjalankan siasatan dan tindakan ke atas Pemuda UMNO ini.

Yang aneh, sejak bila adanya kutipan "wang perlindungan" ini dan sejak bila pula Pemuda UMNO diberikan hak konsesi mmbuat kutipan berkenaan?


Kulim Dilanda Ribut Lagi, 20 Rumah Rosak

Kulim: Dua puluh rumah di Mukim Padang China dan Sidam Kanan di sini rosak akibat dipukul ribut petang semalam, demikian lapor Bernama. Gambar fail.

Kejadian kira-kira 10 minit pada pukul 4.30 petang itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang dengan satu daripadanya menghempap sebuah gerai nasi kandar di Jalan Sultanah Bahiyah.

Kawasan yang terlibat di Mukim Padang China ialah Kampung Syed Sheh, Tunku Putra, Sungai Badak dan Kampung Baru (sekitar Kilang Lama) manakala di Mukim Sidam Kanan pula ialah Kampung Nesa, Kampung Padang, Taman Bunga Raya dan Ladang Victoria (sekitar Padang Serai).

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakt Daerah Kulim Rohana Mohd Yusuff berkata 15 petugas JKM bersama kakitangan Pejabat pembangunan Persekutuan Daerah Kulim/Bandar Baharu membuat bancian kerosakan yang dialami penduduk kawasan terbabit hari ini.

"Bumbung dua rumah di Kampung Syed Sheh perlu diganti kerana diterbangkan angin," katanya.



Mat Indera Telah Mati Untuk Jawab Kata Nista UMNO Terhadapnya

Serangan ke Jantung UMNO Oleh Hasmi Hashim

Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada sebelah siang, tidak mengalih pandangan untuk perbincangan soal sejarah yang sekian lama dimanipulasi sebagai alat parti pemerintah. Lebih 120 orang memenuhi ruang dewan yang sepatutnya hanya mampu memuatkan 100 orang sahaja. Rata-rata adalah anak muda selain tokoh politik dan ahli akademik.

Memandang keadaan dan minat yang tak pernah terasa begini hebat, terutama sejak Reformasi 1998, subjek sejarah kini menjadi hantu yang bergantayangan di kepala pemerintah. "Mampukah sejarah menumbangkan UMNO-BN?" begitu soalan yang kemudiannya menyusul. Terlebih dahulu saya siapkan halaman karangan yang dibahagi-bahagikan kepada hadirin yang hadir.

Allahyarham Mat Indera tak ada peluang menjawab satu pun tuduhan dan kata nista yang dilempar kepadanya. Walaupun beliau punya tempoh setahun terdekam dalam penjara - ditangkap pada 1952 sebelum digantung mati pada 1953 - beliau tetap tak mahu tunduk sujud di bawah telapak duli Inggeris. Betapa pun batang tubuhnya diseksa.

Orang yang tak pernah dizalimi, mungkin tak mengerti apa artinya kezaliman; namun aneh andai anak bangsa yang pernah ditindas penjajahan, tak merasa peri-perihnya penjajahan. Sungguh tak dapat dimengertikan bagaimana segelintir orang akademik bergelar "profesor" terbelit dengan persoalan mainan istilah dan semantik sehingga ketepi kenyataan bahawa bangsanya pernah dijajah.

Hal ini jadi bahan tawaan orang apabila penyataan "Malaysia tak pernah dijajah" dihembur tanpa bukti kajian dan jilid ilmiah terperinci untuknya. Ia hanya dilontar dalam satu sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) dan disusuli satu-dua forum awam.

Tujuannya pula lebih hanya untuk meyakinkan rakyat dalam jangka masa pendek; bukan menyatakan kebenaran dan perincian fakta sejarah yang sesungguh-sungguhnya. Dalam kata lain, MPN melalui dua-tiga orang profesor yang bersekongkol menyatakan "Malaysia tak pernah terjajah" lebih berperanan sebagai "orang politik". Bukan sebagai juru akademik dan ilmuan. Sidang media oleh MPN berhubung isu itu diadakan pada 9 September 2011.

12 hari kemudian, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun dihadap ke mahkamah, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Bukan kelaziman polemik sejarah jadi perbicaraan mahkamah. Apakah yang sangat ditakuti dengan kenyataan daripada isi ceramah Mat Sabu? Atau mengapa ada yang begitu gementar dengan Mat Indera; seorang lelaki guru agama kelahiran Batu Pahat, Johor yang menganggotai sayap Angkatan Pemuda Insaf (API)? Di bawah direkodkan kembali sepotong kenyataan media oleh MPN yang barangkali boleh membuka kotak pandora untuk menjawab soalan-soalan di atas:

Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta.

Sejak sekian lama, murid-murid sekolah diajarkan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan dengan "jalan rundingan". Tunku Abdul Rahman diangkat sebagai Bapa Kemerdekaan. Tunku adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sejak 1957, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah perikatan tunggal yang memerintah. Parti itu jua yang dikatakan memperolehi kemerdekaan dari Inggeris, dengan jalan rundingan: "merdeka cara aman".

Keperluan menyokong UMNO-BN pada hari ini bukan sahaja kerana UMNO-BN telah berjasa memerdekakan tanahair, tetapi kemerdekaan itu tanpa tumpah darah - di sinilah titik khianat di dalam sejarah yang dipertahan segelintir orang itu. Biar bagaimanapun bobrok kepimpinan elitnya, atau dasar-dasar yang sudah tidak sesuai dengan zaman, namun, tetap UMNO-lah yang harus didukung kerananya Malaysia merdeka.

Gambaran ini berderai apabila muncul nama Mat Indera.

Di belakang nama Mat Indera, tak dapat ditutup lagi hakikat ada pertubuhan dan parti lain, selain UMNO, yang dibentuk lebih awal daripada UMNO, yang, berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu. Parti-parti seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin diharamkan Inggeris - bagaimanakah Inggeris boleh mengharamkan parti-parti ini kalau bukan Inggeris yang berkuasa? Ini juga satu bukti bahawa tak punya beza pengertian antara "tanah lindungan" dengan "tanah jajahan" macam yang didakwa.

Yang dibenarkan bergerak hanya UMNO: sebuah parti yang ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2, iaitu tempoh waktu untuk "menyambut" kedatangan Inggeris kembali ke Tanah Melayu. Orang Melayu sebagai kaum majoriti haruslah disatukan di bawah satu pertubuhan politik bagi tujuan itu.

Onn Jaafar, si pendiri UMNO, juga akhirnya terhindar keluar apabila beliau melihat bahawa gagasan parti satu kaum akan mendatangkan mudarat bagi masa hadapan Tanah Melayu. Terutamanya selepas merdeka. Buah fikiran parti pelbagai kaum, bukan idea Inggeris; tidak cocok dengan Inggeris, dan kerana itu Dato’ Onn harus dikesamping daripada barisan elit UMNO.

Malayan Union digemparkan untuk ditubuhkan. Berserta itu, orang-orang Melayu ditakut-takutkan. Terasa pula bahawa Inggeris seakan tidak serius. Inggeris-dengan segala kekuatan yang ada padanya- boleh sahaja meneruskan gagasan Malayan Union kalau mereka mahu; kala mana kuasa sultan-sultan Melayu berada dalam keadaan cukup lemah. Namun kenyataan sejagat pertengahan abad 20 ialah memiliki wilayah jajahan bukan lagi keutamaan mana-mana empayar Eropah. Ketika sama, Barat sudah cukup matang wacananya mengenai imperialisme, kebebasan, hak-hak asasi manusia dan kerakyatan.

Daripada perspektif dan latar ini, mencanangkan Malaya Union tak lebih hanya justifikasi agar UMNO (parti anak emas Inggeris) itu jadi releven. Sementara di mata "golongan kiri", tanpa atau dengan Malayan Union, Inggeris tetap penjajah yang harus dihalau. Pengalaman Indonesia tentulah munasabah untuk dijadikan contoh rujukan. Indonesia merdeka dan terbangun sebagai sebuah negara-bangsa pada 1945; 12 tahun lebih awal daripada kemerdekaan Tanah Melayu.

Entah apa yang dimaksudkan "radikal" sepertimana dalam kenyataan media MPN, kalau bukan sebermula kenyataan API iaitu "merdeka dengan darah", yang turut dipetik daripada perjuangan nasionalis sebelum Indonesia merdeka. Ia, sesungguhnya lebih awal dari itu…

Saudara Syed Shahir mengutarakan pandangan ketika sesi soal jawab.

Kemerdekaan India - satu lagi koloni Inggeris - adalah kemerdekaan yang datang daripada semangat penentangan sama, iaitu menolak kerjasama dengan penjajah. India merdeka pada 1947. Mahatma Ghandi, pejuang dan bapa pendiri India berslogan "lakukan atau mati", yang menjadikan sosok tubuhnya sebagai "senjata". Yang dimaksudkan sebagai "lakukan" ("do") adalah "merdeka".

Demikian sembang-sembang mengenai "siapa Mat Indera" membuka selera dan semangat baru kepada kita hari ini untuk selidiki lebih mendalam mengenai sejarah bangsa berhubung perjuangan kemerdekaan. Adalah sesuatu yang angkuh bila dikatakan kesedaran kemerdekaan di Tanah Melayu terputus dengan kesedaran di negeri-negeri lain yang sama terjajah, sama ada Indonesia (Belanda), Filipina (Sepanyol) mahupun India (Inggeris), misalnya.

Sendal-sendal dan alang-alang sejarah aliran pemerintah pun ada yang mulai patah. UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak merdeka, dan sejak itu tak pernah sekalipun anak watan dapat melihat sejarah daripada versi yang bukan versi pemerintah UMNO-BN.

Catatan dan buku-buku sejarah yang bukan ditulis dan diterbitkan pemerintah, dianggap tidak berwibawa meskipun ditulis oleh individu pencipta sejarah itu sendiri. Misalan yang ada ialah buku Merintis Jalan Ke Puncak, iaitu memoir Ahmad Boestaman. Buku 188 muka surat ini pertama kali diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Kejora pada 1972. Sejak penerbitan sulung, tidak ada usaha untuk ulang terbitkannya kembali.

Di dalam buku itu, turut diceritakan bagaimana PKMM yang mulanya salah sebuah badan gabungan UMNO, keluar daripada UMNO kerana ingin menentukan lambang atau bendera UMNO. Persoalan yang timbul bukanlah tertumpu sangat kepada Sang Saka Merah Putih sepertimana yang dicadangkan oleh KMM, tetapi sistem undian yang memberi hak satu badan dengan dua undi; tanpa mengira kecil atau besar sesuatu pertubuhan berkenaan. Cadangan PKMM, kalah dengan hanya satu undi. Sidang pertama UMNO itu diadakan di Ipoh, Jun 1946.

Maka tidak hairan, bagaimana asas bendera UMNO sepertimana yang wujud hari ini adalah daripada Sang Saka Merah Putih, sama seperti bendera Indonesia. Sama juga seperti bendera PAS mahupun bendera Republik Singapura. Hanya bendera UMNO dibubuh lingkung bulat kuning yang di tengahnya diletakkan imej keris tanpa sarung.

UMNO adalah parti aliran kanan. Sebuah parti perkauman yang tidak menjadikan slogan "merdeka" sebagai slogan awal mereka. Slogan awal UMNO ialah "hidup Melayu". Slogan merdeka dibawa awal oleh parti-parti kiri, termasuklah PKMM.

Hanya selepas mendapati ada ruang di mana Inggeris mahu memberikan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu, barulah UMNO mengguna-pakai slogan merdeka sebagai slogannya. Dengan yang demikian, tidakkah UMNO secara tak sedar menerima dan mengakui bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu adalah kesedaran awal oleh parti-parti dan tokoh-tokoh lain di luar UMNO?

Begitulah sejarah yang jelas nyata ini tak juga selesai, demi survival UMNO khususnya. Atas sebab itu jualah, nama pejuang seperti Mat Indera begitu ditakuti. Membuka kenyataan sejarah ini bakal menjadikan teras sejarah UMNO terbongkar dan tercabut. Kesannya psikologinya ialah, generasi muda takkan lagi terasa terhutang budi untuk terus menyokong sebuah parti yang memerintah Malaysia sekian lama. Mat Indera bukan hanya telah menyerang Bukit Kepong, sepertimana 61 tahun lalu. Dia juga kini sedang menyerang titik tengah kekuatan parti pemerintah. Kepada UMNO, barangkali keadaan inilah yang paling ditakutinya.


*Karangan ini asalnya adalah bahan bacaan sisipan bertajuk Siapa Takut dengan Mat Indera? yang disediakan untuk forum awam "Malaysia dan Sejarah yang Belum Selesai" anjuran Akademi Pak Sako di Hotel Quality, Shah Alam pada 7 Oktober 2011 (Jumaat), jam 8 malam.

**Hasmi bin Hashim, 35 - seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Budi Hekayat.


HIMPUN: PAS Pusat Belum Buat Keputusan, Pemuda PAS Pula Sudah Umum Sertainya

Pemuda sokong sertai Himpunan Sejuta Umat, pendirian PAS malam ini

Sementara PAS Pusat hanya akan mengadakan mesyuarat khas malam ini membincangkan penyertaan dalam Himpunan Sejuta Umat (Himpun), sayap pemuda itu menyokong perhimpunan tersebut yang bermatlamat mahu menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu murtad.

Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan memberi sokongan sebagaimana diperlihatkan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, kepimpinan pusat akan mengadakan mesyuarat khas malam ini dan keputusan itu akan menentukan sama ada mereka akan menyertai Himpunan yang akan diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 60 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita. Pemuda PAS bersama dengan himpunan dan denyut nadi puluhan ribu rakyat pada 9 Julai yang lalu.

“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Nasrudin menambah, “semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah.”

“Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua NGO Islam yang terlibat.

“Kami Pemuda PAS senantiasa bersama anda semua dalam meneruskan cita-cita perjuangan Islam dan mempertahankan akidahnya di bumi bertuah ini,” katanya lagi.

Menurut Nasrudin, Himpun hasil gabungan besar yang mencecah 1,000 NGO Muslim adalah julung kali dianjurkan di negara ini, bakal menyatukan pelbagai lapisan umat Islam.

Semalam, PAS Selangor berkata akan hanya menyokong Himpunan Sejuta Umat jika penganjurannya bertujuan memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini.

Dr Rani, yang juga Adun Meru berkata, PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

“Sebarang usaha untuk melaga-lagakan antara penganut-peganut pelbagai agama dengan tidak terdapat sebarang bukti kesalahan yang diputuskan di mahkmah perlu dijauhi.

“Tindakan seperti ini hanya bertujuan untuk menutup masalah yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya dan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada pihak lain,” kata beliau dipetik laporan media. -TMI

Ulasan GB

Pendirian Pemuda PAS semakin pelik. Setiap kali sesuatu isu timbul, Pemuda PAS akan terburu-buru membuat pendirian sekalipun PAS Pusat belum pun memberikan lampu hijau atau membuat kata putus mengenainya.

Sikap yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda PAS itu tidak mengikut kaedah 'Amal Jamaiyy' dan bertentangan dengan Fiqh al-Harakah.

Mana mungkin anda boleh mmbuat dan menentukan keputusan sebelum PAS Pusat mengizinkannya? Sekalipun ada kemungkinan PAS Pusat akan membuat keputusan malam ini membenarkan ahli PAS menyertainya, Pemuda PAS tetap bersalah kerana telah melanggar adab dan akhlak tanzim. Kekalahan Perang Uhud tidak dijadikan pelajaran.

Seperkara lagi, Himpunan Sejuta Umat tidak boleh samasekali disamakan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Himpunan Sejuta Umat ada motif tersirat disebaliknya. Permit polis begitu mudah diperolehi. Sedangkan permit Bersih dulu tidak diberikan. Mengapa? Tidak mungkin polis boleh memberi permit begitu mudah kepada Himpunan Sejuta Umat jika ia tidak memberikan apa-apa menafaat kepada pihak tertentu. Hanya jauhari mengenal mutu manikam!

Pergilah berarak bersama-sama UMNO, Perkasa, Zul Noordin dan sekalian watak-watak yang menentang PAS selama ini.

Apakah PAS bakal terperangkap lagi dengan kebodohan Pemuda PAS seperti isu kenyataan Hassan Ali menyokong tindakan JAIS dan kes Hantu Bonceng?

GB teringat kata-kata Presiden PAS satu ketika dulu: "Jika mereka mahu kepada Islam merekalah yang perlu masuk ke dalam saf kita, bukan kita berpaling ke arah mereka."

Di dalam isu murtad, kristianisasi dan seumpamanya GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

.... "kemenangan" Islam ke atas agama lain ialah "hujjah". Bukan kerana tekanan, bukan disebabkan tunjuk perasaan, bukan dengan demonstrasi, bukan juga dengan undang-undang.

Di dalam Hikayat Munsyi Abdullah, dikisahkan bahawa Munssyi pernah diasuh untuk mempelajari BIBLE, malah beliau merupakan penterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu.

Sewaktu beliau diajak untuk memeluk ugama Kristian oleh padri yang menyayanginya ketika itu, beliau menjawab, "Cikgu membaca satu kitab iaitu Bible, saya membaca dua kitab iaitu Al-Quran dan Bible. Tentulah saya lebih tahu ugama mana yang betul dan yang perlu saya ikuti." Maka terdiamlah padri yang menjadi cikgunya pada ketika itu.

Beliau mengkisahkan bahawa beliau menterjemahkan Bible itu ke dalam Bahasa Melayu supaya kita dapat mengetahui ilmu Kristian dan kemudian mudah untuk berhujjah dan menjadi benteng keimanan kita sendiri. Sama seperti apabila kita mempunyai mengetahui "ilmu" musuh di dalam peperangan, maka mudahlah untuk kita memenangi peperangan itu.

Masalahnya kini, ialah umat Islam sendiri MALAS untuk membaca Al-Quran dan akhirnya menjadi "takut" dengan Bible. Malah pegangan agama Islam sendiri longlai dan layu, jauh sekali untuk dapat berhujjah dengan pegangan agama lain.

Malah memahami konsep ketuhanan Yang Maha Esa pun ramai umat Islam yang gagal, maka dengan sebab itu ramai umat Islam sendiri melakukan kerja syirik seperti menggunakan tangkal, menyembah keris, bertafakkur di tugu dan seumpamanya.

Ulamak-ulamak terdahulu dengan penuh jerih payah menghasilkan kitab-kitab peningkatan iman dengan cara mempertajamkan akal fikiran supaya mampu berhujjah - dengan lahirnya ilmu kalam - ilmu yang perlukan kepada berkata-kata dan berhujjah - tetapi kini berapa peratuskah umat Islam yang ada mempelajari dan memilikinya?

Pernah Rasulullah SAW bersabda bahawa bilangan umat Islam kita di akhir zaman amat ramai laksana buih di lautan. Apa ertinya buih? Ditiup terus hilang - tidak ada kekuatan. Kuantitinya banyak, kualitinya hancus....


Bayi Ditemui Mati Dikelar Di Asrama Sekolah

Betong: Seorang bayi perempuan yang dipercayai dilahirkan kurang daripada 24 jam lalu, ditemui mati dengan kesan kelaran di bilik asrama perempuan sebuah sekolah menengah, di sini, Isnin.

Gambar: ANGGOTA polis membawa mayat bayi perempuan yang dikelar sehingga mati oleh seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Betong. (17/10/2011) -hm

Pemangku Ketua Polis Daerah Betong ASP Hendry Nyuhai berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada 9.15 pagi tadi bagi membantu siasatan.

"Selepas menerima laporan daripada pihak sekolah, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Betong ke lokasi kejadian dan menemui seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dengan beberapa kesan luka di bahagian leher, perut dan belakang badan," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata mayat bayi malang itu ditemui terbaring bersebelahan katil pelajar perempuan berkenaan.

Katanya polis turut merampas sebilah pisau yang ditemui disorokkan dalam selimut di tempat kejadian.

Pelajar perempuan itu dihantar ke Hospital Umum Betong bagi mendapat rawatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

8 Kenderaan Berlanggar, 19 Cedera Dalam Kemalangan Di Seremban

Seremban: “Apabila tiba di lampu isyarat itu, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah kereta Proton Iswara ‘terbang’ menghempap bumbung kereta lain,” kata Rizal Adnan, 20, saksi kemalangan membabitkan lapan kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Emas, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang dan terkejut menyaksikan kejadian ngeri itu.

Rizal berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemandu kereta Mercedes Benz yang merempuh deretan kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Saya bersama orang awam lain cuba mengeluarkannya, namun kehadiran bomba di tempat kejadian tepat pada masanya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu Proton Iswara itu bagaimanapun terselamat daripada maut walaupun keretanya rosak teruk.

Kemalangan itu turut membabitkan enam kereta, sebuah van sekolah dan sebuah lori.

Kenderaan berkenaan berada di laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis Mercedes Benz terbabit dipercayai dipandu laju dari Jalan Seremban-Tampin, di sini.

Difahamkan, akibat kesan hentaman kuat itu, lima mangsa di dalam kereta berasingan cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.

Berikutan kemalangan terbabit, laluan Senawang ke Seremban berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini sesak sepanjang tiga kilometer.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku dari arah Senawang menghala ke Seremban membabitkan 19 mangsa berusia 20-an hingga 40-an.

Difahamkan, 14 mangsa lain yang turut berada di dalam kenderaan tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 62 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan enam kenderaan lain tidak sempat menekan brek berikutan jarak antara kenderaan terlalu dekat dan terkejut melihat sebuah kereta melambung tinggi sebelum ‘terbang’ ke atas dua kereta lain di laluan bertentangan.

Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz itu tersepit di tempat duduk pemandu dan orang ramai terus menghubungi balai bomba berdekatan.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi.

“Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban bersama 18 anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa tersepit berikutan kenderaan bertindih dengan sebuah kereta Proton Iswara,” katanya. -hm

Diam-diam TM Sudah Kenakan Cukai 6% Sejak Mac

Para pengguna telefon, khususnya pelanggan-pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TMB) yang mendapatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negara ini, mungkin tidak menyedari cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus sudahpun dikenakan ke atas mereka sejak bulan Mac lalu.

Meskipun terdapat kenyataan daripada pihak TM yang mengatakan pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti, kenyataan tersebut ternyata meleset.

Seorang pelanggan TMB, Rizal Ibrahim, 37, dari Damansara Damai, Selangor, menjelaskan, kenyataan itu boleh dibuktikan menerusi bil yang diterima pada bulan Mac lalu khususnya bagi bil bulan Februari 2011.

Menurut beliau, perkara itu disedari setelah beliau meneliti bil TMB yang diterimanya pada bulan Mac lalu yang didaftarkan atas nama isterinya, Rosyati Omar bagi mendapatkan perkhidmatan telefon dan multimedia daripada syarikat itu.


Katanya, beliau amat terkejut apabila menyedari perkara itu kerana sebelum itu para pelanggan hanya dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 5 peratus sahaja. (Gambar atas)

"Ini menunjukkan cukai tersebut telah dinaikkan dalam diam. Untuk menyembunyikan cukai sebanyak 6 peratus itu pula, ia tak ditulis di bahagian depan bil seperti sebelumnya, tetapi di bahagian belakang bil, manakala di bahagian hadapan hanya ditulis dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sahaja," katanya ketika menghubungi Harakahdaily. (Gambar bawah)


Harakahdaily pada 11 Oktober lalu melaporkan, pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Berdasarkan laporan sebuah blog really.tigaline.com, perkara itu disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka.

Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu. Ini bermakna hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.

12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri, di sini, pada hari itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Rizal berkata, beliau amat kesal dengan tindakan pihak TMB kerana menaikkan cukai tersebut tanpa dimaklumkan secara rasmi kepada para pelanggannya terlebih dahulu.

"Selain itu, tindakan tersebut telah dilakukan lebih awal dari yang dinyatakan itu sehingga menyebabkan para pelanggan keliru dan tertipu dengan realiti sebenar," katanya yang juga seorang peniaga. -HD

‘Ini Ujian ALLAH Menguji Keimanan Kami’ - Komuniti Islam Thailand Hadapi Banjir

Bangkok - Komuniti Islam di wilayah Nonthaburi adalah antara paling teruk terjejas selepas banjir besar menenggelami sebahagian daripada Thailand, tetapi jauh sekali untuk merungut, kebanyakan penduduk menganggapnya sebagai cara Tuhan menguji ketahanan mereka.

“Kami anggap ini sebagai ujian ALLAH untuk melihat betapa kuatnya kami dan bagaimana kami mampu mengharungi bencana ini,” menurut ketua sebuah kampung di Tha It, Sompol Larnthong kepada akhbar Bangkok Post.

Daerah Tha It di Nonthaburi, wilayah yang terletak bersebelahan dengan Bangkok mempunyai penduduk seramai 14,542 orang dan dikelilingi dua laluan air utama, iaitu Sungai Chao Phraya di timur dan Terusan Bang Bua Thong di utara.

“Semasa banjir tahun lalu, air mencecah paras lutut tetapi kali ini, ia mencecah paras dada di sesetengah tempat,” menurut pegawai daerah Tha It, Sawad Thinkham.

Kedalaman banjir itu menyebabkan penduduk Islam di kawasan tersebut tidak dapat mengunjungi masjid yang turut ditenggelami air.

“Banjir ini bukan salah sesiapa. Kami tidak mempersalahkan mana-mana pihak,” kata Sompol dan dipersetujui ramai penduduk Tha It, di mana 2,000 rumah di lima kampung terjejas akibat banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di negara itu.

Namun, walaupun penduduk Islam di Thailand menerima bencana itu dengan redha, mereka tetap mengharapkan lebih banyak bantuan daripada kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra.

“Buat masa ini, kami memerlukan kenderaan seperti bot yang boleh membawa orang ramai dari rumah mereka ke tempat kerja dan jika boleh, kami ingin meminta kerajaan membina tembok di sepanjang Sungai Chao Phraya,” menurut Sompol.

Sehingga kini, air banjir melumpuhkan empat kawasan industri utama di Thailand sehingga menjejaskan pengeluaran dalam negara dan dijangka memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara itu.

Sementara itu, kerajaan Thailand, semalam, menyuarakan keyakinan bahawa Bangkok tidak akan terjejas teruk selepas benteng penahan banjir dilihat berfungsi dan paras air di bahagian utara mula menurun.

Sistem penghalang banjir termasuk tembok, terusan, benteng dan terowong bawah tanah dibina bagi menghalang air banjir memasuki Bangkok, pusat pentadbiran negara itu yang didiami hampir sembilan juta penduduk.