SPR — Ambiga muncul pentas sama, personaliti bukan isu kata Wan Ahmad
Kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 akan bertemu di pentas yang sama minggu depan sementara Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata isunya bukan personaliti, tetapi peluang menerangkan kepada rakyat isu yang menjadi fokus sekarang.
“Kita akan hadir, saya akan hadir pada forum itu,” kata timbalan pengerusi SPR itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Ini bukan soal... SPR merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan, ini bukan soal personaliti atau soal organisasi, kami merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan,” kata beliau ketika ditanya pendirian suruhanjaya mengenai platform yang sama akan digunakan Selasa depan.
Wan Ahmad (gambar) bersama Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga akan muncul pada wacana “Apa Selepas 9 Julai?” anjuran akhbar Kumpulan Media Karangkraf, penerbit akhbar Sinar Harian, di Shah Alam Selasa depan.
Pertemuan kepimpinan SPR dan Bersih 2.0 itu merupakan kali pertama selepas perhimpunan 9 Julai yang memfokus kepada lapan tuntutan berkaitan pembaharuan pilihan raya.
Turut menyertai mereka ialah Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Wacana itu dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai perkara menyentuh pilihan raya negara ini.
“Kami sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan di mana-mana forum sahaja... kalau diberi ruang kami akan gunakan untuk memberi penjelasan... itulah ruang yang diberikan, dan kami akan menggunakan ruang itu,” kata beliau lagi.
Penganjuran wacana ini dilihat mendapat reaksi berbelah bahagi.
Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu, pihaknya memilih isu tuntutan Bersih 2.0 sebagai tajuk kerana ia masih menjadi bahan perbincangan walaupun dua minggu sudah berlalu.
“Kami menyediakan ruang perbincangan secara intelek kepada orang ramai, membincangkan isu ini secara terbuka... khalayak boleh tanya soalan kepada panel,” kata beliau.
“Ya, ini kali pertama kedua-dua kepimpinan SPR dan Bersih bertemu secara rasmi selepas perhimpunan 9 Julai, peluang bagi mengetahui isu ini secara mendalam,” kata Abdul Jalil yang turut mengesahkan kesemua ahli panel sudah pun mengesahkan kehadiran mereka.
Menurut Abdul Jalil, wacana merupakan program bulanan pihaknya membincangkan isu-isu semasa.
“Sebelum ini, wacana kami menyentuh isu rasuah, isu fitnah dan kali ini kami merasakan isu tuntutan pembaharuan pilihan raya... ini bukan soal politik, tetapi lebih kepada perbincangan akademik, secara intelek... kita menyediakan peluang kepada tokoh-tokoh dan juga orang ramai berbincang dengan waras dan intelek,” kata beliau.
Beliau juga mengakui ada pihak yang tidak berpuas hati dengan wacana kali ini membincangkan isu perhimpunan 9 Julai.
“Tentu ada pihak yang menentang, mereka yang tidak berpuas hati tetapi kita tidak terikat... kita hanya buka medan perbincangan,” kata Abdul Jalil.
Beberapa tulisan blog pro-Umno didakwa mengecam penganjuran wacana ini yang menemukan SPR dan kepimpinan Ambiga.
Usaha mendapatkan Ambiga belum berhasil dan difahamkan berada di luar negara.
Bersih 2.0, yang menurut Putrahaya telah diharamkan sejak 1 Julai lalu, mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai, dengan mendakwa disertai sekitar 50,000 orang, di sebalik sekatan ketat pihak polis.
Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu mengemukakan lapan tuntutan iaitu mrminta SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.