22 Mei 2011

[Video] Tragedi Tanah Runtuh, Dewan Ranap &, Laporan Al-Jazeera

Tanah runtuh Hulu Langat: Dewan ranap, surau rosak

KUALA LUMPUR: Kebanyakan penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, tergamam dan tidak sempat melarikan diri daripada runtuhan tanah kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Ada antara mereka menyedari pergerakan tanah kecil di tebing bukit berhampiran bangunan dan tidak menyangka akan berlaku runtuhan besar, sekali gus meranapkan dewan serba guna dan merosakkan sebuah surau.

Penduduk kampung yang tiba awal di tempat kejadian juga menghadapi masalah mengeluarkan mangsa yang terselamat kerana hanya menggunakan cangkul untuk mengorek tanah runtuh serta tidak mampu mengangkut batu besar serta kesan runtuhan bangunan.

Kebanyakan mangsa berjaya dikeluarkan apabila pasukan mencari dan menyelamat tiba bersama jentolak serta kelengkapan lain.

Mohamad Faizal Ismi, 17, adalah antara penghuni yang terselamat kerana sempat melarikan diri sebaik saja ternampak tanah runtuh di belakangnya dan menyaksikan beberapa rakannya tertimbus.

Ketika kejadian, dia sedang sibuk menyiapkan kerja menghias pentas untuk majlis khas bersama Perbadanan Kemajuan Filem Negara (FINAS) yang dijadualkan jam 5 petang semalam.

Pelajar tahun lima, Mohamad Akmal Mohd Jafri, 11, turut terselamat daripada ditimbus apabila terlebih dulu dihempap sebuah basikal sebelum tanah runtuh menimpanya.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Kebangsaan Tun Hussein Onn 2 itu yang mengikuti program motivasi hujung minggu di madrasah berkenaan berada berdekatan dewan sempat menyaksikan bangunan bergegar sebelum runtuh menimpanya.

Ibu mangsa, Marliza Sulong, 43, berkata, dia terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu yang menerima rawatan di klinik Batu 14, Hulu Langat, dekat sini.

“Anak saya selamat dan cuma luka ringan di kepala serta anggota badan, tetapi cukup sedih melihat mereka yang terkorban,” katanya.

Seorang saksi yang dikatakan paling awal tiba di tempat kejadian, Abdur Rahman Mohd Lazim, 43, terkejut apabila dua penghuni anak yatim berlari menemuinya meminta tolong.

Ketika itu, Abdur Rahman sedang bersiar di kawasan itu menunggang motosikal.
“Dua penghuni menangis sambil berlari meminta tolong. Ketika sampai ke tempat mereka, saya nampak enam penghuni tertimbus merintih dan meraung sakit. Hanya bahagian wajah mereka yang kelihatan manakala badan ditindih batu, kayu dan tanah runtuh.

“Saya cuba membantu dengan menarik mereka keluar tetapi mereka meraung kesakitan. Beberapa minit selepas itu mereka terkulai, saya tak tahu sama ada masih hidup atau sebaliknya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azri Ashraf, 17, berkata, beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong dan melihat beberapa lagi tersepit di bawah pintu, meja serta kerusi.

Azri yang sedang berehat di rumahnya terdengar bunyi pokok tumbang dan tanah runtuh yang kuat menyebabkan beliau keluar daripada rumah kerana bimbang berlaku apa-apa kejadian.

“Saya naik ke bahagian atas kawasan perumahan dan terkejut melihat rumah anak yatim itu tertimbusApabila terdengar jeritan, saya terus turun ke bawah dan melihat beberapa mangsa seolah-olah tidak sedarkan diri kerana tersepit di pintu dan meja.

Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut,’’ katanya. -BH

Gali tanah guna tangan


HULU LANGAT: Tiga anak yatim, termasuk dua berusia 11 dan 14 tahun, maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Sungai Gahal, di sini, semalam.

Lebih tragis, difahamkan setakat jam 7 malam, seramai 14 dikhuatiri masih tertimbus iaitu 11 anak yatim dan tiga penjaga.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, enam pelajar dan seorang penjaga yang sudah diselamatkan, cedera dalam kejadian itu.

“Seramai 14 orang (11 pelajar, tiga penjaga) yang masih terperangkap berusia lapan hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut saksi, runtuhan berlaku dua kali dengan kali pertama pada jam 2.15 petang.

Kawasan itu kini dijadikan zon larangan oleh polis dan orang ramai tidak dibenarkan memasukinya berikutan kemungkinan berlaku runtuhan selepas hujan lebat sejak jam 5.30 petang.

Mangsa terbabit dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba ke tempat kejadian, kira-kira jam 2.30 petang.

Setakat jam 6.30 petang, seorang daripada mangsa yang meninggal dihantar ke Hospital Ampang, dua lagi masih di surau berhampiran tempat kejadian manakala tujuh yang cedera dihantar ke hospital sama, selain Hospital Kajang.

Pihak berkuasa masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat biarpun dalam keadaan hujan lebat.

Difahamkan, ketika kejadian itu, semua kanak-kanak itu berada di dewan makan rumah anak yatim itu.

Saksi, Pak Mat, 40, berkata ketika kejadian, dia yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian terdengar bunyi runtuhan lalu segera berlari ke situ.

“Sebaik tiba, saya nampak beberapa kanak-kanak tertimbus akibat tanah runtuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya segera gali dengan tangan dan berjaya menarik dua kanak-kanak (yang meninggal).

“Saya kasihan melihat keadaan pelajar berkenaan. Air mata menitis kerana terbayangkan nasib mereka yang masih mentah,” katanya hiba.

Seorang lagi saksi, Sham, 29, berkata sebelum kejadian dia terdengar bunyi paluan kompang dari khemah di kawasan rumah berkenaan sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon abangnya mengatakan berlaku tanah runtuh di situ.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menyelamatkan tiga pelajar daripada tertimbus. Sebelum diselamatkan, ada pelajar terperangkap dalam runtuhan hingga ke paras pinggang.

“Biarpun mereka cedera, saya lega dapat menyelamatkan mereka. Cuma terkilan masih ramai lagi yang terperangkap,” katanya. -hm










2 ulasan:

  1. Dalam perkembangan yang berlainan, "Madrasah At-Taqwa" jika didaftarkan tahun ini, ia tidak akan diluluskan.Alasan yang diberikan ialah nama itu berbau ke Islaman ! Di negara kapir England, nama Yusuf Islam atau Muhammad Syaiful Islam dibenarkan tetapi di negara Islam Malaysia, segala nama berbau Islam adalah haram. Nama orang, nama syarikat, nama pusat jagaan kanak2 etc tidak boleh berbau Islam.

    Sumber rujukan : saifulislam.com

    BalasPadam
  2. Allah maha besar, maha berkuasa keatas segala sesuatu, datang dari Allah dan kembali kepada Allah.

    Salam Takziah diucapkan kepada ahli keluarga, guru, pekerja penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat yang terlibat dengan bencana tanah runtuh.

    Semua yang terlibat agar bersabar dan menerima ujian itu dengan tenang.

    Kepada ahli politik dan juga pemimpin politik... jangan nak ambil kesempatan diatas kesusahan orang lain demi kepentingan diri dan parti masing-masing.

    Tunjukkan keikhlasan hati sebagai kerajaan yang bertanggongjawab bukan datang melawat tunjuk lagak, berpura-pura ambil berat nak bantu tapi cakap tak serupa bikin memperbodohkan orang melayu yang bersedih.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.