3 Nov 2011

Lelaki Dipenjara Kerana Belasah Isteri

Kuala Terengganu - Hanya kerana menegur suaminya agar jangan berbuat bising, seorang isteri terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila dibelasah dengan teruk oleh si suami pada bahagian kepala menggunakan sehelai kain sehingga mendatangkan kecederaan.

Bagaimanapun, perbuatan sang suami yang panas baran itu terbalas apabila Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM1,000 selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, Wan Badarul Azmani Wan Abdullah, 35, dari Kampung Bukit Bayas, bagaimanapun memilih menjalani hukuman penjara selama sebulan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pada 26 Julai lalu kira-kira jam 5 pagi di sebuah rumah di Jalan Gong Penaga, Pasir Panjang, di sini, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Mazlina Mohamed, 31.

Dengan itu, dia yang juga seorang penagih dadah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani di hadapan Majistret Noradila Abd Latif.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 Julai lalu kira-kira jam 5 pagi, mangsa terjaga dari tidur di rumahnya di Jalan Gong Penaga, Pasir Panjang, di sini, dan ketika itu mendapati dua anaknya berada di dalam bilik lain bersama suaminya iaitu tertuduh.

Mangsa sebelum itu terdengar suara mereka bising di dalam bilik berkenaan dan masih belum tidur lagi. Bimbang suasana bising itu boleh mengganggu jiran sebelah rumah mereka, mangsa menegur tertuduh dari luar bilik memandangkan pintu bilik berkunci dari dalam.

Tidak lama kemudian, tertuduh membuka pintu dan keluar dari bilik lalu terus memukul kepala mangsa. Perbuatannya itu dilihat oleh anak kedua mangsa dan selepas itu, tertuduh terus berlalu masuk semula ke dalam bilik serta menutup pintu.

Sebelum ini, tertuduh kerap kali memukul dan menerajang mangsa serta pernah beberapa kali ditahan polis kerana penyalahgunaan dadah.

Keesokan harinya iaitu kira-kira jam 2 pagi, polis membuat serbuan ke rumah tertuduh sebelum menangkapnya untuk siasatan lanjut. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.