7 Jul 2011

MAFREL Selar Pendirian Najib, Sekejap Boleh Sekejap Tidak

Flip-Flop, Gambaran Buruk Kepimpinan Najib

SHAH ALAM 7 JULAI : Tindakan Perdana Menteri, Najib Razak mula berdolak dalih berhubung tawaran untuk perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di stadium dan bukan dijalanan hanya memberi gambaran buruk kepada kepimpinan beliau.

Presiden Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keengganan Najib untuk bekerjasama dengan Bersih 2.0 jelas menunjukkan Najib tidak akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan terus menghalang Himpunan Bersih 2.0, Sabtu ini.

"Sepatutnya pihak kerajaan memberi kerjasama yang penuh untuk memastikan perhimpunan itu dapat dilaksanakan. Kerajaan juga perlu akur dengan apa yang telah ditawarkan oleh Perdana Menteri untuk menggunakan stadium. Sebarang tindakan selain daripada perkenan Seri Paduka, ia boleh ditafsirkan sebagai mengingkari titah Seri Paduka," tegasnya.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga dalam kenyataan media lewat malam semalam berpendirian untuk tetap menjadikan Stadium Merdeka sebagai lokasi berkumpul pada 9 Julai nanti walaupun tidak mendapat kebenaran.

Perdana Menteri Najib dalam masa yang sama dilihat tidak konsisten apabila menyatakan pertubuhan Bersih 2.0 harus berdaftar sebelum dibenarkan berhimpun di stadium walhal cadangan itu datang dari beliau sendiri.

Lebih buruk lagi, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar turut membekukan kesemua permit sementara bas ekspres untuk masuk ke ibu negara bermula hari ini.

Jelas Syed Ibrahim, beliau kesal dengan tindakan Najib yang hanya memperkudakan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) demi kepentingan politik semata.

"Bersih telah memberi jaminan bahawa himpunan itu akan berjalan dengan aman tapi kerjasama untuk perhimpunan ini berlangsung secara aman perlu juga diberikan oleh pihak kerajaan dan polis.

Tetapi setakat ini tiada sebarang tindakan positif bahawa ia akan berjalan seperti yang diinginkan Seri Paduka.

Malah, saya rasa apa yang berlaku sekarang ini seolah-olah pihak polis khususnya hanya akan menyebabkan keadaan lebih huru-hara," ujarnya kepada Tvselangor -tvsnews




Injunksi Mahkamah Halang 91 Individu - Puncak Kebaculan BN - Video

Polis: Perintah mahkamah halang 91 individu

Polis Kuala Lumpur mendapat perintah larangan daripada majistret untuk menghalang 91 pemimpin daripada tiga kumpulan utama yang merancang untuk berhimpun pada 9 Julai.

Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut – daripada PERKASA, BERSIH 2.0 dan PATRIOT supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

Timbalan ketua polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh (kanan, tengah) berkata, pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

"Perintah larangan ini adalah untuk mengelakkan dari perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia," katanya yang membacakan satu kenyataan.

Seramai 66 orang invididu yang dinamakan dalam perintah larangan bagi kumpulan BERSIH 2.0 termasuk pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais.

Seramai 14 orang daripada kumpulan PERKASA pula termasuk presidennya Datuk Ibrahim Ali serta barisan pemimpin tertingginya – Datuk Ab Rahman Ab Bakar dan Syed Hassan Syed Ali.

Polis turut mendapat perintah larangan bagi menghalang seramai 11 orang pemimpin pemuda Umno yang mendukung Perhimpunan PATRIOT termasuk ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut disenaraikan adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Kawasan berhimpun

Perintah berkenaan turut menyenaraikan kawasan komersial Kuala Lumpur yang dikenalpasti polis sebagai kawasan berhimpun bagi kumpulan berkenaan.

Kawasan berkenaan termasuk sekitar kawasan The Mall, KLCC, Sogo, Maju Junction, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan juga Istana negara, kata Amar Singh lagi dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur petang ini.

Ketika ditanya, Amar Singh berkata perintah yang diperolehi semalam daripada Majistret Kuala Lumpur itu merupakan satu langkah pencegahan bagi menghalang pemimpin berkenaan daripada hadir ke kawasan tersebut.

"(Jika berhimpun) di tempat lain tak jadi salah, hanya di tempat ini saja," katanya lagi yang menjelaskan individu berkenaan masih perlu memohon permit sekiranya ingin berhimpun di tempat lain. -mk


Senarai 91 orang dilarang masuk KL Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 7 Julai — Berikut ialah senarai nama mereka yang dilarang memasuki ibu negara pada Sabtu ini.

Perkasa

Datuk Ibrahim Ali
Datuk Ab Rahman Abu Bakar
Syed Hassan Syed Ali
Irawah Fahmi Ideris
Roslan Kassim
Sharifuddin Abd Hamid
Dr Zubir Harun
Ameir Hassan
Datuk Ahmad Saad
Ahmad Zaini Ismail
Muhammad Zaid Md Arip
Abdullah Mansor
Zaira Jaafar
Norkhaila Jamaludin

Pemuda Umno

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Datuk Megat Firdouz Megat Junid
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Megat Zulkarnaian Omardin
Rizalman Mokhtar
Tengku Azman Tengku Zainol Abidin
Lokman Noor Adam
Datuk Abdul Azeez Rahim
Ungku Saleh Ungku Jamal
Arman Azha Abu Hanifa
Tun Faisal Ismail Aziz

Bersih

Datuk Ambiga Sreenevasan
Mohamad Sabu
Hishamuddin Md Rais
Khairul Anwar Ahmad Zainuddin
Maria Chin Abdullah
Chua Tian Chang
Kamarulzaman Mohamad
Dr Mohd Hatta Md Ramli
Syed Shahir Syed Mohamud
Syed Ibrahim Syed Noh
Teresa Kok Suh Sim
Badrul Hisha Shaharin
Shamsul Iskandar bin Mohd Akin
Arutchelvam A/L Subramaniam
Wong Chin Huat
Ong Boon Keong
Enalini A/P Elumalai
Haris Fathillah Sathiasingam bin Mohd Ibrahim
Datuk Khalid Yunus
Datuk Zulkifli Noordin
Dr Zubir Harun
Datuk Seri Abd Hadi Awang
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Lim Kit Siang
Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Nurul Izzah Anwar
Kohila Yanasekaran
Zaid Kamaruddin
Khoo Teng Swee
Fadiah Nadwa Fikri
Yap Swee Seng
Salahuddin Ayub
Datuk Mahfuz Omar
Nasrudin Hasan
Mazlan Aliman
Dr Syed Azman Syed Nawawi
Dr Dzulkifli Ahmad
Dr Mujahid Yusof
Khalid Abd Samad
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
Azman Shapawi Abd Rani
Suhaizan Kaiat
Nor Azli bin Musa
Mohd Firdaus Jaafar
Loke Siew Fook
Lau Wen San
Mohd Azmin Ali
Mat Shuhaimi Shafie
Satipul Bahari Amamt
Wan Hassan Mohd Ramli
Mohamad Izzudin Hilmi Mohd Zaini
Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin
Muhammad Hilman Idham
Mohd Shukri Che Ab Razab
Mohd Syukri Kamaruddin
Ahmad Syazwan Muhammad Hasan
Choo Chon Kai
Sarasvathy Muthu
Soh Sook Hwa
Nurul Izham Nurul Anuar
Abd Rahim Osman
Mohd Sibri Ismail
Mohd Lukam Muda
Datuk Prof Kamaruddin Kachar
Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah




Kepala Nurruhayu Belum Ditemui. Ibu Rayu Tolong Cari

Tolonglah cari kepala arwah

Johor Bharu: “Tolonglah, kami merayu kepada pihak berkuasa supaya mencari kepala arwah secepat mungkin, kami reda dengan apa yang berlaku tapi tidak tenang selagi belum dapat mengebumikan jasadnya,” kata ibu mangsa pembunuhan kejam Nurrahayu Qomarodin, 16, atau Ayu.

Umidah Setu, 49, berkata, mereka sekeluarga yakin kecekapan polis menjalankan siasatan, namun berharap pihak berkuasa dapat menemui kepala arwah anaknya secepat mungkin.

Katanya, sikap dan kelakuan Ayu sebagai anak tiada cacat celanya dan disifatkan sangat baik serta mendengar kata.

“Ayu sangat manja, mukanya tidak pernah masam sebaliknya hanya tersenyum manis. Jika kena marah, arwah tidak akan melawan sebaliknya lebih suka berdiam diri dan menurut perintah kami.

“Arwah juga ringan tulang kerana suka membantu orang dan kadang-kadang tolong kami menjual air minuman dengan menaiki van di kawasan berdekatan,” katanya. -hm


Dengar Ayu meraung ketakutan

ANGGOTA forensik membawa tulang remaja yang dibakar untuk menjadi bukti di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam.

Rakan dapat panggilan sangka mangsa bunuh dimarahi bapa

PASIR GUDANG: "Saya terima panggilan daripada Ayu (Nurrahayu Qomarodin) meraung ketakutan dan ketika itu saya mendengar suara seorang lelaki menjerit, 'Kenapa kau degil sangat, tak nak dengar cakap aku' selain bunyi enjin motosikal dan salakan anjing," kata rakan lelaki Nurrahayu yang mahu dikenali sebagai Adi semalam.

Katanya, pada mulanya beliau beranggapan Ayu dimarahi bapanya disebabkan pulang lewat malam dan membiarkannya tanpa menyangka Ayu sebenarnya merintih kerana sedang diserang penjenayah sebelum disahkan polis, mayatnya dikerat dan dibakar.

“Saya bukan bersikap sambil lewa, namun ramai yang tersalah faham dengan laporan akhbar sebelum ini yang mengaitkan saya sebagai kekasih Ayu, sedangkan saya sebenarnya hanya rakan kepada mangsa saja,” katanya.

Sehubungan itu, Adi, 28, menyangkal dakwaan keluarga mangsa mengenai tindakannya meninggalkan gadis itu di kawasan tapak binaan projek kilang di Pekan Seri Alam pada 18 Jun lalu sebagai tidak bertanggungjawab.

Adi berkata, mangsa sebenarnya berkeras mahu diturunkan kira-kira 20 meter dari pondok pengawal berkenaan dan tidak mahu berganjak selagi beliau tidak beredar, membuatkannya mengambil keputusan meninggalkan mangsa di situ.

Katanya, beliau memahami perasaan keluarga Ayu ketika diberitahu anak kesayangan mereka dibunuh dengan kejam, namun kecewa dengan dakwaan di beberapa laman blog yang menganggapnya sebagai lelaki dayus.

“Ini semua salah faham, kerana Ayu ada mengirimkan SMS memberitahu beliau sudah sampai sebaik saja saya menghantarnya pulang apabila selesai bermain futsal di Pandan, di sini, dan kami sempat berbalas pesanan kira-kira 15 minit, ” katanya.

Sementara itu, teman lelaki Ayu, Noor Saha Sharif, 19, dari Kota Tinggi, berkata beliau terkilan kerana tidak menghubungi semula Ayu pada malam kejadian mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, Ayu ada menghubunginya pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, namun panggilan itu tidak dijawab kerana beliau sedang memandu kereta dan Ayu kemudian menghantar SMS bertanyakan mengapa panggilannya tidak dijawab sebelum menghantar satu lagi SMS kira-kira jam 1.20 pagi memintanya membuka laman sembang di Facebook.

“Saya tidak dapat memenuhi permintaannya kerana ketika itu saya keluar bersama rakan, namun saya ada membuat panggilan semula pada kira-kira jam 3 pagi tetapi telefonnya sudah tidak dapat dihubungi lagi sehingga keesokan harinya,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Umidah Setu, 49, merayu kepada pihak berkuasa supaya mencari kepala anak mereka secepat mungkin sebelum boleh mengebumikan jasadnya dengan tenang selepas kejadian pembunuhan kejam itu. -BH


Najib Perlu Kotakan Cakapnya. Bersih 2.0 Tetap Akan Diadakan Di Stadium Merdeka

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tetap mahukan mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka Sabtu ini walaupun ia ditolak oleh Kabinet atas alasan gabungan itu adalah haram.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Bersih 2.0 menyifatkan tindakan Perdana Menteri dan Kabinet tidak membenarkan pihaknya menggunakan stadium itu sebagai alasan lapuk.

Bersih tetap mahupun rakyat berhimpun secara bebas dan aman bagi mendesak pelaksanaan pilihan raya bebas dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai jam 2 petang, kata kenyataan itu.

"Kami akan datang, kami akan (berhimpun secara) aman dan kami akan membina Malaysia yang lebih baik," tegasnya.

Jelasnya, Bersih 2.0 kecewa dengan cara perdana menteri dan Kabinetnya memungkiri janji untuk menyediakan sebuah stadium bagi mengadakan perhimpunan aman.

“Sebagai anggota masyarakat madani yang komited kepada prinsip-prinsip integriti, kami mahu patuh sepenuhnya kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perhimpunan kami di sebuah stadium untuk menyatakan tuntutan berkenaan pilihan raya bebas dan adil,” kata kenyataan itu lagi.

Menteri Penerangan, Komuniksasi dan Kebudayaan semalam berkata Kabinet menolak penggunaan Stadium Merdeka kerana Bersih adalah gabungan haram - dakwaan yang ditolak oleh penganjur yang menegaskan Bersih tidak perlu berdaftar dengan Perdaftar Pertubuhan.

Ini kerana gabungan itu hanya kerjasama 62 pertubuhan bukan kerajaan yang sah untuk mengadakan sebuah majlis bagi menuntut pilihanraya adil dan telus.

Kenyataan Bersih 2.0 menegaskan Perdana Menteri Najib Razak tidak harus berdolak dalih dalam tawaran kepada gabungan itu untuk menganjurkan perhimpunan aman berkenaan di sebuah stadium.

Malah, Najib perlu membuat dan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya bagi perhimpunan itu diadakan secara aman di Stadium Merdeka pada Sabtu ini.

"Sama ada kerajaan mematuhi prinsip mereka atau tidak, kami rakyat Malaysia akan sentiasa mematuhi prinsip kami. Keazaman kami untuk melaksanakan hak untuk berhimpun secara aman bagi menuntut keadilan tidak akan goyah,"
tegasnya.

Kurang 24 jam selepas membuat tawaran untuk perhimpunan Bersih diadakan di stadium dan bukan dijalanan, Najib mula berdolak dalih apabila menegaskan Bersih adalah pertubuhan haram dan justeru itu, tidak boleh memohon permit untuk menganjurkan perhimpunanya Sabtu ini.

Najib berkata mana-mana pihak yang membuat permohonan untuk perhimpunan sedemikian harus berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Kenyataan itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah Najib sendiri menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penganjur Bersih bagi membincangkan tawarannya itu.

Bagaimanapun Perdana Menteri menukar rentaknya dan menegaskan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan sedemikian harus berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein mendakwa bahawa hakikat Yang DiPertuan Agong berjumpa rombongan Bersih semalam, tidak menjadikan gabungan itu sah dari segi undang-undang.

Kenyataan Hishamuddin yang juga Naib Presiden Umno itu dibidas oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak menghormati institusi Istana Negara sendiri.

Rombongan Bersih sebelum ini memutuskan untuk membatalkan perarakan jalanan selepas di nasihati oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. -tvsnews







Kes Sarbani: Siasat Segera Siapa Ganggu Dan Padam Rakaman CCTV

Inkues Sarbaini: Dua kamera CCCT ‘diganggu seseorang’

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Saksi ketiga inkues kematian Ahmad Sarbaini Mohamed memberitahu terdapat gangguan pada dua unit kamera litar tertutup (CCTV) pada hari penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Juruanalisis bahagian audio dan video makmal forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ASP Fauziah Che Ismail (gamabar) berkata, terdapat tiga perakam video digital (DVR) yang dianalisisnya, terdiri daripada rakaman antara pukul 8 hingga 11 pagi 6 April lalu.

“Hasil daripada analisis ketiga-tiga DVR ini, saya dapati DVR 1 dan DVR 2 pada tarikh 6 April tidak merakamkan apa-apa dari pukul 8 hingga 11 pagi.

“Bagaimanapun DVR 3, saya memperoleh rakaman imej si mati yang dirakamkan pada pukul 8.30 pagi,” kata beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Menurut Fauziah, tiga DVR tersebut merupakan alat perakam di tiga tempat berbeza iaitu DVR 1 dan 2 meliputi kamera dalam bangunan manakala DVR 3 memberi tumpuan ke atas kawasan luar bangunan SPRM.

Selain itu, Fauziah turut berkata, DVR 1 dan 2 tidak beroperasi secara normal dan rakaman turut “diganggu.”

“Terdapat dua gangguan terhadap DVR 1 dan 2 sehingga menyebabkan rakaman terhenti. Gangguan pertama pada DVR 1 pada 5 April pukul 14:17:52 (pukul 2.17 petang) sehingga 14:19:23 (2.19 petang) yang menyebabkan gangguan selama beberapa minit. Sama seperti DVR 2. Gangguan pertamanya hanya beberapa minit.

“Bagaimanapun bagi gangguan kedua, DVR 1 mula berhenti pada 5 April, pukul 14:47:15 (2.47 petang) hingga 6 April, 13:24:16 (1.24 tengah hari) iaitu selama 22 jam dan 33 minit. Sama seperti DVR 2 yang mengalami gangguan pada tarikh sama bermula pukul 14:37:54 (2.37 petang) hingga 13:26:17 (1.26 petang). Kesemuanya berpunca dari ‘record off manually’. Untuk DVR 3 tiada gangguan,”
katanya.

Beliau turut menjelaskan, DVR 3 hanya merakamkan imej Allahyarham Sarbaini memasuki bangunan SPRM dengan menunggang motosikal.

Turut dipaparkan beberapa minit rakaman video Allahyarham Sarbaini yang berhenti untuk membuat pendaftaran masuk di pondok pengawal SPRM dengan berbaju kemeja putih berseluar hitam.

Selepas itu, beliau dilihat memasukkan baju ke dalam seluar dan beredar dari pondok tersebut.

“Hanya dapat rakaman dia masuk. sahaja yang dapat dikesan,” katanya yang turut menambah rakaman video DVR 3 beroperasi secara manual antara 8 hingga 11 pagi pada 6 April.

Selain itu, ketika Fauziah ditanya oleh peguam pemerhati keluarga Sarbaini, Awtar Singh mengenai rakaman tersebut tidak beroperasi dengan sempurna, Fauziah menjawab: “Ya, ia diganggu oleh seseorang.”

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Turut hadir pada prosiding hari ini isteri Sarbani, Masiah Manap dan beberapa anggota keluarganya. Inkues yang bermula hari ini akan berlarutan sehingga 15 Julai ini.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Yusoff Akope berkata Allahyarham Sarbaini hadir di bangunan tersebut pada hari kejadian sebagai “tetamu.”

“Bagaimana dia dilayan pada hari kejadian? Adakah dia datang sebagai suspek atau seorang saksi,” soal Awtar.

“Pada hari kejadian, dia datang sebagai seorang tetamu,” kata Yusoff.

Yusoff merupakan saksi keempat inkues yang bermula Isnin lalu.

Dalam keterangannya Yusoff juga menafikan beliau ada menggunakan perkataan “rebah” ketika bercakap dengan Maziah.

“Saya tidak pernah menggunakan perkataan rebah. Saya memberitahu dia telah jatuh. Saya memberitahu dia apa yang saya katakan,” kata Yusoff lagi.

Maziah merupakan saksi pertama inkues dan telah memberikan keterangan pada Isnin lalu. -TMI

Ulasan GB

Tidak mustahil rakaman CCTV keseluruhan kehadiran Ahmad Sarbani sewaktu "didalam pejabat SPRM" telah dipadam oleh orang-orang tertentu. Siapa "orang tertentu" itu? Tentulah ada kaitan dengan mereka yang berada di SPRM sewaktu itu.

Ia perlukan siasatan.

Jangan ada cover-up.


Polis Dan Tentera Malaysia Buat Latihan Ala Mesir Untuk Hadapi BERSIH?

Latihan kawal demo: 'Bersurailah kamu kalau tidak kami tembak'

Pihak berkuasa memperhebatkan tekanan ke atas kumpulan yang bercadang menyertai perhimpunan atau demonstrasi dengan mempamerkan layanan yang bakal menanti mereka jika menyertai perhimpunan 'haram' 9 Julai ini.

Antara yang paling menonjol semasa demonstrasi Ketenteraman Awam sempena Eksesais Bersatu Aman 2/2011 di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur adalah sehelai kain rentang yang memberi amaran kepada orang ramai supaya bersurai jika tidak mahu ditembak.

“Bersurailah kamu kalau tidak kami tembak” - tertera di kain rentang itu yang turut memuatkan maksud yang sama dalam tulisan Jawi, Cina dan Tamil.

Latihan itu melibatkan kekuatan 120 anggota Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 120 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta lintas hormat pesawat dari Pasukan Unit Tentera Darat (PUTD) dan Unit Udara PDRM.

Ia bertujuan membuktikan kecekapan polis dan tentera menangani sebarang kemungkinan termasuk mengendalikan perhimpunan haram disiarkan di akhbar arus perdana, termasuk Utusan Malaysia.

Kelmarin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid berkata polis akan bekerjasama dengan tentera untuk menghadapi kemungkinan berlaku sebarang kejadian tidak diingini pada perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini.

"Kita akan tengok, kalau diperlukan kita akan panggil ATM untuk membantu bagi menjaga ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun katanya, latihan bersama itu tidak ada kaitan langsung latihan berkenaan sebaliknya diadakan bagi menghargai Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011, yang diterima oleh polis dan tentera.

Selepas ketegangan beberapa minggu sehingga menyaksikan 200 orang termasuk wakil rakyat Pakatan ditangkap kerana menyokong perhimpunan itu, BERSIH akhirnya akur supaya perhimpunan itu dipindahkan ke sebuah stadium.

Keputusan dibuat selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara yang mencemar duli berjumpa dengan pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusi Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin, semalam meskipun kerajaan mengisytiharkan BERSIH sebagai pertubuhan haram.

Ulasan GB

Apa yang dilakukan di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Kem Sungai Besi untuk "berperang" dengan rakyat kelihatan satu replika dari senario yang berlaku di Mesir.

Jika demikian hal halnya dan jika demikian jadinya, maka tidak pula mustahil Perdana Menteri Malaysia akan menerima nasib sebagaimana yang menimpa Hosni Mubarak.

Semua menyaksikan bahawa polis sendiri yang memulakan peniruan ala Mesir tersebut.

Budak Maut Jatuh Di Tangga Bergerak Jabatan Imigresen Putrajaya

Kuala Lumpur: “Saya hanya sempat menyentuh tangannya sebelum dia terjatuh dari tingkat dua,” kata Nathira Begam Abdul Kadir, 34, ibu kepada Muhammad Shevana Zhakir Husin, budak lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam akibat terjatuh daripada tangga bergerak sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya sehari sebelum itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa mengikut ibu dan bapanya, Zhakir Husin Abdullah, 33, ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen untuk urusan memperbaharui visa bapanya sebelum mereka sekeluarga melawat tempat kelahiran bapanya di Thiruvarur, India.

Sebelum kejadian malang itu, mangsa leka bermain bersama adik bongsunya berhampiran tangga bergerak di tingkat dua bangunan berkenaan lalu terjatuh ke tingkat bawah melalui lubang yang terletak antara penghadang dan tangga bergerak itu.

Mangsa yang cedera parah di kepala mulanya dihantar untuk rawatan kecemasan di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan keadaannya yang kritikal, lewat malam kelmarin.

Selepas tidak sedarkan diri selama beberapa jam akibat pendarahan beku di kepala, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Nathira Begam berkata, sebelum kejadian itu, anak bongsunya menangis lalu menghampiri mangsa dan adiknya sebelum tiba-tiba mangsa terjatuh melalui lubang yang tidak diletakkan sebarang penghadang itu.

“Saya tidak sempat menariknya dan hingga kini, kejadian itu masih tidak mampu dilupakan,” katanya ketika ditemui di HKL, di sini, semalam.

Zhakir Husin pula berkata, niat mereka sekeluarga pulang ke kampung halamannya di India tidak kesampaian selepas kejadian yang mengorbankan anak kedua daripada tiga beradik itu.

Menurutnya, sudah lapan tahun dia tinggal di negara ini selepas mendapat pekerjaan sebagai pembantu kedai kopi dan bercadang pulang ke kampungnya bagi memberi peluang kepada ibu bapanya melihat cucu mereka.

“Saya cukup kecewa dengan pengurusan Jabatan Imigresen yang tidak menutup lubang yang boleh ditembusi dengan mudah dan akibat kecuaian mereka, kami kehilangan anak kedua,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi semalam dan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

Rumah MB Kedah Jadi Sasaran, Disimbah Cat Merah

Alor Setar - Rumah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang turut menempatkan pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Sungai Limau di Yan disimbah dengan cat warna merah oleh pihak tidak bertanggung jawab dipercayai dilakukan awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, bahagian luar pagar dan lantai simen pekarangan rumah dikotori cat merah, namun tidak mengenai bahagian dinding rumah ekoran jaraknya yang agak jauh daripada kawasan pagar.

Selain rumah Azizan, beberapa rumah, kereta termasuk pejabat pusat khidmat wakil rakyat pemimpin Pas turut menerima nasib sama, dalam beberapa kejadian dipercayai dilakukan serentak malam semalam atau awal pagi.

Turut dijumpai, nota ugutan supaya tidak hadir pada perhimpunan haram Bersih 2.0 yang dibungkus dengan batu yang turut dilontar di tempat kejadian.

Mengulas kejadian itu, Azizan berkata, pihaknya membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang turut berlaku di daerah Pendang dan Kota Setar.

“Itu mungkin mainan budak-budak nakal yang tidak ada kerja atau mereka cuba cetuskan isu kontroversi dengan buat perkara seperti itu. Biarlah pihak polis siasat siapa dalang di sebaliknya kerana laporan polis sudah dibuat oleh pihak-pihak yang menjadi mangsa perbuatan itu,” katanya, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya, kejadian sama turut menimpa Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman yang mengalami kerosakan kereta akibat disimbah cat merah.

Pemimpin lain, termasuk Setiausaha Pas Kawasan Alor Setar yang juga Pembantu Khas ADUN Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh, Adnan Saad.

Rumah yang disimbah cat merah pula ialah Ketua Penerangan Pas Kuala Kedah, Ridzuan Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas Kuala Kedah, Mohd Radi Said.

Sementara itu, Pejabat Pusat Khidmat ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa di Taman Anggerik, Peremba turut disimbah cat merah dan dibaling batu.

Azizan berkata, tindakan terbabit disifatkan kurang bijak dan sekiranya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0, ianya perlu dihentikan dengan segera.

“Saya tak kata ianya ada kaitan dengan Bersih, tapi kami semua tak pula berhutang dengan ah long,” katanya berseloroh.

Azizan menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut. -SH

Surat Terbuka TG Nik Aziz Kepada Agong

Menteri Besar Kelantan menulis surat terbuka kepada Yang di- Petuan Agong bagi menyatakan penghargaannya terhadap keprihatinan baginda yang mendengar keluh kesah rakyat dalam menuntut agar pilihan raya diadakan secara bersih dan adil.

Nik Aziz menulis surat tersebut sebagai respon kepada tindakan banginda yang membuka jalan penyelesaian disaat keadaan semakin huru hara disebabkan provokasi keterlaluan kerajaan pemerintah sehingga menggunakan Ordinan Darurat bagi mengekang himpunan aman rakyat, Sabtu ini.

“Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil telah diberi ampuni untuk menghadap Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.

“Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin dalam Perlembagaan Malaysia,” kata Nik Aziz dalam surat terbukanya yang disiarkan oleh Harakah Daily hari ini.

Baginda sebelum ini bertitah agar himpunan itu dipertimbangkan semula, walaupun niat asalnya adalah baik. Namun baginda lebih khuatir akan nasib rakyatnya yang berdepan dengan risiko keselamatan.

Justerum baginda bertitah, agar diadakan kerajaan pemerintah mengadakan rundingan seikhlas hati dengan penganjur Bersih 2.0 agar segalanya berjalan dengan lancar dan aman.

Bginda juga menasihati Perdana Menteri, Najib Razak agar memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mengelakkan rakyat daripada memusuhi kerajaan pemerintah dalam apa sahaja alasan sekalipun.

Titah itu membawa kepada sekretariat Bersih 2.0 mengadap baginda dan memutuskan untuk bertolak ansur dalam hal ini sebelum memutuskan himpunan itu akan diadakan di Stadium Merdeka.

Baginda juga dilaporkan perkenan menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia dilihat kali pertama penganjur satu-satu perhimpunan terbuka mengadakan pertemuan dengan Istana Negara dan membawa kepada jalan penyelesaian.

Nik Aziz dalam surat terbuka itu turur menekankan betapa sebarang pertukaran pucuk kepimpinan tertinggi negara yang tidak melalui sistem pilihan raya yang bersih dan adil akan membawa kepada kemurkaan rakyat marhaen.

Beliau menambah, YDPA juga umpama “ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.”

“Semoga Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah s.w.t. dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata... di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah s.w.t.,” kata Nik Aziz. -tvsnews




Kes Sosilawati: Cek RM1 Juta Tapi Tulisan Atas Cek Macam Kanak-kanak

Sosilawati tunjuk cek RM1 juta diterima dari Pathmanabhan

Sahabat karib Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, cek itu ditunjukkan kepadanya selepas Sosilawati berjumpa dengan Pathmanabhan.

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pernah menunjukkan cek bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada bekas peguam N. Pathmanabhan di Banting awal Ogos lepas.

Sahabat karib Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, cek itu ditunjukkan kepadanya selepas sahabat karibnya itu berjumpa dengan Pathmanabhan, yang merupakan antara yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga lagi, di hadapan pejabat bekas peguam itu yang terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada 3 Ogos 2010.

Junaidah yang merupakan saksi ke 13 berkata demikian pada hari ketiga perbicaraan kes Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, R.Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Wati (Sosilawati) suruh saya tengok dan berkata “aku dapat payment” dan semasa saya nak pulangkan cek itu semula kepadanya saya nampak cek itu cek tunda,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

“Saya tanya kenapa tarikh September sedangkan ini bulan Ogos tetapi dia (Sosilawati) kata tidak apa, sebab mereka dah bincang sebelum ini. Cek itu adalah atas nama Southern Symphony Sdn Bhd ,” katanya.

Junaidah yang mengenali Sosilawati sejak 28 tahun lepas berkata beliau juga mentertawakan tulisan di atas cek tersebut yang dilihat seperti tulisan kanak-kanak sedangkan cek itu bernilai RM1 juta.

‘Tulisan macam kanak-kanak’

“Saya tanya kenapa tulisan macam kanak-kanak dan Sosilawati kata ‘alah Kak Jun ni’,” katanya.

Terdahulu, Junaidah berkata beliau dan Sosilawati semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang menaiki kereta milik jutawan kosmetik itu yang dipandu Kamaruddin bagi meraikan ulang tahun kelahiran Junaidah, mereka telah singgah di pejabat Pathmanabhan.

Semasa mereka sampai di pejabat bekas peguam itu pada kira-kira pukul 5.30 petang 3 Ogos 2010, Pathmanabhan memaklumkan bahawa beliau di dalam perjalanan ke pejabatnya.

“Kami tunggu dia di hadapan pejabat Pathma di dalam kereta. Pathma sampai kira-kira setengah jam kemudian dan Sosilawati turun kereta serta ambil satu barang daripada Pathma sebelum masuk semula ke dalam kereta. Pertemuan mereka sekejap kira-kira lima minit dan ada perbualan antara mereka,” katanya.

“Saya nampak Pathma datang dengan kereta sport Mercedes yang saya rasa Brabus. Selepas masuk dalam kereta, Sosilawati serah cek pada saya suruh saya tengok. Selepas itu kami terus ke Pelabuhan Klang untuk sambut ‘birthday’ saya selepas Maghrib. Perbualan kami selepas itu hanya bersangkut paut dengan bagaimana nak sambut puasa dan Hari Raya,” katanya sambil menambah itu adalah kali terakhir beliau menemui Sosilawati.

Menjawab soalan Idham sama ada itu mereka pertemuan pertamanya dengan Pathmanabhan, Junaidah kata “Tidak”.

Urusan tanah

“Kali pertama kira-kira tiga tahun lepas semasa Sosilawati pernah ajak saya berjumpa dengan kawan-kawannya Datuk Suhaimi dan Sabri serta peguam mereka bernama Pathma di Hotel Pan Pacific, Sepang. Saya ada di situ tetapi tidak fokus sangat dengan perbualan mereka tetapi mereka bincang tentang urusan tanah di Pulau Pinang,” kata Junaidah.

Menyentuh mengenai kekerapan beliau menemani Sosilawati berjumpa dengan Pathmanabhan, Junaidah berkata kira-kira tiga atau empat kali.

“Selepas 3 Ogos 2010, ada terima apa-apa panggilan daripada Sosilawati atau awak hubungi dia?” soal Idham.

“Sosilawati selalu telefon dan pada 29 Ogos 2010 dia ada telefon bertanya khabar serta sembang banyak pasal persiapan Hari Raya. Lepas itu dia tanya saya nak ikut tak pergi Banting besok (30 Ogos 2010) dan saya cakap saya nak rehat di rumah. Dia (Sosilawati) tidak beritahu tujuan dia ke Banting dan itulah juga panggilan terakhir daripadanya,” kata Junaidah.

Ketika dicadangkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan bahawa hubungan antara Sosilawati dan Kamaruddin bukan hanya setakat majikan dan pemandu tetapi lebih daripada itu, saksi itu menjawab beliau tidak tahu.

Junaidah juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan bahawa punca keretakan rumah tangga Sosilawati dengan bekas suaminya, penyanyi yang dikenali sebagai Nash adalah disebabkan jutawan kosmetik itu rapat dengan pemandunya.

“Mereka (Sosilawati dan Nash) tidak sependapat, mereka selalu bergaduh,” katanya.

Saksi ke-12 pendakwaan, V. Selvapandian, 46, pemandu van sekolah, dalam keterangannya berkata anak saudaranya yang bernama Suresh ada memberi seutas jam tangan kepadanya pada Ogos 2010 setelah diminta oleh tertuduh keempat.

Bagaimanapun, Selvapandian berkata beliau tidak diberitahu dari mana Suresh mendapat jam tangan itu dan ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff untuk mengenal pasti jam tangan itu, saksi tersebut gagal berbuat demikian.

Jam tangan jenama ‘Longines’ yang dirujuk Ishak adalah milik Noorhisham dan ia telah dicamkan oleh isterinya, Suzana Radin Pangat pada perbicaraan semalam. - Bernama

BERSIH 2.0: Kita Masih Percaya Kepada UMNO BN?

Himpunan Bersih: Pihak berkuasa kurang ikhlas, kata Ambiga

KUALA LUMPUR, 6 Julai — Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menuduh pihak berkuasa memperlihatkan sikap “kurang ikhlas” kerana meminta gabungan itu memohon permit bagi mengadakan perhimpunan di stadium, Sabtu ini.

Ambiga (gambar) berkata halangan terbaru menjelang perhimpunan Sabtu ini bagi menuntut satu sistem pilihan raya yang adil dan bebas tidak konsisten sama sekali dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum bahawa Bersih 2.0 akan disediakan sebuah stadium, malah ia juga kehendak Yang di-Pertuan Agong.

“Mengapa anda minta kami memohon permit sedangkan perdana menteri sudah pun kata OK?

“Kami tidak faham,” kata beliau pada majlis Kelab Koresponden Asing di sini.

Petang tadi, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar mengingatkan Bersih 2.0 agar memohon mendapatkan permit bagi perhimpunan Sabtu ini sambil menegaskan, kegagalan berbuat demikian bermakna ia akan dianggap sebagai satu perhimpunan tidak sah.

Khalid berkata sehingga kini sekretariat Bersih 2.0 belum memaklumkan ataupun memberitahu pihak polis tentang rancangan perhimpunan mereka meskpin pentadbiran Najib bersedia untuk menyediakan stadium.

“Tiada panggilan daripada mereka, tiada maklumat,” kata beliau.

Semalam, sekretariat Bersih 2.0 membatalkan perhimpunan di jalanan sebaliknya sanggup menerima tawaran agar ia diadakan di stadium.

Apabila ditanya bahawa Bersih 2.0 sudah pun mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium, Khalid berkata:

“... (Pengerusi Bersih 2.0) Datuk Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam. Beliau harus tahu undang-undang.”

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa urusan memproses permohonan permit akan dipercepatkan dengan mengambil kira keadaan semasa. -TMI

Ulasan GB

Anda hendak percaya lagi dengan cakap atau keikhlasan pemimpin dan orang UMNO?

Anda boleh jadi gila dibuatnya jika mengambil sikap demikian.

Sekarang mereka kata OK, 5 minit lagi mereka boleh "revoke" sesuka hati.

Mereka di dalam PR terutama PAS sudah banyak kali berpengalaman dengan kumpulan mereka dan "agen-agen" mereka ini. 10 hari lepas mereka luluskan permit ceramah kami, di saat akhir mereka batalkan permit itu.

Begitulah dengan lokasi.

Itulah sebabnya mengapa GB dari awal telah mengusulkan dan mencadangkan mengapa Himpunan Bersih di buat di Stadium Shah Alam. Walaupun Stadium Merdeka itu bagus, memudahkan orangramai, gempaq dll, namun kita kena lihat dari sudut politik juga, kena tinjau dari "worst case scenario" dan kena ikut disiplin di dalam Management Science iaitu "What-If Analysis" di dalam decision-making.

Jangan ikut kehendak hati dan nafsu semata-mata tanpa menggunakan disiplin ilmu. Itu sia-sia malah merbahaya. Anda gagal jika berjuang dengan kehendak nafsu tetapi tidak berilmu. Saya yakin dan percaya jwatankuasa penganjur BERSIH tidak merujuk kepada "What-If Analysis" secara komprehensif sebelum membuat keputusan pentingnya.

Jika cadangan GB diterima dahulu, sudah selesai bab lokasi. Sudah boleh fikir bab lain. Kini masih tergantung-gantung dipermainkan oleh pihak berkuasa.

GB sudah katakan dahulu di sini. Petikan:


GB dasarkan pilihan tersebut kepada beberapa faktor.

Stadium Shah Alam merupakan satu-satunya stadium yang terbesar yang dimiliki oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Stadium ini sering digunakan untuk penganjuran sukan bertaraf dunia, boleh memuatkan 100,000 orang dan hampir 8,000 tempat parkir kenderaan.

Mungkin ada yang mencadangkan Stadium Bukit Jalil (atau stadium-stadium lain yang kerajaan pusat ada hak di dalam pembuat-keputusan)

Namun bagi GB, dari sudut kawal-selia, kedudukan geografi dan karenah birokrasi, maka Stadium Shah Alam adalah pilihan yang lebih tepat.

Kita akan mendapat kerjasama sepenuhnya dari kerajaan negeri Selangor seperti kenyataan Menteri Besar di atas berbanding dengan penggunaan stadium-stadium lain.

Dan yang paling utama kita tidak mahu provokasi - tak kira siapa dalangnya. Jika di Bukit Jalil (Stadium Merdeka dan seumpamnya - tamb) masih terdedah dengan provokasi banyak pihak kerana sesiapa pun boleh diundang untuk masuk ke situ dan menimbulkan huru-hara.

Selain dari itu kita dapat membantu memajukan peniaga-peniaga di sebuah negeri Pakatan Rakyat yang mana kita telah awal-awal ditolak oleh peniaga-peniaga di WP.

Jadi, sekurang-kurangnya peniaga-peniaga kecil dapat menumpang mencari rezekinya di hari berhimpunnya peserta-peserta BERSIH yang MAJORITInya saya yakin ahli kepada parti komponen Pakatan Rakyat.


Begitu juga dengan janji Najib. Kita bukan tidak kenal siapa beliau. Beliau ada sepupunya sebagai menteri KDN yang boleh mengubah semuanya menjadi terbalik (dan itu yang dilakukan sekarang).

Mereka tidak menghormati apa-apa keputusan yang dibuat dengan kita. Seperti seorang blogger menyatakan kita akan terus dianjingkan UMNO yang kalau kita menang atau kalah mereka akan tetap menjelirkan lidahnya.

Kini BERSIH hendakkan juga Stadium Merdeka, tak mahu dengan cadangan pihak lain. Dah kesuntukan masa katanya. Yang mampu ialah menyerang ketidak-ikhlasan UMNO BN, dan memang pun mereka (UMNO BN) tidak pernah ikhlas pun.

Kita nak masuk stadium, ia akan ditutup, nak berkumpul luar stadium, kita dikepung dan dihalau oleh FRU, berterabur semua jadinya malah memberikan mereka "political mileage" yang tak perlu apabila dengan media massa mereka, senario diburukkan sedasyat mungkin seperti senario pra-himpunan yang mereka dah samakan BERSIH dengan kominis.

Kita sedia faham tentang kedudukan BERSIH bahawa mereka cuba hendak melepaskan tanggapan orangramai daripada dikatakan didokong oleh parti pembangkang - Pakatan Rakyat - tetapi di dalam konteks dan suasana hari ini siapa yang menyokong dan meberikan kerjasama sepenuhnya kepada BERSIH? Adakah mana-mana pihak daripada UMNO yang sudi berbuat demikian sedangkan PR sudah sentiasa sedia - bukan sekelompok - malah 99% PR.

Jadi, BERSIH perlu realistik, perlu lebih pantas di dalam bertindak.

Untuk berjaya BERSIH perlu bukan sahaja perlu "efficent", malah "effective" juga.

Tak guna jika cekap sahaja, tetapi tidak berkesan, seperti mengharap Stadium Merdeka. Anda memang effisyien memilih dewan untuk matlamat menyenangkan orang ramai menghadirinya tetapi tidak efektif kerana stadium itu bukan di dalam kekuasaan kita.

Kita juga bukan sekadar perlu pandai bercakap, tetapi kena pantas dan tepat di dalam menganalisa dan membuat keputusan.

Tentang polis menghalang dan sebagainya itu sepatutnya dikendalikan sebagai isu berasingan yang perlukan "Decision Analysis" yang berasingan pula.

Kita perlu melatihkan mental dan diri untuk "multi-tasking" untuk kecemerlangan.

Isu Wardina: Blogger Murahan DiKecam

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengecam bloger yang menfitnah Wardina Safiyyah semata-mata di atas kehadirannya dalam satu program anjuran beliau.

Nik Nazmi berkata Wardina menjadi sasaran fitnah hanya kerana menerima undangan beliau untuk hadir di program kemasyarakatan Karnival Mesra Rakyat.

"Kepada blogger-blogger yang menimbulkan fitnah dan tohmahan, hentikanlah menyerang Wardina semata-mata kerana prejudis politik mereka," kata Nik Nadzmi.

Nik Nazmi menjelaskan, beliau tidak berniat untuk meraih "spekulasi pihak tertentu yang tidak menghormati aktiviti kerajaan bukan BN" dengan menjemput pelakon dan model terkenal itu ke program Karnival Mesra Rakyat itu.

"Kepada blogger-blogger yang menimbulkan fitnah dan tohmahan, hentikanlah menyerang Wardina semata-mata kerana prejudis politik mereka.

"Mari kita bertempur di gelanggang politik, sebagai orang politik tanpa perlu mengheret pihak-pihak lain.

"Kewibawaan Wardina sebagai ikon muslimah jauh berbanding blogger-blogger murahan tersebut yang mengambil pendekatan aib, fitnah dan tohmah," kata Nik Nazmi lagi.

Isu berhubung kehadiran Wardina di program anjuran PKR pada 26 Jun lalu itu menjadi muatan utama laman web pro-Umno.

Laman web berkenaan antara lain turut membangkitkan mengenai keberanian Wardina dalam memperlihatkan sokongan terhadap PKR sedangkan beliau didakwa telah "dicurahkan dengan bayaran mewah oleh TV3."

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata keputusan mana-mana artis untuk hadir dalam apa jua program perlu dihormati tanpa mengira siapakah penganjur program berkenaan.

"Saya begitu sedih bagaimana program masyarakat sebegini boleh serta penglibatan seorang ikon bukan politik boleh disalahtafsirkan dalam suasana politik dangkal negara hari ini.

"Hairannya ikon atau artis yang menghadiri program anjuran kerajaan persekutuan mahupun BN secara langsung tidak dilayan seperti Wardina," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau menjemput Wardina secara peribadi untuk hadir ke program berkenaan bagi menyampaikan ceramah motivasi berhubung isu keibubapaan.

"Wardina merupakan sahabat saya dan saya menganggapnya sebagai ikon muslimah muda yang mampu menarik masyarakat pelbagai kaum," kata Nik Nazmi lagi dalam satu kenyataan hari ini. -tvsnews