7 Dis 2011

Produk KR1M Berkualiti Rendah - Kasalahan Pelabelan Tidak Dipandang Serius

Kisah Nasi Kandar 2 Kepak Ayam dan Susu Racun 1Malaysia

Dalam jangkamasa pendek Perdana Menteri Najib Razak berkuasa, sudah pelbagai taktik dan strategi diusahakan demi menyolek imej beliau sebagai seorang pemimpin yang mesra rakyat, sempoi, dan berkeyakinan diri tinggi apabila menghadapi cabaran. Sering kali juga Najib disifatkan sebagai mempunyai keperibadian yang menawan di samping penampilannya yang segak lagi tampan.

Kata puji-pujian yang digunakan untuk membina jenama Najib dalam surat khabar serta saluran tv dan radio milik UMNO-Barisan Nasional tiada habis-habisnya. Tidak dinafikan, strategi penjenamaan Najib memang nampak berhasil. Dalam sekelip mata, seluruh Malaysia seolah-olah gilakan jenama 1Malaysia. Dari artis popular hingga ke syarikat korporat malah kanak-kanak sekolah semuanya sudah mengambil bahagian dalam macam-macam program 1Malaysia.

Bagi mereka yang tidak percaya akan keajaiban simbol 1Malaysia, peristiwa malam 10 April, 2011 membuktikan ada rakyat biasa yang sanggup membahayakan keselamatan diri untuk memiliki barang berjenama 1Malaysia. Peristiwa yang saya maksudkan ialah ceramah Najib di Stadium MBKS di Kuching semasa kempen pilihanraya negeri Sarawak tahun ini. Pada malam itu, selepas Najib berucap, semangat 1Malaysia terus meresap dalam hati setiap satu rakyat dan ribuan mereka berebut-rebut untuk mendapatkan "beg goodies" yang mengandungi sekeping gambar portret Najib dan sebuah bekas plastik jenama "Tupperware".

Ada pihak yang mengetawakan peristiwa tersebut. Menurut golongan ini, mereka yang menggilakan hadiah-hadiah 1Malaysia sebenarnya hanya berminat dengan bekas "Tupperware" dan bukan jenama 1Malaysia mahupun gambar Presiden UMNO. Namun, perkara ini tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan buat masa ini, imej ribuan rakyat biasa berebut-rebut demi sebuah beg 1Malaysia cukup untuk menggambarkan keajaiban jenama baru yang dibawa Najib.

Menyedari bahawa strategi memberi barang percuma walaupun berjaya masih tidak cukup radikal, berbagai-bagai lagi program diperkenalkan sebagai rancangan besar Bapa Transformasi untuk menanggani keadaan hidup rakyat yang semakin perit. Dibebani dengan dakwaan bahawa isterinya Rosmah Mansor seorang yang tidak cukup sederhana dan sebenarnya idamkan gaya hidup selebriti, Najib terpaksa mencari jalan baru untuk menjalin hubungan dengan rakyat bawahan.

Antara program yang paling signifikan ialah program "Kedai Rakyat 1Malaysia" (KR1M). Di bawah program ini, rangkaian kedai KR1M menjual barangan keperluan harian di bawah harga pasaran biasa. Beza harga sehingga 40% dijanjikan apabila KR1M dilancarkan. Penjimatannya berlaku di mana? Adakah kerajaan membayar subsidi kepada pengendali KR1M, iaitu Mydin? Adakah produk yang dijual itu jauh lebih rendah kualiti dan kosnya? Kata Mydin, ketiadaan sebarang kempen penjenamaan atau pengiklanan membolehkan kos produk yang serupa dengan produk di pasaran dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Oh begitu rupanya.

Maka, tidaklah mengejutkan apabila Najib memakan sepinggan Nasi Kandar 2 Kepak Ayam (NK2KA) berharga RM3.00 sahaja. Sekali lagi, jenama 1Malaysia dengan ajaibnya menurunkan harga keperluan harian secara mendadak. Walaupun penulis ini belum pernah terjumpa rakyat biasa yang memerlukan dua kepak ayam sekali makan, saya percaya Bapa Transformasi telah menetapkan piawai baru cara makan rakyat Malaysia untuk kebaikan kita semua.

Sebanyak 1050 kedai makan dan restoran di seluruh Malaysia telah melibatkan diri dalam inisiatif ini untuk menyediakan hidangan lazat pada harga yang rendah demi memberi tenaga kepada rakyat untuk bekerja lebih keras lagi. Namun, sekali pandang Menu Rakyat 1Malaysia, tiada NK2KA disenaraikan. Mana NK2KA RM3 yang dijanjikan Najib? Rakyat biasa perlu terima hakikat bahawa tugas seorang Perdana Menteri itu jauh lebih berat berbanding kerja-kerja kecil kita, maka saya rasa munasabah juga setiap orang makan ikut keperluan masing-masing. Dan sekiranya Perdana Menteri perlukan NK2KA, apa salahnya? Yang penting, rakyat diberi harapan NK2KA mungkin berjaya dicapainya satu hari nanti jika dia berusaha lagi.

Sementara itu, rakyat perlulah berjimat cermat supaya modal boleh dikumpul untuk masa hadapan yang lebih cerah. Tokoh Menabung Kebangsaan, "Saudari RM" adalah model terbaik untuk diteladani rakyat bawahan. Tiada rakyat miskin yang perlu berasa kecewa, kerana melalui aktiviti menabung, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Mungkin sehari nanti, cincin berlian terbesar pun boleh dimiliki. Apa salahnya rakyat digalakkan menabung?

Walaupun kos sara hidup saban hari meningkat, usaha-usaha Najib untuk mentransformasikan Malaysia menjadi 1Malaysia jelas menunjukkan komitmen beliau untuk pembinaan sistem ekonomi yang baru. Jika dahulu rakyat berpendapatan RM3 ribu dan ke atas tidak layak memiliki rumah kos rendah dan sederhana rendah, pada masa depan semua rakyat berpendapatan tengah akan layak membeli kondominium PR1MA. Jika dahulu susu segar dijual dengan gambar kartun lembu atas kotaknya, pada masa depan susu segar yang serupa akan dipek dalam kotak yang hanya mengandungi logo 1Malaysia.

Serupa, tetapi jauh berbeza.
Penemuan ujian makmal bebas yang dipanggil DAP baru-baru ini menunjukkan berbagai-bagai produk atas rak KR1M bukan sahaja tidak lulus tahap minima piawai keselamatan makanan kerajaan malah ada produk yang mengandungi bakteria yang berpotensi mengancam nyawa. Sungguhpun ujian menunjukkan terdapat bakteria E. Coli dalam Susu Segar 1Malaysia (SS1M), perkara ini tidak dilihat sebagai isu yang terlalu serius. Kerana masalahnya hanya pada label pakej. Dengan mengubah labelnya sahaja, KR1M tidak lagi boleh difitnah menipu rakyat.

Maka, dari hari ini, SS1M harus dilabel semula menjadi Susu Racun 1Malaysia (SR1M). Seperti janji-janji perubahan demokratik, langkah melabel semula produk KR1M tidak begitu drastik dan tidak perlu ditakutkan rakyat. Rakyat harus terus memberi sokongan kepada Parti 1Malaysia. Hidup 1Malaysia!

*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Rakyat masih yakin produk dijual KR1M

KUALA LUMPUR: Rakyat masih percaya kepada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sungguhpun isu penarikan balik 13 produk dari kedai itu cuba dipolitikkan pembangkang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini terbukti apabila jualan di KR1M meningkat 15 peratus dalam kerancakan pembangkang memburuk-burukkan produk dijual di kedai itu.

Ismail Sabri menjelaskan penarikan balik 13 produk KR1M tiada kaitan dengan isu keselamatan atau kebersihan makanan seperti digembar-gemburkan pembangkang.

“Sebaliknya penarikan balik kerana kesalahan pelabelan makanan dan komposisi di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan kementeriannya, semalam.

Sebagai contoh, katanya produk minyak sapi dilabel sebagai ‘sebatian minyak sapi’ tetapi pada label ramuan ditulis minyak kelapa sawit, sapi dan bahan perisa.

“Sepatutnya dia kena tulis sebatian minyak kelapa sawit dan sapi, tapi dia tak berniat menipu sebab ramuan ada ditulis pada label,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada 13 produk yang ditarik balik ialah ‘ikan sardin dalam sos tomato’ (komposisi) dan ‘krimer sejat’ (dulunya susu sejat) mula dipasarkan semula setelah pembetulan label dibuat.

“Baki produk ditarik balik juga akan mula dipasarkan semula dua atau tiga minggu selepas pemeriksaan menyeluruh dibuat,” katanya.

Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan kesalahan pelabelan itu tidak disengajakan syarikat pembekal yang terdiri daripada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan memberi jaminan kerajaan akan lebih berwaspada pada masa depan.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan juga memanggil 60 usahawan PKS terbabit untuk diberi taklimat mengenai hal berkaitan pelabelan, tender serta piawaian kesihatan. – BERNAMA


Ulasan GB

Salah palebelan. Itu alasan yang diberikan. Sedangkan kesalahan palebelan kepada produk adalah satu kesalahan yang serius yang para peniaga sering diancam dan didakwa akibat meletakkan label yang salah pada produk mereka. Produk mereka disita dan dirampas, dan kebanyakannya dimusnahkan.

Tiba-tiba untuk kes produk KR1M, kesalahan palebelan tidak dilihat sebagai serius, di sebaliknya menjadi hujjah untuk menjustifikasikan bahawa produk KR1M sebagai selamat.

Menteri yang bernama Ismail Sabri Yaakob mendakwa rakyat masih percaya kepada produk KR1M. Ia memberi erti bahawa rakyat begitu mudah terpedaya dengan palebelan dan mudah tertipu dengan laporan-laporan akhbar arus perdana yang menutup kelemahan dan kemerbahayaan produk KR1M.

Sebelum ini GB telah ulas. Petikan:

Sepatutnya produk-produk yang berjenama 1Malaysia perlu menjalani ujian kualiti terlebih dahulu kemudian baru dipasarkan. Ini sudah terbalik. Ia dipasarkan kemudian diuji, itupun masih ada pihak penjual seperti Mydin yang mengampu menteri dan produk 1Malaysia tak tentu pasal kononnya ingin mendedahkan KEBENARAN!!!, sedangkan hakikatnya ialah KEPALSUAN!!!



Laporan sebelum ini
klik untuk baca



2 ulasan:

  1. "Rakyat miskin? Racun jer semua." Macam agenda Freemason jer nak buat genocide.

    Cuba tonton video kat tube "in5d" macamana freemason America guna racun Fluoride dalam air untuk agenda "slow death"

    Harap-harap orang miskin semua, perjuangkanlah hak kerakyatan masing-masing. Janganlah dok seronok sangat jadi pencacai.

    Cukup-cukuplah tu!

    BalasPadam
  2. Pepatah Inggeris jika diterjemahkan berbunyi " Badut berpakain Raja,tetap badut,Raja berpakaian badut tetap Raja".Najib tak usah banyak sangat main wayang kerana rakyat dah tau dia siapa.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.