9 Okt 2011

Buaya Masuk Jerat

Bekenu: Selepas penemuan bangkai seekor buaya terapung di Sungai Niah di Kampung Sepupok Niah dan Kampung Dagang, hujung bulan lalu, penduduk gempar lagi dengan penangkapan reptilia ganas itu oleh seorang lelaki di Sungai Niah, di sini, kelmarin. Gambar fail

Buaya sepanjang hampir lima meter itu berjaya ditangkap selepas termakan umpan ayam dipasang seorang pekebun dikenali sebagai Choa Hui, 56, berikutan tidak tahan dengan kemunculan reptilia berkenaan yang sering dilihat di permukaan sungai.

Menurut sumber, Choa dikatakan memasang umpan ayam jam 6 petang menggunakan mata kail terbesar serta wayar elektrik.

Difahamkan, umpan dipasang akhirnya mengena buaya berkenaan sebelum Choa meminta bantuan beberapa penduduk kampung menangkap reptilia itu.

Choa bersama penduduk dikatakan mengambil masa sejam sebelum buaya itu berjaya dibawa naik ke darat, jam 9.30 malam lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, penduduk di kampung berdekatan sering terserempak reptilia berkenaan yang dikatakan turut membaham anjing yang menghampiri tebing sungai.

Malah, kemunculan buaya itu menjadi perkara biasa bagi segelintir penduduk, khususnya yang mendiami tebin sungai, dan situasi itu membimbangkan mereka.

Sementara itu, jurucakap SFC ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, buaya berkenaan masih dalam jagaan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, buaya jenis katak atau nama sainstifiknya Crocodylus Porocus dipercayai sudah lama menghuni sungai itu, justeru penduduk diminta berhati-hati bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Penangkapan buaya itu turut menarik perhatian ratusan penduduk yang keluar rumah meskipun hari hujan bagi melihat dengan lebih dekat. -hm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.