18 Jun 2011

MB Selangor Sampaikan RM483,800 Kepada 84 Keluarga Setinggan

Sselayang : 84 keluarga setinggan di Kampung Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan projek perumahan Bukit Botak dimulakan.

Kampung Kok Doh merupakan sebuah perkampungan yang terletak bersebelahan Kampung Bukit Botak dan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini turun menyerahkan saguhati berjumlah RM 483,800 kepada keluarga yang terbabit dalam perpindahan itu.

Meskipun komited dalam memastikan pembangunan di kawasan setinggan Bukit Botak yang menjadi penantian hampir 20 tahun penghuninya, namun kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan mereka yang turut terkena tempias akibat projek terbabit.

Selain saguhati melibatkan bantuan pemindahan sebanyak RM 500 seorang,mereka juga menerima tawaran dan bantuan pembelian rumah Semi-D Bukit Botak atau rumah kos rendah - mengikut kelayakan masing-masing.

"Apa yang kita lakukan hari ini ialah secara telus bagaimana langkah-langkah yang kita gunakan untuk menyelesaikan masalah di Bukit Botak, antaranya kita telah bersetuju dengan semua pemilik tanah Bukit Botak untuk dibangunkan sebagai satu projek secara menyeluruh yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor PKNS (perumahan semi-d),"ujarnya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan cek saguhati kepada penduduk Kampung Kok Doh di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang, tengahari tadi.

Peneroka bandar yang menerima saguhati ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu, 63 keluarga layak membeli rumah Semi-D Bukit Botak dengan harga RM 99,000.

Mereka juga telah diberi peruntukan tambahan RM 3,600 seorang sementara menunggu rumah siap dalam masa 12 bulan, serta saguhati pemindahan RM500.

Manakala 20 keluarga lagi layak membeli rumah kos rendah Rumah Pangsa Kos Rendah (RPKR) di Selayang Mulia yang bernilai RM 42,000 diberi subsidi RM 7,000 untuk pembelian rumah.

Ini bermakna mereka hanya membayar RM35,000 untuk memiliki rumah RPKR. Selain itu, mereka menerima peruntukan tambahan RM1,500 serta saguhati pemindahan RM500 seorang.

Menteri Besar turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Kok Doh yang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam pemindahan ini kerana ianya akan menjayakan projek perumahan Bukit Botak.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pegawai Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Omar. -tvsnews


Penduduk Kg. Kok Doh : Terima Kasih Kerajaan Selangor

SELAYANG 18 JUN : Sejumlah 84 keluarga peneroka bandar Kampung Kok Doh gembira dengan usaha murni yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor mengambil langkah merancang pembinaan projek perumahan bagi menggantikan penempatan setinggan yang didiami seramai 1,200 peneroka bandar.

Antara penerima saguhati, Kanan a/l Nagalingam menyifatkan kerajaan negeri lain tidak mampu untuk melakukan seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor yang terus-terusan membantu rakyat tanpa mengira kaum.

"Kita sangat gembira kerana selama 30 tahun kita sudah tinggal di kawasan setinggan ini dan pada tahun depan kita akan dapat rumah yang baru (semi-d), memang di negeri lain tak akan dapat seperti yang dilakukan kerajaan negeri Selangor,"katanya.

Kampung Kok Doh terletak bersebelahan Kampung Bukit Botak dan merupakan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Projek Bukit Botak yang sedang dibina kini turut melibatkan kawasan perumahan Kampung Kok Doh.

Justeru itu, kerajaan negeri telah menyalurkan saguhati pemindahan dan bantuan perumahan kepada 84 keluarga di kampung berkenaan yang terkesan akibat pembangunan projek Bukit Botak.

Malah mereka juga ditawarkan bantuan pembelian rumah, bergantung kepada kelayakan masing-masing.

Menurut Selvam a/l Mahamuni, beliau bersyukur dengan pemerintahan kerajaan pada hari ini yang mengotakan setiap apa yang dijanjikan.

"Usaha kerajaan ini baguslah sebab sebelum ni saya pernah kena tipu dan langsung tidak dapat rumah. Kerajaan baru ini terus sediakan rumah dan turut memberi wang pampasan, kira baguslah negeri Selangor,"katanya.

Bagi Chan Ah Yoi pula, beliau sudah tidak mempercayai kerajaan terdahulu (BN) kerana sering menipu dan menindas rakyat terutama yang miskin.

"Kerajaan dulu banyak cakap tapi tak buat apa-apa tapi kerajaan memerintah sekarang menunaikan apa yang telah dijanjikan,"katanya.

Hari ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyampaikan saguhati berjumlah keseluruhan RM 483,800 pada satu majlis penyampaian cek di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang tengahari tadi. -tvsnews



Setinggan Kg Kok Doh, Selayang terima saguhati

Kerajaan negeri Selangor membayar saguhati bagi menjayakan projek perumahan Bukit Botak bagi menempatkan 1,200 peneroka bandar yang telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki rumah.

PETALING JAYA: Seramai 84 keluarga setinggan Kampung Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri Selangor bagi menjayakan projek perumahan Bukit Botak yang akan menempatkan 1,200 peneroka bandar yang telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki rumah.

Penduduk Kampung Kok Doh, yang tinggal di atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri yang terletak di sebelah Kampung Bukit Botak telah menerima saguhati berjumlah keseluruhan RM483,800 daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu majlis penyampaian cek di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang tengahari tadi.

Menurut satu kenyataan dari pejabat MB, saguhati pemindahan tersebut bukan sahaja melibatkan bantuan pemindahan sebanyak RM500 seorang tetapi juga tawaran dan bantuan pembelian rumah Semi-D Bukit Botak atau rumah kos rendah – mengikut kelayakan masing- masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pegawai Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Omar.

Dari 84 keluarga, 63 telah layak membeli rumah Semi-D Bukit Botak dengan harga RM99,000. Mereka juga telah diberi peruntukan tambahan RM3,600 seorang sementara menunggu rumah siap dalam masa 12 bulan, serta saguhati pemindahan RM500, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 20 keluarga yang layak membeli rumah kos rendah RPKR di Selayang Mulia yang bernilai RM42,000 telah diberi subsidi RM7,000 untuk pembelian rumah.

“Ini bermakna mereka hanya membayar RM35,000 untuk memliki rumah RPKR. Selain itu, mereka menerima peruntukan tambahan RM1,500 serta saguhati pemindahan RM500 seorang,” terang kenyataan itu.

Dalam ucapannya sempena majlis penyampaian cek itu, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Kok Doh yang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam pemindahan ini kerana ianya akan menjayakan projek perumahan Bukit Botak yang akan memberi penyelesaian menyeluruh kepada masalah setinggan dan peneroka bandar.

“Dahulu, penduduk dipujuk menyerahkan hak tanah mereka kepada syarikat pembinaan yang telah gagal untuk membina rumah dan membayar pampasan seperti yang dijanjikan.

Bila kita jadi kerajaan pada Mac 2008 kita dapati sudah 20 tahun mereka menunggu. Dalam masa dua tahun kita dapat merancang penyelesaian yang menyeluruh. Sekarang rumah sedang dibina oleh PKNS dan akan siap mengikut jadual,” katanya.

Nasib peneroka bandar terbela

Beliau berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan nasib peneroka bandar terbela di mana perancangan pembinaan projek perumahan dibuat dengan rapi agar mereka mendapat hasil yang baik.

“Dahulu yang dijanjikan rumah kos rendah RM45,000. Untuk penambahbaikan, kita arahkan PKNS membuat perancangan membuat rumah semi-D dengan harga RM99,000. Jika tidak mahu, PKNS bersedia membeli rumah pada harga RM170,000.

“Oleh itu pemilik tanah tidak rugi apa-apa kerana keuntungan mereka terjamin. Di kawasan ini, ada yang sanggup membeli rumah Semi D pada harga RM220,000. Jadi tiada siapa yang rugi,” katanya.

Beliau berkata projek ini adalah bukti hasil kesungguhan dan komitmen kerajaan Selangor menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai sejak 25 tahun lalu yang gagal diselesaikan oleh pihak pentadbiran terdahulu.

Kerajaan negeri pada mulanya menghadapi kesukaran untuk membantu membaik pulih projek terbengkalai ini kerana hak milik terhadap lot-lot tanah telah diserahkan kepada syarikat pemaju yang terdahulu.

Menteri Besar kemudian mengambil keputusan mengarahkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri sebagai jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan penduduk Bukit Botak.

Kini projek ini berjalan lancar dengan kemajuan di tapak telah mencapai 21 peratus, dan dijangka siap menurut jadual iaitu pada bulan Jun 2012, kata kenyataan itu.

Tags: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Bukit Botak, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, -FMT


Ulasan GB

Syabas dan tahniah kerajaan negeri Selangor.

Keangkuhan Melulu Rais Akan Undang Lebih Ramai Penggodam

Rais: Kerajaan tak gentar dengan 'Anonymous'

Kerajaan tidak gentar dengan ancaman kumpulan penggodam yang menyerang 198 laman web tempatan termasuk portal rasmi kerajaan sejak lima hari lalu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Katanya Malaysia sebagai negara berdemokrasi mempunyai undang-undang untuk menghukum mereka yang melakukan perbuatan itu.

Beliau memberi jaminan siasatan serangan oleh kumpulan penggodam yang bergelar 'Anonymous' itu akan diketahui dalam masa terdekat selepas pihak yang berkaitan mengenalpasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu.

"Dalam perkiraan kita, mereka tidak menang dan kita tidak perlu takut kepada gertak dari dalaman mahupun luar tanah air," katanya kepada pemberita selepas memulakan perlawanan persahabatan badminton antara pasukannya, D'sury mementang Kraftangan Malaysia di Institut Kraf Negara di Rawang, hari ini.

Menurutnya, serangan penggodam itu tidak merebak dengan meluas kerana hanya sebahagian laman web rasmi kerajaan mahupun swasta mengalami kerosakan dan tidak mengakibatkan kelumpuhan terhadap keseluruhan sistem laman web yang digodam. - Bernama

Ulasan GB

Kononnya kerajaan tak gentar dengan ancaman kumpulan penggodam. Bercakap kosong tanpa ilmu, angkuh melulu.

GB dah ulas hal ini di SINI. Petikan:

Di dalam disiplin ilmu komputer di bidang pemprogramman web dan kejuruteraan perisian, sebelum sesebuah lamanweb dilancarkan perlu dilakukan "pilot testing" dimana semua pihak dipanggil untuk menggodam. Apabila ia benar-benar telah diyakini "kebal" barulah dilancarkan.

Di Malaysia tidak berlaku begitu. Penggodam dijadikan musuh. Wang habis berjuta dengan outsourcing, hanya gempaq di hari pelancaran kemudian didapati rapuh dan sistem berlubang di sana sini.

Lamanweb 1Malaysia kepunyaan TPM, Muhyiddin Mohd Yassin hanya bertahan seminggu selepas itu hilang ghaib di persada maya.

Ini semua berkait rapat dengan "sikap" dan "mentaliti" menteri, pemimpin dan pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan, boleh melihat penggodam sebagai musuh atau pembantu. Tetapi kerana di Malaysia ini ramai di kalangan mereka adalah terdiri dari yang kurang membaca, buta IT dan tak tahu ABC komputer, maka di takuk itulah pemikiran dan tindakan mereka. Yang rugi ialah negara.


Puting Beliung Melanda Mersing, Sampan Berpusing Di Udara

Mersing – Puluhan sampan mengalami kerosakan dalam satu kejadian angin puting beliung yang berlaku kira-kira lima minit di pesisiran pantai Mersing berhampiran Pulau Setindan, Teluk Buih, Kampung Air Papan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 itu.

Seorang saksi, Sharifah Aini Mohd Zin, 34, berkata, ketika puting beliung itu berlaku, dia berada di jeti Teluk Buih dan melihat angin puting beliung itu bermula daru Pulau Setindan menghala ke arah jeti dia berdiri.

"Melihat angin puting beliung itu menuju ke jeti, saya bergegas lari ke darat untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Seorang pemilik sampan, Mohd Rashid Terang, 47, berkata, peristiwa itu adalah kali pertama dialami dan dilihatnya sepanjang dia menjadi nelayan.

“Saya terkejut apabila melihat salah satu dari puluhan sampan berputar-putar naik ke udara, sebelum jatuh menghempap jeti Teluk Buih. saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri," katanya.

Mohd Asri Jaafar, 55, memberitahu, dia bersama beberapa nelayan dalam menyediakan persiapan untuk turun ke laut pada keesokan harinya.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian angin puting beliung dalam sekelip mata menyebabkan kerugian kerana bot rosak.

"Angin puting beliung datang terlalu cepat sehingga menyebabkan bumbung kedai makan di jeti saya turut rosak.

"Suasana ketika itu memang kelam-kabut dan saya hanya berserah kepada Allah,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, kejadian angin puting beliung itu adalah pertama kali berlaku di kawasan terbabit yang menggemparkan penduduk berhampiran. -SH


Mimpi ngeri dua kampung

MERSING - Keasyikan berehat di waktu petang menjadi igauan ngeri bagi penduduk dua kampung di sini, apabila rumah yang didiami rosak di pukul ribut kira-kira jam 3.45 petang kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, lebih 30 rumah di Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Bahagia terlibat, namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Salah seorang mangsa dari Kampung Pengkalan Batu yang juga pemilik bengkel lori di situ, Hamdan Jarakasi, 45, berkata, bengkel lori miliknya runtuh disebabkan angin kencang yang terlalu kuat ketika kejadian.

“Ketika kejadian tersebut, saya tidak berada di bengkel. Saya hanya mengetahui bengkel runtuh apabila seorang penduduk memberitahu selepas keadaan kembali reda.

“Ini kejadian pertama sejak saya membuka bengkel di sini. Alhamdulillah, walaupun bengkel roboh, namun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Setakat ini, saya masih belum mengetahui jumlah kerugian yang dialami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku petang kelmarin, ribut yang berlaku kira-kira 20 minit tersebut merosakkan 30 rumah di dua kawasan terbabit dan enam daripadanya rosak teruk akibat dihempap pokok besar yang tumbang.

Seorang lagi mangsa, Ismail Awang ,73, berkata, ketika kejadian tersebut berlaku, dia bersama ahli keluarganya sedang berehat di rumah.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu akan memusnahkan hampir keseluruhan bahagian bumbung rumahnya.

“Semasa kejadian tersebut, angin sangat kuat dan ditambah pula dengan hujan lebat. Pada mulanya, saya hanya menyangka hujan seperti biasa sahaja. Tetapi ia berubah apabila angin kencang tiba-tiba datang dan terus menerbangkan bumbung rumah.

“Suasana ketika itu memang kelam-kabut. Saya dan keluarga hanya mampu berserah serta berharap tiada kejadian yang lebih buruk berlaku. Syukur tiada kecederaan yang menimpa keluarga dan hanya perkakas rumah sahaja yang rosak,” katanya. -SH


Rais Mengingau, Kaitkan Penggodam Dengan Bersih 2.0

Rais Mengigau, Kaitkan Bersih 2.0 Dengan Serangan Siber-Mat Sabu

SHAH ALAM 18 JUN : Cubaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mengaitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 dan serangan siber ke atas laman-laman web kerajaan, tidak berasas sama sekali.

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang dihubungi Tv Selangor sebaliknya menyifatkan Rais sebagai mengigau apabila menyifatkan serangan siber yang menyasarkan laman sesawang milik kerajaan dan agensinya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih.

"Saya tidak nampak langsung di mana relevannya itu. Barang kali Rais, dia mengigau," katanya.

Rais yang dipetik Bernama berkata, serangan siber oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Anonymous dipercayai ada hubung kait dengan penganjuran Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Malah Rais menyifatkan serangan itu jelas bermotif politik dan bertujuan untuk melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Tambahnya, serangan terhadap laman web kerajaan itu jelas membuktikan bahawa ia dilakukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat dengan menyulitkan urusan harian rakyat dengan kerajaan, dan bukannya menyusahkan pihak kerajaan.

Namun menurut Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, penggodaman laman web kerajaan yang bermula Khamis lalu bersifat baru sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah dicanang sejak sekian lama.

"Perhimpunan Bersih ini, NGO telah menghebahkannya kepada awam begitu lama dan lebih banyak kita turun ke bawah memberi penerangan di samping menggunakan laman web yang tidaklah sebanyak mana,"tegas beliau, justeru menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Rais itu.

Sebelum ini Anonymous menggodam beberapa laman web kerajaan dengan serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service) kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail, termasuk Pirate Bay dan Wikileaks.

Rais semalam mengakui 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam sehingga kini dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara. -tvsnews


PAS cabar Rais, buktikan serangan siber ada kaitan Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Dewan Pemuda PAS pusat mencabar pentadbiran Najib membuktikan “fitnah” anggota Kabinetnya, yang semalam mendakwa serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya baru-baru ini, ada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim percaya serangan penggodam ke atas laman-laman web sejak kelmarin ada kaitan dengan Himpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak 9 Julai ini, serta dilihat sebagai satu perbuatan tidak patriotik kepada negara.

Kata Rais, beliau juga percaya tindakan itu bermotifkan politik dan bertujuan cuba melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Sebanyak 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara, kata Rais.

Menegaskan pendirian mereka, Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Riduan Mohd Nor berkata, pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab Rais, didakwa menyalahgunakan kuasa beliau sebagai anggota jemaah menteri dengan menyebarkan fitnah berasaskan andaian semata-mata.

“Amat buruk dan sangat tidak profesional bila mana seorang menteri berkelakuan begini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu Riduan berkata, pihaknya mencadangkan penganjur Bersih 2.0 membuat laporan polis dan menyaman menteri terbabit atas kenyataannya dikeluarkan semalam.

“DPPM menasihatkan pihak kerajaan membuat siasatan terperinci terhadap serangan siber itu dan mendedahkan hasilnya kepada rakyat.

“Kerajaan yang membelanjakan bilion ringgit wang rakyat untuk menyediakan fasiliti keselamatan siber harus menjawab kepada rakyat bagaimana dengan begitu mudah laman-laman berkenaan diserang hingga menyusahkan ramai pihak,” kata Riduan lagi.

Riduan juga mahu kerajaan mempertingkatkan sistem keselamatan siber negara dan tidak menyekat kebebasan rakyat untuk menyampaikan pandangan mereka melalui medium alternatif ini. -tmi




Tapir Cedera Jatuh Parit

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menyelamatkan seekor tapir jantan berumur kira-kira 15 tahun yang terjatuh ke dalam longkang konkrit di kawasan perumahan Kempadang Perdana, Jalan Pantai Sepat di sini, semalam.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff, berkata pihaknya menerima aduan orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, sebelum lima anggota bergegas ke lokasi tapir itu terjatuh untuk menyelamatkan haiwan dilindungi itu.

Khairiah berkata, usaha menyelamatkan haiwan yang dianggarkan seberat 350 kilogram itu dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah dan penduduk setempat.

“Pada mulanya, usaha mengeluarkan tapir itu menemui jalan buntu disebabkan keadaan gelap selain saiz longkang yang agak sempit dengan kedalaman kira-kira satu meter. Malah, sifat haiwan berkenaan yang lebih agresif pada waktu malam menggagalkan usaha mengeluarkannya.

“Namun, kita hanya berjaya mengeluarkan haiwan berkenaan selepas mengumpan daun senduduk kira-kira 8.30 pagi semalam. Tapi itu kemudian dihalau ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khairiah berkata, tapir itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat bergesel dengan dinding konkrit longkang namun ia tidak serius sehingga boleh mengancam nyawanya.

Sementara itu, di KANGAR, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas sembilan burung merbah dan murai, spesies dilindungi dianggarkan mencecah harga RM1,000 seekor yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

Semua burung membabitkan lima jenis merbah jambul, dua merbah telinga merah dan masing-masing seekor merbah bidi dan murai batu dianggarkan bernilai RM10,000 itu dirampas di sebuah rumah kosong dipercayai milik seorang penduduk tempatan di Kampung Telaga Haji Latif, dekat Arau, di sini kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata pihaknya percaya rumah kosong itu dijadikan lokasi transit untuk menyimpan burung terbabit sementara menunggu masa untuk diseludup ke luar negara, tetapi seorang lelaki dipercayai pemilik haiwan dilindungi itu sempat melarikan diri ketika serbuan. -BH


Tenuk sesat tersembam dalam longkang


KUANTAN: “Saya sangka ia adalah babi gergasi yang sesat kerana bentuk tubuhnya luar biasa, namun selepas mengejar binatang itu, barulah saya sedar ia adalah seekor tenuk,” kata warga emas, Khatijah Salem, 55, saksi pertama yang melihat seekor tenuk terperangkap di dalam longkang di Kampung Kempadang Perdana, di sini, tengah malam kelmarin.

Terdahulu, binatang itu dikatakan keluar daripada tempat persembunyian di hutan berhampiran sebelum dilihat berkeliaran di Jalan Pantai Sepat, Kampung Kempadang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, haiwan jantan itu kemudian berkeliaran hingga dipercayai tersesat ke Kempadang Perdana sebelum terjatuh dalam longkang sedalam kira-kira satu meter dan terperangkap di bawah saluran longkang berkenaan.

Menceritakan semula kejadian itu, Khatijah berkata, dia bersama suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar ini dan singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli barang sebelum melihat objek mencurigakan bergerak ke arahnya.

Menurutnya, dia bersama suaminya kemudian memerhatikan dengan teliti dan menyangkakan ia babi gergasi kerana bentuk tubuh seakan sama sebelum tergamam melihat haiwan itu sebenarnya tenuk.

Katanya, terkejut melihat tenuk berkenaan semakin menghampirinya, dia bersama suaminya menghalau haiwan itu.

“Saya bersama suami lega melihat haiwan berkenaan terus melarikan diri melintas jalan sebelum tersembam dalam longkang,” katanya ketika ditemui, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Ramzan Mohd Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dan tujuh anggota.

Menurutnya, operasi mengeluarkan tenuk berkenaan menghadapi sedikit kesukaran kerana saiz tubuhnya yang besar selain licin walaupun sudah diikat dengan tali bagi mengelaknya ia terperangkap di bawah pembetung.

Tenuk seberat kira-kira 350 kilogram itu kemudian dilepaskan semula di hutan berhampiran yang dipercayai menjadi habitatnya. -hm

Peneroka Kesal Ditipu Felda Selama 15 Tahun

Temerloh : 711 peneroka Felda Jengka Pahang nyata sekali ditindas oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda apabila agensi itu menyeleweng kadar perahan gred (KPG) yang sepatutnya diterima oleh peneroka.

Bahkan Felda yang sepatutnya membela nasib dan membantu peneroka, sebaliknya mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan.

Tidak tahan terus dianiaya, para peneroka akhirnya tampil membela nasib mereka setelah mengalami kerugian RM344 juta sepanjang 15 tahun.

Beberapa peneroka yang ditemui TV Selangor melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Felda kerana telah menipu mereka sejak tahun 1995 lagi.

Menurut peneroka felda Jengka 13, Abd Ghani Aziz, beliau kini sudah tidak yakin terhadap Felda apabila secara jelas pihak tersebut mempermainkan warga Felda dengan mengambil kesempatan di atas kekuasaan yang dimiliki.

"Saya amat bersyukur kerana ada pihak yang membela, selama ini saya yakin dengan Felda tetapi di sebalik keyakinan itu mereka telah menipu kami walaupun ada sesetengah pihak yang berkata, pihak yang menuntut pembelaan ini mengambil kesempatan apabila mereka menjelaskan mengenai satu per satu penipuan yang dilakukan Felda,"katanya.

Bagi peneroka felda Jengka 6, Bostamin Bakar yang sudah menjadi peneroka sejak tahun 1974 pula berharap, perjuangan mereka ini akan memberi kesedaran kepada peneroka-peneroka Felda lain yang tidak sedar bahawa mereka telah ditipu.

"Alhamdulillah dengan tindakan berani peneroka yang bersama-sama menfailkan saman ini dan bermakna kita tahu perahan selama ini begitu rendah daripada apa yang kita hantar ke makmal dan menunjukkan ia lebih tinggi,"ujar beliau.

Tambahnya, meskipun beliau menyedari perjuangan yang dibawa dan diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, namun katanya pengganti-pengganti yang kini mentadbir Felda, jauh menyimpang dari tujuan asal penubuhan Felda.

Hari ini sekumpulan peneroka Felda tersebut telah mengemukakan saman berhubung dakwaan penipuan bayaran untuk hasil sawit yang melibatkan kerugian melebihi RM 344 juta sepanjang 15 tahun lamanya.

Saman yang difailkan oleh kumpulan peneroka ini menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries sebagai defendan kedua atas dakwaan pecah amanah dan menipu. -tvsnews

Pelakon Mohon Gugur Kes Cabul

Selayang: Pelakon veteran popular di era 70-an, Mokhtaruddin Mohd Said, 56, yang menghadapi tuduhan mencabul remaja perempuan berumur 13 tahun, Mei lalu bercadang mengemukakan dokumen kepada Jabatan Peguam Negara.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela S S Dev yang mewakili tertuduh pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Menurutnya, selepas proses penyerahan dokumen pada tarikh sebutan akan datang selesai, pihaknya akan meneliti dokumen berkenaan sebelum bantahan dibuat untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Majistret Muhamad Najib Ismail kemudian menetapkan 29 Julai ini sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Pada 6 Mei lalu, pengasas Pondok Penyayang Raudah (PPR) itu mengaku tidak bersalah mencabul remaja perempuan berumur 13 tahun dengan mencium pipi dan memeluk pinggang mangsa tanpa kerelaan di asrama itu di No 336, Batu 11, Gombak dekat sini, pada jam 2.30 petang, 1 Mei 2011.

Difahamkan, mangsa yang turut menginap di asrama berkenaan membuat laporan polis pada 2 Mei lalu. -hm


Berita sebelum ini

Pelakon Veteran, Mokhtaruddin Di Tuduh Cabul Budak

Mokhtaruddin atau nama sebenarnya Mokhtaruddin Mohd Said, 57 tahun seorang pelakon veteran yang popular pada era 70an dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang berumur 13 tahun.

Kejadian berlaku 6 hari lalu apabila Mokhtaruddin didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun dengan mencium pipi dan memeluk pinggang mangsa tanpa kerelaannya di asrama Pusat Penyayang Raudah di No 336, Batu 11, Gombak di sini pada jam 2.30 petang, 1 Mei 2011.

Mokhtaruddin bersama isterinya, Sharifah Tahiyah Syed Mahamood merupakan pengasas Rumah Penyayang Raudah yang terletak di Gombak, Selangor untuk menjadi pusat pendidikan remaja bermasalah, seperti terlibat dalam gejala dadah, buli, lepak dan sebagainya.

Bagi kesalahan itu Mokhtaruddin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Antara filem Mokhtaruddin yang popular ialah Raja Laut yang ditayangkan sekitar tahun 1976.Kita tunggu perbicaraan seterusnya bagi mengetahui adakah beliau bersalah atau tidak. Dah tahu kebenaran baru lah kita boleh menilai.


Pilihan Raya Masjid Tangguh, Bukan Batal

Pemilihan jawatankuasa kariah masjid bagi sesi 2012-2013 di Pulau Pinang menerusi pilihan raya yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini tidak dibatalkan, sebaliknya cuma ditangguh ke tarikh lain.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim berkata Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan pilihan raya berkenaan ditangguh dan bukan dibatalkan sebagaimana yang dilapor oleh media arus perdana.

"Pagi semalam pihak Tuanku Agong telah memangil Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang bersama Tuan Yang Terutama Tun dan telah memutuskan atau bertitah iaitu pemilihan masjid yang akan bermula esok supaya ditangguhkan.” kata Malik.

Mesyuarat agung masjid-masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan esok dan Ahad ini sepatutnya memilih jawatankuasa kariah di 151 daripada 200 masjid.

Pemilihan ala pilihan raya yang dicadangkan itu bagi membolehkan anak kariah mengundi secara sulit untuk memilih pemimpin kariah yang sebelum ini dipilih oleh MAIPP.

Menurut Abdul Malik, Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang (MAIPP) akan bermesyuarat minggu depan untuk berbincang dan memutuskan persoalan yang berbangkit mengenai keadah pilihanraya untuk menentukan kariah masjid bagi sessi 2012-2013.

“Majlis Agama akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang titah tuanku,” dan memberikan keputusan rasmi.

Sementara itu, ahli parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa kesal dengan tindakan Umno memperalatkan media arus perdana demi untuk menghalang rakyat daripada mendapat maklumat mengenai kebaikan sistem pilihan raya untuk memilih kariah masjid.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, pihaknya langsung tidak diberi peluang untuk menjelaskan hal itu.

"Umno telah menggunakan isu ini tanpa memberi keadilan kepada kami untuk memberi penjelasan dan penerangan yang boleh dinilai oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Pulau Pinang," kata beliau.

"Oleh kerana tekanan-tekanan politik dan desakan-desakan yang digunakan oleh Umno melalui media-media perdana tidak ada ruang untuk kami nak jawab, tidak ada ruang untuk kami nak perjelaskan sehingga ia telah terbentuk dalam minda orang ramai bahawa pemilihan terbuka telah menimbulkan satu persepsi yang buruk dan dengan itu Yang DiPertuan Agong terpaksa campur tangan," tambah beliau.

Bantahan pelbagai pihak yang didalangi Umno begitu lantang kerana gusar pilihan raya kariah masjid akan menghakis sokongan kepada parti itu setelah BN ditumbangkan di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008.

Umno mendakwa pemilihan secara demokrasi itu akan hanya membawa perpecahan di kalangan umat Islam selain mengheret masjid ke kancah politik kepartian.

Seramai 4,485 calon telah menawarkan diri untuk mengisi 4,530 jawatan di 151 daripada 200 masjid di Pulau Pinang.

34 buah masjid tidak akan mengadakan pemilihan kerana anak-anak kariahnya telah mengadakan kompromi manakala lapan buah lagi tidak menghantar borang pencalonan selepas pencalonan ditutup pada 7 Jun.

Kerajaan negeri berkata pilihan raya masjid itu menepati Seksyen 22 (4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang. -tvsnews




Mesej Jelas: Jangan Pandang Sengkek Kepada Penggodam Tempatan

90 peratus penggodam ‘Operation Malaysia’ tempatan

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Pentadbiran Najib berkata siri serangan penggodam Operation Malaysia sejak kelmarin telah menyasarkan sekitar 200 laman web dengan majoriti mereka yang menggodam adalah pihak Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata siasatan awal menunjukkan 90 peratus penggodam berpangkalan di Malaysia.

Operation Malaysia, yang dilancarkan oleh kumpulan penggodam antarabangsa yang dikenali Anonymous, telah berjaya menjejaskan operasi laman web rasmi kerajaan malaysia.gov.my sekitar 4 pagi semalam.

Bagaimanapun serangan penggodam juga membabitkan laman-laman lain. Kira-kira 60 peratus dikatakan membabitkan laman web kerajaan persekutuan.

Ongkili menambah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis akan menyiasat perkara itu dengan lanjut.

Dalam kenyataannya semalam SKMM menegaskan impak serangan itu ke atas pengguna hanyalah sedikit.

Antara laman web yang turut digodam termasuklah milik Pelancongan Sabah (sabahtourism.com) dan panduan pelancongan Tour Malaysia (tourmalaysia.com.my).

Dalam pada itu dipetik Bernama Online kata beliau, “kami sudah mendapat tahu bahawa hampir semua ini dilakukan orang tempatan, bukan pihak antarabangsa.”

Beliau juga meminta rakyat Malaysia menggunakan Internet secara profesional untuk pendidikan dan pembangunan negara.

“Ini kerana anda tidak boleh pergi jauh apabila melakukan jenayah siber dalam ruang siber itu sendiri,” kata beliau.

Ongkili bagaimanapun tidak mahu mengesahkan sama ada Kabinet telah memutuskan penubuhan satu pasukan khas bagi mengatasi masalah tersebut. -TMI



Ulasan GB

Kira hebatlah juga jika penggodam itu adalah anak Malaysia sendiri.

Di luarnegara, misalnya di Singapura, diwujudkan pertandingan dan dijemput semua para hackers untuk cuba menceroboh lamanweb-lamanweb kritikal negara tersebut, dan mereka yang berjaya akan diberikan imbuhan/hadiah berupa wang tunai.

Ia dilakukan oleh Singapura bertujuan untuk mempastikan sistem keselamatan mereka benar-benar utuh dan kukuh serta tidak mudah untuk dicerobohi.

Malah beberapa institusi pendidikan di Singapura menawarkan "biasiswa" bagi pelajar-pelajar yang mengikuti program "EC-Council" bagi mewujudkan penggodam yang beretika.

GB petik:

EC-Council is a member-based organisation that certifies individuals in various e-business and security skills. It is the owner and developer of the world famous Certified Ethical Hacker course, Computer Hacking Forensics Investigator program, License Penetration Tester program and various other programs offered in over 60 countries around the globe.

Said Dr. Timothy Chan, Director, School of Digital Media and Information Technology (DMIT) of Singapore Polytechnic, “Integrating EC-Council programs into our courses is a step that underlines SP’s legacy, which is developing a professional workforce with specialised skills for the country. As we steadily evolve into a fully knowledge-based economy, we acknowledge the increase in demand for manpower with expertise in the information security sector. We are confident that EC-Council qualifications will fortify our students’ knowledge and skills, making them stand out from the rest.”

Students taking the Diploma in Infocomm Security Management (DISM) at SP will also be the first to receive scholarships and awards totaling S$45,000 from EC-Council. The scholarships & awards are made possible with the signing of a Memorandum of Co-operation (MOC) between DMIT and EC-Council last week.

......

Six SP lecturers have successfully completed the world-renowned Certified Ethical Hacker (CEH) program recently and another two final-year students are set to undergo the training as well, making them the first SP lecturers and students to join the global community of certified EC-Council members, currently standing at over 26,000 across more than 60 countries.

In this era of K-economy, EC-Council recognises the need to nurture more information security personnel and experts. There’s no better way to do so than paving the way for a group of deserving students who aspire to be part of the information security community. As such, we are immensely pleased to have Singapore Polytechnic as one of our education partners”, said Mr. Sean Lim, Vice President of EC-Council.


Di dalam disiplin ilmu komputer di bidang pemprogramman web dan kejuruteraan perisian, sebelum sesebuah lamanweb dilancarkan perlu dilakukan "pilot testing" dimana semua pihak dipanggil untuk menggodam. Apabila ia benar-benar telah diyakini "kebal" barulah dilancarkan.

Di Malaysia tidak berlaku begitu. Penggodam dijadikan musuh. Wang habis berjuta dengan outsourcing, hanya gempaq di hari pelancaran kemudian didapati rapuh dan sistem berlubang di sana sini.

Lamanweb 1Malaysia kepunyaan TPM, Muhyiddin Mohd Yassin hanya bertahan seminggu selepas itu hilang ghaib di persada maya.

Ini semua berkait rapat dengan "sikap" dan "mentaliti" menteri, pemimpin dan pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan, boleh melihat penggodam sebagai musuh atau pembantu. Tetapi kerana di Malaysia ini ramai di kalangan mereka adalah terdiri dari yang kurang membaca, buta IT dan tak tahu ABC komputer, maka di takuk itulah pemikiran dan tindakan mereka. Yang rugi ialah negara.


Anak Najib Bertunang Malam Tadi: Tiada Siapa Percaya Wisma Putra Lagi Selepas Ini!

Majlis Pertunangan Anak Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pertunangan anak perempuan mereka Noorhayana Najwa Najib, 22, dengan Daniyar Nazarbayev, 22, yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di sini, malam tadi.

Kelihatan Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan bersalaman dengan Noorhayana Najwa.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nurzahirah serta Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Hajah Kalsom berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut. -Bernama

Laporan media sebelum ini:

Wisma Putra nafi Najib guna dana awam, urus perkahwinan anak

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Wisma Putra berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan adalah untuk memenuhi penerimaan beliau terhadap undangan yang sudah lama dibuat Presiden Nursultan Nazarbayev.

Kenyataan Wisma Putra, yang dipetik Bernama Online, menafikan laporan media bahawa beliau menggunakan lawatan itu untuk peribadi dan menguruskan pertunangan anak perempuannya.

Kenyataan itu menambah dakwaan kononnya lawatan itu untuk mengurus perkahwinan anak perempuan Najib sama sekali tidak berasas.


Kenyataan itu menjelaskan bahawa lawatan Najib ke Kazakhstan pada 5 dan 6 Jun adalah juga lawatan rasmi pertama perdana menteri ke negara itu dan sebagai membalas lawatan Nazarbayev ke Malaysia pada Jun 2006.

Semasa lawatan itu, Najib mengunjungi Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri, Massimov Karim.

“Lawatan itu tidak hanya meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, tetapi juga menghasilkan banyak peluang perniagaan untuk komuniti perniagaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Kazakhstan adalah rakan dagang terbesar Malaysia di kalangan negara di Asia Tengah.

Ia juga menerangkan bahawa lawatan perdana menteri itu bertepatan dengan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ketujuh dari 7 hingga 9 Jun di Astana dan Najib mewakili Malaysia selaku penaung WIEF.

Keputusan bagi Kazakhstan menjadi hos WIEF ketujuh pada tarikh itu dicapai lebih setahun lalu, ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi siri keenam WIEF pada Mei, 2010.

“Secara keseluruhan, kunjungi itu menghasilkan perkembangan besar dalam hubungan dua hala Malaysia-Kazakhstan yang saling menguntungkan.

“Ia juga dapat memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara serta memupuk kerjasama dan dialog yang bermakna antara negara-negara membangun terutama negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC),” menurut kenyataan itu.

Beberapa pemimpin pembangkang meminta pentadbiran Najib mendedahkan kos lawatannya ke negara itu yang turut dikaitkan dengan pertunangan anak perempuan beliau. -TMI



Najib dikecam guna program rasmi untuk urusan peribadi

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan program pribadi untuk menguruskan perkahwinan anaknya dengan dicampuradukkan dengan program kerajaan semasa ke Kazakhstan sekarang.

Tindakan ini disifatkan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Kecaman ini dibuat ekoran tindakan Najib menggunakan segala kemudahan kerajaan dan wang rakyat untuk memenuhi keperluan keluarganya di Kazakhstan sekarang.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan pribadi," kata Dr Dzulkefli kepada Harakahdaily.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," kata beliau.

Semalam Harakahdaily melaporkan, Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Kazakhstan untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Noryana Najwa dengan seorang anak pembesar negara itu.

Untuk memenuhi hasrat itu, beliau dikatakan meminta program rasmi kerajaan diatur untuk beliau dan rombongan ke sana. Perkara ini dikesali oleh pelbagai pihak termasuk wartawan yang menyertai program beliau itu.

Hasilnya, kerajaan terpaksa menanggung segala perbelanjaan bukan sahaja untuk beliau berdua bahkan juga menteri, wartawan dan pegawai kerajaan yang terpaksa mengiringi beliau ke sana.

Dalam sejarah Islam, kata Dr Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah memadamkan lilin milik negara apabila ada yang datang bertemu beliau untuk berbincang hal pribadi.

"Mana pergi good governance, integriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau dan bakal menjadi suri tauladan kepimpinan BN dan pegawai kerajaan di bawah beliau," katanya.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah dan kini ia berlaku lagi.

Dr Dzul yakin, jika perkara ini diaudit oleh jabatan kerajaan tidak akan ditemui kesalahannya berdasarkan ianya mengikut prosedur biasa kerajaan iaitu mendapat kelulusan dari Perdana Menteri.

"Tetapi dari segi moralnya ia sangat salah,"
tegas Dr Dzulkefly (gambar).

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah Najib dan Rosmah mengatur program kerajaan ke Kazakhstan untuk memenuhi program pribadinya iaitu menguruskan perkahwinan anaknya.

"Di sinilah masalahnya akan timbul apabila kepimpinan tertinggi menunjuk sikap yang buruk, apa pula orang bawahnya nanti, menteri, ketua setiausaha, OCPD dan sebagainya ...kalau bos kencing berdiri, anak buah kencing berlari," kata beliau.

Jika Najib dan Rosnah benar-benar bertanggungjawab, mereka berdua akan menyusun jadual cutinya untuk kepentingan keluarga dan pribadinya bukannya mengambil kesempatan atas urusan kerajaan.

"Hentikanlah, cukuplah tu.....susunlah cuti dengan baik, guna duit sendiri untuk lunas tanggungjawab kepada anak dan keluarga, inilah mulanya penyelewengan....bila kepimppinan tertinggi tunjukkan sikap hodoh dan buruk," kata beliau.

Najib mesti telus

Sementara itu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) meminta Najib supaya telus dan tidak mengambil kesempatan di atas urusan rasmi untuk sebarang urusan peribadi apatah lagi apabila menggunakan wang kerajaan yang juga wang rakyat.

"Kalau benda (dakwaan) ini betul kenapa Najib nak rahsiakan? Beliau kena cakap terus teranglah. Kalau betul beliau ke sana atas urusan peribadi janganlah guna harta kerajaan dan harta rakyat. Jangan berselindung di sebalik lawatan rasmi.

"Kalau betul anaknya akan berkahwin dengan anak pembesar Kazakhstan saya ucapkan tahniah tapi gunalah duit sendiri yang sudah banyak tu..tak payahlah guna duit rakyat.,"
kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menambah, rakyat boleh menerima sekiranya najib menggunakan wang kerajaan untuk urusan rasmi dan ada hasil terhadap negara daripada lawatan tersebut.

"Sekali lagi saya minta beliau berterus teranglah. Kalau pergi (ke Kazakhstan) atas urusan rasmi itu cerita lain dan kita harap akan dapatlah hasilnya terhadap negara daripada lawatan rasmi ini," katanya -HD


EKSKLUSIF : gambar pemuda kazakhstan dengan anak perempuan najib [Daniyar Nazarbayev + Nooryana Najwa]

sumber : the star

* * * * * * *

Nooryana Najwa, bakal suaminya Daniyar Nazarbayev, ibu Daniyar - Maira Nazarbayev dan adik Daniyar - Khanbolat Nazarbayev. Memang boolat bukan? keh keh keh



Nooryana Najwa dan Daniyar Nazarbayev



* * * * * * *

UPDATE : atas permintaan ramai, gua tambah lagi gambar gambar sekitar majlis ni.

11 jun 2011, shangri-la hotel.
majlis perkahwinan datuk douglas cheng dengan charlene yeo.

kek 8 tingkat

pengantin perempuan dan najib

najib dan 'hero' kazakhstan

tetamu kehormat

najib dengan ashman

ling liong sik pun ada

hidup pemuda umno!

mokhzani mahathir dan isteri

bos carlsberg malaysia

Marion Caunter, Nasaruddin Nasimuddin, Faliq Nasimuddin dan Ralineshah

sumber: semutmalaysia

Ulasan GB

Terlalu ketara bahawa satu Malaysia ditipu hidup-hidup oleh PM dan Wisma Putra.

Campur-adukkan lawatan rasmi ke Kazashtan dengan urusan peribadi untuk merisik perkahwinan anaknya.

Penggunaan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan Perdana Menteri dan rombongannya untuk merisik perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Kazakhstan adalah salah dan amat menjelekkan.

Terlalu memalukan dan lansung tidak bermaruah!

Begitulah Wisma Putra yang pendusta, menipu seluruh rakyat Malaysia, anda TIDAK BERMARUAH dan tiada siapa yang akan dengar penjelasan kamu lagi tentang apa isu sekalipun. Sekali lancung ke ujian seumur hidup orang tidak percaya!