16 Ogo 2011

Khuatir Kemunculan BERSIH 3.0, Akhirnya Najib Umum JK Reformasi Pilihanraya

Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji cadangan-cadangan bagi mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, jawatankuasa itu bakal dianggotai wakil daripada parti kerajaan dan pembangkang.

"Ia akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Kita akan bincang segala reformasi pilihan raya supaya tidak ada pihak lagi syak wasangka terdapat manipulasi kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut butiran terperinci berhubung cadangan awal itu.

Tindakan Najib itu sebahagiannya dilihat ekoran desakan berterusan reformasi pilihan raya yang mencapai kemuncaknnya melalui perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diasak teruk oleh pembangkang, terutamanya PAS yang hampir setiap hari mendedahkan apa yang didakwanya sebagai kepincangan dalam daftar pemilih.


Berucap dalam majlis berbuka puasa dengan media di Wisma Bernama di ibu negara hari ini, Najib menegaskan sekali lagi bahawa beliau berharap berjaya dalam pilihan raya melalui sistem yang bersih.

"Seperti yang sering saya sebut, hari ini saya ulang sekali lagi, saya dan jemaah menteri tidak rela menjadi perdana menteri dan menteri tanpa sokongan rakyat.

"Jadi, jangan ada yang salah anggap kita tak ingin proses pilihan raya yang bersih," katanya di hadapan kira-kira beberapa ratus petugas media.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu memberikan rakyat peluang memilih pihak yang mereka suka tidak kira daripada parti mana.

"Saya serahkan nasib kepada rakyat. Kalau untung sabut timbul, kalau untung batu tenggelam," katanya. -mk


Akhirnya SPR Akui Sistem Pilihan Raya Malaysia Kotor

KUALA LUMPUR 15 OGOS : Kerajaan pemerintahan didesak melakukan rombakan keanggotaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah Pengerusi SPR, mengeluarkan kenyataan kononnya tiada satu pun negara didunia ini yang mempunyai sistem pilihan raya yang bersih.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof itu secara tidak langsung membuktikan sistem pilihan raya di negara ini sememangnya kotor dan tidak telus sebagaimana yang didakwa Pakatan Rakyat sebelum ini.

Mahfuz menambah Aziz sebagai pegawai tertinggi SPR tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang hanya mendedahkan kepincangan dalam SPR itu sendiri.

“Saya cukup kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan tidak ada daftar pemilih didunia ini, yang bersih. Jadi bagi saya ini satu kenyataan yang sangat memalukan,” katanya.

Mahfuz menegaskan, rombakan keanggotaan SPR itu harus dilakukan sebelum pilihan raya umum ke- 13 akan datang, dengan pelantikan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen.

“Oleh kerana sifat dan nilai patriotik itu sudah tidak ada pada SPR maka satu proses rombakan terhadap SPR perlu dilakukan segera supaya dilantik di kalangan mereka betul- betul bebas dan semua SPR yang ada ini perlu diberhentikan, ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Badan yang akan melantik anggota baru itu perlu bebas dan diselia oleh Parlimen. Badan tersebut bukannya terdiri daripada penjawat kerajaan atau pihak esekutif kabinet Najib,” kata Mahfuz.

SPR sebelum ini bersungguh- sungguh menepis dakwaan yang mengatakan sistem pilihan raya dinegara ini dicemari dengan elemen penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pakatan Rakyat telah berkali- kali berjaya membuktikan wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pilihan raya antaranya senarai daftar pemilih yang meragukan, pengundi hantu, pengundi klon dan sebagainya.

Pelbagai laporan polis telah dibuat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Isu di Malaysia sekarang ini ialah isu kerana ada pihak yang cuba mengkotorkan system pilihan raya dan jjuga daftar pemilih tu sendiri. 1049 Jadi bukan itu tak ada di dunia ni pemilihan yang bersih. Itu sautu persoalan yang lain,” katanya.

Sikap dolak dalih SPR dan kerajaan pemerintah memaksa rakyat turun beramai- ramai ke jalanan bagi mendesak agar diadakan penambahbaikan dalam pilihan raya negara ini.

“Tapi di Malaysia sekarang sudah banyak dipertikaikan tetapi sebelum ini semuanya dinafikan oleh SPR, tiba-tiba apabila dibuktikan oleh semua pihak, Bersih membuktikan, parti-parti politik membuktikan, akhirnya dia mengaku tak semua daftar pemilih di dunia ni bersih. Jadi baru dia mengakui bahawa daftar pemilih di negara ini tidak bersih. Sistem perjalanan pilihan raya itu tidak bersih,” katanya lagi.

Mahfuz juga membangkitkan kebimbangan banyak pihak bersabit isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing yang sekaligus mendapat hak untuk menjadi pengundi. -tvsnews





Ulasan GB

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh JK Reformasi Pilihanraya yang bakal dibentuk oleh Putrajaya ialah MENGGANTUNG TUGAS PENGERUSI, TIMBALAN PENGERUSI DAN SETIAUSAHA SURUHANJAYA PILIHANRAYA (SPR).

Siasatan rapi MESTI dilakukan terhadap mereka dan juga perjalanan SPR sebelum ini.

Daftar Pemilih yang terbukti "kotor" setiap hari hendaklah disiasat rapi dan dibersihkan.

Penubuhan kem wataniah setiap parlimen juga tidak boleh dibiar terlepas dari siasatan. Apakah tujuan sebenar penubuhannya dan apakah nama para askar wataniah itu termasuk di dalam senarai daftar pemilih setiap parlimen dengan menggunakan nombor pengenalan yang berasingan.

Pembebasan agensi-agensi kerajaan ermasuk PDRM, SPRM, Jabatan Penerangan, JKR dan seumpamanya daripada diperkudakan oleh UMNO BN selama ini hendaklah dihentikan. Pegawai-pegawai yang didadapi melanggar etika pekerjaan seperti kes Gurubesar di Johor yang terang-terang berkempen untuk UMNO sewaktu pilihanraya kecil DUN Tenang hendaklah diambil tindakan.

Pengumuman projek-projek mee segera terutama oleh kerajaan pusat untuk sesuatu kawasan pilihanraya juga perlu dihentikan.

Semua pesalah hendaklah diheret ke muka pengadilan.

Semua 8 tuntutan BERSIH 2.0 hendaklah dilaksanakan.


Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor






6 ulasan:

  1. Awas! Walaupun Najib telah bersetuju menubuhkan JK untuk meneliti tuntutan Bersih, tetapi harus PR berhati-hati kerana kita tahu Najib ini "biawak". Dia boleh flip-flop bila-bila saja. Tambahan pula, dia ini memang licik dan banayk helah.

    BalasPadam
  2. Biawak ke...Buaya ke....Pandi Kutti ke.....APA YG PENTING Pakatan Rakyat kena BETUL-BETUL PANTAU penipuan yg telah, dlm & akan dibuat oleh SPR + JPN + BN. Jika asyik melalak tanpa tindakan TEGAS seperti minta campur tangan Agong maka tak ada makna rakyat menyokong Pakatan Rakyat kerana dengan PENIPUAN BN akan menguasai PUTRAJAYA lagi dan lagi dan lagi....

    Jika tiada tindakan dari pihak kerajaan utk tunaikan tuntutan BERSIH 2.....harap Pemimpin Pakatan Rakyat pula lancarkan BERSIH 3. Kita buat masa Perhimpuna UMNO atau majlis penting yg akan diadakan oleh UMNO.

    PRU13 penting utk Pakatan Rakyat.... Jika TETAP dikalahkan dgn PENIPUAN BN....maka masa depan PR akan bergelapan.

    BalasPadam
  3. Buat di stadium.. tetiba dia kata tak pernah janjikan stadium.. Cakap macam orang mamai je... Orang sedang kena sindrom mamai begitu boleh caya ka cakap-cakap depa tuh..?

    BalasPadam
  4. Lu bole pecaya ka itu lajib.... wa sampai mampus pun tak caya punyerr..lain la kalau nombot ekor kat surat khabar sin chin looo, wa mesti pecaya punya.

    BalasPadam
  5. Segala janji PM NAJIB tidak boleh percaya lagi kerana penipuan demi penipuan NAJIB terhadap rakyat bagitu jelas sekarang.
    Najib akan berbohong selamanya selagi beliau berkuasa, NAJIB hanya takut pada ROSMAH sahaja.

    BalasPadam
  6. Tuntutan Bersih mesti dilaksankan sebelum PRU nanti. Gerakan mendesak dan menekan SPR dan siapa yang bertanggungjawab untuk menjadikan pilihanraya yang adil mesti diteruskan. Isu ini tak boleh mati walaupun kerajaan akan cuba alihkan dengan isu lain.PM Najib akan cuba "buying time" kerana dia hanya boleh menang dengan undi menipu. Kita katakan sekali lagi, kita tak yakin dengan daftar pemilih SPR, kita tak yakin dengan taraf kerakyatan yg diberi kepada pendatang asing, kita "demand to have an independent audit to review and verify all documents & pengkalan data SPR". Tak perlu PM Najib nak tubuh jawatankuas khas, Jawatankuasa Khas dari pakar-pakar rakyat mesti diletak dibawah YDP Agong, yang sepatutnya bebas dari ahli politik.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.