20 Jul 2011

UMNO Masih Terbawa-bawa Politik Zaman Purbakala - TGNA

Saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Kedah iaitu yang melibatkan isu arahan penutupan pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan.

Seperti biasa, media massa yang dimiliki oleh UMNO terus menerus menghentam PAS dan melaga-lagakan di antara pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini. Utusan Malaysia yang menjadi lidah rasmi UMNO pula mengambil kesempatan untuk membina keyakinan palsu di benak pembaca dengan tajuknya PAS Tunduk Kepada DAP.

Saya kira UMNO sudah lupa bahawa mereka sendiri yang meluluskan Enekmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang mana di dalam dalam Jadual C, muka surat 150 dinyatakan dengan jelas syarat am no.8 seperti berikut:

… Jenis-hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat (iaitu, antara jam 6 petang hari Khamis dan jam 2.30 petang hari Jumaat)kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperolehi.

UMNO sudah lupa bahawa pada tahun 1997, mereka masih lagi menjadi kerajaan di Kedah dan sehingga tahun 2011 ia baru dikuatkuasakan di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Layakkah UMNO bertempik sorak pada hari ini kononnya PAS tunduk kepada DAP? Jika demikian, selama ini UMNO tunduk kepada siapa? Simpati sungguh saya kepada kaedah permainan politik kampung yang dimainkan oleh UMNO pada hari ini. Barangkali mereka masih terbawa-bawa dengan politik zaman purbakala yang mengharapkan rakyat di’butatulikan’ pancaindera mereka dengan hanya menerima maklumat sehala sahaja.

Berkali-kali saya nyatakan, PAS sangat berbeza dengan UMNO dalam hal bertahaluf dengan non muslim. Di antara PAS dengan DAP misalnya, PAS sentiasa melontarkan dasar-dasar yang selari dengan prinsip Islam. Berbeza dengan UMNO yang bertempik sakan mahu memelihara Islam, alih-alih bukan sahaja tidak mahu menutup pusat hiburan, bahkan melanjutkan masanya dari jam 2.00 pagi kepada jam 3.00 pagi! Ini telah diputuskan di Melaka melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka pada 7 Julai 2011.

Saya menurunkan kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika mengumumkan perkara ini,

“Keputusan ini diambil sebagai memenuhi permohonan pengusaha terbabit kerana mereka mendapat permintaan pelanggan yang sebahagian besarnya datang bercuti dan mahu berhibur hingga lewat pagi” (Lihat Utusan Malaysia, 8 Julai 2011).

Di Kedah, sewaktu Datuk Seri Azizan mengumumkan bahawa operasi rumah hiburan sepanjang Ramadhan 100% untuk bukan Islam, dan penarikan lessen serta merta akan dilakukan jika terdapat pengunjung muslim, Utusan Malaysia melompat tinggi melatah seolah-olah langit sudah runtuh.

PAS dikatakan tunduk kepada DAP sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah ialah memberikan hak kepada bukan Islam dan juga memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan ibadah sepanjang bulan itu.

Namun apabila kerajaan negeri Melaka mengumumkan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan, di mana Utusan Malaysia? Di mana NGO-NGO yang hebat membela Islam? Sudah hilangkah darah segala pendekar Melayu yang siap mengatur pencak membela kesucian agama mereka?

Hakikatnya, UMNO tidak pernah meletakkan akhirat menjadi agenda dalam perjuangan. Di mana-mana sahaja tempat UMNO berkuasa dan menjadi majoriti, tidak pernah agenda Islam menjadi keutamaan. Berbeza dengan PAS yang ditohmah menjadi alat DAP, PAS mengambil ruang dan peluang yang ada untuk sentiasa melontarkan dasar yang selari dengan Islam. Di Melaka, siapakah yang menjadi majoriti jika bukan UMNO? Jika PAS dikatakan menjadi alat DAP, UMNO alat siapa? Alat nafsu?

Sayangnya, UMNO menjadi majoriti langsung tidak menguntungkan Islam. Barangkali itulah sebabnya tangan mereka sentiasa menggapai PAS. Saya katakan, turun sahajalah UMNO dari takhta kuasa, bertenggek di situpun tiada apa yang boleh ditumpang bakti.

Apapun, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah. Usah dipeduli nista dan cerca pihak yang berkokok berderai-derai dengan ekor yang memalukan.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan Darul Naim.
Bertarikh: 18 Julai 2011

8 ulasan:

  1. usah dipeduli tentera2 syaitan. kita bergerak seiring dengan lembayung islam.. insyaAllah. dipermudahkan. para munafikin akan terjerat jauh di dasar neraka..

    BalasPadam
  2. komen yang terbaik!,teruskan.

    BalasPadam
  3. HUUUUUUU...... kemas jawapan tok guru. UMNO ni bukan bodoh tapi jahat. kalu akulah jadi ahli UMNO, atas hujjah ni aku rasa setakat ni lah saja aku ikut UMNO. Tak leh nak heh, tok leh nak jawab dah. buah penyudah. kalu dok pukul mati pun orang kata buah nguci. kalu lawan lagi tubik minyak lah jawab nya. syabas tok guru.

    BalasPadam
  4. Siapa pun kamu. Tetap akan dipertanggungjawab setiap patah perkataan @ tulisan. Ali Rostam,Umno dan Utusan adalah golongan yg dah lama Pas kata jahil juga munafik. MB Kedah seorg ulama Pas. Lebih alim, lebih tahu dosa pahala. Soal hiburan di bulan puasa, satu topik. Ada lg yg lebih besar iaitu judi n arak n patong Helang di Langkawi. Tahukah Nik Aziz, rakyat awam pening fikir tentang prinsip Pas. Sekarang dalam Pas ada Islam Kelantan, ada Islam Kedah dan ada Islam pejabat agong. Turun pd ahli Pas kata nak laksana Islam, pada Dap, kita boleh bincang semula, pada PKR setuju Anwar jd PM. Selaku Mursyidul Am, apakah Nik Aziz tdk rasa dosa judi,arak di Kedah dia juga akan tanggung. Kenapa hanya di Kelantan haram, di Kedah halal. Islam versi mana yg di pakai. Kalau krn pengundi DAP takut nak haram judi n arak. Tutup semua kitab, kembalilah kepada zaman jahiliah, semua boleh. Di akhir-akhir ini ulama Pas terlalu byk mencari hujah alquran,hadis dan sirah yg menghalalkan apa juga tindakan mereka. Terbaru Hj Hadi mengiktiraf Ambiga sebagai profesional yang adil. Apakah seorang yg menyokong Lina Joy untuk murtad boleh di katakan adil oleh seorg ulama...?

    BalasPadam
  5. lebih baik hormati sahabat dalam pakatan rakyat DAP dan PKR yang belum pernah berkuasa dari menjadi pecacai umno yang telah berkua lebih dari 50 tahun dan tidak pernak terlintas dibenak peminpin mereka untok memertabatkan hukum islam malah sentiasa memusuhi ulama yang berjuang untok memertabatkan islam contoh yang ketara ustaz ibrahim libia dan orangnya2 telah dibunuh dan disamakan perjuangan ustaz ibrahim libia dengan perjuangan komunis menunjukan betapa jahilnya umno tidak dapat membeza antara islam dan konunis begitu juga dato' ishak baharum yang telah dipecat dari jawatan mukhti kerana cuba mencegah perempuan melayu islam dari memperagakan tubuh sebagai model.
    sebenarnya umno tidak berminat langsong dengan islam apa yang mereka ucapkan umno sebagai memperjuangkan islam hanya kata2 dimulut padahal hati mereka penuh dengan sifat kemunafikan hanya orang yang dibutakan mata hatinya sahaja yang menyokong umno.

    BalasPadam
  6. lebih baik hormati sahabat dalam pakatan rakyat DAP dan PKR yang belum pernah berkuasa dari menjadi pecacai umno yang telah berkua lebih dari 50 tahun dan tidak pernak terlintas dibenak peminpin mereka untok memertabatkan hukum islam malah sentiasa memusuhi ulama yang berjuang untok memertabatkan islam contoh yang ketara ustaz ibrahim libia dan orangnya2 telah dibunuh dan disamakan perjuangan ustaz ibrahim libia dengan perjuangan komunis menunjukan betapa jahilnya umno tidak dapat membeza antara islam dan konunis begitu juga dato' ishak baharum yang telah dipecat dari jawatan mukhti kerana cuba mencegah perempuan melayu islam dari memperagakan tubuh sebagai model.
    sebenarnya umno tidak berminat langsong dengan islam apa yang mereka ucapkan umno sebagai memperjuangkan islam hanya kata2 dimulut padahal hati mereka penuh dengan sifat kemunafikan hanya orang yang dibutakan mata hatinya sahaja yang menyokong umno.

    BalasPadam
  7. wonderpet said....

    Walauapapun yang diperkatakan...yang nyata perjuangan PAS sudah agak terpesong dari matlamat asal penubuhannya.Dalam banyak perkara DAP yang dilihat lebih memainkankan peranannya dari segi membuat keputusan.DAP terang-terangan menolak penubuhan negara ISLAM atau undang-undang ISLAM sekiranya ingin dilaksanakan.Yang menjadi mangsa keadan orang melayu.....

    BalasPadam
  8. apakah kerana dap dilihat memainkan peranan disegi membuat keputusan dalam pakatan rakyat yang maseh lagi sebagai pembangkang kalau dilihat kerusi yang dimiliki dap pun memang dap yang lebih maka kita telah mengangap pas telah terpesong dari perjuangan asal sebenarnya dalam pas kuasa penentu berada ditangan ahli, pemimpin hanya menjalankan tugas yang diamanahkan sahaja, sedangkan umno kuasa penentu berada ditangan peminpin ahli hanya sebagai pak turut sahaja apa bila peminpin menolak islam maka ahli terpaksa mengikut walau pun yang menjadi ahli umno itu seorang yang digelar ustaz mempunyai ijazah PHD tetapi tidak ada jati diri inilah hakikat yang kita lihat dulu kini dan....

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.