16 Sep 2011

Najib Disaran Lepaskan Jawatan Sebagai Menteri Kewangan

PPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disarankan menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan yang dipegangnya kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonomi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat (PR), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tugas sebagai Perdana Menteri sudah cukup membebankan untuk beliau yang terus memegang jawatan Menteri Kewangan.

”Jawatan perlu diserahkan kepada individu lain yang berkebolehan memandangkan Kementerian Kewangan gagal dalam melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi negara dari ’perangkap’ negara berpendapatan pertengahan melalui Model Ekonomi Baru,” katanya pada sidang media, semalam.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan diketuai oleh Dzulkefly dan antara ahlinya termasuk Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Dzulkefly, amat janggal bagi seorang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan dalam mana-mana negara dan ia menyimpang jauh daripada prinsip tadbir urus yang baik.

“Sekiranya menggunakan analogi korporat, tidak pernah seorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangan
,” katanya.

Sementara itu Sivarasa berkata, PR mencadangkan Najib mencontohi jejak mereka jika beliau benar-benar serius.

“Jika PM mahu membuat perubahaan bermakna bagi rakyat Malaysia, beliau sepatutnya menerima cadangan kami,” katanya.

Sivarasa berkata, pembaharuan bermakna adalah memansuhkan terus undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negara, Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya.

“Jika setakat pindaan, pembaharuan itu tidak bermakna dan tidak dapat diterima,” katanya.



PR Saran Najib Lepaskan Portfolio Kementerian Kewangan

PETALING JAYA 15 SEPT : Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan beliau kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonominya sejak 3 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat menyatakan sejak Najib memberi tekanan kepada Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 17 September 2008 untuk menyerahkan Kementerian Kewangan kepadanya, Kementerian itu tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi Negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan menerusi Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

"Pakatan Rakyat juga turut sedia maklum bahawa Datuk Seri Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya di dalam kabinet dan juga Umno.

"Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangannya juga. Oleh yang demikian, untuk seseorang PM turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal di mana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik,"
tulis kenyataan media itu.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat diketuai oleh ahli parlimen Kuala Selangor dari PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi ahli parlimen seperti ahli parlimen Bukit Bendera dari DAP Liew Chin Tong, ahli parlimen Subang dari PKR R. Sivarasa dan ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Najib telah mengemukakan beberapa gagasan besar sepanjang tiga tahun ini untuk meningkatkan pengaruh dan sokongan beliau sebagai Perdana Menteri.

Ini termasuklah konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Ekonomi Kerajaan (PTE), RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Walaubagaimanapun, MBE dan konsep 1 Malaysia dilihat seolah disabotaj sendiri oleh parti beliau iaitu Umno dengan kenyataan berani pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mempertikaikan program tersebut terutamanya kumpulan Pendesak Melayu, Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali dan secara majoriti dianggotai pimpinan akar umbi Umno sendiri.

Menurut kenyataan tersebut lagi, Najib sebagai Menteri Kewangan, turut mengakibatkan negara kerugian berpuluh juta ringgit kerana kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan beliau.

"Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak. Yang terakhir sekali, cukai 6% untuk telefon prabayar
.

"Ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi," dakwa Pakatan Rakyat.

Justeru, Pakatan Rakyat mahu Najib secara sukarela 'bersara' dari Kementerian itu sebelum keadaan ekonomi Malaysia meruncing.

"Oleh yang demikian, di dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Datuk Seri Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada Tun Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh,"katanya lagi.



Ulasan GB

Semenjak Tun Dr. Mahathir memegang Kementerian Kewangan selain menjadi Perdana Menteri, trend itu nampaknya berterusan dengan diikuti oleh PM selepasnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak.

Maisng-masing PM tersebut dilihat hendak menjaga dan memanipulasi pelbagai kepentingan dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Malah seingat GB, sebelum Pak Lah berundur sebagai PM beliau telah terlebih dahulu menerima tekanan daripada kumpulan Najib supaya menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Mahathirlah yang telah meletakkan "precedent" tersebut.

Sudah sampai masanya ia diubah semula dengan Najib menyerahkan portfolio kewangan kepada orang lain sebelum nanti dibongkar segala kepentingan yang beliau ada di kementerian berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.