15 Mac 2011

Penduduk Kg Baru Kecam Hebat Nong Chik: "Baru Jadi Menteri Dah Lupa Daratan!"

Jangan kacau tanah kami, kata pemilik tanah Kg Baru

Pemilik tanah Kampung Baru tetap dengan pendirian menentang keras cadangan Putrajaya yang mahu mengadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sambil menyifatkannya sebagai “rompakan secara senyap” untuk mengambil alih tanah penempatan eksklusif orang Melayu.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju dengannya.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Zauriah Mat Nenggal berkata dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan Raja Nong Chik untuk diadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang akan akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini.

“Makcik memang tak setuju langsung, rumah mak cik dah dibangunkan janganlah kacau . . . tak akan nak robohkan rumah mak cik, ada otak itu pakailah. Jangan kacau rumah yang bukan hak kamu.

“Kalau nak robohkan kerajaan kena ganti balik, saya tidak mahu duit tapi saya mahu kerajaan ganti rumah juga . . . saya di sini ada rumah 12 pintu dan saya sewakan kepada orang, jadi jangan kacau mata pencarian mak cik,” katanya yang berusia 77 kepada The Malaysian Insider.

Kata Zauriah, tindakan kerajaan yang mahu mewujudkan rang undang-undang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Raja Nong Chik hati Yahudi . . . Yahudi robohkan rumah Arab untuk bangunkan rumah tapi Raja Nong Chik nak ambil tanah Melayu untuk buat pembangunan.

“Raja Nong Chik tidak berperikemanusiaan langsung, ingat senang-senang nak robohkan rumah mak cik? Ingat orang Kampung Baru ini bodohkah? Ingat duit mak cik ini pasirkah? Kenapa nak kacau Kampung Baru? Ini kampung Melayu kenapa mesti nak kacau?”
katanya.

Justeru, dia menggesa agar kerajaan pusat membatalkan hasrat untuk mengadakan akta tersebut.

Raja Nong Chik ini dah belakangkan kiblat . . . tak jaga orang Melayu, baru jadi menteri dah lupa daratan.

“Kalau perkara ini Raja Nong Chik yang kena macam mana dia rasa? Mesti dia sakit hati
,” soalnya.

Bagi Jamaluddin Kamat, 54, cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang itu seolah-olah mempunyai agenda tersendiri selain akan menidakkan hak pemilik dan pewaris tanah kawasan itu sekiranya ia dilaksanakan.

“Saya setuju dengan pembangunan di kawasan Kampung Baru tetapi tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang kalau kita lihat tidak jelas apa tujuan penubuhannya.

“Bagi saya rang undang-undang ini tidak menjamin masa depan pemilik dan pewaris tanah. Kalau contoh kita bersetuju apa jaminan kerajaan kepada kami? Pembangunan yang macam mana kerajaan mahu lakukan? Selain itu, kalau ia dilaksanakan mereka (kerajaan) mempunyai kuasa penuh ke atas tanah-tanah di kawasan ini,” katanya.

Kata anak jadi Kampung Baru itu, rang undang-undang tidak diperlukan untuk membangunkan kawasan itu kerana sudah mempunyai Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru yang sudah menguruskan penempatan itu sejak 111 tahun lalu.

“Kami di sini tak perlukan rang undang-undang untuk membangunkan kawasan Kampung Baru ini, kami sudah ada MAS... selama ini MAS yang menguruskan semua perkara di sini.

“Pembangunan Kampung Baru ini boleh dilakukan tanpa rang undang-undang, kita boleh bangunkan melalui MAS dan kami percaya kepada MAS untuk menguruskan soal pembangunan tetapi dengan syarat kerajaan kena bantu, bukan dengan menubuhkan rang undang-undang yang kami sendiri pun tak tahu fungsinya,” katanya.

Ditanya bacaan kali kedua rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen Jun ini, Jamaluddin berkata, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu jelaskan kepada penduduk terlebih dahulu.

“Itu perlu dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah walaupun dapat tentangan, kena beritahu kerana kami nak tahu apa yang kerajaan ingin lakukan,” katanya.

Kamal Hussein, 78, pula mahu imej kampung Melayu dikekalkan di Kampung Baru walaupun pembangunan dilakukan di kawasan itu.

“Bangunan tinggi-tinggi tidak diperlukan di Kampung Baru, cuma perlu menaik taraf mana-mana yang patut sahaja... buat apa nak bangunan tinggi, bukan kita mampu nak beli.

Imej sebagai kampung Melayu perlu dikekalkan. Eloklah kalau kampung Melayu ini ada, lagipun Kampung Baru ini terkenal di seluruh dunia, kalau tiada imej kampung Melayu apa gunanya Kampung Baru di sini,” katanya.

Dia juga bersetuju rang undang-undang yang telah diperhalusi semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu dibentangkan kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen.

“Kami di sini nak tahu apa yang diubah . . . apa yang diperhalusi dan kami nak tahu apa rang undang-undang yang akan dibentangkan nanti.

“Saya sendiri pun nak tahu apa yang mahu dilakukan kerajaan,” katanya.

Raja Nong Chik sebelum ini berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Jun ini selepas semua tugas memperhalusi semula deraf rang undang-undang itu selesai sepenuhnya.

Beliau berkata rang undang-undang itu, yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini, terpaksa ditangguhkan kerana kementerian perlu memperhalusi semula draf rang undang-undang itu.

Sementara itu, pemilik tanah generasi keempat Kampung Baru Efendi Ishak, 34, berkata rang undang-undang yang mahu dilaksanakan itu masih belum jelas fungsinya dan menimbulkan persoalan di kalangan pemilik dan pewaris tanah.

“Rang undang-undang tidak jelas, kita tak tahu apa yang kerajaan nak buat seolah-olah berselindung di sebalik nama rang undang-undang.

“Pemilik dan pewaris masih tertanya-tanya, kami tidak faham dan masih samar-samar tentang cadangan rang undang-undang ini,” katanya.

Kata kakitangan swasta itu, sekiranya mahu membangunkan kawasan Kampung Baru kerajaan tidak perlu menubuhkan rang undang-undang, sebaliknya membantu pemilik dan pewaris dalam bentuk kewangan untuk membangunkan sendiri kawasan tersebut.

“Kami di sini tak bantah pembangunan tapi apa yang kami bantah adalah rang undang-undang ini. Kalau betul-betul nak bantu kami, tak perlukan rang undang-undang pun.

“Kami di sini boleh bangunkan sendiri kawasan Kampung Baru, tapi kerajaan perlu bantu dalam bentuk kewangan agar ia dapat dilakukan,” katanya.

Mohd Yusof Abu, 67 pula berkata banyak perkara yang tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah mengenai rang undang-undang termasuk peruntukan yang memberikan kuasa penuh kepada menteri dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah sekiranya perbadanan itu diwujudkan.

“Imuniti kepada perbadanan kami tak setuju . . . rang undang-undang ini juga kami tidak bersetuju, jadi bagaimana Raja Nong Chik boleh kata 90 peratus daripada kami bersetuju? Pembubaran MAS juga kami tidak setuju.

“Rang undang-undang ini tidak jelas dan ia cuba berselindung untuk menyembunyikan segala pembohongan yang mereka ingin lakukan,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider ke Kampung Baru juga mendapati ramai penduduk di kawasan itu meletakkan kain rentang sebagai membantah cadangan rang undang-undang itu.

Seorang lagi yang ditemui, Mohammd Raizal Ahmad Yusof, 38, berkata, rang undang-undang tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah yang diwasiatkan sejak turun-temurun itu.

“Apa hak kerajaan nak wujudkan rang undang-undang? Adakah tanah ini milik mereka? Ini adalah tanah wasiat dan ia perlu dijaga dan bukan untuk dibangunkan ikut rancangan kerajaan.

“Kalau nak bangunkan juga kerajaan pergi tanya setiap pemilik dan pewaris tanah, kalau mereka setuju bangunkan sahaja di tanah mereka buat apa nak libatkan semua tanah milik kami di sini,” katanya.

Dia juga meminta agar Raja Nong Chik kemukakan bukti bahawa 90 peratus pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bersetuju dengan cadangan untuk diwujudkan rang undang-undang itu.

“Ada dia tanya pendapat pemilik dan pewaris tanah sebelum nak buat? Adakah kerajaan nak rompak tanah kami?” katanya.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar. -TMI

4 ulasan:

  1. Mamat ni nak isi poket kroni dia la tu. Ingat! Dia tak dak kawasan. Senator ja tau?

    BalasPadam
  2. Penduduk Kg.Baru kenal sangat raja yang tanpa negeri ni - bekas kontrektor yang gaggal.Tanah Kg.Baru ni ada kaitan dengan negeri Selangor.Jika bantahan ini tak diindahkan oleh raja tanpa negeri ni,penduduk Kg.Baru boleh menghadap Sultan Selangor mengadukan hal.Kalau itu juga gaggal,penduduk Kg.Baru boleh bina tembok sekeliling Kg.Baru dan menentang apa saja pencerobohan yang akan dilakukan oleh raja tanpa negeri dan DBKL.Biar putih tulang,jangan putih mata.

    BalasPadam
  3. Isu Kg Baru ini wajar disebar luaskan kepada rakyat Melayu di kg tradisional dan felda.

    Ia mendedahkan wajah sebenar pemimpin UMNO yg konon memperjuangkan kepentingan Melayu.

    Pemimpin UMNO - bila melibatkan projek dan duit, hilang lah segala niat utk perjuangkan melayu, yg tinggal ialah perjuang utk perut dan kekayaan.

    Pemimpin UMNO kini adalah para peniaga komisen, pemegang lesen AP dan kontraktor yg memperkudakan kebodohan melayu di kg dan di felda utk meraih kuasa bagi memudahkan agihan kekayaan negara kpd mereka.

    50an-80an, pemimpin UMNO (Lama) adalah para guru yang menjadikan perjuangan utk orang Melayu.

    Namun sejak dikuatkuasakan undang2, pegawai kakitangan A (org melayu cerdik), tidak blh pegang jawatan maka jadilah umno parti kontraktor.

    BalasPadam
  4. Dia sudah nampak lubang kekayaan ada di Kg. Baru. Sebab itu dia bertsungguh-sungguh nak majukan kg. baru kononnya. Awaslah Melayu kg. baru.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.