18 Jun 2011

Tapir Cedera Jatuh Parit

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menyelamatkan seekor tapir jantan berumur kira-kira 15 tahun yang terjatuh ke dalam longkang konkrit di kawasan perumahan Kempadang Perdana, Jalan Pantai Sepat di sini, semalam.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff, berkata pihaknya menerima aduan orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, sebelum lima anggota bergegas ke lokasi tapir itu terjatuh untuk menyelamatkan haiwan dilindungi itu.

Khairiah berkata, usaha menyelamatkan haiwan yang dianggarkan seberat 350 kilogram itu dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah dan penduduk setempat.

“Pada mulanya, usaha mengeluarkan tapir itu menemui jalan buntu disebabkan keadaan gelap selain saiz longkang yang agak sempit dengan kedalaman kira-kira satu meter. Malah, sifat haiwan berkenaan yang lebih agresif pada waktu malam menggagalkan usaha mengeluarkannya.

“Namun, kita hanya berjaya mengeluarkan haiwan berkenaan selepas mengumpan daun senduduk kira-kira 8.30 pagi semalam. Tapi itu kemudian dihalau ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khairiah berkata, tapir itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat bergesel dengan dinding konkrit longkang namun ia tidak serius sehingga boleh mengancam nyawanya.

Sementara itu, di KANGAR, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas sembilan burung merbah dan murai, spesies dilindungi dianggarkan mencecah harga RM1,000 seekor yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

Semua burung membabitkan lima jenis merbah jambul, dua merbah telinga merah dan masing-masing seekor merbah bidi dan murai batu dianggarkan bernilai RM10,000 itu dirampas di sebuah rumah kosong dipercayai milik seorang penduduk tempatan di Kampung Telaga Haji Latif, dekat Arau, di sini kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata pihaknya percaya rumah kosong itu dijadikan lokasi transit untuk menyimpan burung terbabit sementara menunggu masa untuk diseludup ke luar negara, tetapi seorang lelaki dipercayai pemilik haiwan dilindungi itu sempat melarikan diri ketika serbuan. -BH


Tenuk sesat tersembam dalam longkang


KUANTAN: “Saya sangka ia adalah babi gergasi yang sesat kerana bentuk tubuhnya luar biasa, namun selepas mengejar binatang itu, barulah saya sedar ia adalah seekor tenuk,” kata warga emas, Khatijah Salem, 55, saksi pertama yang melihat seekor tenuk terperangkap di dalam longkang di Kampung Kempadang Perdana, di sini, tengah malam kelmarin.

Terdahulu, binatang itu dikatakan keluar daripada tempat persembunyian di hutan berhampiran sebelum dilihat berkeliaran di Jalan Pantai Sepat, Kampung Kempadang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, haiwan jantan itu kemudian berkeliaran hingga dipercayai tersesat ke Kempadang Perdana sebelum terjatuh dalam longkang sedalam kira-kira satu meter dan terperangkap di bawah saluran longkang berkenaan.

Menceritakan semula kejadian itu, Khatijah berkata, dia bersama suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari bandar ini dan singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli barang sebelum melihat objek mencurigakan bergerak ke arahnya.

Menurutnya, dia bersama suaminya kemudian memerhatikan dengan teliti dan menyangkakan ia babi gergasi kerana bentuk tubuh seakan sama sebelum tergamam melihat haiwan itu sebenarnya tenuk.

Katanya, terkejut melihat tenuk berkenaan semakin menghampirinya, dia bersama suaminya menghalau haiwan itu.

“Saya bersama suami lega melihat haiwan berkenaan terus melarikan diri melintas jalan sebelum tersembam dalam longkang,” katanya ketika ditemui, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Ramzan Mohd Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dan tujuh anggota.

Menurutnya, operasi mengeluarkan tenuk berkenaan menghadapi sedikit kesukaran kerana saiz tubuhnya yang besar selain licin walaupun sudah diikat dengan tali bagi mengelaknya ia terperangkap di bawah pembetung.

Tenuk seberat kira-kira 350 kilogram itu kemudian dilepaskan semula di hutan berhampiran yang dipercayai menjadi habitatnya. -hm

1 ulasan:

  1. Kesian dia. Syabas kat Pn Khatijah,tapi lain kali jgn dekat sangat, binatang tu klu panik boleh mengamuk, mcm cerita gajah kat India baru2 ni.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.