13 Jun 2011

Kes Khir Toyo: Khir Bagitahu "Tak Payah Pakai Resit" - Saksi

Saya Diarah Beli Banglo RM6.5 Juta - Syamsuddin

SHAH ALAM: Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bahawa beliau tidak mempunyai pilihan selain mematuhi arahan bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo agar membeli dua lot tanah dan rumah di Seksyen 7, di sini pada tahun 2004.

Gambar: Saksi ketiga, Nasir Ismail (tengah) berjalan keluar dari mahkamah sambil dikawal oleh pengawal peribadi selepas hadir perbicaraan kes pemilikan dua lot tanah dan banglo milik bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga bekas rakan subahat Mohamad Khir yang dibebaskan dari pertuduhan tersebut, suruhan itu diutarakan oleh bekas menteri besar terbabit dalam satu perbincangan yang turut disertai oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Sumadi Ismail.

"Saya setuju untuk beli kerana saya seorang ahli perniagaan dan mempunyai projek di Selangor manakala beliau pula seorang MB. Seorang MB minta saya beli rumah, pada saya, saya tiada pilihan. Patut diteruskan," katanya yang menyambung keterangannya yang terhenti pada Rabu lalu.

Saksi pendakwaan kedua itu seterusnya memberitahu, Mohamad Khir pada awalnya meminta agar Sumadi membeli rumah tersebut, tetapi permintaan itu ditolak oleh Sumadi atas alasan beliau mempunyai komitmen lain.

"Mohamad Khir suruh saya pula yang beli. Waktu itu pemahaman saya adalah beliau berminat dengan rumah itu dan mungkin satu hari, beliau mahu membeli rumah tersebut daripada saya," tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed, Shamsuddin, 55, memberitahu pemilik asal hartanah tersebut, Saiful Aznir Shahabudin, 51, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kebangsaan Berhad, menawarkan harga RM7 juta sebelum dipersetujui kedua-dua pihak kepada RM6.5 juta.

Tambahnya, pembayaran pendahuluan hartanah itu sebanyak 10 peratus, iaitu RM650,000 dibuat secara tunai, sementara bakinya dibuat secara tunai dan cek, termasuk wang yang dipinjamnya sebanyak RM3,010,000.

Shamsuddin dan Saiful Aznir menandatangani perjanjian jual beli pada 23 Disember 2004.

Pada keterangan lain, Shamsuddin memberitahu, Mohamad Khir telah melantik pereka laman bebas, Nasir Ismail, 55, untuk melakukan pengubahsuaian kepada rumah itu dan saksi ada membuat pembayaran berjumlah RM1.5 juta secara tunai kepada Nasir.

"Setiap kali saya buat pembayaran, saya akan maklumkan kepada Mohamad Khir. Beliau tidak akan cakap apa-apa. Sepatutnya beliau yang bayar," katanya dan menambah, tidak pernah menerima semula wang yang dibayarnya.

Shamsuddin juga memberitahu, hartanah tersebut yang dibelinya di atas nama Ditamas Sdn Bhd telah dijual dan dipindah milik kepada Mohamad Khir dan isteri, Zahrah Kechik pada tahun 2007.

"Perbincangan berlaku antara saya dan Mohamad Khir. Dia mahu penjualan pada harga RM3.5 juta. Saya sebenarnya tidak bersetuju kepada harga itu terlalu rendah dan saya nyatakan sekurang-kurangnya RM5 juta hingga RM5.5 juta.

"Waktu saya beli harga RM5 juta, tambah ubahsuai RM1.5 juta, jadi harganya sudah naik menjadi RM6.5 juta. Saya nak bagi diskaun sedikit, sebab itu saya letak RM5.5," katanya.

Beliau seterusnya menambah, Mohamad Khir memaklumkan bahawa beliau hanya boleh membeli rumah tersebut pada harga RM3.5 juta, yang kemudiannya dipersetujui oleh saksi.

Semasa diminta menjelaskan mengapa beliau bersetuju untuk menjual pada harga yang rendah, Shamsuddin berkata:

"Setelah berbincang dengan orang rumah saya (isteri), saya ada projek di Selangor dan seorang MB mahu rumah saya dengan harga RM3.5 juta. Saya setuju kerana khuatir dengan kedudukan saya sebagai seorang ahli perniagaan di Selangor dan projek saya tergugat."

Katanya lagi, perjanjian jual beli antara beliau dan Mohamad Khir serta Zahrah Kechik ditandatangani pada 29 Mei 2007.

Saksi seterusnya menerima deposit RM500,000 menerusi cek bertarikh 28 Mei 2007 yang ditandatangani oleh Mohamad Khir manakala bakinya RM3 juta dibayar menerusi cek kepada Ditamas bertarikh 16 Ogos 2007.

Perbicaraan hari ketiga pada Isnin ditangguhkan kepada Selasa, ekoran permohonan peguam M. Athimulan yang mengetuai barisan pembelaan Mohamad Khir mengemukakan hasrat mereka untuk mencabar kredibiliti Shamsuddin.

Athimulan memberitahu, pihaknya mahu membuat permohonan agar mahkamah memerintakan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rakaman percakapan saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pembelaan yang akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membenarkan perbicaraan ditangguhkan atas alasan 'demi keadilan' dan permohonan tersebut dijadualkan didengar pada Selasa.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan Zahrah, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, melalui pengarahnya Shamsuddin, pada harga yang murah.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi MB Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -mstar


Khir Toyo Arah Catat Nilai Ubah Suai Banglo RM600,000 Sahaja - Saksi

SHAH ALAM: Pereka lamab, Nasir Ismail memberitahu, bahwa dia hanya menuruti permintaan Dr Mohamad Khir Toyo untuk menyediakan surat yang menyatakan nilai pengubahsuaian rumah di Seksyen 7, di sini ialah RM600,000 walaupun mendakwa nilai keseluruhannya adalah melebihi RM6juta.

Menurut Nasir, surat tersebut disediakan selepas Mohamad Khir memerlukan surat bagi tujuan formaliti kerana berhasrat untuk membeli rumah tersebut dan dua lot tanah itu daripada syarikat Ditamas Sdn. Bhd.

Kata saksi lagi, jumlah RM600,000 itu juga dicadangkan oleh Mohamad Khir.

"Waktu itu dia adalah MB (Menteri Besar) Selangor, apa dia suruh saya buat," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Semasa disoal balas oleh peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi tidak bersetuju bahawa surat itu adalah satu perjanjian kerana menurut saksi, dia tidak boleh menandatangani sebarang perjanjian ekoran status dirinya yang bankrap.

Merujuk kepada surat tersebut, Nasir seterusnya berkata, dia menerima pembayaran sebanyak RM100,000 menerusi sekeping cek bertarikh 4 Jun2007, namun tidak dapat mengingati jika dia ada menerima dua lagi keping cek bernilai RM100,000 (bertarikh 8 Ogos 2007) dan RM200,000 (10 September 2007).

Pada keterangan lain, Nasir, 55, menafikan dakwaan Athimulan yang mengatakan berlaku pergaduhan antara dia dengan Mohamad Khir yang didakwa berpunca apabila Mohamad Khir tidak menjelaskan bakinya sebanyak RM200,000.

Sebaliknya, saksi menjelaskan pergaduhan tersebut berlaku antara dia dengan isteri Mohamad Khir, Zahrah Kechik yang dikatakan tidak menggemari konsep Bali yang dibuatnya.

Nasir yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ketiga juga mempertahankan keterangannya bahawa nilai pengubahsuaian rumah tersebut melebihi RM6 juta dan bukannya antara RM600,000 hingga RM1.5juta seperti yang dicadangkan oleh Athimulan.

Selain itu, Nasir juga mengakui bahawa dia tidak menyimpan sebarang dokumen seperti resit menyebabkan dia tidak dapat mengingati dengan jelas semasa ditanya oleh Athimulan berhubung pembayaran cek-cek bagikerja-kerja pengubahsuaian.

Athimulan: Kamu tidak ingat atau tidak mahu ingat? Wang penting bukan?

Nasir: Saya lebih tumpukan pada kerja. Pasal akaun saya tidak berapa ingat kerana saya orang seni. Saya tumpukan pada kerja-kerja untuk mencantikkan rumah. Duit penting juga.

Saksi seterusnya berkata, dia tidak dapat mengingati dengan tepattarikh setiap kali Mohamad Khir didakwa menyerahkan wang kepadanya, melainkan mengatakan ia diberikan secara tunai.

"RM500,000 diserahkan di dalam sebuah beg. Wang diserahkan di kediaman rasmi MB Selangor dan waktu itu hanya ada saya dan Mohamad Khir," tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud, dia tidak menyediakan resit atau menyimpan dokumen penyerahan wang kerana Mohamad Khir beritahu 'tak payah pakai resit'.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan bagi dirinyadan Zahrah, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuahrumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, melalui pengarahnyaShamsuddin, pada harga yang murah.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L,Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan iadibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukankesalahan itu di kediaman rasmi MB Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda ataukedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung Selasa. -mstar



5 ulasan:

  1. anak toyol memang bijak,kerana UMNOlah beliau kayaraya, kerana UMNOlah kebal undang, kerana UMNOlah rakyat sensara sehingga kini. BARANG NAIK adalah ciptaan UMNO untuk menindas rakyat, rakyat perlu sedar, adakah UMNO menjaga kepentingan rakyat jawapanya TIDAK. oleitu sekiranga rakyat menyokong UMNO maka rakyat perlu hadapi penindasan jahat dari gulungan Elit UMNO dan kroni UMNO serta cukong UMNO.rakyat ditindas sehingga keanak cucu rakyat.

    BalasPadam
  2. bijak kena kat dia...akhirat nanti hg tau sapa lagi bijak dari doktor gigi mcm hg...pelaq oiiiiiiiiiiiiii

    BalasPadam
  3. kerana UMNO lah dia dapat sponsor tiket 1st class neraka selagi tidak bertaubat...

    BalasPadam
  4. khir toyo pasti leps sebab dalam kes ini tiada seekor lembu pun terlibat. jangankan lembu susu lembu pun tiada disebut.

    BalasPadam
  5. Alahai kes buntingkan anak dara orang pun boleh lepas bebas & sekarang dah jadi tokeh video xxx pulak.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.