Kuantan - Seorang pemuda berdepan hukuman penjara sehingga 60 tahun dan 20 sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas dua tuduhan merogol adik iparnya yang masih di bawah umur dalam dua kejadian berasingan pada pertengahan April 2009 dan 10 Oktober lalu.
Tertuduh berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Hakim Fathiyah Idris, semalam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM8,000 manakala 17 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan untuk tertuduh melantik peguam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu buat pertama kali pada pertengahan April 2009 kira-kira jam 3 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Inderapura dekat sini.
Ketika itu, mangsanya baru berusia 14 tahun 7 bulan dan dikategorikan sebagai gadis bawah umur.
Manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada gadis yang sama ketika itu sudah berusia 16 tahun 11 bulan di sebuah rumah dipercayai kediaman mereka di Taman Seri Inderapura.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 9.30 pagi 10 Oktober lalu sebelum dia ditahan polis hari berikutnya.
Perbuatan yang dilakukan lelaki itu, bukan sahaja menyalahi undang-undang dan hukum agama malah menyimpang dari adat dan kebiasaan dimana tertuduh dan mangsa tidak dibolehkan untuk berkahwin.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapinya. -SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.