15 Mac 2011

Apabila Bini Najib Perasan Dirinya Lebih Pandai Dari Pakar-pakar Jepun

Tsunami Jepun: Komen Rosmah dikritik hebat

Rosmah seolah-olah tiada perasaan belas kasihan dan naluri sensitiviti terhadap kesusahan rakyat Jepun - Zuraida

PETALING JAYA: Komen Rosmah Mansor bahawa berlakunya tsunami kerana kerajaan Jepun tidak menitik-beratkan faktor alam sekitar dan perubahan iklim dalam pembangunannya dikritik hebat dan menjadi tajuk utama berita antarabangsa, di laman sosial Facebook dan Twitter.

“Dakwaan isteri Perdana Menteri itu bahawa kejadian tsunami di Jepun sebagai pengajaran kepada kerajaan Jepun amat dikesali,” kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kenyataan yang dilaporkan kepada Awani, menjadi tajuk utama berita antarabangsa CNN dan kini menjadi pendebatan hangat di laman sosial Facebook dan twitter.

“Ini menunjukkan bahawa Rosmah seolah-olah tiada perasaan belas kasihan dan naluri sensitiviti terhadap kesusahan rakyat dan kerajaan Jepun yang kini sedang dalam keadaan getir menghadapi bencana yang melanda,” katanya.

Katanya lagi, “ini amat memalukan dan bertentangan dengan pengakuan beliau dan kerajaan Malaysia kononnya sebagai “First Lady” beliau banyak membantu dalam hubungan diplomatik dengan negara-negara lain.

“Akibat komennya yang dangkal, seluruh Malaysia diketawakan dan dicemuh dunia. Ini lebih teruk kerana ia berlaku selepas kontroversi kartun yang menghina sensitiviti rakyat Jepun dan seluruh dunia,” ujar beliau.

Kejadian tsunami kuasa Allah

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, “kami ingin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa peristiwa yang berlaku di Jepun adalah kuasa Allah yang telah menjadi ketentuanNya.

“Malah, rakyat Jepun patut dipuji kerana tenang dan menerima ujian ini dengan sabar. Semasa Malaysia dilanda tsunami dalam tahun 2004, Jepunlah antara negara pertama yang menghulurkan bantuan.

“Oleh itu, Rosmah patut minta maaf kepada rakyat dan kerajaan Jepun kerana sikap tidak sensitivitinya ini dan juga kepada rakyat Malaysia kerana memalukan nama Malaysia,” tambahnya. -FMT

Malaysia Enggan Belajar Dari Kesengsaraan Jepun, Mahu Teruskan Juga Projek Nuklear

TPM: Malaysia akan teruskan cita-cita nuklear

Di sebalik kebocoran radioaktif di Jepun berikutan gempa bumi kuat yang mengegarkan negara itu, Malaysia tetap dengan cita-citanya membina loji tenaga nuklear, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya agensi tempatan akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan di dua loji tenaga yang dijadual dibina di negara ini.

"Semua negara di dunia memantau dan meneliti perkembangan di Jepun. Yang penting ialah soal keselamatan negara dan rakyat. Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik," katanya.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutupan Program Keluarga 1Malaysia, anjuran Kementerian Pelajaran, di Putrajaya hari ini.

Berikutan magnitud 8.9 pada skala Richter yang menggoncang Jepun, tiga daripada reaktor nuklearnya di Fukushima, yang hanya kira-kira 250 km dari Tokyo menghadapi kemungkinan musnah.

Puluhan ribu masyarakat yang tinggal berhampiran pusat itu juga terpaksa dipindahkan kerana kebimbangan kebocoran radiasi.

Sebelum ini, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin pada Disember lalu mengumumkan Malyasia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawatts setiap satu. Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian.

'Tidak pasti'

Chin juga dilaporkan berkata semalam bahawa Agensi Nuklear Malaysia akan memberi penjelasan dalam tempoh terdekat mengenai impak letupan dan kebocoran radiasi di loji di Jepun itu.

Ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti.

“Kami faham penduduk bimbang tetapi beberapa syarat mesti dipatuhi seperti soal keselamatan dan alam sekitar.

“Jadi agensi-agensi yang relevan mesti kaji sebelum satu keputusan dibuat. Sama ada ia sudah dibuat keputusan atau tidak, saya tidak pasti,”
katanya.

Minggu lalu, akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) melaporkan pekan industri Gebeng berhampiran Kuantan bakal menyaksikan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia.

Pusat penapiasan bernilai RM700 juta itu sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp. Mereka akan menghantar tanah jarang yang dilombong di barat negara itu di Mount Weld dengan kapal.

Ini adalah percubaan kedua Malaysia dalam penapisan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak pada sekitar 1980an.

'Jangan percaya SMS'

Muhyiddin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan radiasi akibat kebocoran loji janakuasa nuklear Fakushima Daiichi di Jepun.

Menyifatkan penyebaran sms itu sebagai tidak bertanggungjawab, Muhyiddin berkata Malaysia selamat daripada sebarang ancaman dengan agensi terbabit sentiasa memantau perkembangan di Jepun dan di negara ini.

Justeru beliau meminta orang ramai supaya tidak terpedaya atau panik sebelum meneliti kesahihan maklumat tersebut.

"SMS itu dikeluarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jangan kita mudah menerima apa sahaja yang dilaporkan itu dengan tidak menyemak.

"Jangan kita timbulkan kebimbangan yang agak luar biasa, walaupun berlaku di Jepun tetapi sehingga orang ramai rasa takut untuk mengurus atau buat kerja seperti biasa," katanya.


Radiasi loji Jepun terlepas ke atmosfera: IAEA

VIENNA: Jepun sudah memberitahu badan pemantauan nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa bahan radioaktif terlepas "secara terus" ke atmosfera daripada tapak reaktor nuklear yang terjejas akibat gempa bumi dan ia sudah memandam kebakaran di kolam penyimpanan sisa bahan api di situ.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), merujuk maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Jepun pada 0350 GMT, menyatakan kadar dos sehingga 400 milisievert sejam dilaporkan di loji tenaga nuklear Fukushima.

Ia tidak menyatakan butiran atau perbandingan tahap radiasi tetapi menurut Persatuan Nuklear Sedunia, pendedahan terhadap dos melebihi 100 milisievert setahun adalah tahap yang boleh menyebabkan barah.

“Pihak berkuasa Jepun menyatakan terdapat kemungkinan bahawa kebakaran itu disebabkan letupan hidrogen," menurut IAEA dalam satu kenyataan hari ini. - Reuters


Ulasan GB

Inilah akibat Malaysia mempunyai seorang TPM yang bermentaliti rendah. Mungkin beliau ingat melihat anak-anak Malaysia satu hari nanti semuanya cacat-cacat belaka akibat dari kesan radioaktif.

Muhyiddin berkata:

Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik

Sedangkan di Jepun sendiri, yang tenaga kepakaran mereka bertaraf dunia tidak mampu untuk menyekat bahan radioaktif terlepas "secara terus" ke atmosfera daripada tapak reaktor nuklear dengan kadar dos sehingga 400 milisievert sejam seperti dilaporkan di loji tenaga nuklear Fukushima.

Menurut Persatuan Nuklear Sedunia, pendedahan terhadap dos melebihi 100 milisievert setahun adalah tahap yang boleh menyebabkan barah, inikan pula 400 milisievert!

Kedua, ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti.

Seorang TPM, tidak pasti terhadap perkembangan yang berlaku ke atas satu projek yang begitu merbahaya kepada negara, tetapi masih terus mahu membelanya!

Justeru itu wajar rakyat menentang projek ini habis-habisan kerana jelas ia bukan satu projek yang lebih banyak membawa mudharat daripada menafaat kepada Malaysia.

Untuk makluman, KPI Muhyiddin, hanya seinci lebih sedikit dari Pak Lah.

WASPADA: 5 Sekeluarga Keracunan Akibat Makan Cendawan Tahun

Alor Setar - Akibat memakan cendawan tahun yang tumbuh di tepi sebuah terusan, lima sekeluarga di Kota Sarang Semut dekat sini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini petang semalam selepas mengalami sakit perut dan muntah yang teruk.

Gambar: Mahdzir Baharom, 53, ditemuramah oleh para wartawan di wad Hospital Sultanah Bahiyah selepas dimasukkan di hospital itu petang semalam akibat keracuran selepas memakan cendawan tahun semalam.

Mahdzir Baharom dan isterinya serta tiga anak mereka dipercayai mengalami keracunan makanan selepas memakan cendawan itu tengah hari semalam.

Cendawan tahun ialah sejenis cendawan yang tumbuh beberapa hari selepas berlakunya petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan dan dipercayai tumbuh setahun sekali sahaja dan selalunya tumbuh di kawasan ladang kelapa sawit, getah atau kawasan berbusut.

Mahdzir, 53, yang merupakan pesara tentera ketika ditemui di HSB hari ini berkata dia menjumpai cendawan itu yang tumbuh di tepi Terusan Wan Mat Saman.

“Semasa saya pulang dari pekan Kota Sarang Semut, saya terlihat cendawan itu tumbuh subur di tepi terusan itu dan mengambilnya...hanya lauk itu sahaja makanan kami sekeluarga untuk tengah hari semalam,” katanya.

Katanya dia berasa pening ketika menunggang motosikal untuk berniaga ais kacang dari rumah ke rumah dan kemudiannya muntah-muntah dan mengambil keputusan pulang ke rumahnya di Taman Impian dan ketika sampai di rumah dia lihat isteri dan tiga anaknya juga mengalami keadaan yang sama.

“Memandangkan keadaan semakin teruk, saya menghubungi abang untuk meminta bantuan, dia (abang) menghubungi polis dan ambulans dan membawa kami ke hospital,” katanya.

Isterinya, Faridah Yusof, 50, telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi manakala tiga anaknya Siti Nur hidayah, 22, Siti Nor Bazuri, 17, dan Syafikah, 13, masih di rawat di hospital yang sama.

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata mereka disahkan mengalami keracunan makanan dan keadaan mereka kini stabil dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika makan cendawan yang tumbuh liar di sesuatu kawasan. — Bernama

Penularan Radioaktif Ke Malaysia, Rakyat Tuntut Kerajaan Beri Penjelasan

Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung kesan letupan ketiga di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.

Menurut Nurul Izzah, penjelasan mengenainya perlu kerana rata-rata rakyat di negara itu turut merasa bimbang akan kesan radiasi yang dihebah-hebahkan.

"Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario 'full meltdown'?

"Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tahap radiasi loji nuklear di utara ibu negara Jepun, Tokyo dikatakan meningkat 400 kali ganda hari ini di selepas negara itu digegarkan gempa bumi dan dibadai tsunami, Jumaat lalu.

Angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiichi dikatakan akan memberi kesan ke atas Kyoto termasuk Tokyo.

Perdana Menteri Jepun juga menasihatkan rakyat yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear supaya berada di dalam rumah kerana radiasi dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan.

Menurut Nurul Izzah, perkembangan di Jepun itu terus menggusarkan rakyat di negara ini dan mempersoalkan tindakan kerajaan sama ada mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari pencemaran nuklear jika berlaku.

"Apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia? Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi?

"Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," katanya. -mk


Bencana di Jepun: YPM mahu hitam putih dari Wisma Putra

Yayasan Pelajaran MARA (YPM) hari ini menggesa Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan segera berhubung tahap keselamatan warga Malaysia untuk terus berada di Jepun.

Pengarah projek untuk Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi yayasan itu, Mohamad Muda berkata, keputusan perlu dibuat segera memandangkan YPM akan menghantar seramai 84 orang pelajar lagi ke negara itu menjelang akhir bulan ini.

"Saya minta Wisma Putra buat keputusan segera, sebab kita mahu hantar pelajar lagi pada 19 dan 20 Mac.

"Kita juga dalam keadaan dilema sekarang... Kalau ada hitam putih kata kita tidak boleh pergi, barulah kita tunda (penghantaran pelajar).

"Setakat ini kita cuma tunggu keputusan Wisma Putra dan MKN kalau tidak ada kita akan hantar pelajar macam biasa," kata Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Peningkatan kadar radiasi kini dikesan di ibu negara Jepun setelah gempa bumi yang melanda negara itu sejak empat hari lalu menyebabkan siri letupan di loji janakuasa nuklearnya.

Radiasi yang dikesan itu menyebabkan sebahagian penduduk kota Tokyo meninggalkan bandar berkenaan manakala sebahagian lagi mengumpulkan bahan makanan dan keperluan.

Kerajaan Jepun kini bertindak mencatu bahan api dan bekalan elektrik dan terdapat kedai yang dilaporkan telah kehabisan bahan keperluan tertentu termasuk lampu suluh dan lilin.

Beberapa kedutaan juga telah menasihatkan kakitangan dan warganegara masing-masing supaya meninggalkan kawasan yang terjejas.

"Buat masa ini pun kita ada seramai 208 orang pelajar lagi di sana. Jadi kita kena buat keputusan sama ada untuk hantar balik ataupun pelajar terus berada di sana," kata Mohamad lagi.

Katanya lagi, kesemua pelajar tajaan MARA yang berada di negara itu telah dipastikan berada dalam keadaan selamat.

"Cuma kebimbangannya sekarang ialah (ancaman) radiasi. Tapi pelajar kita tidak berada di kawasan (loji nuklear) di Fukushima," katanya.

Tambahnya, MARA juga terpaksa menanggung kerugian sekiranya pelajar tersebut dihantar tetapi terpaksa dibawa pulang semula.

"Kalau kita kena batalkan penghantaran pelajar pada 19 dan 20 haribulan ini, teruklah kita kena bayar penalti oleh MAS sebab batalkan tempahan," katanya lagi.
"Saya juga bimbang kalau (selepas dihantar), dua tiga empat hari akan dipanggil balik.

"Kalau ada hitam putih daripada Wisma Putra, mungkin kos itu boleh diserap oleh kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas satu laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa seorang pegawai YPM telahpun berada di Jepun untuk mengenalpasti keadaan.

"Itu tidak betul. Kita cuma bergantung kepada perunding kita yang berada di sana," katanya.

Malah, kerajaan Jepun juga hanya memberi kelepasan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bagi menghulur bantuan untuk mambantu usaha mencari dan menyelamat mangsa bencana di negara itu, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu laporan Bernama hari ini yang memetik kenyataan pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh, bahawa Mara telah menghantar satu pasukan ke negara berkenaan.

Laporan itu menyebut, pasukan itu dihantar bagi melihat dan memantau keadaan pelajar MARA di Jepun yang dilanda gempa bumi dan tsunami.-mk


Ulasan GB

GB lihat ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan daripada rakyat Malaysia. Ini berkait rapat mengenai rancangan kerajaan untuk menneruskan pembinaan loji tenaga nuklear sekalipun telah ditentang oleh wakil pembangkang.

Kenyataan Menteri Tenaga, Hijau dan Teknologi Datuk Seri Peter Chin semalam bahawa rancangan Malaysia untuk membina dua loji nuklear akan diteruskan meksipun Jepun berhadapan dengan masalah ekoran gempa bumi dan tsunami amat dikesalkan.



Karnival Kedah Cuba Disabotaj

Risalah perlekeh kerajaan PR

ALOR SETAR - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan tiga risalah mempersendakan kerajaan PR di sekitar bandar raya Alor Setar sempena sambutan tiga tahun Kedah Sejahtera, malam semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, penyebaran bahan bercetak berunsurkan provokasi itu dikesan diedarkan pada malam pidato kemasyarakatan yang menampilkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita tidak pasti siapa di sebalik penyebaran risalah ini namun saya percaya ia didalangi pihak yang berkepentingan politik dan berduit kerana ketiga-tiga risalah itu berkualiti dan dicetak dalam kuantiti yang banyak,” katanya selepas merasmikan Seminar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sempena sambutan tiga tahun Kedah Sejahtera.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dan ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik.

Menurutnya, antara isi kandungan risalah terbabit memaparkan wajah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama DAP, isu azan yang dicetuskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan sebuah buku komik yang bersifat perkauman.

“Pihak terbabit didapati menggunakan pelajar sekolah untuk mengedar risalah itu dan ini adalah perbuatan tidak bermoral. Malah ketika pidato berlangsung, pihak berkenaan meletakkan risalah pada setiap cermin kereta yang di parkir di kawasan stadium,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, pihaknya yakin perbuatan itu adalah bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran PR yang semakin mendapat sokongan rakyat sejak tiga tahun memerintah.

Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan terdapat lebih 40 kereta dipancitkan tayar sepanjang berlangsungnya pidato itu.

“Perbuatan ini amat tidak bertanggung jawab. Perkara ini diserahkan pada urusetia untuk tindakan lanjut walaupun kami percaya ia dilakukan pihak luar yang tidak senang dengan penganjuran karnival Kedah Sejahtera,” katanya.

ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa tidak menolak kemungkinan risalah berkenaan ada persamaan dengan risalah politik yang diedarkan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Ada sedikit persamaan risalah berkenaan dengan di Merlimau, konsepnya sama cuma wajah pemimpin PR yang bertukar. Cerita atau isu yang dibangkitkan pun tidak sama, tetapi tujuannya sama iaitu untuk mencalarkan imej pemimpin PR,” katanya.

Menurutnya, perbuatan pihak terbabit tidak profesional dan dianggap melampau kerana cuba mengaitkan isu politik dengan penganjuran karnival untuk rakyat.

Naib Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Saiful Izham Ramli berkata, usaha pihak tertentu yang membuat provokasi perkauman pada risalah terbabit adalah tidak wajar dan perlu dihentikan segera.

“Pemimpin PR tidak pernah kacau pemimpin parti lain dalam program anjuran mereka, namun kenapa ada pihak yang tidak senang dengan penganjuran pidato ini yang diadakan sempena sambutan tiga tahun Kedah ditadbir PR. Ini adalah program kemasyarakatan bukan program politik semata-mata,” katanya. -SH

Bekas OCPD Diarah Bayar RM200 Ribu Kepada Pemimpin PAS

Kuantan - Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan. -HD

GEMPAR: Penduduk Jepun Panik, Radioaktif Disahkan Paras "Sangat Tinggi"

Radioaktif: Rakyat Jepun, warga asing di Tokyo mula panik

TOKYO, 15 Mac — Tokyo diselubungi perasaan panik selepas kerajaan mengesahkan paras radioaktif di sekitar kawasan timur laut negara itu yang dilanda gempa bumi, menyebabkan sebahagian kecil penduduk mula meninggalkan ibu negara Jepun itu.

Laporan dari Jepun juga menyebut penduduk tempatan mula menambah simpanan stok keperluan rumah.

Beberapa kedutaan asing juga menasihatkan kakitangan dan rakyat negara masing-masing agar meninggalkan tempat-tempat yang terjejas dan syarikat-syarikat multinasional juga mengambil langkah sama ada menggesa kakitangannya menjauhi kawasan terbabit atau menimbang untuk memindakan mereka ke luar Tokyo.

Menggambarkan perasaan panik di kalangan warga kota Tokyo, tinjauan Reuters hari ini menunjukkan Don Quixote, kedai 24 jam di daerah Roppongi telah kehabisan radio, lilin, tin-tin minyak dan beg tidur.

Terdahulu Perdana Menteri Jepun mengesahkan kebocoran radiasi pada kadar yang tinggi di kawasan timur laut yang menempatkan loji-loji tenaga nuklear.

Pelancong-pelacong asing seperti Christy Niver dari Egan, Minnesota berkata mereka mengalami pengalaman menakutkan dan mahu meninggalkan Tokyo segera.

Anak perempuannya berusia 10 tahun, Lucy kelihatan lebih tegas untuk meninggalkan Tokyo.

“Saya takut. Saya sangat takut, saya lebih rela hadapi tornado,” katanya.

“Saya mahu tinggalkan (kawasan ini),” katanya lagi.

Pasukan Czech Symphony Orchestra juga meninggalkan Tokyo dengan bas menuju wilayah Ishikawa di sebelah barat Jepun selepas konsert mereka di sini dibatalkan.

“Sebahagian mahu kembali ke kampung halaman mereka selepas gempa bumi, tetapi sukar untuk mendapatkan tiket bagi seratus orang sekarang,” kata Hitomi Sakuma, pemain piano.

Bank utama Amerika Syarikat, Citigroup juga berkata pihaknya secara konsisten memaklumkan pekerjanya berhubung perkembangan semasa tetapi belum ada arahan supaya memindah keluar mereka dari Tokyo.

Beberapa wartawan antarabangsa yang membuat liputan di kawasan bandar raya Sendai, yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami yang meragut sekurang-kurangnya 10,000 orang, juga meningalkan kawasan tersebut.

Pejabat Michael Page International, syarikat perkhidmatan pengambilan pekerja Britain di sini, juga ditutup selama seminggu.

“Saya akan pergi ke Singapura esok dan akan bekerja dari pejabat kami di Singapura,” kata seorang pekerjanya.

Agensi berita Kyodo kadar radiasi setiap minit juga dikesan di Tokyo dengan paras radiasi di Saitama dekat ibu negara Jepun itu sekitar 40 kali lebih tinggi berbanding paras normal - tidak cukup untuk menyebabkan kemudahan ke atas orang ramai tetapi ia sudah cukup untuk mencetuskan rasa panik.

Sekitar 12 juta orang tinggal di kawasan metropolis itu.

Angin sedang menerbangkan secara perlahan-perlahan radiasi dari loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, yang terletak kira-kira 240 kilometer ke utara Tokyo.




PM Jepun sahkan radioaktif bocor, paras ‘sangat tinggi’

TOKYO, 15 Mac — Perdana Menteri Jepun Naoto Kan mengesahkan radiasi keluar daripada loji tenaga nuklear di timur laut negara itu selepas awal pagi tadi letupan kali ketiga dalam tempoh empat hari dan satu lagi kebakaran baru dilaporkan.

“Nampaknya kadarnya sangat tinggi, dan masih ada tahap risiko yang tinggi bagi lebih banyak radiasi keluar (dari loji),” kata Kan dalam kenyataan dikeluarkan menerusi televisyen sebentar tadi.

Kan memberitahu radiasi terbocor daripada tiga reaktor loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi, salah satu wilayah yang paling teruk dilanda gempa bumi pada skala 9 dan tsunami 10 meter.

Perdana Menteri itu berkata, mereka yang tinggal dalam kawasan lingkungan 30 kilometer diminta hanya berada di rumah masing-masing.

Operator reaktor telah meminta bantuan Amerika Syarikat manakala agensi berita Kyodo pula berkata kadar radiasi sembilan kali lebih tinggi daripada kedudukan yang dikesan di Kanagawa dekat Tokyo.

Kedudukan loji tenaga nuklear di Jepun.

“Kami mengambil segala usaha yang terdaya untuk mengelakkan kebocoran daripada merebak,” Kan.

“Saya tahu bahawa orang ramai bimbang tetapi saya minta anda bertindak dengan tenang,” katanya lagi.

“Berlaku kebakaran di reaktor No 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar telah meningkat dengan signifikan. Kemungkinan kebocoran radioaktif semakin meningkat,” kata Kan yang kelihatan suram.

Terdahulu Kedutaan Perancis mengeluaran amaran bahawa radiasi dari kawasan itu akan bergerak ke Tokyo dalam tempoh 10 jam.

Jarak antara Tokyo dan kawasan loji iti adalah kira-kira 240 kilometer.

Di sebalik kebimbangan mengenai impak bencana berganda ini, pasaran saham Jepun pula jatuh tujuh peratus, ke paras paling rendah dalam dua tahun, selepas merosot 7.6 peratus semalam.

Sebelum ini Kan memberitahu Jepun berhadapan dengan krisis paling buruk sejak Perang Dunia Kedua dengan kos kewangan bencana ini dianggarkan AS180 bilion, yang menurut penganalisis akan membawa negara ketiga terkaya itu kembali ke era kemelesetan. -TMI


14 Wanita Termasuk Mummy Siam Dicekup

Johor Bharu – Seramai 14 wanita berketurunan Siam yang terlibat dengan kegiatan pelacuran di sekitar bandar raya ini sejak tiga bulan lalu ditahan apabila polis menyerbu dua rumah di Bukit Chagar dan sebuah hotel, di sini, semalam.

Kesemua wanita berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 11 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Pegawai Turus D7 negeri, Deputi Superintendan Mohammad Abd Hamid berkata, siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran itu diketuai oleh beberapa wanita yang dipanggil sebagai ‘mummy’.

Menurutnya, mummy terbabit yang juga berketurunan Siam kebiasaannya akan berurusan dengan orang tengah yang mencari pelanggan bagi kegiatan pelacuran ini menerusi panggilan telefon.

“Mereka (mummy) tidak akan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dan hanya menjawab telefon daripada pelanggan tetap sahaja sebelum ia disebarkan kepada pelanggan-pelanggan lain.

“Pelacur terbabit akan dihantar oleh mummy ini ke tempat yang sudah ditetapkan oleh pelanggan menerusi hasil perbincangan dilakukan dan kebiasaannya di hotel-hotel terkemuka termasuklah rumah tumpangan sekitar bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.

Mohammad berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati setiap wanita yang dilanggan dikenakan bayaran sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam, manakala pelacur yang agak berusia menjalankan kegiatan terkutuk itu secara bersendirian.

“Bagi wanita yang baru tiba ke negara ini, pelanggan ditawarkan seorang wanita pada harga RM200 sejam dan ada juga menjangkau sehingga RM600 bagi tempoh enam jam.

“Siasatan dilakukan mendapati seorang daripada 14 wanita terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Selain itu, katanya, kesemua wanita termasuk mummy berusia 32 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan

Seramai dua anggota dan lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut. -SH

Pokok Tumbang - 2 Beradik Nyaris Maut

Subang Jaya – Dua beradik nyaris maut apabila kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki mereka remuk dihempap pokok yang tumbang ketika angin kencang dan hujan lebat melanda Jalan Persiaran Kewajipan menghala ke arah Summit USJ di sini semalam.

Kejadian pukul 5.35 petang itu berlaku ketika mereka sedang melalui jalan tersebut sebelum sebatang pokok yang berada di kiri jalan tumbang lalu menimpa bahagian tengah kereta mangsa.

Ketika kejadian, kereta itu dipandu seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan kakak kepada lelaki berusia 27 tahun tersebut.

“Dalam kejadian itu, dua beradik berkenaan bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan tetapi kereta mereka pula rosak teruk di bahagian tengah akibat dihempap pokok.

“Sepasukan anggota bomba dari sini mengambil masa selama setengah jam untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan menyelamatkan mangsa,” kata Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Subang Jaya, Deputi Supritendan Tengku Anuar Raja Husin.

Tambahnya, kejadian itu menyebabkan kesesakan hampir satu jam ekoran pihaknya terpaksa menutup jalan bagi mengawal lalu lintas. -kosmo

Penduduk Kg Baru Kecam Hebat Nong Chik: "Baru Jadi Menteri Dah Lupa Daratan!"

Jangan kacau tanah kami, kata pemilik tanah Kg Baru

Pemilik tanah Kampung Baru tetap dengan pendirian menentang keras cadangan Putrajaya yang mahu mengadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sambil menyifatkannya sebagai “rompakan secara senyap” untuk mengambil alih tanah penempatan eksklusif orang Melayu.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju dengannya.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Zauriah Mat Nenggal berkata dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan Raja Nong Chik untuk diadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang akan akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini.

“Makcik memang tak setuju langsung, rumah mak cik dah dibangunkan janganlah kacau . . . tak akan nak robohkan rumah mak cik, ada otak itu pakailah. Jangan kacau rumah yang bukan hak kamu.

“Kalau nak robohkan kerajaan kena ganti balik, saya tidak mahu duit tapi saya mahu kerajaan ganti rumah juga . . . saya di sini ada rumah 12 pintu dan saya sewakan kepada orang, jadi jangan kacau mata pencarian mak cik,” katanya yang berusia 77 kepada The Malaysian Insider.

Kata Zauriah, tindakan kerajaan yang mahu mewujudkan rang undang-undang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Raja Nong Chik hati Yahudi . . . Yahudi robohkan rumah Arab untuk bangunkan rumah tapi Raja Nong Chik nak ambil tanah Melayu untuk buat pembangunan.

“Raja Nong Chik tidak berperikemanusiaan langsung, ingat senang-senang nak robohkan rumah mak cik? Ingat orang Kampung Baru ini bodohkah? Ingat duit mak cik ini pasirkah? Kenapa nak kacau Kampung Baru? Ini kampung Melayu kenapa mesti nak kacau?”
katanya.

Justeru, dia menggesa agar kerajaan pusat membatalkan hasrat untuk mengadakan akta tersebut.

Raja Nong Chik ini dah belakangkan kiblat . . . tak jaga orang Melayu, baru jadi menteri dah lupa daratan.

“Kalau perkara ini Raja Nong Chik yang kena macam mana dia rasa? Mesti dia sakit hati
,” soalnya.

Bagi Jamaluddin Kamat, 54, cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang itu seolah-olah mempunyai agenda tersendiri selain akan menidakkan hak pemilik dan pewaris tanah kawasan itu sekiranya ia dilaksanakan.

“Saya setuju dengan pembangunan di kawasan Kampung Baru tetapi tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang kalau kita lihat tidak jelas apa tujuan penubuhannya.

“Bagi saya rang undang-undang ini tidak menjamin masa depan pemilik dan pewaris tanah. Kalau contoh kita bersetuju apa jaminan kerajaan kepada kami? Pembangunan yang macam mana kerajaan mahu lakukan? Selain itu, kalau ia dilaksanakan mereka (kerajaan) mempunyai kuasa penuh ke atas tanah-tanah di kawasan ini,” katanya.

Kata anak jadi Kampung Baru itu, rang undang-undang tidak diperlukan untuk membangunkan kawasan itu kerana sudah mempunyai Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru yang sudah menguruskan penempatan itu sejak 111 tahun lalu.

“Kami di sini tak perlukan rang undang-undang untuk membangunkan kawasan Kampung Baru ini, kami sudah ada MAS... selama ini MAS yang menguruskan semua perkara di sini.

“Pembangunan Kampung Baru ini boleh dilakukan tanpa rang undang-undang, kita boleh bangunkan melalui MAS dan kami percaya kepada MAS untuk menguruskan soal pembangunan tetapi dengan syarat kerajaan kena bantu, bukan dengan menubuhkan rang undang-undang yang kami sendiri pun tak tahu fungsinya,” katanya.

Ditanya bacaan kali kedua rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen Jun ini, Jamaluddin berkata, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu jelaskan kepada penduduk terlebih dahulu.

“Itu perlu dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah walaupun dapat tentangan, kena beritahu kerana kami nak tahu apa yang kerajaan ingin lakukan,” katanya.

Kamal Hussein, 78, pula mahu imej kampung Melayu dikekalkan di Kampung Baru walaupun pembangunan dilakukan di kawasan itu.

“Bangunan tinggi-tinggi tidak diperlukan di Kampung Baru, cuma perlu menaik taraf mana-mana yang patut sahaja... buat apa nak bangunan tinggi, bukan kita mampu nak beli.

Imej sebagai kampung Melayu perlu dikekalkan. Eloklah kalau kampung Melayu ini ada, lagipun Kampung Baru ini terkenal di seluruh dunia, kalau tiada imej kampung Melayu apa gunanya Kampung Baru di sini,” katanya.

Dia juga bersetuju rang undang-undang yang telah diperhalusi semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu dibentangkan kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen.

“Kami di sini nak tahu apa yang diubah . . . apa yang diperhalusi dan kami nak tahu apa rang undang-undang yang akan dibentangkan nanti.

“Saya sendiri pun nak tahu apa yang mahu dilakukan kerajaan,” katanya.

Raja Nong Chik sebelum ini berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Jun ini selepas semua tugas memperhalusi semula deraf rang undang-undang itu selesai sepenuhnya.

Beliau berkata rang undang-undang itu, yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini, terpaksa ditangguhkan kerana kementerian perlu memperhalusi semula draf rang undang-undang itu.

Sementara itu, pemilik tanah generasi keempat Kampung Baru Efendi Ishak, 34, berkata rang undang-undang yang mahu dilaksanakan itu masih belum jelas fungsinya dan menimbulkan persoalan di kalangan pemilik dan pewaris tanah.

“Rang undang-undang tidak jelas, kita tak tahu apa yang kerajaan nak buat seolah-olah berselindung di sebalik nama rang undang-undang.

“Pemilik dan pewaris masih tertanya-tanya, kami tidak faham dan masih samar-samar tentang cadangan rang undang-undang ini,” katanya.

Kata kakitangan swasta itu, sekiranya mahu membangunkan kawasan Kampung Baru kerajaan tidak perlu menubuhkan rang undang-undang, sebaliknya membantu pemilik dan pewaris dalam bentuk kewangan untuk membangunkan sendiri kawasan tersebut.

“Kami di sini tak bantah pembangunan tapi apa yang kami bantah adalah rang undang-undang ini. Kalau betul-betul nak bantu kami, tak perlukan rang undang-undang pun.

“Kami di sini boleh bangunkan sendiri kawasan Kampung Baru, tapi kerajaan perlu bantu dalam bentuk kewangan agar ia dapat dilakukan,” katanya.

Mohd Yusof Abu, 67 pula berkata banyak perkara yang tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah mengenai rang undang-undang termasuk peruntukan yang memberikan kuasa penuh kepada menteri dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah sekiranya perbadanan itu diwujudkan.

“Imuniti kepada perbadanan kami tak setuju . . . rang undang-undang ini juga kami tidak bersetuju, jadi bagaimana Raja Nong Chik boleh kata 90 peratus daripada kami bersetuju? Pembubaran MAS juga kami tidak setuju.

“Rang undang-undang ini tidak jelas dan ia cuba berselindung untuk menyembunyikan segala pembohongan yang mereka ingin lakukan,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider ke Kampung Baru juga mendapati ramai penduduk di kawasan itu meletakkan kain rentang sebagai membantah cadangan rang undang-undang itu.

Seorang lagi yang ditemui, Mohammd Raizal Ahmad Yusof, 38, berkata, rang undang-undang tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah yang diwasiatkan sejak turun-temurun itu.

“Apa hak kerajaan nak wujudkan rang undang-undang? Adakah tanah ini milik mereka? Ini adalah tanah wasiat dan ia perlu dijaga dan bukan untuk dibangunkan ikut rancangan kerajaan.

“Kalau nak bangunkan juga kerajaan pergi tanya setiap pemilik dan pewaris tanah, kalau mereka setuju bangunkan sahaja di tanah mereka buat apa nak libatkan semua tanah milik kami di sini,” katanya.

Dia juga meminta agar Raja Nong Chik kemukakan bukti bahawa 90 peratus pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bersetuju dengan cadangan untuk diwujudkan rang undang-undang itu.

“Ada dia tanya pendapat pemilik dan pewaris tanah sebelum nak buat? Adakah kerajaan nak rompak tanah kami?” katanya.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar. -TMI

[Video] Letupan Ketiga Reaktor Nuklear Pagi Ini

Tokyo: Satu lagi letupan besar kedengaran di reaktor nuklear berlaku di kawasan yang teruk dilanda nuklear awal hari ini, letupan ketiga sejak Sabtu lalu, kata operator loji.

"Ada letupan besar kedengaran di antara jam 6 pagi dan 6:15 pagi di reaktor nombor dua iaitu loji nuklear No 1 Fukushima," kata jurucakap Tokyo Electric Power Co.

Kerajaan juga melaporkan kerosakan di bahagian bekas yang melindungi reaktor yang sama di Fukushima iaitu 250 kilometer, timur laut Tokyo walaupun tidak pasti sama ada kejadian itu menyebabkan letupan.

Ketua Setiuasaha Kabinet, Yukio Edano pada sidang akhbar berkata, kolam penahan di reaktor nuklear nombor dua mengalami kerosakan. - AFP



Karpal Kepada Pendemo Dan Utusan: Bersiap Sedia Untuk Masuk Penjara

Peguambela Karpal Singh memberi amaran kepada pihak media arus perdana untuk tidak mengeksploitasi perbicaraan fitnah liwat 2, terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, mana-mana pihak yang berhasrat berbuat demikian untuk bersiap sedia dikenakan tindakan menghina mahkamah.

"Saya memberi amaran kepada sesiapa yang cuba mengeksploitasi perbicaraan ini terutama Utusan Malaysia, kalau mereka tidak berjaga-jaga, bersiap sedia untuk masuk ke penjara," kata Karpal ketika ditemubual di perkarangan mahkamah pagi tadi.

Selain Utusan, Karpal turut menegur New Straits Times kerana membocorkan maklumat hujah pemohonan pendakwaraya untuk mendapatkan DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum mahkamah bersidang.

Pendedahan itu disusuli bantahan pertubuhan badan bukan kerajaan pro Umno-BN dan penyokong Umno sendiri di beberapa negeri yang menuntut Anwar menyerahkan DNA untuk tujuan penganalisaan.

Bagaimanapun sambutan terhadap protes itu hambar dengan kira-kira 50 orang sahaja menghadirinya di Petaling Jaya.

Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden menafikan di mahkamah bahawa pejabat Peguam Negara bersekongkol dengan Utusan Malaysia dan media lain untuk membocor dokumen hujah beliau sehari sebelum dikemukakan di mahkamah.

Sehubungan dengan itu, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah memberi amaran supaya tiada mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan mahkamah selagi perbicaraan berlangsung.

Karpal menyifatkan perbuatan membocorkan hujah pendakwaraya bertujuan mempengaruhi hakim untuk mengarahkan Anwar seraya mengaburi mata rakyat tentang hujah pendakwaan yang rapuh.

Tambahnya, semua pihak perlu memandang serius kesalahan menghina mahkamah sekaligus melindungi integriti kehakiman negara.

"Perkara utama adalah apa yang berlaku semalam. Tidak pernah terjadi permohonan disiarkan di internet, ini pertama kali. Serta cara Utusan dan NST membawa perkara itu.

"Saya harap amaran daripada hakim diambil serius," ujar Karpal lagi.




Berita Harian Memfitnah ADUN Bukit Payung, Laporan Polis Dibuat

Fitnah: Adun Bukit Payung buat laporan polis

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Berita Harian hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan.

Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu.

“Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi.

“Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung.

Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan ‘Pegawai Adun mengaku khalwat’ serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung.

Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung.

“Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai.

“Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut.

Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain.

“Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya.

“Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun.

“Ini fitnah ‘jahat’ yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail. -HD




Engkaulah Suami Yang Aku Impikan

Ketika engkau mencintaiku, engkau menghormatiku. Dan ketika engkau membenciku, engkau tidak mendzalimiku. (Dr. Ramdhan Hafidz)

Aku masih ingat saat malam pertama kita, saat itu engkau mengajakku soalat Isya’ berjamaah. Setelah berdoa engkau kecup keningku lalu berkata: “Dinda, aku ingin engkau menjadi pendampingku Dunia-Akhirat”.

Mendengar ucapan itu, akupun menangis terharu. Malam itu engkau menjadi sosok seperti Sayidina Ali yang bersujud semalam suntuk kerana bersyukur mendapatkan sosok isteri seperti Siti Fatimah. Apakah begitu berharganya aku bagimu sehingga engkau mensyukuri kebersamaan kita?

Malam itu, aku tidak dapat mengungkapkan rasa syukurku ini dengan ucapan. Aku hanya mampu mengikutimu, bersujud di atas hamparan sajadah. Tanpa bisa aku membendung air mata ini tiada hentinya mengalir kerana mensyukuri anugerah Allah yang diberikan padaku dalam bentuk dirimu.

Akupun berikrar, aku ingin menjadi sosok seperti Siti Fatimah, dan aku akan berusaha menjadi isteri sebagaimana yang engkau impikan.

Dan ternyata sujud itu bukan hanya di saat malam pertama, setiap kali aku terbangun pada akhir sepertiga malam, ku lihat engkau sedang bersujud dengan penuh kekhusu’an.

Aku kadang-kadang iri dengan kesolihanmu, engkau terlena dalam sujudmu sedang aku berbaring di atas katil yang empuk dengan sejuta mimpi. Kenapa engkau tidak membangunkan aku? Padahal aku ingin bermakmum padamu agar kelak aku tetap menjadi isterimu di surga. Aku hanya merasakan kecupan hangat melengkapi tidur malamku saat engkau terbangun untuk melakukan solat malam. Apakah kecupan itu sebagai isyarat agar aku terbangun dari tidurku dan melaksanakan solat berjamaah bersamamu? Atau kerana engkau tidak tega membangunkan aku saat engkau melihat begitu pulasnya aku dalam tidurku?

Aku yakin, dengan ketaatanmu pada agama, engkau akan membahagiakanku dunia-akhirat. Tidakkah agama kita mengajarkan bagaimana suami harus menyayangi isteri, membuatnya bahagia, melindungi dan membuatnya tersenyum. Dan sebaliknya, isteri harus berbakti, melayani dan membuat suaminya terpesona padanya.

Aku tidak peduli siapakah engkau, miskin dan kaya tidak ada bezanya bagiku. Aku hanya tertarik pada sosokmu yang bersahaja dan sederhana. Raut wajahmu yang penuh dengan keikhlasan membuatku ingin selalu menatapnya. Lembutnya sifatmu membuatku yakin bahwa engkau adalah suami yang dapat menerima segala pemberian Tuhan dan akan menyayangiku apa adanya.

Aku tidak peduli dengan rumah comel dan sederhana yang engkau persembahkan untuk kita tempati bersama. Rumah yang hanya terdiri dari ruang tamu, kamar kita, dan satu ruangan yang berisi buku-buku terutama buku agama. Namun dari rumah yang comel ini, aku melihat taman surgawi menjelma di sini. Aku yakin engkau adalah sosok suami yang tekun belajar dan memahami agama, dan dengan bekal ini aku yakin engkau dapat membimbingku untuk meraih syurga ilahi. Sebagaimana agama kita telah mengisyaratkan bahawa, barang siapa berjalan dijalan ilmu, maka Allah akan mempermudah jalan menuju ke syurga.

Saat kulihat engkau begitu berbakti kepada kedua orang tuamu dan senang menjalin silaturahim, aku yakin engkau akan berlaku baik pada anak-isterimu. Aku lihat engkau jarang sekali berbicara, tapi masya Allah kalau sedang bekerja, engkau menjadi sosok yang tekun dan rajin.

Dan dari cara tutur katamu, aku mendengar kata-kata mutiara yang penuh hikmah, sehingga yang tergambar dalam fikiranku adalah sosok Lukmanul Hakim, sosok suami dan ayah yang selalu mendidik keluarganya, mengajarkan anaknya untuk tidak menyekutukan Allah.

Sungguh aku bangga mempunyai suami sepertimu melebihi kebanggaanmu padaku. Aku lebih memerlukanmu jauh melebihi keperluanmu padaku. Terima kasih suamiku, kerana engkau telah membimbingku… -dakwatuna