21 Dis 2011

Enam Pelancong Brunei Maut Bas Rempuh Pokok

Tamparuli: “Saya terhidu bau hangit seperti getah terbakar ketika bas menuruni bukit beberapa detik sebelum kemalangan,” kata Mohd Nazirul Mubin, 21, penumpang bas yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan enam pelancong warga Brunei, di sini, semalam.

Gambar: NGERI...keadaan bas pelancong dari Brunei yang hilang kawalan dan terbalik sebelum merempuh pokok, semalam. Gambar kecil, Abd Manan.

Kejadian pada jam 3 petang di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli itu mengakibatkan bas terbabit yang dinaiki 33 penumpang menggelongsor di atas jalan sebelum merempuh dan ‘melekat’ di sebatang pokok hingga sebahagian besar bumbung kenderaan terkopak.

Wartawan Harian Metro yang tiba di tempat kejadian mendapati keadaan amat menyayat hati apabila mangsa yang terbunuh dan parah bergelimpangan, selain suara mengerang kesakitan jelas kedengaran.

Mohd Nazirul berkata, sebelum kemalangan bas yang membawa 22 penumpang perempuan dan 11 lelaki itu cuba memintas tiga kenderaan termasuk dua lori.

“Bagaimanapun, bas secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbalik lalu menggelongsor dan merempuh pokok,” katanya sambil memaklumkan penumpang bas adalah anggota rombongan kumpulan Muslimah Kampung Mulaut, Brunei. -hm

3 pelancong Brunei maut nahas bas dikenal pasti

TIGA daripada enam pelancong Brunei yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres di Tuaran telah dikenal pasti.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata mereka ialah Haji Abdul Manan Haji Ishak, 50, Pangiran Hajah Zahama Pangiran Haji Zainal, 61, dan Hajah Dayang Norhayati Haji Abdul Hadi, 61.

Dua yang lain hanya dikenali sebagai Hajah Faridah, 60, dan Haji Sapawi, 60, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

"Kami meminta rakan penumpang bas berkenaan mengenal pasti identiti mereka dan belum sempat menyemaknya dengan Jabatan Imigresen kerana apa yang lebih penting adalah menyelamatkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas di Hospital Queen Elizabeth selepas ke Hospital Tuaran malam tadi.

Beliau berkata enam penumpang bas ekspres itu cedera parah, 12 lagi separa parah manakala enam cedera ringan.

Tan juga berkata tidak banyak maklumat yang diperoleh daripada mangsa nahas yang lain kerana mereka masih trauma dengan kejadian itu.

Beliau berkata ketika kejadian, bas itu membawa 32 orang iaitu 11 lelaki dan 21 wanita, termasuk pemandu serta pembantunya.

Dipercayai terdapat kanak-kanak dalam bas itu ketika nahas berlaku, namun jumlah serta umur mereka yang terlibat belum dapat dipastikan.

Dalam insiden 3.05 petang itu, bas yang membawa pelancong Brunei dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam sebelum melanggar sebatang pokok besar di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan di Tuaran.

Bas yang didaftarkan di Brunei itu sedang dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dari Tawau. — BERNAMA


Enam pelancong Brunei maut bas terbalik

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat serta orang ramai membantu mangsa yang cedera apabila sebuah bas pelancong dari Brunei hilang kawalan lalu terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan, Tamparuli, semalam.

TUARAN: Enam terbunuh manakala 20 penumpang parah apabila bas sewa khas dari Brunei yang dinaiki terbalik sebelum merempuh pokok di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Kaporingan dekat sini, petang semalam.

Bas yang membawa rombongan 31 pelancong kumpulan muslimah Kampong Mulaut itu dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu sebelum dijadual pulang ke Brunei, Jumaat ini.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, mangsa yang meninggal dikenal pasti sebagai Abd Manan Ishak, 50; Pengiran Zahamah Pengiran Zainal, 61; Dayang Norhayati Abd Hadi, 61; Faridah, 60; dan Sapawi, 60.
Identiti seorang lagi mangsa wanita yang maut belum dapat dipastikan setakat jam 9 malam tadi.

Dua mangsa meninggal di tempat kejadian, seorang dalam perjalanan ke Hospital Tuaran manakala tiga lagi di hospital.

Mereka yang cedera parah termasuk pemandu bas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada masalah brek yang menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan.
"Setakat jam 9 malam ini (tadi), kita mengesahkan enam penumpang terbunuh, 18 cedera parah dan sembilan yang lain cedera ringan berikutan kemalangan itu.

"Rombongan 31 pelancong yang turut disertai beberapa kanak-kanak itu merangkumi sembilan lelaki dan 22 wanita serta dua pemandu, semuanya warga Brunei," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di QEH di sini, malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Brunei di Sabah, Daud Tahir.

Tan berkata, Polis Sabah akan membantu urusan penghantaran pulang jenazah ke Brunei selepas selesai bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Zaharudin Rasip, ketika mengesahkan kejadian berkata, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit, menyebabkan ia jatuh mengiring lalu terseret sejauh kira-kira 30 meter sebelum merempuh pokok.

"Rempuhan kuat menyebabkan sebahagian bumbung bas itu tercabut," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Tinjauan Berita Harian di lokasi antara lain menyaksikan penumpang bergelimpangan terbaring sambil meraung kesakitan di atas jalan dan dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Selain anggota polis, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Lintas serta Kota Kinabalu menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit, di samping memberi bantuan kecemasan. -BH



3 ulasan:

  1. takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat :(
    dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali

    BalasPadam
  2. Menjunjung kasih kepada kebawah duli sultan kerna menitahkan supaya segala kos penghantaran pulang mereka yang terbabit di tanggong oleh kerajaan brunei dan memitahkan dua orang menteri supaya ke sabah untuk menguruskan segala urusan penghantaran pulang. Semoga berkekalan memerintah brunei di atas keperihatinan baginda. Allah huakhbar .. Alfatihah bagi yang telah pergi.. Moga roh mereka di cucuri rahmat.. Amin..

    BalasPadam
  3. innalillah hi wa inna ilaihirrojiun..

    Assalamualaikum...

    takziah pada ahli keluarga dan mereka yang terkorban....

    Semoga tabah dan menerima ketentuan Ilahi...

    mudah2an kejadian kemalangan yang berpunca dari kecuaian pemandu bas ini, tidak berulang lagi di masa hadapan...

    Harap hubungan baik Malaysia-Brunei tidak terjejas ekoran kejadian ini.

    Al Fatihah buat Almarhum dan Almarhumah...


    dari: budak bukit cari simpang...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.