17 Sep 2011

Najib Akui Kena Kencing Dengan Pemimpin UMNO Selangor

Najib Tegur Sikap Beri 'Laporan Tipu' Dalam BN

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegur sikap pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) berhubung pemberian 'laporan tipu' kepadanya semata-mata mahu menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar.

Malah tegas beliau, penganjuran program 'syok sendiri' juga turut menyumbang kepada kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

"Jangan buat program syok sendiri sahaja. Bila buat program Juara Rakyat, tulis dalam laporan bahawa ia telah berjaya apabila dihadiri oleh 300 dalam sesuatu kawasan.

"Tapi siapa 300 orang itu? Saya sudah 35 tahun dalam politik, saya dah tahu (taktik). Saya tahu apa yang anda semua buat dan anda pun tahu apa yang saya tahu (tipu laporan).

"Saya tak pakai laporan macam ini. Himpunkan 300 orang lepas itu kata kita dah berjaya. Tak mungkin...itu menipu diri sendiri," katanya ketika merasmikan Konvensyen BN Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Sabtu.

Sebaliknya menurut beliau, adalah sesuatu yang berbaloi sekiranya sesuatu program itu dihadiri oleh kelompok sasaran tertentu khususnya yang tidak menyokong BN sebelum ini.

"Kalau yang kita kumpulkan itu bukan Ketua Cawangan dan penyokong tegar BN, kumpulan 300 itu adalah yang dulunya tentang kita...ia memang berbaloi buat perhimpunan," katanya.

Tegas Najib yang juga Pengerusi BN Selangor, laporan tepat terutamanya mengenai tahap sokongan rakyat di sesuatu kawasan tertentu adalah sangat penting bagi memastikan langkah susulan dapat diambil.

Jelasnya, matlamat BN untuk merampas kembali Selangor pada PRU akan datang adalah bergantung kepada sikap jujur dan berpijak kepada realiti.

"Kita kena ada bacaan politik yang tepat, jangan tipu diri sendiri, jangan tipu pemimpin di atas...jangan. Kalau bagi laporan, kelabu jangan kata putih dan hitam jangan kata kelabu.

"Kita mesti beri laporan yang betul dan pastikan keberkesanan program dan sandarkan kepada reaksi daripada kawasan, kena ada penilaian yang tepat.

"Zaman yang kita main laporan (tipu) macam dulu tak boleh pakai lagi...tak boleh. Ini zaman di mana kita mesti buat sesuatu tindakan yang tepat dan kena buat penilaian yang tepat, jujur dalam menyampaikan laporan," katanya. -mstar

'Syok sendiri' antara punca BN tewas di S'gor

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menempelak pemimpin tertentu dalam parti itu yang masih menjalankan program "syok sendiri" dan memberi laporan tidak tepat berhubung sokongan masyarakat akar umbi.

Katanya, anggota parti itu sepatutnya sedar bahawa tindakan seperti itulah yang menyebabkan BN kehilangan Selangor dalam pilihan raya 2008.

Tambahnya, pemimpin berkenaan hanya "menipu diri sendiri" sekiranya melaporkan bahawa program yang diadakan itu merupakan satu kejayaan.

Walhal ia hanya dihadiri oleh 300 orang di kalangan mereka sendiri, katanya ketika bercakap kepada kira-kira 3,000 orang yang hadir dalam konvensyen BN Selangor di Shah Alam hari ini.

"Jangan hantar laporan, 300 orang berhimpun, berjaya. Siapa 300 orang itu?

"Kalau 300 orang itu orang yang menentang kita, barulah berbaloi buat perhimpunan," katanya lagi dalam perhimpunan yang diadakan di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah.

Beliau turut menyebut mengenai satu program "Sirih Pulang Ke Gagang" yang akan dihadirinya selepas itu di kampus Universiti Teknologi Mara.

"Saya dengar banyak ribu nak masuk balik. Kalau betul, we are on the upward swing," katanya lagi.

Tambahnya, pemimpin akar umbi perlu memberi bacaan politik yang tepat ke atas kawasan masing-masing.

"Jangan tipu pemimpin di atas. Kalau (kawasan) hitam, jangan kata putih. Mesti beritahu betul-betul.

"Laporan macam dulu tak boleh pakai lagi. Mesti dengan tindakan dan penilaian tepat dan jujur.

"Bukan nak sedapkan kita saja. Kita rasa kita cukup kuat. Tapi kalau laporan kita betul, kita tak akan kalah di Selangor, kita boleh buat tindakan pemulihan," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada jentera parti itu supaya menjalankan kerja berterusan.

"Jangan harap pada kerajaan, pada (Jabatan) Penerangan, pada JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas), pada KEMAS sahaja," katanya.

Dengan nada yang serius, Najib turut menggesa pemimpin berkenaan menumpukan usaha untuk meraih sokongan daripada golongan muda.

"Pada orang muda, kita mesti dilihat parti yang cool... Dia kena panggil 'bro' (saudara).

"Kita mesti ada pendekatan yang cool supaya kumpulan 'bro-bro' ini sokong kita," katanya lagi.

Najib turut mengulangi gesaannya supaya pemimpin di negeri itu insaf dengan kedudukan BN sebagai pembangkang di Selangor pada waktu ini.

"Kalau nak tubuh kerajaan, kita hendak semua ahli kita sokong BN. Tapi ada yang kita semak, yang khianati kita ni ahli kita sendiri," katanya.

Turut hadir di program itu ialah timbalan pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar serta pemimpin parti komponen lain termasuk Datuk Seri G Palanivel, M Kayveas dan Kohilan Pillay. -mk


[Video] Pesawat Terhempas Di Atas Penonton, 3 Mati, Berpuluh Parah

Reno (Nevada): Sebuah pesawat pejuang lama era Perang Dunia Kedua merempuh pentas utama ketika berlangsungnya satu pertunjukan udara terkenal di sini, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga penonton, manakala lebih 50 lagi parah.

Nahas yang disifatkan amat ngeri itu berlaku ketika pesawat yang dipandu juruterbang berusia 74 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh pentas utama dengan pesawat bersepai.

Mayat bergelimpangan di kawasan nahas dengan orang ramai memberi bantuan kepada mangsa yang masih bernyawa.

Seorang penonton setia selama 16 tahun menyaksikan pertunjukkan udara itu, Maureen Higgins dari Alabama, berkata ketika kejadian juruterbang terbabit dalam pusingan ketiga pertunjukkan sebelum hilang kawalan.

Beliau duduk kira-kira 30 meters dari tempat nahas dan melihat kejadian ngeri itu termasuk seorang penonton terkena serpihan pesawat dengan darah menyembur dari kepalanya.

“Saya lihat beberapa bahagian badan bersepai sehingga anda tidak percaya apa yang berlaku. Saya kutip tangan dan kaki salah seorang mangsa," katanya.

Antara yang terbunuh ialah juruterbang Jimmy Leeward, 74, dari Florida, yang juga pemilik pesawat P-51 Mustang fighter atau digelar sebagai “Galloping Ghost”. - AP


Kantoi: Pakaian Anwar Dalam Video Seks II Tak Sama Dengan Video Seks I

Lagi rakaman CCTV Datuk T disiar di internet

Saga video seks Datuk T muncul semula di Internet hari ini ekoran muat-naik rakaman CCTV yang dikatakan menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat berlaku aksi seks, serta ancaman penyiasaran seks video baru bertarikh 13 Januari 2011.

Penulis blog Papa Gomo menyiarkan apa yang disebutnya, rakaman "eksklusif" yang menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.

Dalam blog tersebut, klip rakaman itu disunting untuk memautkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa, yang menunjukkan minit-minit akhir lelaki, yang dikatakan Anwar, mengenakan pakaian dan beredar, dengan tanda masa yang menunjukkan ianya urutan peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan dalam video seks berkenaan.

Dalam CCTV itu, lelaki yang dikatakan Eskay memakai pakaian yang berwarna gelap, manakala dalam video seks, lelaki yang ditunjukkan, berbaju dan berseluar cerah (kanan).

Lelaki itu yang dikatakan Anwar juga berseluar gelap dalam rakaman CCTV itu, tetapi seluar dalam video seks itu kelihatan cerah.


Rakaman CCTV itu sebelumnya disebut dalam fakta kes apabila Eskay dan dua orang lagi anggota trio 'Datuk T' dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menyiarkan video lucah itu Jun lalu. -mk

video seks Anwar


Ulasan GB

Begitu aneh, rakaman CCTV di lif berwarna tetapi di dalam bilik hitam putih.

Kedua seluar Anwar di lif berwarna hitam, di dalam bilik berwarna cerah.

Ketiga baju Anwar berwara ungu dan tidak masuk ke dalam seluar sewaktu di lif, tetapi di bilik baju seakan kemeja T dan dimasukkan ke dalam seluar.

Kan ker pembohong dan pendusta namanya tu?

Entah berapa Datuk T bayar papagomo, tetapi malang, KANTOI!
papagomo yang semakin gemuk.

Sebaiknya tidak perlu dilayan provokasi ini, GB lihat ia hanya desakan Datuk T dan "pihak tertentu" yang mahu menghidupkan semula isu ini.

Kezaliman Kerajaan Melaka Berterusan, Mahu Rampas Tanah PASTI As-Solihin Merlimau

Tindakan Kerajaan Negeri mahu mengambil tanah Markas Pas As-Solihin, Merlimau, di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960 mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pemilik tanah berkenaan.

Pemilik, Miah Jani, 74, berkata, beliau membantah tindakan itu kerana mendakwa bersusah payah membelinya tetapi dengan tiba-tiba ingin diambil alih Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bukan mudah untuknya memiliki tanah itu yang kini didirikan Markas Pas dan juga Sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) As-Solihin.

“Saya beli dengan bersusah payah dan rancang nak bangunkan, tapi tiba-tiba dirampas pula, tanah ini bukan tanah terbiar.

“Sejak awal sudah ada Pasti As-Solihin dan diimarahkan dengan pelbagai program Pas untuk hidupkan aktiviti masyarakat di sini, saya tidak reda dengan tindakan ini,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Abdullah Mohamad, 76, beliau sekeluarga memberi kebenaran tanah itu dijadikan Markas Pas dan Pasti sejak1996 termasuk segala aktiviti yang berkaitannya.

“Saya bantah dan tak setuju kerana saya sudah rancang dengan pemaju untuk bangunkan tanah ini bagi projek perumahan yang sedang dijalankan,” katanya.

Bagi, anaknya, Mubin Abdullah, 44, tindakan itu secara tidak langsung akan merugikan pihaknya kerana melibatkan dua lot rumah yang sedang dibangunkan pemaju.

Manakala, salah seorang Pengasas Markas As-Solihin, Mejar (B) Hashim Salleh berkata, markas itu dibangunkan hasil gotong-royong ahli Pas pada 1993 dengan menambak tanah dan membina bangunan sedia ada.

“Ada yang sumbang wang, tenaga dan masa untuk membangunkannya daripada kawasan pokok getah hingga menjadi seperti sekarang.

“Tapi mereka yang tidak tahu asal pembangunan tanah ini, datang nak merampasnya dengan pelbagai alasan sehingga tergamak menggunakan Akta Tanah 1960,” dakwanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, ini adalah pengambilan kali kedua Markas Pas Kawasan di Melaka di bawah akta sama dengan menggunakan alasan ingin membina sekolah tahfiz al-Quran. Manakala bagi pengambilan tanah Markas Pas Bukit Katil sebelum ini, bertujuan membina jalan raya. -SH

Perasuah Negara, Pengkhianat Moden

Telok Kemang: “Ketirisan sebanyak RM28 bilion setahun menurut Laporan Audit Negara 2009 jelas menunjukkan bahawa pengurusan negara berada dalam bahaya dan membimbangkan”, kata Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Beliau berkata dalam situasi rakyat asyik membincangkan kemelut Parti Komunis Malaya (PKM) mereka lupa tentang persoalan ini.

“Signifikan persoalan rasuah yang mahu kita bincangkan dengan perbandingan isu komunisme adalah merupakan persoalan masa depan negara dan rakyat keseluruhannya.

“Sejarah boleh dibincangkan secara ilmiah dan intelektual namun perdebatan kolot oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam isu sejarah menutup ruang perbincangan dan analisis sejarah secara saintifik dan holistik ”, ujar Kamarul.

Kamarul yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan menambah kegagalan pimpinan Umno-BN dalam memahami kupasan dan isu sejarah menunjukkan bahawa mereka sudah semakin hilang upaya dalam mentadbir negara.

Sejarah yang benar dan tepat adalah penting buat negara dan rakyat. Jika isu sejarah pun gagal diuruskan dengan baik oleh kerajaan sudah pasti ini menjadi satu lagi bukti bahawa pimpinan Umno-BN sudah tidak relevan untuk diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat.

“Jika isu sejarah tidak mampu lagi diurus dan difahami dengan baik oleh pimpinan Umno-BN, apatah lagi dengan kemelut isu rasuah, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan salah urus tadbir negara yang parah seperti yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara sehingga negara kerugian berbilion ringgit”.

“Ini tidak termasuk oleh pinjaman Felda sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh ndipersoalkan kewajarannya.

“Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 juga telah meningkat kepada RM362.39 bilion atau 53.7% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion juga telah kerajaan bebankan ke atas rakyat dengan melancarkan 19 program jualan bon pada tahun 2010”, jelas Kamarul lagi.

Justeru itu Kamarul berkata perasuah dan pembuat hutang negara yang telah menggelapkan wang rakyat secara haram dan jijik termasuk oleh pimpinan Umno-BN haruslah ditentang oleh rakyat habis-habisan.

Inilah perjuangan rakyat masa kini dalam menentang pengkhianat moden yang berselindung disebalik dinding kekuasaan di Putrajaya.

Masa depan negara terletak di tangan rakyat untuk membuat keputusan secara serius menolak dan memerangi pengkhianat moden negara.

Laporan Audit Negara untuk tahun 2010 dijangka akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini. -FMT

WASPADA: Batu Ladung Diikat Untuk Beratkan Timbangan Sotong Kering

Kuala Lumpur: Sotong batu ladung. Itu kejutan diterima seorang kakitangan sebuah sekolah di sini, selepas mendapati lebih 10 kilogram (kg) sotong kering yang dibeli bagi majlis kenduri kahwin anak keduanya mengandungi bahan tambahan berbentuk ketulan timah, seberat 2kg yang dijahit pada beberapa bahagian sotong itu.

Mohd Shukri Taib, 56, berkata dia membeli sotong kering berkenaan secara borong di sebuah kedai pemborong makanan kering di Selayang, di sini, pagi kelmarin.

"Menurutnya, selepas membawa pulang makanan kering itu, dia bersama isteri mula menyiang sotong itu menjadi kepingan kecil dan terkejut apabila mendapati beberapa bahagian sotong yang bersaiz besar sukar dikerat terutama pada bahagian ekor dan kepala.

“Selepas membelek sotong itu, saya terkejut apabila menjumpai dua biji batu ladung (pemberat yang digunakan untuk memancing) terselit di celah ekor manakala dua lagi di kepala.

“Lebih mencurigakan, ketulan itu seolah-olah sengaja diletakkan kerana ia dijahit dengan rapi menggunakan tali tangsi,
” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Selepas menjumpai ‘bahan tambahan’ itu, Mohd Shukri dan isteri memeriksa semua sotong yang belum disiang dan mendapati semuanya mengandungi ketulan timah.

Mohd Syukri berkata, sebelum ini keluarganya sudah biasa membeli barang makanan kering di kedai berkenaan, tetapi dalam kuantiti yang kecil.

“Boleh dikatakan saya pelanggan tetap kedai itu dan kerap membeli barang makanan kering seperti sotong, ikan masin atau udang kering, namun ini kali pertama saya membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Saya mengesyaki ketulan timah itu hanya diletakkan pada makanan kering yang dijual secara pukal bagi mengelak taktik itu dikesan pembeli yang hanya menyedari perkara ini selepas pulang ke rumah,” katanya yang turut membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya, boleh dikatakan setiap sotong kering bersaiz sederhana dan besar mengandungi tiga hingga empat ketulan timah dan tidak dapat dilihat pembeli sekiranya tidak dibelek dengan teliti.

Menurut Mohd Shukri, dia membeli makanan kering itu pada harga RM44 sekilogram dan nilai keseluruhan bagi satu bungkusan besar yang dibeli berjumlah RM455 dengan berat lebih 10 kilogram.

“Saya enggan menuduh, namun musykil dengan tindakan menyelit ketulan timah itu pada sotong kering berkenaan. Saya mengesyaki ia mungkin sengaja dijahit bagi menipu berat sebenar sotong kering itu yang mungkin tidak mencecah nilai yang tertera,” katanya.

Katanya, selepas ditimbang semula, berat sebenar sotong itu kira-kira lapan kilogram manakala berat ketulan batu yang ditemui dianggarkan dua kilogram.

Mohd Shukri berkata, dia bukan sahaja tertipu, malah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli sotong tambahan untuk kenduri anaknya.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima bagi mengenal pasti punca ketulan batu itu diselit pada sotong berkenaan.

“Kita akan menyiasat kes itu kerana berdasarkan maklumat kemungkinan wujud unsur penipuan timbangan bagi makanan kering yang dijual,” katanya. -hm


Dasar Penjajah Pisahkan Politik Dengan Agama

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan bahawa perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah berteraskan Islam sekaligus menolak sebarang usaha yang bertujuan mematahkan agenda politik parti itu dengan menyekat ahli politik memberi tazkirah dan ucapan berunsur keagamaan.

"Bagi PAS, sememangnya teras perjuangan politik kita adalah Islam, lalu kita tidak memisahkan antara politik dan agama, bagaimana kami mahu pisahkannya, ahli politik tidak boleh menyebut pasal islam sedangkan PAS adalah parti Islam," katanya ketika dihubungi Tv Selangor, hari ini.

Khalid sebelum ini didakwa menyampaikan tazkirah tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Surau Taman Seri Sementa, Kapar Klang pada 16 Ogos lalu.

Namun menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, beliau hanya menyampaikan ucapan Ramadan dan bukannya memberi tazkirah atau mengajar agama seperti yang didakwa.

Menurut Khalid, tindakan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyimpulkan bahawa ucapannya sebagai melanggar enakmen 119(1) Jenayah Syariah Selangor 1995, iaitu mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan, tidak relevan dalam kes beliau.

Walau bagaimanapun jelasnya, insiden seperti ini mudah berlaku apabila badan-badan yang sepatutnya bebas seperti Jais dan Mais diperkudakan oleh pihak berkepentingan dalam kes ini seperti Umno.

"Ini memang perancangan yang ada pada Umno selama ini, mereka berusaha untuk pintas kerana selama ini kita berjaya bertemu dengan masyarakat di masjid dan surau, jemaah suka dan terus menjemput kita untuk terus berucap.

"Sememangnya ini usaha Umno menggunakan Jais dan Mais, dan inilah yang saya lawan dan tentang kerana saya sayangkan kedua-dua badan ini yang mana telah banyak berkhidmat untuk orang Islam dan kita tidak mahu ianya terus diperkuda oleh Umno untuk kepentingan politik mereka,"
jelasnya.

Tambah beliau, Umno menggunakan kuasa yang dimiliki mereka ke atas jabatan agama di Selangor untuk memisahkan politik dan agama yang menjadi kekuatan seteru politik mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengarah Jais, Tuan Haji Marzuki Hussin bertegas bahawa pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana ahli politik dari mana-mana parti untuk berceramah dan berpolitik sejajar dengan titah Sultan Selangor yang tidak mahu masjid dijadikan gelanggang politik.

"Ekoran daripada surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Istana, telah menyatakan bahawa ahli-ahli politik tidak dibenarkan untuk berceramah di masjid dan surau," ujar Marzuki.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media Jais berhubung penjelasan pemberian tauliah mengajar dan memberi ceramah bagi ahli politik di negeri Selangor, di bilik Mesyuarat Pateh Akhir Bangunan Jais, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuki menjelaskan sekiranya ahli politik dipanggil untuk mana-mana upacara mahupun perasmian yang bertempat di masjid dan surau, maka ia haruslah dibuat di perkarangan premis tanpa ucapan berunsur politik dan lambang parti.

"Kita telah mengeluarkan surat edaran dan peraturan masjid, ianya hanya dibenarkan di luar perkarangan masjid tanpa sebarang lambang mana-mana parti politik, banner mahupun risalah politik dan ucapannya bebas dari unsur politik,"katanya.

Susulan daripada itu, pihak Jais tidak akan memperbaharui sijil tauliah kepada mana-mana ahli politik yang sebelum ini memiliki sijil tersebut daripada pihak Jais.

Sekurang-kurangnya Jais telah mengeluarkan 2,601 sijil tauliah seluruh Selangor setakat ini.

Daripada jumlah itu, kurang daripada 100 sijil sahaja dikeluarkan untuk ahli politik di Selangor.

Bagaimanapun pihaknya tidak mampu memantau semua pergerakan ahli politik yang berceramah tanpa tauliah kerana kekurangan penguatkuasa.

"Jais hanya ada lebih kurang 100 sahaja penguatkuasa jika mahu dibandingkan dengan jumlah masjid yang beribu dan ratusan surau di Selangor,"katanya lagi.

Selangor sekurang-kurangnya memiliki 2,081 masjid dan 380 surau.




Ulasan GB

Inilah yang UMNO warisi dari penjajah - pemisahan agama dengan politik.

Sekularisma yang ditinggalkan oleh penjajah yang berasaskan kepada doktrin "Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s" (berikan hak Caesar kepada Caesar dan hak Tuhan kepada Tuhan) merupakan doktrin yang suci - maka dengan itu sewaktu penjajah menduduki Tanah Melayu, mereka menjadi pentadbir negara dengan tidak menyentuh hal-ehwal berkaitan agama.

Diujudkan Majlis Agama Islam di setiap negeri yang dengannya menyebabkan Islam bukan agama yang dijadikan tempat rujukan untuk memerintah neggara tetapi sebaliknya perlu tunduk dan patuh kepada keputusan pemerintah. Islam menjadi agama yang diperintah bukan agama yang memerintah. Itu kejayaan penjajah yang diwarisi UMNO saat ini.

Itu sebabnya di dalam UMNO, memang tidak ada nilai-nilai agama seperti pahala dan dosa. Untuk mendapat dan mempertahankan jawatan dan kuasa, boleh berbuat apa saja - berbunuh pun tak apa!

Zainal Kling Sudah Gigil, Kini Pusing Kata Kehadiran British Sebagai Penjajahan

Saya lihat kehadiran British sebagai penjajahan

“Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.

Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.

Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.

“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.

Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.

Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).

Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).

“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.

Berikut tulisan penuh beliau.

YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.

Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.

Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.

Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:

"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."

Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.

Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.

Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.


Profesor Datuk Dr Zainal Kling.


Pemuda PAS buat laporan terhadap Zainal Kling

Pemuda PAS hari ini membuat laopran polis terhadap Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurut salinan repot yang dihantar kepada media, Pemuda PAS mendakwa kenyataan itu mengganggu-gugat kestabilan dan mengelirukan masyarakat yang sekian lama diajar bahawa British penjajah.

"Kenyataan ini juga sekaligus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain," laporan itu dipetik.

Kenyataan ini juga sekali gus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain.

Pemuda PAS juga mengesyaki terdapat agenda tersembunyi yang dirancang pihak tertentu di sebalik kenyataan itu, bertujuan menggugat keharmonian dan mewujudkan kegusaran masyarakat bagi mengalih perhatian terhadap isu-isu lain, tambah pengadu.

Sayap kanan PAS itu menuntut Dr Zainal disiasat dan didakwa di mahkamah kerana didakwa jelas melakukan kesalahan bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Seskyen itu meliputi kesalahan mengeluarkan kenyataan atau berita menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong dan/atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Pelajar IPT Sambut Merdeka Dengan Pesta Dadah Dan Seks

Pesta dadah, seks diserbu

ALOR GAJAH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dari Selangor serta negeri ini antara 87 ditahan ketika menyertai parti liar membabitkan pengambilan dadah di sebuah banglo dua tingkat di sebuah resort di sini, yang disewa kononnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, malam kelmarin.

Difahamkan ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman menyerbu banglo terbabit kira-kira jam 2.30 pagi, ramai peserta pesta itu berhibur dalam keadaan khayal.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan 87 orang termasuk 17 perempuan dan sebahagian daripada mereka pelajar IPT awam dan swasta berusia 18 hingga 35 tahun.

Katanya, ketika serbuan, ada antara mereka berada di kawasan kolam renang dan ruang tamu, manakala sebahagian lagi dalam tiga bilik di tingkat atas dan lebih mengejutkan ada peserta tidur berpelukan tanpa menyedari kehadiran polis.

Penyertaan untuk pesta ‘private party’ itu dikatakan percuma, tetapi jemputan melalui laman sosial, facebook dan SMS daripada kenalan masing-masing. Malah, ada antara peserta tidak mengenali antara satu sama lain.


DITAHAN...sebahagian remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.

Harian Metro difahamkan, banglo itu turut dilengkapi sistem audio yang dikendalikan seorang DJ yang dipercayai kenalan kepada penganjur pesta berusia 30-an bagi menghiburkan pengunjung mulai jam 10 malam.

Menurut sumber itu, beberapa peserta yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal kerana banglo terbabit dikepung.

“Polis merampas dadah jenis syabu dan ganja dipercayai digunakan peserta,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya 15 suspek didapati positif dadah.

Seramai 19 suspek termasuk tujuh wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala selebihnya dibebaskan tanpa syarat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita yang sudah bertunang didapati memiliki dadah, manakala tunangnya dibebaskan tanpa syarat.

Kebanyakan pelajar yang menyertai parti berkenaan berasal dari Johor, Kuala Lumpur, Perlis serta Terengganu dan mereka terdiri daripada pelajar IPT, mekanik, penganggur dan jurujual.

Difahamkan, ketika siasatan awal, peserta parti itu cuba menyembunyikan identiti penganjur yang didakwa berada di Ipoh, Perak.

Malah, serbuan dianggotai empat pegawai dan 14 anggota JSJN IPK negeri itu dilakukan selepas mendapat maklumat risikan sejak awal Jun lalu dan penganjur didapati menggunakan facebook untuk menjemput peserta.

Tinjauan Harian Metro di banglo terbabit mendapati ia dipenuhi botol minuman keras selain penemuan kondom di luar pekarangan banglo itu. -hm

Mansuh ISA: Apa Kata TG Nik Aziz?

PM mansuh ISA di saat terdesak – TG Nik Aziz

MACHANG, 16 Sept: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah di saat-saat terdesak.

“ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.

“Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama.

“Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu, India dan Cina.

Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.

Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.

"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," kata Najib.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.

“Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,”
tambah beliau.

Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan solat setiap hari.

Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu syaitan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu jahiliah serta syirik.

“Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui dasar ‘Membangun Bersama Islam’ iaitu mengemudi manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.

Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.

Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan. -HD