31 Mac 2011

Pegawai SPRM Tonton Pornografi Di Pejabat, Tim Pengarah Naik Pangkat

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan memuat turun dan menonton pornografi pada komputer milik pejabat selepas sejam menyoal-siasat Teoh Beng Hock.

Perkara ini didedahkan oleh pengerusi Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, tan Sri James Foong hari ini.

Beliau berkata demikian ketika peguam Majlis Peguam, Cheow Wee menyoal bekas timbalan pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim berhubung memorandum dalaman yang mengingatkan kakitanganya supaya sentiasa memerhatikan pelawat, saksi ataupun suspek ketika mereka di kawasan suruhanjaya itu.

Pada satu ketika, Fong berkata penolong penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus sedang menonton pornografi di komputernya pada jam 1.20 pagi, 16 Julai 2009.
Foong: Pada pendapat saya, adalah agak longar cara saksi diperhatikan. Kenapa? Saya ingin tahu mengapa tiada kawalan keselamatan?

Hishamuddin: Arahan diberikan (melalui memorandum dalaman) dan mesti ada pegawai (yang mengiringi saksi).

Foong: Kenapa tidak tanya pegawai awak apa yang mereka lakukan (apabila awak berada di pejabat pada waktu itu)?

Hishamuddin: (Mereka tidak beritahu saya) kecuali saya tanya.

Foong: Tahukah awak bahawa Ashraf telah memuat turun bahan pornografi sekitar jam 1.20 pagi (16 Julai 2009). Apabila operasi dijalankan, dia menonton pornografi di internet.

Hishamuddin yang terkejut dengan berita itu mengambil masa sebelum menjawap “ia di luar kawalannya”.

“Ini tiada kaitan dengan kerja... mungkin inisiatif sendiri,” katanya.

Kejadian itu berlaku kira-kira sejam selepas beliau membantu seorang lagi rakannya menyoal Teoh. -mk

Ulasan GB

Dasyat sungguh. Pegawai SPRM boleh tonton ponografi di pejabat SPRM. Dan bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim menyatakan ia di luar kawalannya.

Itu pun boleh dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan pula.


Tangkapan Video Seks: Siapa Penipu - Menteri Atau Polis?

Video seks: Belum ada tangkapan, kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Polis belum menahan mana-mana pihak berhubung isu rakaman video seks, yang didedahkan awal minggu lalu oleh tiga “Datuk T”, mendakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, berdasarkan maklumat yang pada beliau belum ada mana-mana pihak yang ditahan setakat ini.

“Setahu saya, tidak ada pihak yang ditahan lagi,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Laporan media minggu lalu menyebut bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditahan selepas disoal siasat selama lima di Bukit Aman, malam Khamis lalu.

Mereka dilaporkan dilepaskan dengan diikat jamin.

Bagaimanapun kedua-duanya telah menafikan ditahan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga mendakwa tidak cukup bukti untuk mendakwa kedua-dua mereka bersama Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim – tiga “Datuk” yang mengaku bertanggungjawab atas pendedahan rakaman tersebut.

“Anda kena tanya pendakwa atau polis,” kata Hishammuddin apabila ditanya bila “Datuk T” akan ditahan kerana memiliki dan menayangkan rakaman video seks.

Kata beliau, siasatan adalah berdasarkan pada laporan polis Anwar yang dibuat pada 22 Mac lalu.


Polis Periksa Lokasi Kejadian Rakaman Video Seks

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Siasatan polis terhadap rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang mendapat petunjuk awal apabila bilik sebuah hotel di ibu negara yang dikatakan menjadi lokasi rakaman video itu diperiksa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ghazali Md Amin berkata siasatan di tempat kejadian itu dijalankan bersama unit forensik PDRM selepas memperoleh maklumat.

"Dua individu telah ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis... kita turut memperoleh beberapa bahan bukti daripada mereka.

"Salah seorang daripada individu yang terbabit telah mendedahkan tempat di mana rakaman perlakuan seks itu berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, disoal siasat selama lima jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis sedang mengenal pasti identiti individu yang kelihatan dalam rakaman video aksi seks tersebut.

Beliau berkata siasatan kes itu masuk hari ketiga pada Jumaat dan pasukan khas menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana rakaman video itu boleh wujud.

"Kita sendiri hendak tahu apa yang telah berlaku dan banyak isu lagi, justeru hentikan semua spekulasi dan beri peluang kepada pasukan polis untuk jalankan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Ismail berkata beliau percaya maklumat dan fakta baru akan diperoleh dalam masa terdekat hasil penyiasatan yang dijalankan.

"Siasatan mungkin akan berkembang terus dari fakta-fakta yang kita akan jumpa nanti," katanya.

Ketika ditanya sebab trio yang mendedahkan video tersebut tidak ditahan, beliau menjawab, "Atas kesalahan apa? Kalau sampai masa sudah cukup bukti dan sudah disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak ikut undang-undang.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya. -- BERNAMA 25 Mc 2011


Ulasan GB

Percanggahan wujud diantara kenyataan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ghazali Md Amin yang berkata

"Dua individu telah ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis..."

dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata,

berdasarkan maklumat yang pada beliau belum ada mana-mana pihak yang ditahan setakat ini

Apa tujuan penipuan itu dilakukan?

Dewan Rakyat: Bung Moktar Ditegur Guna Perkataan Kesat

Kuala Lumpur: Anggota Parlimen Kinabatangan daripada Barisan Nasional Datuk Bung Moktar Radin hari ini ditegur kerana mengeluarkan perkataan kesat semasa persidangan Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menegur Bung Moktar kerana mengeluarkan perkataan 'syaitan bodoh' ketika sesi soal jawab yang bermula pada 10 pagi Khamis.

Perbuatan Bung itu turut tidak disenangi Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam), M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sehingga sesi soal jawab itu tertangguh selama 15 minit.

Wan Junaidi berkata sebagai Anggota Parlimen yang mewakili rakyat bagi kawasan masing-masing, mereka harus menggunakan perkataan yang sesuai dan bersikap 'gentleman'.

"Saya minta semua orang (Anggota Parlimen) menggunakan perkataan yang baik... perkataan yang tidak betul jangan sesekali dipakai di dalam Dewan.

"Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi kerana kalau keluar juga, ini bermakna seperti peraturan kita sudah masuk ke dalam tong sampah," katanya.

Bung Moktar kemudiannya menarik balik perkataan itu dan berkata beliau hanya mahu meminta penjelasan daripada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhubung soal pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Sinar Jaya di kawasannya.

Soalan Bung Moktar dijawab oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek. -BERNAMA


Bung gelar wakil Pakatan ‘syaitan besar

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Belum reda kontroversi mengenai kenyataan bahawa pemandu wanita adalah penyumbang kemalangan jalan raya, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sekali lagi menimbulkan kekecohan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Kekecohan timbul apabila Bung menggelarkan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat sebagai 'syaitan' sewaktu sesi soal jawab lisan pagi tadi.

Gelaran itu pada awalnya ditujukan kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Timur) yang bangun 'mengganggu' ketika beliau mengemukakan soalan tambahan mengenai kursus peningkatan kemahiran rakyat khusunya kepada golongan wanita kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau bertanya sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk menyediakan kursus kemahiran seperti kursus memasak, membuat kuih dan kraftangan kepada rakyat di Sabah.

Ketika itu, Kulasegaran bangun dan bertanya adakah perlu diadakan kursus memandu kepada golongan wanita.

Bung menuduh Kulasegaran cuba memanipulasi kenyataannya berhubung pemandu wanita sebelum ini untuk memancing golongan itu agar mengundi Pakatan Rakyat.

"Mereka manipulasi kenyataan saya untuk tarik undi golongan wanita supaya sokong Pakatan Rakyat.

"Sudahlah, jangan tipu rakyat. Mereka faham apa yang saya cakap," katanya dengan suara yang agak tinggi.

Ketika itu kedengaran juga suara Datuk Mahfuz Omar (PAS -Pokok Sena) yang berkata bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tidak bersetuju dengan kenyataan Bung itu.

Bung seterusnya berkata, ramai 'syaitan' yang mengganggunya namun 'syaitan-syaitan ini akan direjam'.

"Kalau pun ada bisikan syaitan di pagi ini, akan direjamlah mereka," katanya.

Kulasegaran bangun membantah perkara itu dan menganggap Bung mengeluarkan perkataan yang tidak baik dalam dewan.

"Apa ini Yang Dipertua...tiba-tiba cakap syaitan," katanya.

Namun Bung terus bertanya soalan dan setelah menghabiskan soalannya, Bung secara tiba-tiba memandang Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan menggelarnya 'syaitan besar'.

"Ini Shah Alam memang syaitan yang besar," katanya.

Khalid bangun dan meminta Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyuruh Bung menarik balik kata-katanya.

"Yang Dipertua, dia (Bung) panggil saya syaitan besar. Minta tarik balik. Ini dewan yang mulia, kena jaga kata-kata," katanya.

Bung terus mempertahankan diri dengan mendakwa mereka yang mula mengganggunya.

Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pula bangun mempertahankan Bung dengan meganggap wakil Pakatan Rakyat yang tidak menghormati dewan.

Junaidi bagaimanapun menegaskan, dalam apa keadaan sekalipun, mana-mana wakil rakyat tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat.

"Saya faham itu Yang Berhormat. Tapi itu tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan perkataan yang tidak betul dalam dewan. Perkara ini saya pertahankan. Kalau tidak semua orang boleh guna perkataan sesuka hati," tegasnya.

Mahfuz pula bangun dan menyokong pendirian Junaidi itu.

"Yang Dipertua, kalau cakap dia terganggu, kita pun selalu terganggu, tapi kita terbuka. Saya pun selalu diganggu. Tapi tak adalah sampai nak menggunakan perkataan yang bagi saya sangat buruk," katanya.

Mereka seterusnya mendesak Bung menarik balik perkataan 'syaitan' itu sehingga Bung terpaksa mengalah dan menarik balik perkataan itu. -HD



Shahrizat sangkal dakwaan pemandu wanita bahaya

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam menyangkal dakwaan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat kelmarin bahawa wanita di negara ini memandu kereta secara sambil lewa sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata kenyataan itu menyinggung perasaan wanita yang memandu secara berhemah.

“Kementerian telah meminta pihak polis mengeluarkan statistik kemalangan yang melibatkan pemandu wanita di Malaysia bagi mendapatkan gambaran lanjut berhubung dakwaan Yang Berhormat Kinabatangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Komite Perempuan Acheh Bangkit (KPAB) di kementeriannya semalam.

Shahrizat turut menasihatkan sesetengah pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk ‘bias gender’ bagi mengelakkan mana-mana pihak, terutama wanita, tersinggung. - Bernama


Ulasan GB

Bung Mokhtar tak berubah perangainya dari dulu sampai sekarang.

Kelmarin, beliau buat kenyataan bahawa pemanduan golongan wanita di negara ini kebanyakannya amat berbahaya sekali gus boleh mengundang kemalangan.

Dakwa beliau, apabila golongan wanita memandu kereta, mereka tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan ia menyebabkan pemandu lain terdedah dengan risiko kemalangan.

Kemudian apabila kaum wanita bangun membantah, beliau menyalahkan pembangkang pula memutar belitkan kata-katanya sedangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sendiri yang menyangkal dakwaannya itu.

Seingat GB, dari dulu lagi beliau pernah mengutuk ahli parlimen wanita:

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangun mengambil bahagian secara sinis berkata: "Mana ada bocor, Batu Gajah pun tiap-tiap bulan pun bocor juga.” ( UM ).

Dewan Rakyat tidak perlu wakil sepertinya.

Musuh Dalam Selimut Dalam Yayasan Selangor

Petaling Jaya: Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Pasukan Risikan Pakatan Rakyat Selangor mendakwa bahawa mantan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor, Mohd Saifulruddin Sulaiman merupakan musuh dalam selimut kepada pentadbiran Yayasan Selangor.

Pasukan tersebut mendapat maklumat bahawa Saifulruddin mempunyai hubungan rapat dengan mantan pemimpin Barisan Nasional yang tidak dinamakan.

Justeru itu, mereka mendakwa Saifulruddin telah memulakan kontroversi sambutan hari ulangtahun Yayasan Selangor ke-40 pada 15 September 2010.

“Antara tuduhan yang dilemparkan terhadap Mohd Saifulruddin ialah beliau telah mengusulkan sambutan besar-besaran diadakan dengan belanjawan bernilai RM300,000.

Rancangan penerbitan buku peringatan sebelum ini telah ditolak.

“Anggaran mengendalikan acara sambutan rasmi ialah RM 285,000. Sebanyak RM 91,000 dibayar untuk mendirikan tiga set khemah “marquee”.

Bayaran tambahan sebanyak RM 93,982.40 dibayar kepada Drift Z Enterprise untuk penambahan khemah “marque” bernilai RM 30,412.80,” kata wakil kumpulan Pasukan Risikan Pakatan Rakyat dalam satu e-mel yang dihantar kepada FMT hari ini.

“Kontrak menyediakan pakaian rasmi untuk acara tersebut pula telah diberikan secara langsung kepada TL Tinala Enterprise.”

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, walau bagaimanapun menunjukkan bahawa TL Tinala yang dimiliki Fatimah Omar tiada kepakaran dalam bidang jahitan.

Mohd Saifulruddin juga didakwa merupakan muflis. Notis kemuflisan pernah dikeluarkan terhadap beliau dalam bulan September 2009 yang dilanjutkan selama 12 bulan.

Apa yang lebih menghairankan adalah pada usia 31, beliau telah pun memegang jawatan Timbalan Pengurus (Pengurusan) yang bersamaan dengan pegawai berpangkat Jusa C dalam perkhidmatan awam.

Tambah mengejutkan lagi sebelum jawatan ini Mohd Saifulruddin didakwa hanya menjawat jawatan eksekutif akaun di syarikat pemaju hartanah selama 6 hingga tujuh tahun di Shah Alam.

Perbelanjaan berleluasa Yayasan Selangor menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengumumkan tindakan untuk tidak menghadiri majlis ulangtahun yayasan menerusi mantan Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Ramli Mahmud dan setiausaha sulit baginda, Dato’ Munir Bani.

Mohd Saifulruddin telahpun dipecat daripada jawatannya pada 18 Mac tahun ini selepas Yayasan Selangor mengalami kerugian RM7.41 juta ringgit. -FMT

Ulasan GB

Tahniah PRPR (Pasukan Risikan Pakatan Rakyat). Kewujudan anda dinanti-nantikan untuk menjawab segala tohmahan GAPS.





Kemelut INTERLOK Meruncing, Bukti Muhyiddin Gagal

Interlok semakin kusut, NGO Melayu campur tangan

Kemelut penggunaan novel Interlok di sekolah semakin kusut apabila beberapa NGO Melayu bangkit membidas sekumpulan NGO Cina dan India yang mendesak kerajaan menggugurkan buku tersebut sebagai teks sastera.

Ini membuktikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga adalah menteri pelajaran bahawa isu Interlok telah selesai jauh daripada meleset.

NGO berkenaan - Majlis Penasihat Ayahanda Wilayah Persekutuan (MANTAP) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dalam satu kenyataan akhbar, mengingatkan semua pihak supaya menghentikan menjadikan Interlok sebagai mauduk perjuangan mereka.

Ini, kata mereka terutama menjelangnya musim pilihan raya supaya "luka orang Melayu tidak menjadi parah".

“Walaupun di peringkat kerajaan telah menyatakan ketegasan dan pendirian berkaitan novel ini, tetapi sikap mereka yang mempunyai kepentingan politik masih lagi mempermainkan isu yang sensitif ini dan cuba menangguk di air keruh, amat tidak kami senangi.

“Malahan sikap sebahagian daripada ahli parti komponen BN yang bersekongkol dalam mensensasikan isu ini juga amat biadap dan terpesong dari semangat keharmonian yang dilaungkan oleh kerajaan,” petik kenyataan itu.

Sehubungan itu, NGO Melayu berkenaan mendesak kerajaan agar bertegas dan tidak memperdulikan tuntutan tersebut.

“Ingat! Pihak kami tidak sekali-kali akan membiarkan cacing naik ke mata dan keharmonian yang terbina sekian lama terkubur disebabkan kerakusan oportunis sebegini.

“Tekad kami, maruah bangsa perlu dipertahankan. Walau bergolok bergadai akan tetap kami harungi. Maruah pribumi wajib didaulatkan dan keharmonian negara mesti dikekalkan,” kata kedua-dua NGO itu lagi.

Semalam, Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Cheng Su Chean mendakwa novel itu hampir sama dengan program Biro Tata Negara yang didakwa sebagai "pembasuhan minda" dan mempromosi perkauman dan perpecahan.

"Interlok sepenuhnya menyeru kepada fahaman ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat (untuk bacaan pelajar) tetapi juga beracun," katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KLSCAH Tang Ah Chai, Presiden Yayasan Tamil K Uthayasoorian, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam dan Presiden Persatuan Pelajar India Malaysia Kishur Goonasaran yang juga anggota Pasukan Bertindak Interlok Nasional (NIAT).

"Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India)," kata Cheng lagi. -mk

Huh Rahim Beri Amaran Kepada Blogger?

Rahim beri amaran Anwar usah serang peribadi

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memberi amaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penulis blog supaya tidak melampaui batas dengan mengaitkan hal peribadinya dalam perbincangan mengenai isu pendedahan rakaman video seks didakwa membabitkan pemimpin pembangkang itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka yang juga seorang daripada trio 'Datuk T' itu berkata, ia kerana dakwaan membabitkan isu moral berkaitan dirinya yang dibuat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan termasuk penulis laman blog adalah tidak benar dan dipercayai bermotifkan serangan peribadi.

Katanya, beliau akan melihat dan memantau perkembangan laman blog berkenaan sekiranya ia mempunyai unsur serangan peribadi terhadap dirinya.

"Lagipun, saya tidak pernah didakwa oleh mahkamah dan tidak pernah juga melakukan kesalahan baik dari segi moral mahupun bukan moral.

"Sehubungan itu, saya beri amaran kepada beliau (Anwar) supaya jangan sesekali menyerang peribadi saya kerana perbuatan itu tidak sesuai dengan budaya Islam. Jadi, berhati-hati dan jangan melampaui batas dan jika ia berlaku juga, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal bersama warga Kolej Risda di Ayer Pa'abas dekat sini, semalam.

Pada 24 Mac lalu, Abdul Rahim, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim mengakui mereka adalah trio Datuk T yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.
Ketika ditanya sama ada beliau ada menerima ugutan daripada pihak tertentu berhubung isu rakaman video seks itu, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Risda berkata, tiada ugutan diterimanya setakat ini.

Ulasan GB

Bekas Ketua Menteri Melaka ini masih tidak sedar diri.

Dia masih menganggap dirinya "bersih" sekalipun satu dunia sudah tahu kes beliau merogol remaja bawah umur.

Benar, beliau tidak pernah didakwa oleh mahkamah, kerana peguam negara dan mahkamah yang ada menjaga kepentingan UMNO. Sehingga yang kena penjara ialah Lim Guan Eng pada tahun Ogos 1998 semata-mata kerana membela nasib gadis itu.

Tetapi mahkamah "kebenaran" akhirnya mencampak turun Rahim Tambi Chik dari jawatan Ketua Menteri Melaka dan menaikkan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Mutiara!


Mufti-mufti Tolak Video Seks Sebagai Bahan Bukti

Harussani: Saya tak membisu, pernah kecam video seks aib Anwar

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau hanya berdiam diri dan tidak bersuara berhubung pendedahan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Mufti Perak itu menegaskan, sejak rakaman video seks itu didedahkan awal minggu lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan pendedahan itu telah mengaibkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

“Siapa kata saya tidak bersuara? Siapa kata saya tidak ada cakap apa? Sejak hari pertama lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini dan bagi saya rakaman video seks itu telah mengaibkan Anwar kerana tidak saksi yang boleh buktikan.

“Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata Harussani, rakaman video seks itu boleh dianggap sebagai fitnah dan dosa besar kerana hukuman telah dijatuhkan terlebih dahulu terhadap Anwar tanpa bukti yang sahih.

“Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.

“Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar,” katanya.

Awal minggu ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama sebagai “syaitan bisu” kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Anwar itu.

Menurut Hadi, sikap pemimpin agama yang enggan memberikan sebarang respons terhadap pendedahan rakaman video seks oleh “Datuk T” awal minggu lalu amat dikesali.

Tiga Datuk T iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengakui bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut.

Ketiga-tiga individu tersebut terlebih dahulu menayangkan rakaman video seks itu kepad media di Carcosa Seri Negara dan Shazryl secara peribadi yakin lelaki pelacur dari China itu adalah Anwar.

Menurut Harussani, rakaman video seks itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti.

Ini kerana, jelas beliau, menurut perundangan Islam mana-mana jenayah yang membabitkan seks perlu mempunyai empat adil yang menyaksikan peristiwa itu berlaku termasuk perbuatan zina.


“Yang dilihat dalam rakaman video seks itu tidak boleh pakai, ia tidak boleh dijadikan bukti kerana ia boleh diubah atau dimanipulasikan.

“Kalau nak jatuhkan hukuman kita kena ada empat saksi yang benar-benar lihat dengan mata sendiri peristiwa itu berlaku bukan melalui gambar atau video.

“Kalau bawa ke mahkamah, video seks itu tetap tidak boleh dijadikan bukti kerana ia hanya rakaman dan menurut hukum syarak tetap kena ada empat saksi dan kalau tidak kita tidak boleh nak jatuhkan hukuman,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tetap berpendirian Anwar tidak boleh dituduh terlibat pelakuan seks tersebut kerana tiada saksi yang menyaksikan ia berlaku.

“Dalam soal jenayah seksual Islam menetapkan saksi empat mata dan rakaman tidak boleh dijadikan bukti, di sudut Islam kena ada empat saksi yang lihat peristiwa itu berlaku.


“Tetap kena ada empat saksi hidup yang tengok ia berlaku, kalau tiada atau tidak cukup sebagai contoh hanya tiga mereka kena hukum qazaf (tuduhan zina) kerana menuduh orang lain,” katanya.

Menurut beliau, rakaman video seks yang didakwa milik “Datuk T” tidak boleh dijadikan bahan bukti.

“Rakaman sama sekali tidak boleh dalam jenayah seksual dalam Islam, tetap perlu ada empat saksi dan orang yang jadi saksi juga perlu individu yang berkredibiliti dan tidak akan menukar pandangan mereka.

“Kita tidak boleh ikut rakaman sebab itu dalam Islam hukuman jenayah seksual ini berat dan syarat untuk jatuhkan hukuman juga berat,” katanya.

Tambah Juanda, individu yang membuat pendedahan rakaman video seks itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu.

“Yang pertama sebarkan benda lucah orang itu yang harus disiasat dulu, tiada undang-undang atau agama yang membenarkan ia dipertontonkan kepada khalayak.

“Sepatutnya bila dapat rakaman itu mereka kena serahkan kepada polis bukan dedahkan kepada umum,” katanya.


Beliau juga menggesa agar semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan tuduhan yang bersifat peribadi.

“Tuduhan seperti ini baik di pihak parti politik mana pun kena elakkan tuduh dalam jenayah seksual, tuduhan seperti ini patut dihentikan,” katanya.

Polis telah menahan Abdul Rahim dan Shazryl berhubung pendedahan video seks itu pada Khamis lalu — bahan bukti termasuk rakaman video turut diserahkan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Umno tidak terlibat dalam rakaman video seks itu.

Anwar juga telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan telah membuat laporan polis. -TMI

Ulasan GB

Setakat ini dan selama ini, hanya dua orang mufti ini sahajakah yang ada di dalam negara kita?

Mufti-mufti negeri lain? Takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut dibuang dari jawatan daripada takut kepada Tuhan?

Adun DAP Gesa Sedia Peruntukan Besar Untuk SAR

Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa.

Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan.

Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

"Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

"Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif.

"Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009.

Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan. -HD


UMNO MEMOTONG BANTUAN SAR SEJAK 2003 &
MENUTUP SEKOLAH AGAMA RAKYAT


Inilah satu lagi petanda betapa buruknya akhlak pemimpin UMNO sehingga sanggup memotong bantuan sekolah agama Rakyat di seluruh negara. UMNO tak mahu melihat sekolah yang diurus oleh lebih maju daripada sekolah di arus perdana. UMNO dalam konteks perjuangan Islamnya bahawa Islam pada UMNO hanyalah solat, puasa, zakat dan haji. Memperjuangkan menegakkan SAR ini bukan dalam lingkungan perjuangan Islam.


Pelbagai tohmahan Presiden UMNO Dr Mahathir Mohamed (NST 13/1/03) menyatakan
"Those educated in SAR will grow up hating everything including the government. They cannot work and are not qualifieid to do anything else"

Begitu juga dengan PM sekarang (Presiden UMNO ketika ini) yang pernah pada ketika menjadi Menteri Pertahanan membuat kenyataan di akhbar Berita Harian bertarikh 16/1/2003. Kenyataan itu berbunyi " Sekiranya ia dibiar ia boleh menjadi bom jangka yang akan meletup tidak lama lagi.menjejaskan cara hidup yang kita hargai..... Kemungkinan sekolah agama ini dijadikan pusat merekrut pengganas"

Ini adalah antara tohmahan para Presiden UMNO terhadap SAR. Mereka menyatakan bahawa SAR adalah pusat merekrut pengganas. Ini adalah tohmahan yang berat terhadap agama dan bangsa. Tetapi UMNO tanpa mengira selagi apa sahaja yang menggugat ketuanan Melayu maka UMNO akan berbuat apa sahaja untuk menghapusnya. UMNO tidak pernah membetulkan perjuangannya. Bantuan untuk SAR terus dipotong hingga hari ini.

Sedangkan peruntukan jelas dalam akta Parlimen bahawa Menteri Pendidikan mempunyai hak untuk meneruskan bantuan kepada SAR. Tetapi pemimpin UMNO tidak mengendahkannya.


Mayat Pesara Polis Tepi Sampah

Port Dickson: “Saya terkejut apabila nampak tubuh seorang lelaki di tempat pembuangan sampah,” kata seorang warga emas yang menemui mayat pesara polis di tempat pembuangan sampah di Kampung Teduk, Pasir Panjang, dekat sini, kelmarin. Gambar Fail

Zainuddin Abd Hamid, 63, berkata, sebaik menghampiri mayat berkenaan, dia mendapati mayat lelaki berkenaan Murad Yusof, 83, yang tinggal sekampung dengannya.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang bagi memaklumkan kejadian itu dan polis tiba di lokasi tidak lama selepas itu.

“Apa yang mengejutkan, saya baru saja menemuinya di pekan pagi tadi (kelmarin) dan tak sangka pada sebelah petang menemui mayatnya pula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam kira-kira jam 6.45 petang itu, mayat Murad yang dipercayai mati dalam tempoh 12 jam ditemui berada dalam gaung di tempat pembuangan sampah di kawasan itu.

Menurutnya, dia terkejut dengan penemuan mayat berkenaan kerana itulah pengalaman pertama sepanjang hidupnya. “Nasib baik saya tergerak hati untuk membuang sampah di situ kalau tidak mungkin sampai sekarang mayat mangsa tidak ditemui.

“Saya mendapat tahu arwah ada menghidap penyakit angin pasang selain demam panas sejak beberapa hari lalu dan kemungkinan mangsa tergelincir ketika hendak membuang sampah,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa yang berlainan bapa, Napsiah Saat, 72, berkata, Murad ada datang ke rumahnya tidak jauh dari situ dan memberitahu tidak berselera makan kerana tekaknya sakit.

Menurutnya, ketika kejadian isteri arwah, Fatimah Mahmud, 79, tiada di rumah kerana menemani anak bongsunya yang menjalani pembedahan kanser tulang di Kuala Lumpur.

“Arwah abang yang bersara daripada pasukan polis beberapa tahun lalu mempunyai lima anak dan menetap di kampung ini sejak 50 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis, lelaki itu dipercayai mati 12 jam lalu sebelum mayatnya ditemui orang awam yang kebetulan membuang sampah di situ.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan menolak kemungkinan kematian lelaki itu membabitkan unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya. -hm

Banjir Di Perlis Semakin Buruk, 2,536 Dipindahkan

Kangar: Banjir di Perlis semakin buruk semalam apabila 2,356 mangsa daripada 593 keluarga dari seluruh negeri itu dipindahkan ke 25 pusat pemindahan.

Jumlah itu meningkat dalam tempoh 24 jam dan dikhuatiri bertambah jika hujan di kawasan utara Semenanjung berterusan. Sebahagian besar mangsa dipindahkan adalah dari daerah ini.

Seramai 1,852 mangsa daripada 452 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan di sekitar Kangar, manakala 490 mangsa daripada 130 keluarga lagi di Padang Besar dan bakinya di Arau membabitkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) turut mengesahkan 26 sekolah di seluruh negeri, 14 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah, ditangguhkan operasi termasuk enam daripadanya dilapor dilanda banjir teruk apabila paras air naik sedalam lebih satu meter.

Enam sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Sekolah Menengah (SM) Syed Hassan, SK Bukit Keteri, SK Bintong, SK Abi dan SMK Datuk Sheikh Ahmad.

Sementara itu, tinjauan di Empangan Timah Tasoh, semalam mendapati semua enam pintu air masih dibuka untuk mengalirkan air keluar ke sungai utama selepas paras takungan kini dilapor mencecah 29.9 meter, menghampiri paras bahaya 30 meter.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid, berkata pihaknya percaya banjir yang melanda Perlis kali ini hanya banjir kilat dan bukan seperti yang berlaku pada November lalu.

Ada Apa Pada Poco-poco?

Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, yang telah diputuskan Januari lalu.

Tarian poco-poco, yang diadunkan dalam senaman, turut menjadi daya tarikan komuniti pusat pengajian tinggi tempatan.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan menghormati keputusan itu memandangkan satu fatwa berkaitan dengannya telah dikeluarkan.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Maklumat diperoleh dari beberapa blog menunjukkan tarian poco-poco yang menjadi tarikan banyak pihak turut dikenali sebagai pocor-pocor atau pocoh-pocoh disebabkan muzik dan sebagai aktiviti ringan.

Bagaimanapun beberapa tulisan lain pula mendakwa tarian yang datangnya dari Indonesia membawa unsur-unsur mengasyikkan dan ada unsur salib ekoran langkah pergerakan ke kanan-kiri-depan-belakang.

Pertengahan tahun lalu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengadakan Pertandingan Senam Seni 1Malaysia termasuk aktiviti senaman yang dipopularkan dari negara luar seperti poco-poco.


Rahsia Asal Usul Tarian Poco-poco.


Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. Saya ingin berkongsi dgn rakan-rakan semua tantang tarian poco-poco yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat, umumnya masyarakat kita yg beragama islam terutama suri-suri rumah dan badan-badan kerajaan ketika manghadiri kursus.

Sebenarnya tarian poco-poco ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yang membentuk salib.

Mungkin kita tak perasan kerana kita suka mengikut-ikut sesuatu yg baru tanpa usul periksa. Inilah cara musuh-musuh islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama Hindu. cuma tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. Marilah kita sama2 fikirkan.

Bukankah Nabi SAW dah pesan melalui sabdaan nya ;

“Man tasyabbaha bi qaumin fahua minhum”.

Bermaksud : Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka) (iaitu kaum berkenaan)."

Hadis ini juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jatidiri mereka sebagai muslim. Mereka dilarang dari menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah seseorang muslim itu terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Saya dulu pernah terfikir, kenapa tarian itu dimulakan dari kiri? Dan apa jenis senaman ini? Relevankah tarian ini, yang kelihatan seperti tidak siuman?

Saya menyeru kepada diri anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak lagi ‘menarikan’ lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar. Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.

Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini,asal usul dan kesannya kepada akidah umat Islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini, agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan ‘keasyikkan’ menarikan tarian ini. -pakarhowto


Ulasan GB

GB tak pasti samada ia ada unsur keagamaan atau tidak, tapi apabila membuat carian di youtube, maka dapat dilihat tarian poco-poco ini. Rupanya sudah lama ada di negara kita, tak tau pun, dan GB akui memang GB ketinggalan bas dalam bab-bab sebegini.

Melihat tarian ini di youtube, ia lebih teruk rupanya daripada tarian-tarian Melayu asli. Ia lebih bertujuan berseronokan daripada senaman. Tang gedik jer mereka yang melakukan tarian tersebut. Tak percaya tengok sendiri kat bawah. Adakah anda akan benarkan isteri dan anak anda menari sedemikian dengan mempamerkan tubuh badan dengan budah dada dan pinggul bergoyang di khalayak ramai? Entahlah, mungkin GB boleh terima jika menari suami isteri di rumah untuk mengeratkan kasih sayang diantara mereka. Tetapi apabila ia dilakukan di khalayak ramai, rendahlah martabat ilmu dan akal.

Meskipun ada hadith yang mengizinkan "hiburan" namun yang pasti ia tidak boleh melanggar pagar-pagar syariat.

Ia mengingatkan GB mengenai masyarakat zaman jahiliah. Dan adat budaya Melayu yang banyak bertentangan akidah masih banyak diamalkan. Mencium keris, membuang ancak, lancang kuning, menepung tawar dan sebagainya.

Sampai bilakah umat Islam ini akan bebas dari penjajahan kejahilan dan kebebalan?






Nenek 7 Cucu Dihukum Gantung Sampai Mati

Kuala Terengganu: Seorang wanita yang mempunyai tujuh cucu hanya mampu menangis apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit, dekat sini, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang@Mamat berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mariah diwakili peguam bela Tara Singh Delip dilihat memandang ke arah ahli keluarga yang berada di galeri awam ketika hukuman dibacakan.

Mohd Yazid pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan tertuduh ketika membuat pembelaan diri bahawa dia hanya membawa barangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai dadah atas permintaan seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain yang menunggu di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isi kandungannya adalah tidak benar.

Beliau berkata, tertuduh didapati tidak bercakap benar kerana kelihatan takut dan pucat ketika ditahan polis di lokasi kejadian menunjukkan dia tahu mengenai isi kandungan barangan di dalam plastik dibawanya itu.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya turut memaklumkan dia bersama suami mahu ke Kuala Berang bagi menziarah saudara suami yang tidak dikenali dan berhenti di masjid itu untuk memberikan barang dikirim Ida.

“Malah, adalah tidak munasabah tertuduh sanggup menggunakan jalan pantai dari Rantau Panjang untuk ke Kuala Berang dan singgah di masjid itu semata-mata mahu menyampaikan barang yang dikirim Ida,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mariah yang juga peniaga kedai makan didakwa mengedar heroin kira-kira jam 3.45 petang pada 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. -hm

Video Seks: Siasat Juga Siapa Yang Seiras Tapi Tak Serupa Itu!

Siapa? Itu persoalan paling hangat ketika ini sesudah ketua pembangkang itu mengemukakan catatan Twitter dan Facebook untuk menolak tuduhan beliau orang dalam rakaman video seks berkenaan sekaligus menganggapnya satu lagi fitnah.

Kalau diikut ungkapan Inggeris, soalan cepumas itu bernilai tujuh juta dolar, bermakna ia sukar dijawab. Namun apa yang pasti adalah dunia ini sentiasa penuh dengan mereka yang mempunyai wajah seiras.

Keajaiban solekan inilah yang membolehkan Ben Kingsley mengaut 11 anugerah Oscar kerana lakonannya sebagai Mathma Ghandi - bapa kemerdekaan India.

Dan jangan lupa Ilham Anans, seorang miskin bertukar menjadi bintang terkemuka di Indonesia, semata- mata kerana wajahnya mirip Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Berbalik kepada politik Malaysia… bekas Presiden Majlis Belia Malaysia Datuk Suhaimi Ibrahim, tidak pernah leka dari tatapan ramai kerana wajahnya seiras dengan Anwar.

Malah tidak keterlaluan mengatakan ketika bintang Anwar “bersinar” dalam Umno, Suhaimi turut mendapat tempat di bawah naungan parti itu.

Kenapa hitam putih?

Apabila jatuh Anwar (dalam Umno), maka pudarlah dunia politik Suhaimi.

Semua ini menjurus kepada peringatan bahawa siasatan polis terhadap video lucah yang ditayangkan oleh 'Datuk T' harus memperinci kemungkinan pelakunya adalah seorang yang mirip wajah Anwar.

Tidak kira sama ada polis akan bergantung kepada keterangan Yusry KRU atau mendapatkan maklum balas pakar lain – yang penting ialah mengesahkan siapa pelaku dalam video itu.

Kali ini tidak cukup untuk polis mengesahkan video lucah 'Datuk T' adalah “ori” tanpa pengesahan siapa pelaku seks didalamnya.

Dunia akan dan sentiasa, penuh dengan mereka yang mempunyai wajah seiras, tidak kira sama ada orang itu adalah Musa Hassan atau Ben Kingsley dan Mathma Gandhi.

Naluri polis tentunya terangsang untuk mengetahui kenapa rakaman video itu dalam hitam putih dan bukan warna, seperti lazimnya untuk rakaman CCTV hari ini.

Polis juga rasanya mahu mengetahui kenapa Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazyl Eskay dan Datuk Shuib Lazim menyembunyikan identiti mereka apabila mengatur majlis pra-tonton video ini pada minggu lalu di Hotel Carcosa Seri Negara.

Mereka hanya mengakui mendalangi video itu selepas PKR membongkar identiti mereka, itu pun selepas mereka dilaporkan berjumpa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Hanya ambil jam?

Jika Eskay dihantar kembali ke hotel itu pada 21 Februari, kononnya hanya untuk mengambil semula jam tangan Anwar yang tertinggal, bagaimana beliau boleh muncul dalam rakaman berkenaan?

Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan Eskay sendiri mempunyai iras wajah Anwar dari sudut tertentu.

Apa yang pasti ialah rakyat tidak percaya Eskay “terserempak” dengan rakaman video lucah dan tiba-tiba bertindak mahu mendedahkan siapa Anwar demi “agama, bangsa dan negara.” Ini kerana beliau sendiri pernah mendakwa kerap membawa Anwar ke tempat- tempat maksiat seumpama ini.

Percanggahan pegangan moral Eksay pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Bekas pengawal peribadi Allahyarham ,Tan Sri Megat Junid Megad Ayob, Mohamad Mahti mengesahkan Eskay berdendam dengan Awar kerana urusan perniagaan yang melibatkan sebuah kes saman.

Dendam Eskay tidak banyak berbeza dari dendam Rahim terhadap Anwar.

Apapun terlalu banyak persoalan yang masih belum ditangani, contohnya mana pergi pelaku wanita dalam video itu dan kenapa mereka yang menonton video itu - ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan bekas MPP PKR BadrulHisham Shahrin tidak disoal polis. Begitu juga dengan Mahti.

Publisiti murahan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering menunjukkan ketangkasan luar biasa dalam menyiasat kes- kes membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat walaupun alasan mereka mencurigakan.

Namun siasatan terhadap Anwar kali ini berjalan pada kadar lambat, membolehkan Umno memerah sebanyak mungkin publisiti murahan menerusi media kawalannya.

Ini tentunya untuk menghakis maruah Anwar dan keluarganya menerusi fitnah.

Jika siasatan terus berjalan pada kadar sambil lewa ini, rakyat tidak boleh dipersalahkan jika beranggapan Umno dan polis bersekongkol sekali lagi dengan Anwar Ibrahim sebagai sasaran utama. -mk