26 Mei 2011

Wajah Ceria Untuk Menutup Hiba - Mangsa Tragedi Sudah Yatim, Kini Kudung Pula

Ampang: Mangsa tanah runtuh yang kaki kirinya terpaksa dipotong di lokasi kejadian bagi menyelamatkan nyawanya, Zulkhairi Aminuddin, 13, menerima nasib menimpanya sebagai suratan takdir dan ketentuan Allah.

Walaupun kejadian tanah runtuh itu sudah lima hari berlalu, namun beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang di sini, masih sebak dan trauma terkenangkan saat-saat cemas itu, terutama kehilangan 16 rakan serentak.

“Hingga ke saat ini saya masih sebak dan trauma dengan apa yang berlaku. Namun, saya reda dan menganggap ini semua ketentuan Allah,” katanya menitiskan air mata ketika ditemui semalam.

Zulkhairi yang belajar di madrasah itu sejak tiga tahun lalu, berkata ketika kejadian beliau berada di bawah khemah di tepi bangunan utama apabila tiba-tiba berlaku gegaran disusuli tanah runtuh.

“Kejadian berlaku sangat pantas... saya tidak sempat lari menyelamatkan diri menyebabkan kaki saya dihempap batu besar dan tertimbus di bawah runtuhan tanah sehingga ke paras pinggang,” katanya.

Kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut oleh pasukan perubatan di tempat kejadian kerana hancur akibat dihempap batu besar.

Selain Zulkhairi, turut dirawat di ICU hospital ialah Mohd Izzuddin Abdullah @ Ibrahim, 29. Seorang lagi, Mohd Irwan Zakaria, 32, yang juga terpaksa dipotong kaki kanan kini sudah dipindahkan ke wad lain untuk pemantauan.

Seorang daripada enam yang dirawat di wad khas bencana hospital itu, Khairul Anuar Nazri, 9, pula dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut kerana disyaki mengalami kecederaan dalaman.

Belum dapat dipastikan bila semua mangsa akan dibenarkan pulang kerana masih diberikan rawatan susulan termasuk oleh pakar psikologi berikutan trauma yang dialami mereka akibat tragedi itu.

Sementara itu, Mohd Irwan pula berkata beliau tidak mungkin boleh melupakan peristiwa sedih dan mencemaskan, Sabtu lalu itu.

Namun, Mohd Irwan yang dipotong kaki hingga paras paha, berkata beliau tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian di madrasah itu apabila sembuh kelak dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. -BH

Ulasan GB

Mereka akur dengan taqdir Ilahi, bersabarlah wahai anakku...
wahai orang berada, memberilah meskipun mereka tidak meminta ..
mana tahu esok lusa giliran siapa..
Allah sebenarnya sedang menguji kita juga..

1 ulasan:

  1. aku derdoa ada org yg berada diluar sana ingin menjadikan mereka anak angkat. bantulah mereka wahai org yg biberikan rezeki yg mewah

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.