18 Okt 2011

8 Kenderaan Berlanggar, 19 Cedera Dalam Kemalangan Di Seremban

Seremban: “Apabila tiba di lampu isyarat itu, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah kereta Proton Iswara ‘terbang’ menghempap bumbung kereta lain,” kata Rizal Adnan, 20, saksi kemalangan membabitkan lapan kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Emas, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang dan terkejut menyaksikan kejadian ngeri itu.

Rizal berkata, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemandu kereta Mercedes Benz yang merempuh deretan kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Saya bersama orang awam lain cuba mengeluarkannya, namun kehadiran bomba di tempat kejadian tepat pada masanya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu Proton Iswara itu bagaimanapun terselamat daripada maut walaupun keretanya rosak teruk.

Kemalangan itu turut membabitkan enam kereta, sebuah van sekolah dan sebuah lori.

Kenderaan berkenaan berada di laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis Mercedes Benz terbabit dipercayai dipandu laju dari Jalan Seremban-Tampin, di sini.

Difahamkan, akibat kesan hentaman kuat itu, lima mangsa di dalam kereta berasingan cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.

Berikutan kemalangan terbabit, laluan Senawang ke Seremban berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini sesak sepanjang tiga kilometer.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku dari arah Senawang menghala ke Seremban membabitkan 19 mangsa berusia 20-an hingga 40-an.

Difahamkan, 14 mangsa lain yang turut berada di dalam kenderaan tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 62 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan enam kenderaan lain tidak sempat menekan brek berikutan jarak antara kenderaan terlalu dekat dan terkejut melihat sebuah kereta melambung tinggi sebelum ‘terbang’ ke atas dua kereta lain di laluan bertentangan.

Katanya, pemandu kereta Mercedes Benz itu tersepit di tempat duduk pemandu dan orang ramai terus menghubungi balai bomba berdekatan.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Seremban, S Gunaselan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi.

“Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Seremban bersama 18 anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa tersepit berikutan kenderaan bertindih dengan sebuah kereta Proton Iswara,” katanya. -hm

5 ulasan:

  1. Sykt insurans pening kepala nih..

    BalasPadam
  2. Tu pasal le kadang2 bukan sbb kecuian & silap kita. Tapi dah ketentuan Allah.
    Mudah2an kita sentiasa amalkan doa & zikir2 yg diajar, pagi & petang, semuga Allah jauhkan/elak dari kejadian2 sebegini. Amin.

    BalasPadam
  3. amalan saya setiap pagi nak pergi kerja ialah membaca isti'azah, doa naik kenderaan, bismillahillazi la yadhurru..., doa minta Allah pelihara ahli keluarga dan harta yang ditinggalkan, dan doa minta Allah pelihara saya dalam perjalanan..

    BalasPadam
  4. still lagi kecuaian..sebenarnya..knp pandu laju melebihi had laju yg ditetapkan?? sehingga hilang kawalan?? yg menjadi mangsa, orglain...wpun telah menjadi ketentuan Allah, tp kena la berwaspada n pk kan kesannya pd org lain. contoh, bumi ni makin rosak..jawapan biasa.."dah ketentuan Allah"...so?? xkan biar mcm tu je kan?? mestilah rawat balik bumi ni...jadi, bila di jalan raya...wpun kita dah baca doa bagai...kita tetap kena ada disiplin...mcm dia sorg jela urgent, mcm dia sorg jela ada rumah, mcm dia sorg jela g keje. kalo bc doa tp sikap x jaga, sama je. kalo mengaji tp x amalkan, apa guna?? kan?? so, sapa mkn cili, dia yg rs pedas. sy minta maaf kalau terkasar bahasa. kita kena saling beringat.jika sy silap, maafkan saya.

    BalasPadam
  5. Kemalangan boleh berlaku walaupun1/Dah baca doa naik kenderaan
    2/keadaan diri pemandu
    3/keadaan kenderaan
    4/hadlaju tidak dipatuhi
    5/keadaan jalan
    6/jarak kenderaan
    7/ketentuan ilahi

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.