3 Ogo 2011

Shuhardi: 'Saya Memang Pengsan Terhidu Gas'

Polis merakamkan kenyataan Shuhardi Mat Isa yang dilapor didakwa berlakon sebagai Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan 9 Julai lepas.

Menurut Shuhardi, lima anggota polis, termasuk seorang berpangkat inspektor, daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi mengunjungi rumahnya di Taman Ixora, Bandar Baru Salah Tinggi pada jam 11.30 malam tadi.

"Saya ditanya pelbagai soalan ketika disiasat hampir tiga jam. Saya jawab semua soalan," katanya sambil memberitahu sesi itu hampir tiga jam bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis menyiasat perkara itu setelah menerima dua laporan di IPD Dang Wangi dan Cheras, bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Laporan mengenainya juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia iaitu kesalahan yang melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Shuhardi, seorang peserta dalam perhimpunan itu dikatakan dimanipulasi sesetengah pihak dengan mendakwa dia Allahyarham Baharudin yang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

'Saya memang pengsan'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Suhardi berkata beliau ditemani anggota keluarga dan tanpa kehadiran peguam ketika sesi itu berjalan.

Ditanya tentang tempoh soal-siasatnya yang lama, Shuhardi menjelaskan, sepanjang sesi itu, beliau ditanyakan secara terperinci tentang penyertaannya daripada mula hingga akhir.

Pada hari itu, katanya, beliau dua kali pengsan sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur akibat terlalu banyak terhidu gas pemedih mata.

"Bila saya sedar, saya berada di bahagian kecemasan Hospital Tung Shin. Kemudian anggota keluarga saya datang ambil," katanya.

Beliau menafikan berlakon sebagai Baharudin atau cuba menipu orang ramai.

"Saya memang pengsan pada hari itu," katanya yang juga setiausaha agung Persatuan Usahawan, Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop).

Shuhardi bagaimanapun tidak jelas beliau disiasat bawah peruntukan dalam seksyen apa. -mk

4 ulasan:

  1. kalau macam ni boleh ikut demo BERSIH lagi, bila nak buat lagi???

    BalasPadam
  2. najib nak bubar Parlimen lepas Ramadan? Daftar pengundi penuh penipuan SPR dah siap? Jom turun ramai-ramai BERSIH lagi

    BalasPadam
  3. Korang pernah tengok orang pengsan?

    Mana ada mengerang macam si Suhardi sebelum pengsan. Orang pengsang dia teru black out!!!

    BalasPadam
  4. Kes pakcik ni antara manipulasi paling bodo kot bagi org2 yg xtau membaca.

    Bila masa gamaknya pakcik Suhardi ni mengaku dia arwah Baharuddin tu? ada ke dia kata cemtu? boleh bawak bukti ..?

    Org lain yg silap paham, kita pulak yg salah? Pelik.

    Memang sah tak matang sapa dok percaya media putar belit penipu gile BN tu.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.