14 Jun 2011

PR Kutuk Si Kotor Yang Nak Ganggu BERSIH

Himpunan Bersih: Pemuda Pakatan kecam Perkasa, dakwa sengaja mahu buat kacau

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Sayap pemuda Pakatan Rakyat mengecam langkah pertubuhan membela hak Melayu, Perkasa yang mahu menghalang perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengadakan perarakan balas serentak 9 Julai ini.

Malah pemimpin pemuda Pakatan Rakyat juga menyifatkan tindakan Perkasa mahu mengerahkan ahlinya berarak dan bertembung dengan himpunan Bersih sebagai “satu ancaman serius” dan “tidak memahami hak asasi manusia.”

Mereka juga mendakwa Perkasa sengaja mahu membuat kekacauan dan menimbulkan huru-hara apabila mengambil pendekatan itu.

“Kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara.

“Polis perlu menyiasat (Presiden Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka,” tegas Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.

Semalam Ibrahim memberi amaran bahawa mereka akan menganjurkan protes balas bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru-hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Bagaimanapun Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan dan pemimpin PAS menegaskan himpunan Bersih bulan depan tetap akan diteruskan walaupun dibantah banyak pihak.

Suhaizan menegaskan himpunan Bersih 2.0 tidak akan menimbulkan huru-hara seperti mana yang didakwa Ibrahim.

“Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah, polis boleh menjaga keamaman himpunan Bersih dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara.

“Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak Perkasa dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana, maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza,” katanya.

Justeru tambah beliau, polis perlu mengadakan perbincangan dengan kedua-dua penganjur untuk menetapkan laluan masing-masing.

“Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara.

“Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman, maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu, maka polis akan dihina oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon menyifatkan tindakan Perkasa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu beliau juga menyifatkan Perkasa tidak memahami hak asasi manusia apabila cuba menghalang rakyat menuntut keadilan dalam perjalanan pilihan raya.

“Perkasa telah memutarbelitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 sebagai sesuatu tindakan yang mengacau... fokus dan matlamat Bersih 2.0 sengaja dialihkan dengan ancaman Perkasa yang akan menganjur pertembungan dan “lawan habis-habisan” pada hari sama.

“Sebenarnya perhimpunan aman yang akan dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya dan Adil adalah sah, ia adalah usaha rasional,” katanya.

Tegas Lee, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun sistem pilihan raya yang diadakan selama ini tidak telus selain telah dimanipulasikan.

“Pelbagai masalah serius seperti senarai pengundi yang mengandungi pengundi hantu, mengundi lebih sekali, undi pos yang bermasalah, tiada liputan adil oleh media dan sebagainya masih berleluasa dan tiada tindakan reform yang sebenar dijalankan.

“Maka, AMK menyeru agar Perkasa dan Konsesus Bebas untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada tuntutan Bersih 2.0 untuk pendemokrasian Malaysia. Sebarang tohmahan yang dilemparkan ke atas himpunan Bersih atau usaha untuk pertembungan dengan Bersih adalah tidak wajar serta tidak bijaksana,” katanya.

Selain itu, tambah Lee, himpunan Bersih yang turut disertai parti politik tidak sepatutnya dilabelkan sebagai aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

“Perhimpunan dan perarakan yang aman adalah perkara biasa di banyak negara demokrasi yang maju, malahan tidak perlu memburukkannya.

“Aktiviti seperti demonstrasi atau perhimpunan hanya merupakan satu proses biasa untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak yang berkuasa.


“Oleh itu, AMK berharap pihak polis akan bertindak profesional dengan memberi permit kepada herhimpunan Bersih,” katanya. -TMI


Umno: Ini bukan BERSIH, tapi kotor

Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai ini adalah “himpunan kotor, bukan bersih," kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Sambil menyindir perhimpunan itu, Ahmad berkata, BERSIH akan menjadi "titik hitam" yang menjejaskan prestasi baik kerajaan dalam "364 hari lagi".

"(Ia) susahkan rakyat, rugikan penjaja, rugikan peniaga yang ada kedai, rugikan pemandu teksi," katanya.

Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara bagi membaikpulih sistem pilihan raya.

Tuntutan itu bagi membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minima 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor.

Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Ahmad menyifatkan perhimpunan itu sebagai ancaman kepada ekonomi negara, khususnya terhadap industri perlancongan dan pelaburan asing.

"Ia (BERSIH) bukan ancaman pada UMNO saja, ia ancaman pada negara. Kita lihat perhimpunan dulu (pada 2007), enam bulan baru pelancong kembali pada tahap sebelumnya," kata Ahmad Maslan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, belum pernah ada demonstrasi anjuran pembangkang berlangsung dengan tenang setakat ini.

"Tidak pernah lagi berlaku perkara itu. Pengalaman kita tidak pernah ada demonstrasi yang aman.

"Ada seorang saja yang 'histeria', habislah," katanya ketika ditanya tentang dakwaan Pemuda PAS yang menjangkakan perhimpunan itu akan aman sekiranya polis memberikan kerjasama.

Pembangkang jadi dalang

Ahmad juga berkata, BERSIH bukan mewakili kehendak NGO, sebaliknya didalangi pemimpin Pakatan, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tahu yang dibelakang-belakang ini semua (BERSIH 2.0) adalah pembangkang. Ini adalah alat pembangkang.

"(Ini) agenda kotor," katanya sambil menunjukkan gambar pemimpin PKR, DAP dan PAS dalam majlis kempen BERSIH.

Ahmad sebelum itu mengadakan perbincangan dengan NGO Melayu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) yang menentang penganjuran perhimpunan tersebut.

Antara hasilnya, Ahmad berkata, beliau mencadangkan semua berkaitan, termasuk persatuan penjaja dan pemandu teksi membuat laporan polis boleh dan menyaman penganjur perhimpunan itu.

"Saya mengesyorkan NGO yang lain buat laporan polis sebanyak yang boleh. Pemandu teksi sediakan peguam-peguam (ambil tindakan) untuk saman," katanya.

Turut hadir penasihat Pekida Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan Datuk Hamzah Daud dan Presiden Datuk Roslan Dahaman. -mk


Ulasan GB

Yang KOTOR itu ialah yang nak buat kacau dan yang nak ganggu perhimpunan BERSIH.

Rupa-rupanya laporan polis yang banyak dibuat oleh NGO-NGO itu adalah hasil hasutan Ahmad Maslan.

Antara hasilnya, Ahmad berkata, beliau mencadangkan semua berkaitan, termasuk persatuan penjaja dan pemandu teksi membuat laporan polis boleh dan menyaman penganjur perhimpunan itu.

"Saya mengesyorkan NGO yang lain buat laporan polis sebanyak yang boleh. Pemandu teksi sediakan peguam-peguam (ambil tindakan) untuk saman," katanya.

Itulah kerja kotor UMNO dan sememangnya UMNO itu pengotor, justeru itu mereka cukup takut dengan BERSIH kerana apabila dibersihkan nanti, maka ternampaklah kurap-kurap penipuan, songlap, rasuah, kroni di seluruh tubuh badan mereka.

4 ulasan:

  1. Terkini PUKIDA pula mahu membantu UMNO untuk halang BERSIH.

    Ternyata Perkasa/Pukida ini memang BANGANG undang dan hak asasi manusia.

    Kesian pada UMNO kerana sentiasa disokong untuk membawa BODOH & REBAH.

    BalasPadam
  2. kalau tak mahu perhimpunan bersih 2.0 diadakan senang saja laksanakan tuntutan dalam bersih habis cerita susah sangatka? kalau tak ada niat menipu dlm pilihanraya kalau rasa bn kuat dan dapat sokongan rakyat buat sajalah ingat pr dan ngo ni suka sgtka buat demo ni kena sembur gas kena air gatal orang yang tak suka bersih ni orang yang tak mahu keadilan org yang takut kalah puak perkasa ni otak plastik ka itu pun tak tau nak fikir yang fikir bab keamanan bab kerugian tu pasai apa benda boleh elak akai ada ka?

    BalasPadam
  3. SALAM BERSIH.....
    HATI-HATI SEMASA PERHIMPUNAN BERSIH 2.0 NANTI...
    KERANA YANG AKAN MEMBUAT HURU-HARA DALAM PERHIMPUNAN BIASA DILAKUKAN OLEH KUMPULAN BARUA-BARUA ATAU BALACI-BALACI YANG SUDAH MENDAPAT UPAHAN DARI PIHAK YANG SUKA MELIHAT KEKACAUAN...
    KUMPULAN INI AKAN MENJADI DURI DALAM DAGING
    KALAU BOLEH PADA PERHIMPUNAN BIARLAH PENAJA BERSIH 2.0 KENAL ORANG YANG DALAM KUMPULAN MEREKA (NEGERI, DAERAH, KAMPUNG ATAU JAJAHAN)SEBAB SEKIRANYA TERJADI KEKECOHAN SENANG UNTUK KETAHUI KUMPULAN ITU DARI MANA...
    JANGAN TERJADI MACAM DI BATU BURUK KUALA TERENGGANU SUATU KETIKA DAHULU.... ADA BARUA DAN BALACI YANG BUAT KACAU... PAK POLISI TERUS TUNJUK KEHEBATAN BERMAIN SENJATA API SEHINGGA SENGAJA MENEMBAK ORANG AWAM.... PERHIMPUNAN YANG SEMEMANGNYA BERSIH DAN TENTERAM... TERUS JADI HURU-HARA DISEBABKAN BARUA DAB BALACI UPAHAN

    BalasPadam
  4. tak boleh dinafikan ada pehak telah dilatih untok melakukan provokasi dalam perhipunan bersih itu nanti harap ambil perhatian!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.