3 Jun 2011

UMNO Takut Mohd Sabu Menang Timbalan Presiden

Pemilihan PAS antara dua garis politik Oleh Hishamuddin Rais

Saya selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Ada yang menarik. Sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu - si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisahkan macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolung ke dalam satu kelas. Secara kasar, ada dua kelas - yang memerintah dan yang diperintah. Contohnya yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini, golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Manakala kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit. Mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat, fakta sahih yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini - menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Tamat. Agenda-agenda yang lain hanyalah alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk diagih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai - suara rakyat - diwakili oleh Pakatan.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi maka si mamat atau si minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia, hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikun di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan gulungan feudal di Arab Saudi. Sarkozy di Perancis dipilih untuk mempetahankan kepentingan saudagar Perancis dan kaum Zionis di Perancis.

Parti borjuis kecil

Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi diatas maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mohamad Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk saya pertandingan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden parti PAS ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.

PAS mewakili guru-guru Melayu, tok peraih, penjaja, tuan empunya warung, kontraktor kelas bawah, peneroka, nelayan, termasuk juga askar dan polis pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.

Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu, bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan, penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongn kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan tauke dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.

Justeru hari ini kita akan bertemu dengan ulama yang bekerja dengan United Malay National Organisation. Mereka ini saudagar agama yang kaya dan lumayan. Kerja mereka ialah mencari ayat-ayat dan hadis nabi untuk 'menghalalkan' apa saja dasar dan tindak tanduk United Malay National Organisation.

Dengan ini apakah Mat Sabu dan Nasarudin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti tauke tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chettiar can mandur tetapi ramai kuli estet yang menjadi ahli.

Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam PKR juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana elektrik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.

Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang diwakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi, perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.

Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, istilah ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah 'tagline' untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli PAS adalah manusia warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini, jenama ulama ini cukup memyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam parti PAS.

Tabur racun

Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi 'calon ulama' atau yang 'bukan calon ulama' itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Akhbar Utusan Malaysia dianggap suara musuh oleh PAS dan Pakatan. Kebelakangan ini, sebelum muktamar PAS berlangsung, akhbar ini tiba-tiba menyatakan rasa gembira dan senang hati jika 'kumpulan ulama' dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) – kumpulan Umno pencen – tiba-tiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu 'tim ulama' menang dan terus berkuasa.

Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun berkempen agar ahli PAS akan mengenepikan Mat Sabu.

Lalu timbul persoalan, kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.

Nasharudin walau pun dalam parti PAS tetapi dilihat memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar - borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya PAS dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasama dalam satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini di bawah lambang perpaduan Melayu.

Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasarudin dan Tuan Ibrahim ini memiliki implikasi yang amat jauh merentas markas tarbiah PAS di Gombak. Kemenangan Mat Sabu akan membuka satu garis baru dalam PAS. Garis ini ialah garis memperjuangan golongan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu padi kunca di Kedah di mana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.

Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Malah Nasarudin ini didakwa sedia bersekongkol dengan United Malay National Organisation. Manakala Tuan Ibrahim mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.


Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. Ini samalah seperti United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.

Pasti ada sosok-sosok dalam Pas yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – Insya-Allah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jenis Nasarudin ini juga ada dalam PKR dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.

Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya di satu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.

10 ulasan:

  1. kami penyokong pas tidak bhasrat mendapat kuasa kerana nak merebut kekayaan sebaliknya kami mahu pemerintah yang kami dukungi itu melaksanakan undang2 dan penguatkusaan yang boleh membawa umat islam mentaati peritah ALLAHSWT dengan mendapat kejayaan diahirat nanti itulah matalamay kami WALLAHUALAM.

    BalasPadam
  2. Komen yang baik. Suka jika sdr Muhamad Sabu terpilih. Status Ulamak bukan isu di sini. Jika perwakilan memilih beliau...maka perjuangan akan lebih terserlah. Bukan nak nafikan Ustaz dalam hal ini. Kombinasi TGHAH dan Muhammad (insyaAllah terpilih) akan mengukuhkan lagi perjuangan. INGAT UMNO MEMANG SUKA NAK SURUTKAN PERJUANGAN PAS BILA MEREKA CUBA GAGALKAN. Jika muhammad tidak terpilih....umno akan mainkan isu ni...berilah peluang kepada beliau.

    BalasPadam
  3. Sapa yg terpilih, bukan ada isu. Sapa yg ikhlas berjuang demi Allah walau sapa yg jadi pemimpin, walau tak menang, walau pelbagai kata nista...pasti teguh berdiri.

    Ulasan bloggers tak lain hanya pendapat. Nilaian Allah pada pelaksana, bukan pada sebaik manapun pendapat tapi tidak terjun berjuang.

    Keputusan syura itu berkat, walau ada sedikit cacat di sana sini. Sementelahan contoh perjuangan telah berlalu 1400 tahun, takkan dapat sesempurna perjuangan Rasul walau panduan ada dalam kitab. Peringkat perlaksanaan, pasti ada salah silap. Namun, dasar perjuangan tidak berubah. Itu yg utama.

    BalasPadam
  4. kalau mat sabu menang mau UMNO tidur tak lena

    BalasPadam
  5. Umno takut dengan Mat Sabu orang cukup pengalaman dalam politik,
    sepanjang hayatnya menentang kezaliman UMNO.

    BalasPadam
  6. hidup mat sabu pejuang yang menentang UMNO penjajah bangsa sendiri

    BalasPadam
  7. pengaruh PAS lebih kuat dikalangan pemuda sekiranya mat sabu menang, insyaallah

    BalasPadam
  8. Saban malam mat sabu ceramah depan pengundi muda dimalaysia, bagaimana UMNO nak tidur lena

    BalasPadam
  9. Musuh Mat Sabu bukan sekadar UMNO tapi yang lebih menjijikkan adalah musuh dalaman,puak UG.

    BalasPadam
  10. Sejarah telah membuktikan Ulamak dah jadi ular dalam semak!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.